31 October 2025

MENGHILANG DAN KEMBALI

 Terlalu lama. Terlalu lama rasanya tidak kemudi di sini, sebuah hiliran kali yang menghanyutkan kolek emosi. 

 

Dan ingin saya ceritakan, apa yang berlaku dalam sela masa selama saya berdiam dari sudut ini. 

 

Sejak Abah berpulang, setahun juga saya terpempan. Rasa seolah dunia terhenti, dan dalam persilangan garis masa dan ruang yang membeku, saya masih meratapi Abah. Masih ada rasa kesalan, mengenangkan hari-hari terakhir bersamanya di tepi katilnya, menjadi insan terakhir yang mendengar suaranya sebelum dia pergi.

 

Saya melepaskan dunia selama hampir setahun, kembali ke kampung halaman setiap 2 hujung minggu menemani Mak yang kini menjadi balu. Hiba masih menyerang dan menghenyak dada setiap kali tiba ke pusara Abah, berbicara dengannya seolah dia masih mendengar, sambil mengusap-usap batu nisannya dan membuang rumputan yang menjalar. Tanpa disedari, air mata mula bergenang di kolam mata. 

Saya kembali perlahan-lahan, mula aktif semula di dunia nyata, menyambung jalinan dengan sahabat-sahabat yang masih mengejar mimpi yang sama. Bertemu semula Irsyad dan Eirzreen bagaikan suatu anugerah Tuhan, bagaikan memujuk hati yang rawan kehilangan Abah. Tidak berapa lama Abah meninggalkan kami menuju ke negeri abadi, Irsyad dan Eirzreen masing-masing kehilangan ayahanda tercinta. 

 

Dalam waktu kami bersama, kami berbicara tentang kehilangan bapa kami, tentang erti merelakan dan emosi-emosi yang menikam dan merentap-rentap tangkai jantung sementelah kepergian ayah kami.

 

Kami bertualang lagi, tapi kali ini seiring usia dan masa, kami kembali dengan intensiti yang jauh lebih rendah. Jika sebelumnya pertemuan kami harus berlaku dalam lingkungan gunung dan hutan belantara, sewaktu adrenalin menjalar dalam kapilari darah, kami kini memerhati alam dari sudut selamat. Kami lebih betah tinggal di chalet dan mengunjungi air terjun, sungai dan tasik tanpa perlu bermalam-malam menghilangkan diri ke dalam hutan, menikmati hutan dalam nyaman dan tenang, dengan secangkir teh di tangan, dan berlatarkan asap arang yang membakar daging yang diperap lada hitam.

 

 Menuju dekad seterusnya dalam kehidupan, barangkali kami lebih tenang. Banyak persoalan masa muda yang tiada jawapan, kita biarkan bergantungan, tidak lagi ternanti-nanti sekiranya akan terungkai dalam kesimpulan yang konkrit. Kematangan barangkali, merelakan apa yang berlaku tanpa perlu lagi dipersoal bagaimana dan mengapa, ke mana seterusnya. Kami juga suatu hari nanti akan berpergian juga, tidak ada gunanya meneka-neka sesuatu yang tidak pasti. 

 

Saya juga perlahan-lahan, mengagumi seni daripada jendela yang berbeza. Dulu penulisan adalah medium terutama untuk saya melampiaskan inspirasi yang terbit daripada pengalaman, kini video dan audio juga termasuk dalam cara-cara saya bercerita. Saya perlu terus pragmatis, fikir saya. Tahun 2016 dulu tahunnya saya mengambil anjakan paradigma, serasa seekor phoenix bangkit dari abu, daripada api bangkit menjulang sebagai sesuatu yang baharu. Kini beranjak hampir sedekad, saya rasakan masanya telah tiba untuk terus mencipta semula diri dalam iterasi yang berbeza. 

 

Begitulah sekian tulisan pada kali ini, hanya sekadar ingin berkongsi kepada sesiapa yang masih sudi membaca dan meniliti. Semoga kita berjumpa lagi seterusnya.  

  

No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter