Assalamualaikum dan hai y’all!
Lama dah cerita ni terperuk, tah bila nak update. Tapi dah
jadi kewajipan untuk update semua aktiviti outdoor kan. Lagipun ramai yang
menanti hahaha
Kali ni nak cerita tentang aktiviti Beroga 5+1 for
Palestine, Syria and Rohingya pada 2 April 2017 yang lalu anjuran GEMA Selangor
Backpackerz #kamitakdelahpoyosangat hehehe. Kalau nak tahu kenapa namanya 5+1,
sebabnya semua orang confuse ni kali ke-5 ke kali ke-6 program ni. Last-last letaklah
+1 tu acah-acah macam sisihan piawai laa kan.
Program Beroga ni sebenarnya program tahunan GEMA Selangor
Backpackerz yang boleh dikatakan satu program keynote GEMA yang merupakan
tradisi penting GEMA Selangor Backpackerz ni.
Tahun lepas program Beroga ni
ialah satu program yang set the mood untuk program-program seterusnya. Waktu
join Batu Maloi pun berkenalan dengan peserta semua kata deorang start join
GEMA waktu program Broga nilah.
Btw, tahun lepas saya join program GEMA selepas Beroga,
iaitu unplanned trip ke Bukit Batu Putih, jadi waktu tu memang tak tahu sangat
tentang program Broga ni.
Geng78 first hiking together hahaha
Tahun ni, selepas meeting, saya dilantik menjadi AJK Makanan
dengan Afiq. Sekali Afiq bailout sebab pergi trip Perhentian dengan adik dia
cisss. Lepas tu konon-konon Iwan nak tolong, Iwan pun bailout sebab ada kerja cisss
Akhirnya saya sorang je jadi AJK makanan sobs3.
Tarikh pulak 2 kali anjak untuk program Beroga ni atas
sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Mula-mula nak buat bulan 2, lepas tu
bulan 3, akhirnya bulan 4.
Kali ni Hakim jadi pengarah program.
Sebab program ni sehari je, persiapan pun takdelah terlalu
rigid. Agak fleksibel jugak. Sebab pegang AJK makanan, saya pun decide menu
simple je. Sanwic La Grega dengan air mineral 500mL je mula-mula. Waktu meeting
Naufal suruh tambah sanwic telur sebab katanya takut ada yang tak makan sanwic
tuna.
Akhirnya hari kejadian ada sanwic telur dengan tuna, buah
epal dengan air kotak.
Program Beroga 5+1 ini traditionally bertujuan untuk
menyatakan kepedulian terhadap nasib dan penderitaan saudara-saudara Islam di
seluruh dunia, selain untuk memberi kesedaran kepada khalayak ramai untuk turut
sama menyumbang kepada golongan tersebut.
Disebabkan program ini bertujuan untuk spread awareness
tentang kesengsaraan umat Islam sedunia, jadi GEMA lazimnya akan jemput
tokoh-tokoh yang cakna dengan isu ni. Tahun lepas Heliza Helmi dijemput sebagai
VIP, tahun ni kami berjaya dapatkan Musa Nuwayri, penulis buku Lelaki Terakhir
Menangis di Bumi sebagai tetamu kehormat. Selain En Musa, kami jugak melalui
Tokie berjaya mendapatkan beberapa orang kanak-kanak dan ustaz Rohingya untuk
menyertai program ni.
Disebabkan orang-orang Rohingya ni tinggal dekat dengan
rumah saya, jadi selain jadi AJK makanan, saya juga ditugaskan untuk menjemput
deorang sekali untuk ke Broga.
Program Beroga 5+1 ni walaupun simple je, tapi macam-macam
cerita di sebalik nak menjayakan program kebajikan ni.
THE DAY BEFORE
Sehari sebelum program ni berlangsung, saya berjanji dengan
Tokie untuk berjumpa dekat madrasah asrama kanak-kanak Rohingya tu. Sebabnya
saya tak kenal pun deorang, lagipun tak tahu mana satu tempat dia.
Lepas buat last minute shopping barang-barang dekat Pasar
Borong Selangor, saya pun bergerak ke madrasah Rohingya tu dekat Seri Kembangan
ikut location yang Tokie hantar. Alhamdulillah, jumpa jugak tempatnya. Senang
je. Tapi duduk call Tokie banyak kali, Tokie tak angkat. Waktu mesej Tokie
mula-mula katanya dia tengah setelkan kerja dekat ofis.
Saya pun parking tepi, tunggu Tokie datang. Sambil tunggu tu
saya call sekali Ustaz Salim, guru dekat madrasah tu merangkap penjaga kepada kanak-kanak
Rohingya. Tak jugak diangkat.
Dekat setengah jam takde siapa angkat call, saya pun
baliklah rumah. Niat nak pergi jumpa Ustaz Salim lepas Isya’ je.
Tengah drive dekat traffic light, Tokie call. Dalam
termengah-mengah Tokie cerita dia terperangkap dalam toilet dekat ofis. Drama
gila dia cerita dengan dia menjerit-jerit mintak tolong, pecahkan tingkap
toilet, terajang pintu sampai pecah. Tak terbukak jugak pintunya. Sebab hari ni
hari Sabtu, kalau tak keluar harini jugak tersangkutlah dalam toilet tu sampai
Isnin huhuhu.
Sampailah ada beberapa orang dekat kedai makan bawah ofis
dia datang tolong selamatkan lepas dengar jeritan Tokie.
Tokie mintak maaf sebab tak dapat teman pergi jumpa orang
Rohingya tu. Takpelah, yang penting Tokie selamat (walaupun terketar-ketar dah
haa hewhew).
Malam tu, lepas Maghrib sebab risau makanan tak cukup, saya
pun keluar semula nak membeli buah epal dengan tuna dan roti dekat Pasaraya Big.
Saya ingat nak beli telur dekat 99 Speedmart on the way balik lepas jumpa Ustaz
Salim sebab dekat 99 harga telurnya murah.
Lepas habis shopping, saya letak barang-barang dekat seat depan, saya pun
tutuplah pintu. Bila pintu tertutup je, sekali kereta terus autolock, and guess what, kunci kereta ada dekat
atas seat depan, dalam kereta. Waktu tu macam terkesima kejap, terus
automatically jadi numb.
Bila dah autolock, nak bukak pintu macam mana, kunci ada dalam kereta. Dahlah kunci
ni kunci spare, kunci asal dah rosak.
Dengan terfikir nak kena balik rumah nak siapkan breakfast
untuk esok, satu apa makanan belum buat. Dahlah saya sorang je handle makanan,
kalau tak siap makanan malam ni esok semua orang takde benda nak makan.
Sebab terlalu stress, saya tergelak-gelak sorang dekat situ.
Saya bagitau dalam group WhatsApp, deorg cadangkan cari dekat YouTube cara-cara
nak bukak pintu kereta yang lock. Saya pun masuk kedai balik cari pembaris besi
dengan hanger wayar, tapi takde jual.
Stress gila waktu tu bila ingat balik. Tapi saya tenangkan
perasaan, saya fikir ni semua ujian dan cuba redha dengan ujian Allah, terus
saya pergi cari kedai yang still bukak kot-kot boleh mintak tolong. Mujur jugak
phone dengan wallet tak terkunci sekali dekat dalam kereta.
Kedai pertama saya jumpa yang kata boleh tolong ialah kedai
kunci. Yang ni dia charge RM100. Saya pun kata takpelah, saya takde banyak tu
dalam dompet.
Saya cari pulak dekat bengkel. Masa tu dah dekat pukul 10. Memang
hilang kisah nak jumpa Ustaz Salim, hilang cerita nak beli telur dekat 99
Speedmart nak buat sanwic telur. Dekat rumah telur ada 8 biji je, nak buat
sanwic 60 keping huhuhu. Takpelah nak, redha jelah ya.
Akhirnya jumpa bengkel yang sudi nak tolong. Tapi dia kata
tunggu dia tutup kedai. Dia charge RM80. Dalam beberapa minit tunggu, dia pun
bawak saya naik motor balik dekat kereta. Mula dia kopak mudguard tayar belah
kiri, lepas tu dia masuk wayar dekat celah tu. 10 minit je dah berjaya bukak
balik kereta. Lorh ingat susah sangat kan. Melayang jugak duit guwe huuu
Mekanik sedang membuka kunci kereta guwe. Gambar dikaburkan untuk tujuan keselamatan hewhew
Lepas masuk kereta je terus saya pecut balik nak siapkan
sanwic tuna dengan telur.
Sampai rumah je dah dekat pukul 11. Pukul 3 dah kena gerak
ambil Ustaz Salim dan kanak-kanak Rohingya dekat madrasah. Bersilat jugaklah
nak siapkan 120 keping sanwic; 60 tuna dengan 60 telur dalam masa 2 jam. Huu nak
nanges rasanya sorang-sorang bersilat tengah-tengah malam buta.
Dahlah telur 8
biji je, sebab nak banyakkan inti dia, bergantang-gantang mayonis saya bubuh
*jangan ikut abam ya adik-adik. Mayonis ni tinggi kolesterol. Sekian pesanan
khidmat masyarakat*
Dengan nak pack lagi sanwicnya. Nak stapler satu-satu
bungkus. Nak susun dalam bekas. Akhirnya dekat pukul 3 baru siap semua sambil rasa pinggang nak terpatah. Saya pun
lekas mandi, 2 kali turun naik nak hantar sanwic dalam kereta.
HARI KEJADIAN
Lepas siap masuk barang semua, saya pun lekas ke madrasah
Rohingya dekat sebelah Pasar Borong Selangor tu. Sampai-sampai je hari hujan. Dengan
tak tidur satu malam, kepala pening-pening.
Saya call Ustaz Salim, seperti biasa dia tak angkat. Rasanya
dia hanya angkat kalau Tokie call. Saya rasa mungkin sebab masalah kepercayaan
dan keselesaan, sebab Tokie sorang je yang pernah jumpa dia face to face. Tapi lepas saya
missed call tu saya nampak sorang lelaki ber T-shirt pagoda putih bukak
pintu madrasah tu, tengah pegang telefon.
Ustaz Salim dan Said
Saya terus lari ke dia, tanya dia ‘Ustaz Salim?’ Dia angguk.
Saya bagitau dekat dia nak bawak dia naik bukit. Lepas tu dia tunjuk langit ‘Hujan’
katanya.
Dia kata dia taknak pergi. Ah sudah. Saya bagitau dalam
group. Lepas tu saya call Hakim, tapi Akmal yang jawab sebab Hakim tengah
memandu. Akmal kata kalau dia taknak jangan paksa. Dia dah buat keputusan. Saya
pun masuk dalam kereta balik, dengan keadaan hujan dah pening dah jadi ke tak
program harini. Masa tu rasa gelabah balik. Kalau tak jadi siapa nak makan 120
keping sanwic ni huhuhu *itu yang pertama-tama fikir hahaha*
Saya pun asingkan bahagian makanan untuk Ustaz dan
kanak-kanak Rohingya tu dalam beg plastic, saya lari balik dekat Ustaz Salim
yang masih berdiri dekat pintu. Tanpa cakap apa-apa *sebab dia tak berapa faham
Bahasa Melayu huhuhu* saya pass dekat dia beg plastic tu. lepas tu dia senyum.
Saya pun masuk balik dalam kereta, start engine. Terus bergerak.
Belum sempat keluar dari perumahan Rohingya tu, Tokie call. Tokie kata nanti
dia call balik Ustaz Salim tu bagitahu dia dekat Broga tak hujan *padahal hujan
dekat Broga lebat. Tapi Tokie dapat info salah hahaha*
Jadi saya pun patah balik ke madrasah tu jumpa balik Ustaz
Salim. Lepas Tokie call Ustaz Salim tu barulah dia mesra sikit dengan saya,
lepas tu dia kejutkan anak murid dia yang paling fasih Bahasa Melayu, suruh dia
translate kan. Saya pun bagitahu anak murid dia, kita nak ajak deorang naik
bukit.
Anak murid dia kata dia akan kejutkan kawan-kawan dia yang lain.
Lepas tu barulah sorang-sorang bangun. Waktu Ustaz Salim
bukak lampu madrasah tu, baru nampak persekitaran dalam madrasah tu. MasyaAllah,
walaupun deorang ni pelarian, tapi bersih madrasahnya. Lantainya bermozek
berkilat, nampak selalu dilap. Tempat ambil wuduk pun proper, siap setiap
student dapat satu locker. Kemas je dalamnya. Serius tak nampak langsung macam
khemah pelarian yang selalu kita tengok dalam TV.
Teringat ada seorang mamat dekat twitter yang kata orang
Rohingya ni dibenci orang Myanmar sebab pengotor, pergi mana-mana membuat
kemusnahan. Astaghfirullahalazim, betapa jahatnya fitnah mamat tu sedangkan dia
sendiri Islam dan dia sendiri entah-entah tak pernah pun pergi melawat
perumahan orang Rohingya.
Lepas anak-anak Rohingya tu bangun dari tidur, saya suruh
deorang pakai kasut. Lepas tu adik yang paling besar jawab ‘Kitorang takde
kasut.’
Akmal memberi briefing sebelum mendaki
Allah hai, semua ada selipar je. Dok terfikir macam mana nak
bawak deorang hiking ni, kita yang berkasut pun waktu hujan masalah nak
mendaki. Ustaz Salim lagilah, pakai jubah, berkopiah dengan berkain pelikat. Tapi
saya percaya semangat deorang kuat haagituh
Lepas deorang siap, Ustaz Salim bawak makanan yang saya
asingkan tadi ke dalam kereta. Anak-anak Rohingya tu ada 4 orang, duduk dekat
seat belakang. Ustaz Salim duduk sebelah saya dekat depan. Dan sekali lagi, I was
pleasantly surprised. Sebab kita ni manusia yang penuh prasangka, mestilah
fikir pelarian ni mesti berbau, kotor.
Tapi budak-budak ni semuanya bersih, bau
semua macam detergent. Termasuklah Ustaz Salim tu jugak. Nampaklah deorang ni
pembersih sebenarnya, tak macam imej pelarian yang kita tengok dekat TV yang
tak terurus, tak mandi etc etc. betapa buruknya sifat buruk sangka tsk tsk
*shaking my head*
Waktu tu kelakar fikir Ustaz Salim tu tak percaya dekat
saya. Mungkin sebab muka iras-iras Myanmar yang menindas Rohingya kot hahaha
Kami tak banyak bercakap dalam kereta, masalah komunikasi. Sampai
je dekat Broga, pagi masih hujan. Gelap lagi, dalam pukul 5 pagi. Saya keluar
dari kereta jumpa dengan ahli-ahli GEMA yang dah sampai; Hakim, Akmal, Hafiz,
kak Sarah, Tokie, Saidah, YB Izzah etc etc
Pendakian bermula. Kau tengok gambar je dah nampak betapa basahnya trek sesubuh tu huuu
Sampai je kami agihkan barang untuk dibawa naik kepada
volunteer.
Alhamdulillah nampak ahli-ahli program boleh melayan Ustaz
Salim dengan anak-anak buahnya walaupun sedikit kekok. Lepas semua ahli GEMA
dengan volunteer sampai, kami pun mulakan pendakian diketuai oleh Hakim.
Waktu mula mendaki, saya jalan dengan Akmal. Sekali Akmal
lupa gula 3kg nak bancuh air dekat puncak tertinggal dalam kereta Hakim. Hakim dah
bawak kunci naik atas.
Mujur Naufal belum sampai, jadi deorang call Naufal suruh
beli gula. Mula-mula Akmal bawak naik meja, bayangkan hiking bawak meja, mampu
kau nak? Tapi lepas nampak Akmal cungap-cungap, saya ambil alih tugas membawak
meja naik. Semangat #Geng78 gittu
Hakim dan errr *lupa nama brader ni* sedang memasak air nak buat teh panas
Saya berjalan dengan Akmal, sebab kami muatan berat, kami
jalan perlahan jelah haha *tapi Akmal dah kurus gila y’all! Sikit jam kalahlah titew*
Belakang kami ada sekali saudara Faiz Qayyum yang jadi
photographer dekat Batu Maloi. Sempatlah sembang dengan dia pasal dia tengah
menulis buku tentang kerja-kerja sukarelawan *hebat-hebatlah peserta-peserta GEMA,
segan dengan deorang ni* Dan bukunya yang bertajuk Hanya Senyummu yang Terlihat
telahpun dilancarkan sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 28 April 2017
yang lalu.
Keluar je dari kebun getah, trek terus mencanak ke puncak
kedua Broga, tak kasi can. Walauweh dengan mengendong meja lipat naik. Dengan trek
berlecah boleh terlungsur. Sampai dekat satu tempat, tiba-tiba perasan adik
Rohingya, si Said yang jadi translator tu berdiri sorang-sorang berkaki ayam
dekat tepi rumput tinggi, kawan dia semua tinggalkan dia naik atas dengan Ustaz
Salim sekali.
Saya pun teman dia, tanya dia kenapa dia tak naik? Dia kata
dia takut dah nak panjat. Yelah, kalau budak kecik gitu yang tak pernah hiking,
pakai selipar bagai maunya tak mental lalu trek selut mencanak tak hengat time
gelap-gelap. Saya dengan Akmal pun ambil keputusan nak tunggu dekat situ
sementara tunggu semangat Said datang semula. Kalau tak datang-datang pun, kami
tunggu je sampai geng lain turun.
Kasi can up gambar abang photographer. Selalu dia ambik gambar orang hehe
Sekali YB Izzah lalu dengan kawan dia. Kawan dia bawak
tabung derma lutsinar plastic bentuk segi empat tu. Yang selalu kita tengok
dalam TV tu. Sekali sebab licin, tabung tu jatuh dan pecah. Kami pun suruh
tinggalkan je dekat situ sebab dah takde guna bawak naik atas. Nak turun nanti
baru ambil balik.
Sementara saya dengan Akmal tunggu si Said dekat situ,
geng-geng lain semua lalu sorang demi sorang naik ke atas. Saya dengan Akmal
masa tu fikir nak solat subuh dekat situ je, tapi tiba-tiba si Said tu nak naik
atas. Semangat dia dah sampai. Kami pun ikutlah sekali naik atas.
En Musa Nuwayri, penulis buku Lelaki Terakhir Menangis di Bumi
Akhirnya sampai jugak dekat puncak kedua. Saya dengan Akmal
terus solat subuh Jemaah dekat situ.
Lepas solat, kami terus siapkan air teh o panas, dan
hidangkan makanan kepada pendaki-pendaki lain. Dekat atas meja kami letak
tabung untuk orang ramai menderma. Sambil tu kami pacak-pacak bendera Syria dan
Palestin dekat sekitar puncak kedua tu.
Bila ada orang lalu je, kami offer
minum teh panas tanpa mengira ethnicity/agama/nationality gittuh. Nanti dekat
situ deorang akan mula tanya ‘Korang buat apa ni?’ dan kami pun mula bercerita
apa yang kami sedang buat dan secara tidak langsung, dapat menyebarkan kesedaran terhadap nasib
golongan minority yang tertindas.
Akmal dan Hakim mengedarkan air kepada orang awam.
Disebabkan baru lepas hujan, cuaca memang nyaman, berkabus. Sejuk
je.
Mula pagi tu, Encik Musa Nuwayri, penulis buku Lelaki
Terakhir Menangis di Bumi memulakan tentative dengan cerita beliau memulakan
kerja-kerja sukarelawan untuk membantu rakyat Syria sewaktu belajar di sana. Cerita
bagaimana mereka cuba membantu kanak-kanak Syria dengan membina sekolah untuk
menaikkan moral mereka dan memberikan mereka pendidikan, sehingga ditahan pihak
berkuasa.
Sijil penghargaan dari GEMA Selangor Backpackerz #kamitakdelahpoyosangat hehehe
I know it sounds cliché, tapi saya tak sangka saya sendiri
boleh terpana mendengar kisah beliau walaupun dah kerap membaca perkara yang
sama dekat media/media sosial. Tapi bila mendengar firsthand experience dari
orang yang pernah melaluinya, lain daripada setakat membaca atau melihat di kaca televisyen.
Kemudian sebab En Musa ada komitmen lain pagi tu, dia
terpaksa turun sebelum program kami tamat. Waktu tu kami sempat bergambar
dengan dia. Waktu bergambar beramai-ramai tu, tak disangka-sangka ada sorang
pendaki dari Syria yang nampak bendera negara dia lepas tu dia excited cakap
dia dari Syria dan kami pun ajak dia bergambar sekali.
Tengah bergambar tu lagi, ada sorang rakyat Palestin yang
datang dengan penuh muka ceria, ‘Siapa yang kibarkan bendera negara saya?’
Lepas tu kami pun ajak dia bergambar sekali dengan En Musa. Cukuplah
pagi tu, ada rakyat Palestin, Syria dan Rohingya bahahaha
Lepas menerima cenderahati dari kami, En Musa pun mula turun
diiringi Ostad Fairus sebagai supir. Ewah.
Yeah, you can be the greatest
You can be the best
You can be the King Kong banging on your chest
You can be the best
You can be the King Kong banging on your chest
- The Script, Hall of Fame
Lepas tu ada flashmob dari Stand Up Flashmobbers. Flashmob
ni boleh menyengat lagi kalau muziknya lebih kuat lagi, tapi yelah, siapa larat
nak bawak speaker besar-besar pergi hiking hewhewhew
Dan tentative terakhir sekali ialah perkongsian dari Ustaz
Salim sebagai wakil Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar. Disebabkan Ustaz
Salim tak fasih berbahasa Melayu, anak muridnya, Khabir yang menjadi
pengantara.
Perkongsian yang sangat menyayat hati daripada Ustaz Salim
Ustaz Salim sebenarnya baru sampai ke Malaysia selama dua
tahun, manakala anak-anak muridnya dah lama berhijrah ke Malaysia. Ada yang
membesar di Malaysia sebab datang dari kecil lagi, jadi anak muridnya tak
berapa mengerti kesengsaraan yang pernah dialami Ustaz Salim di sana.
Sambil bercerita kepada kami bagaimana mereka dizalimi –
anak-anak pun mati dibunuh, jikalau sekolah dibina, sekolah mereka akan dibakar
dan ada yang dipotong kepala dan dibakar hidup-hidup; mereka diusir dari rumah
sendiri, dan jikalau tidak melarikan diri ke Malaysia mereka sekeluarga mungkin
sekali akan mati, Ustaz Salim menangis teresak-esak mengenangkan nasib umat
Islam Rohingya di sana.
Mood sewaktu Ustaz Salim bercerita muram, semuram pagi yang
baru selepas hujan. Walaupun cuma mendengar dia bercerita dan kami tak faham pun
apa yang dia cakap, bila dia menangis tu kami semua pun terdiam sekali.
Wakil GEMA Selangor Backpackerz bergambar bersama Ustaz Salim dan anak-anak Rohingya Madrasah Islamiah Arabiah
Kata Tokie, walaupun penyertaan tahun ni tak seramai tahun
lepas, dan tahun lepas ada selebriti terkenal i.e. Heliza Helmi, tapi tahun ni
rasanya sangat menusuk kalbu. Quality over quantity. Lepas tamat sesi Ustaz Salim, Ustaz Salim duduk
atas batu, termenung lama waktu anak-anak muridnya mengikut Hakim memanjat naik
lagi.
Lepas tamat air teh dan makanan kami hidangkan, kami pun
mula mengemas sampah dan bergerak turun. Waktu turun pun teruk jugak sebab
licin gila. Ustaz Salim tergelongsor turun waktu pegang Tupperware berisi
makanan, sampai tercabut-cabut selipar. Saya pun tergelincir sebab licin, kasut
pun memang dah tak cengkam tapaknya *mintak kasut hiking baru ni lol*
Akhirnya sampailah jugak ke bawah. Kata Akmal, sepanjang 30
tahun hidup *ya tahun ni Akmal dah 3 series hahaha*, inilah kali pertama dia
mendaki Broga. Saya kali ketiga, tapi sekali je pernah sampai puncak. Lagi dua
termasuk kali ni tak sampai pun puncak. Tapi seperti biasa, bukan puncak yang kita kejar. Lagi penting adalah merealisasikan matlamat kita yang sebenarnya *cewah ayat sedapkan hati kan hahaha*
Sampai dekat bawah, kami pun bergambar sesama AJK.
Tuding jari tu memang trademark
Alhamdulillah, walaupun saya pertama kali merasai pengalaman program Broga for Palestine & Syria ni, rasanya sangat berpuas hati dengan pengalaman sepanjang menjayakan program ni, *especially kesusahan di sebalik tabir nak pastikan semua orang dapat makan*
Lepas balik tu, sampai rumah je, tak sempat basuh baju beg semua, sempat mandi je, terus tertidur lepas hantar Ustaz Salim dan anak-anak muridnya pulang ke madrasah. Itulah pengalamannya
PENGAJARAN
1- Lepas fikir balik penderitaan orang Rohingya yang dikunci dalam rumahnya, kemudian rumahnya dibakar sehingga rentung mereka di dalam, rasanya Allah swt meminjamkan perasaan itu kepada saya dan Tokie (dan juga Ostad Fairus sebab waktu meeting Ostad terkunci dalam toilet rumah hewhew). Pengalaman terkurung/terkunci dari luar membuatkan kita sedikit insaf mengenangkan kaum lain yang diusir dari rumahnya/dikunci dalam rumahnya dan dibiarkan mati. Sedikit saja yang Allah swt pinjamkan perasaan panik tu untuk bagi kita rasa dan masyaAllah memang scary.
2- Jangan percaya apa yang kita lihat/dengar dari media. Sungguh waktu saya diberi kesempatan melihat kediaman Ustaz Salim di madrasah, memang jauh daripada yang saya bayangkan. Walaupun mereka pelarian kediaman mereka lebih bersih dan kemas berbanding kebanyakan kita.
3- Menyebarkan kesedaran itu tidak semestinya secara formal. Sewaktu kami mengedarkan air teh percuma kepada khalayak, terasa perasaan keasingan antara dua insan yang berlainan kepercayaan dan warna kulit dicairkan oleh kepanasan teh, literally. Dengan secawan teh, kami berjaya bercerita kepada khalayak ramai apa yang kami perjuangkan dan apa yang kami percaya, tanpa perlu memberitahu kepada mereka secara formal tanpa sebarang prejudis dan presumption. And I really personally think that is beautiful.
Sekian itu saja untuk edisi kali ni. Sedih juga kali ini, bulatan GEMA nampaknya semakin susut, tapi itulah namanya kitaran alam. Mohon maaf andainya terkasar bahasa terutama kepada AJK-AJK yang bertungkus lumus nak menjayakan program ni, sekalung tahniah juga buat kalian yang cakna kepada penderitaan ummah di seluruh dunia yang terzahir sebagai program Beroga 5+1 ni. Moga usaha kita dirahmati oleh Allah swt.
Sekian, assalamualaikum. Renung-renungkan dan selamat beramal!
No comments:
Write curses