05 March 2022

KEPULANGAN MAK WAN KE NEGERI ABADI


Mak Wan meninggal dunia 13 Februari lepas, 3 minggu yang lalu. Setelah beberapa hari menyabung nyawa di Hospital Kajang, dalam perit menentang pneumonia di paru-paru walaupun setelah oksigen diputar ke 100%. Rasa kehilangan seorang parental figure, walau pada usia melewati takat 30 tahun adalah suatu campur baur yang mengelirukan, terutamanya kepada seseorang yang kita sedar akan kewujudannya hanya kepada tahap menghormati.


Sewaktu hayatnya, di Kg Bukit Lada, Temerloh, melihat Mak Wan di balkoni, melambai sayu kepada kami sewaktu kereta kami mengundur keluar dari halaman rumahnya di tepian Sungai Pahang. Itulah juga kali terakhir saya melihat Mak Wan yang masih bernyawa. Imej yang terbakar di layar minda adalah seorang wanita tua yang mendakap kembali kesunyiannya setelah kami pulang. Selalu pada hujung-hujung Ramadan kami berkampung di rumah Mak Wan, Mak Wan menyediakan isi lemang sedang kami membakarnya di laman rumahnya. Suatu kenangan yang kini terpadam, tidak akan terulang.


Hikayat sejarah Mak Wan yang tidak tertulis, bagai sebuah perpustakaan usang yang terbakar, kini telah menjadi abu. Tiada siapa lagi dapat menebak atau membongkar sejarah hidup Mak Wan, semuanya kini terbenam bersama jasadnya di pusara.


Sewaktu memasukkan jenazah Mak Wan ke dalam lahad, pada fikiran saya ketika itu, tertanya jika Mak Wan takut kepada kegelapan. Takut kepada sunyinya perut bumi setelah 86 tahun Mak Wan bernafas di atasnya. Selesakah Mak Wan dalam pelukan tanah sedangkan baru semalamnya Mak Wan tidur atas tilam empuk? Sedang kematian itu tidak langsung mengira apakah kemahuan kita, apakah ketakutan kita. Keinsafan menjalar sejenak ke dalam segenap relung hati.


Saya mengucapkan selamat tinggal kepada Mak Wan ketika mencium raut wajahnya buat kali terakhir. Tamat sudah sebuah riwayat seorang insan yang kini tidak sesekali dapat kita jumpa. Mengenangkan peluang untuk berjumpa Mak Wan nanti hanya setelah kemusnahan dunia, jantung rasa gentar. 'Selamat jalan Mak Wan. Kita jumpa lagi nanti.' Bisik saya pada sekujur tubuh Mak Wan yang tidak lagi bernafas setelah mengucup pipinya untuk kali terakhir. Bauan wangi air mawar menerpa rongga hidung.  


Pengebumian Mak Wan tamat selepas Isyak, pertama kali jua saya memasukkan jenazah ke dalam liang lahad, memalingkan tubuhnya ke arah kiblat, membuka tali ikatan pada sendi-sendi, menahan tubuhnya dengan gumpalan tanah dan menutup liangnya dengan papan lahad. Tanah dikambus, dalam masa tidak sampai sejam segalanya selesai. Kata mereka, pusara Mak Wan senang digali. Tanahnya tidak berpasir. Semoga husnul khotimah milik Mak Wan.

 

Setelah kami pulang, kegelapan menyelubungi seluruh tanah perkuburan. Tiada cahaya lagi.


'Cukuplah kematian sebagai peringatan.' terulang-ulang kalimah itu dalam fikiran sewaktu kami memandu pergi. Semoga Mak Wan damai di negeri abadi. al-Fatihah Mak Wan.



No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter