Aku pernah
terfikir kau tidak akan kembali. Ketika kita berjalan melewati landasan keretapi
seperti selalunya untuk pulang, kau dan aku sama melihat ufuk barat, cahaya
jingga di hujung horizon, penamat pertemuan kita.
Kau memegang
bahuku erat, seakan melindungiku, melewati landasan, jambatan di sebatang
sungai dan terus sepanjang kehidupanku, sementelah mata kita masih tetap
menentang jingga di sebalik mega.
Ketika malam
terakhir kita bersama, di tengah belantara, masih dalam atmosfera cahaya jingga
– kali ini di depan unggunan api. Kau menyelimutiku, melindungi tubuhku dari
kedinginan. Telah berkelana kita mencari makna-makna perasaan dalam hati, dan
kita fikir, setiap langkah kita menapak atas dunia mendekatkan lagi kita dengan
jawapannya.
Kau selalu begitu
– senyum halus sendiri. Sedang aku riuh dengan tawaku. Kita selesa dengan sunyi
ketika kita bersama, dan melodi yang mententeramkan akan muncul dalam kesunyian
yang nyaman. Aku tidak pernah tahu begitu senangnya perasaanku ketika diam
bersama orang yang kukasihi.
Kita mendekat,
menyerah hati dalam diam, dan kau menghulurkan perasaanmu kepadaku, dengan
senyummu yang manis. Aku juga menyerahkan hatiku kepadamu, seluruhnya. Malam itu,
bintang-bintang di langit berbicara kisah kita, bulan purnama saksi sengsara
yang perlahan diganti bahagia, dan bayu yang berpuput melagukan hati kita.
Aku terfikir kita
akan selalu bersama, mengorak langkah satu dunia, membongkar sauh berlayar di
samudera, menembusi celah-celah hutan belantara, dan mendaki gunung-gunung
mencakar atmosfera.
Dan esok harinya
kau pergi, hilang dibawa badai. Cahaya jingga berputar ke gelap yang mutlak,
petang yang sedetik menjadi kelam malam. Aku segera menjadi dewasa dibalut
hari-hari suram, tiada cahaya.
Aku terfikir kau
tidak akan pernah kembali.
Ketika kau
pulang, aku sudah terlalu tua ditelan usia. Aku hampir terlupa bahawa aku
pernah merasa manisnya bahagia. Aku melihatmu kembali bagai pelangi di hujung
horizon, dan kau tiba masih dengan senyuman halusmu. Pada hari kau kembali,
baru aku mengerti ertinya tangisan gembira, ketika bibirku ketawa tetapi air mataku
lencun membasahi pipi.
Dan hari kau
kembali, kau membawaku pergi. Terbang merentasi angin, meluncur pada udara
terus ke bintang – syurga. Bila aku menutup mataku selamanya, aku telah
pelajari erti mencinta, kehilangan, dan pertemuan semula. Aku rasa sempurna.
No comments:
Write curses