Ramadan lalu,
saya menghadiri kuliah di Masjid Putra selepas selesai solat tarawih 8 rakaat. Kuliah
tersebut disampaikan sempena Nuzul Quran.
Saya sudah lupa
tajuknya, tapi maksudnya lebih kurang menjurus kepada keajaiban al-Quran
sebagai mukjizat terbesar Nabi Muhammad saw.
Kuliahnya menarik,
tidak terlampau direncahkan lelucon, mahupun terlalu kaku. Ustaz Ravi bijak
menggaulkan pengalaman peribadinya bersama-sama kajian saintifik dan
dalil-dalil naqli untuk menarik perhatian pendengar.
Ketika sampai
suatu pengajaran dalam ayat al-Quran tentang Islam membenarkan kegunaan anjing
untuk berburu, Ustaz Ravi menyebut tentang anjing yang dimaksudkan dalam ayat
tersebut ialah anjing betina dan bukan anjing jantan.
Mengapa pula
anjing betina yang digunakan untuk berburu, dan bukan anjing jantan?
Semuanya kembali
kepada fitrah anjing betina. Menurut Ustaz Ravi, ada 3 kelebihan anjing betina
berbanding anjing jantan.
Pertamanya,
anjing betina mempunyai deria bau yang lebih sensitif berbanding anjing jantan.
Kedua, anjing
betina lebih setia berbanding anjing jantan.
Yang ketiga, dan
paling penting sekali, anjing betina mempunyai kesungguhan yang lebih tinggi
ketika berburu, kerana anjing betina perlu mencari makan untuk anak-anaknya.
Sifat-sifat
anjing betina yang disebut Ustaz Ravi bahkan mengingatkan saya kepada naluri
yang sama pada manusia yang bergelar wanita.
Deria yang lebih
sensitif, kesetiaan kepada keluarga, dan keinginan untuk mencari sesuap nasi
demi anak-anaknya. Ketiga-tiga ini menjadikan wanita lebih kuat berbanding
lelaki, menjadi pemburu yang lebih tangkas, dan menjadikan mereka makhluk yang
berani.
Begitulah, saya
kira Tuhan mengajarkan bahawa seekor binatang haram yang kita anggap hina itu
sama seperti kita. Wahai, betapa kita angkuh mendabik dada tidak mengerti
bahawa makhluk yang lebih hina, yang tubuhnya dianggap haram itu juga sifatnya sama seperti kita, jika tidak terkadang
lebih mulia.
Begitulah.
No comments:
Write curses