11 May 2016

Tudung Periuk

Tudung Periuk adalah lagu klasik Melayu dua rangkap dalam bentuk pantun yang didendangkan secara duet oleh Allahyarham P. Ramlee bersama Saloma (Salmah Ismail) dalam filem tahun 1964 arahan beliau, Sumpahan Orang Minyak. Lagu yang dicipta oleh Zubir Said tersebut dinyanyikan dengan penuh gaya lenggok klasik Melayu. 


Mendengar versi lagu Tudung Periuk yang dinyanyikan semula oleh Krisdayanti ketika Konser Traya lewat penglibatannya dalam industri selama 30 tahun, membangkitkan perasaan kekaguman, takjub dan aneh kepada lagu tersebut.

Nyanyian beremosi secara duet yang diiringi orchestra pimpinan Erwin Gutawa, oleh Krisdayanti bersama Nada Badar, penyanyi kanak-kanak Indonesia yang berasal dari Pekanbaru, Riau, memberi nafas baru yang segar malar kepada lagu Tudung Periuk.

Versi Krisdayanti & Nada Badar ternyata lebih mendalam dan diiringi vocal mereka yang berkarektor unik – Krisdayanti dengan suara yang sedikit serak; matang – manakala Nada Badar dengan karektor suara mendayu, bernyanyi cengkok Melayu klasik. 

Tudung Periuk berkisar kepada suatu unsur omnipoten dalam sosiobudaya Melayu yang selalu diterjemah dalam bentuk peribahasa, puisi dan syair – iaitu kesedihan yang diakibatkan oleh perasaan rendah diri dan hina. 

Bait-bait lagu dalam Tudung Periuk membangkitkan suatu perasaan kesunyian yang gundah. Rangkap pertama lagunya berbunyi demikian:


Tudung periuk pandailah menari,
Permainan anak putera mahkota,
Kain yang buruk berikan kami,
Untuk menyapu si air mata.


Pada dua baris pertama pembayangnya, tudung periuk yang dikatakan pandai menari dijadikan permainan oleh seorang putera mahkota. Ini seterusnya membangkitkan sebuah persoalan retorik: betapa tinggi sekali darjat manusia hatta anak putera mahkota sekalipun, mungkin tidak mempunyai seorang teman dan tudung periuk adalah satu-satu peneman dan penghibur hatinya. 

Kesunyian yang dirangkum oleh rangkap ini mempunyai paralel dengan pembukaan lagu Warisan, dengan baris 'Anak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi.'

Emosi kesunyian yang dibangkitkan pada pembayang ini kemudian dibawa ke maksud rangkap tersebut, ‘Kain yang buruk, berikan kami – untuk menyapu si air mata.’ Tidak cukup dengan sebarang kain, sang pemuisi menganggap dirinya lebih layak untuk menyapu air mata dengan kain yang buruk, akibat merasa dirinya terlalu hina. 

Baris ini ialah satu cerminan kepada perasaan sengsara yang bertimpa-timpa, sedang dalam kesedihan, kain yang buruk dijadikan objek untuk mengusap pergi kesedihan, bermakna kesengsaraan demi kesengsaraan dirasakan oleh pemuisi. 

Rangkap kedua lagu Tudung Periuk membawa maksud yang sama.


Tudung periuk pandailah berdendang,
Pandai berdendang lagu seberang,
Barang yang buruk takkan dipandang,
Dijual tidak dibeli orang. 


Mungkin sekali rangkap kedua ini menerangkan tentang putera mahkota yang masih bermain dengan tudung periuk, dan akibat terlalu sunyi akibat tiada kawan lain dia mendengar tudung periuk berdendang seperti lagu orang seberang. Maksudnya kemudian menerangkan tentang barang yang buruk takkan dipandang orang, dan sekiranya dijual tidak akan dibeli oleh sesiapa.

Maksud rangkap tersebut juga sebenarnya suatu pesanan dalam nada yang hiba, tentang nasib orang yang tidak mempunyai rupa paras yang cantik, yang akan ditinggalkan bersendirian akhirnya.

Falsafah dalam lagu Tudung Periuk dirasai dengan mendalam melalui persembahan Krisdayanti dan Nada Badar, dengan bunyian orkestra orgasmik yang mempertingkatkan lagi pengalaman mendengar dendangan lagu tersebut. Tudung Periuk dendangan Krisdayanti dan Nada Badar adalah sebuah komposisi yang wajib didengar sekiranya anda menginginkan perasaan kagum yang luar biasa hadir ke dalam sanubari.

Kekaguman juga terzahir melalui lagu ini terhadap pemikiran orang lama yang mampu menjadikan objek yang mundane seperti tudung periuk sebuah objek seni yang dimanifestasi sebagai sebuah metafora dalam menyampaikan maksud yang mendalam tentang kehidupan.  





1 comment:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter