31 May 2019

Diari Ramadan Bedaduz

Mengenang kembali saat-saat menyambut Ramadan di sekolah, suatu zaman keanak-anakan bermain di depan mata.

Di sekolah dulu, semangat menyambut Ramadan tidak pernah serupa dengan keseronokan menjelang Ramadan di kampung. Tahun 2003 merupakan tahun pertama saya berpuasa di asrama. Pagi pertama sahur, skuad mengejutkan sahur tidak rasmi di aspura bingit seawal jam 4 pagi, dengan koir mereka "BANGUN MAKAN SAHUR, SAHUR, SAHUR!" diketuai si Muhaimin Murad dari kelas al-Biruni.

Setiap aras dan bilik dilaluinya, tidak pernah berhenti menyanyi. 

Naja dan saya mencemik, merasa tidak tenteram dengan bunyi bising seawal pagi sedangkan kami sudah lama terjaga.

Pagi pertama bersahur di Dewan Selera, saya teringat lauk daging masak kicap dan sambal sotong yang rasa begitu tidak kena di tenggorok. Terasa terlalu rindu dengan kampung ketika itu, dan pertama kali menjamah nasi berlauk di asrama sebelum subuh adalah sebuah pengalaman baharu pada tahun kedua tinggal berjauhan dari keluarga, suatu kejanggalan jua.

Berbuka puasa bersama homeroom atau KP (Keluarga Pelajar) tidak dapat menggantikan pengalaman berbuka bersama keluarga kandung di kampung. Kami tidak dihidangkan air sejuk di asrama, tidak seperti di rumah cawan dengan kondensasi di depan mata, di sini air berwap di atas meja. Mana mungkin puas minum air panas untuk berbuka puasa - saya protes di dalam hati. Tapi terasa berdosa pula. Satu-satunya masa sepanjang seharian kehidupan remaja yang hingar kami akan diam adalah apabila berbuka puasa.

Kami cuma diberikan air yang tidak panas sewaktu majlis berbuka perdana dengan Pengetua, cendol dihidangkan dalam tong besar. Tapi ais bloknya yang seketul dua pantas mencair akibat kehangatan didih air cendol, tidak juga kami dapat merasa air sejuk. Penyelamat saya ketika itu ialah 6 kotak air kota soya Drinho yang Mak bekalkan sebelum puasa.

Solat terawih berjemaah 8 rakat diikuti witir adalah kewajipan di asrama. Suraunya panas umpama n****a, atau bak kata Biro Kerohanian kami 'Surau ni tempat terhapus dosa. Sebab tu rasa panas' *rolls eyes*

Dengan bahu saling bersentuh, setiap saf yang penuh, kepanasan yang berkuap membuatkan kami tidak berhenti berpeluh.

Kami di sini adalah senior, pelajar-pelajar Tingkatan 3 sudah bergraduasi selepas PMR, menjadikan kami pelajar Tingkatan 2 sebagai barisan paling tua di sekolah (atau maktab).

Satu-satunya masa solat terawih kami terasa singkat apabila Hazran, bakal Ketua Aspura menjadi imam, surah 3 kul diulang-ulang dalam bacaan solatnya selepas al-Fatihah selama 11 rakaat solat berjemaah terawih dan witir.

Kali kedua berpuasa berjauhan daripada keluarga adalah semasa di Tingkatan 4 di MRSM Tun Ghafar Baba. Kali kedua seronok juga, walaupun tempohnya lebih kurang sama - 2 minggu. Selepas mengambil makanan, tray kami akan dibalut plastik yang diulang guna berhari-hari.

Kebebasan kami ialah cuma boleh memilih meja untuk makan, tidak perlu mengikut homeroom. Bolehlah ikut kawan-kawan. Hujung minggu, kami dibenarkan keluar ke bandar Jasin ke bazar Ramadan di stadium. Masih teringat membeli murtabak dan nasi ayam di sini. Kadang terasa malas berbuka di Dewan Selera, kami berbuka di dalam partisyen sahaja.

Persamaan setiap kali berpuasa di asrama ialah, peperiksaan akhir tahun. Perlu berperang dalam keadaan lapar dan dahaga.

Kini telah dewasa, saya TIDAK pernah merindukan momen-momen berpuasa jauh dari keluarga. Tapi perpisahan itulah yang membentuk diri untuk kental menghadapi segala kemungkinan, walau benci tahap mana sekalipun. Laungan "BANGUN MAKAN SAHUR, SAHUR SAHUR!" yang menjengkelkan, beratur mengambil makanan sepanjang barisan satu sekolah, atau berbuka dengan air panas beruap biarlah tinggal dalam lipatan sejarah. Kedewasaan itu walau tidak boleh diundur, tetapi tetap boleh memilih.

No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter