18 August 2016

Ekspedisi Kenderung dan Kerunai – Road to YYBTN #RentasAdventures

Assalamualaikum dan hai y’all!

Seperti dijanjikan, kali ni saya nak cerita lagi pasal sesi latihan yang seterusnya untuk ke Yong Yap Bubu Tok Nenek. Latihan kali pertama di Gunung Datuk (884m), latihan kali kedua ni pulak ialah latihan di dua puncak gunung , iaitu Gunung Kenderong (1223m) dan Gunung Kerunai (1000m) yang terletak di Gerik, Perak. Kedua gunung ini dikenali juga sebagai ‘The Twin Peaks of Grik” atau selalu orang panggil K2 je.



Inilah lineup kami. Latar belakang itulah Gunung Kenderung. Bila tengok balik belakang lepas tu fikir 'aku baru lepas panjat gunung ni', pergh memang tak percaya

Gunung K2 ni ialah kali pertama saya join group RENTAS Adventures, tak seperti sebelum-sebelum ni saya ikut GEMA Selangor Backpackerz. Kali ni jugak pertama kali ekspedisi saya tidur bermalam untuk mendaki gunung, sebelum ni semua daypack je. Ahli kumpulan kami kali ni lebih kurang 23 orang.

Mula-mula saya pergi ni disebabkan mengikut arahan coach (lol) Fareez. Disebabkan saya nak pergi YYBTN tu, kenalah ikut coach punya training kan.

Fareez kata trip K2 ni sangat jarang dibuat orang, jadi dia sangat berminat nak ikut. Mula-mula saya macam 50-50 je, tapi saya daftar jugak nama, in case nak pergi. Tapi makin lama makin rasa 90-10 pulak, 90 taknak pergi, 10 je nak pergi. Sebab masalah kewangan, masalah kekangan masa, masalah tak fit, masalah kekangan malas hewhew

Tapi lepas fikir-fikir balik, saya pun bayar terus full payment nak pergi. Fikir dengan keadaan Yong Yap – Bubu – Tok Nenek yang G7 ni tak tahu entah macam mana, tak logik lah kan nak terus panjat gunung tinggi lebih 7000 kaki tanpa praktis dekat gunung rendah-rendah.

Sebelum kami bertolak, petang tu boss panggil saya dengan Fareez. Boss suruh Fareez jaga saya, jangan bagi saya sakit hari Isnin depan, dan jangan sesekali tinggalkan saya. Wah terharu wooo boss pesan macam tu hewhewhew. Fareez sengih je, tapi rasanya dia setuju lah tu (hari tu kan waktu dekat Gunung Datuk dia tinggalkan saya hmmph)

Dipendekkan cerita, hari Jumaat malam 5 Ogos tu, lepas beberapa hari lari-lari kejap dengan Fareez pergi mencari barang nak berhiking, saya pun bergeraklah ke Terminal Putra dekat Gombak, dihantar oleh ayah Fareez untuk ke Gerik.

Dalam group WhatsApp, kami dah dibahagikan kepada beberapa kereta, tapi yang kelakarnya kami langsung tak kenal sesiapa. Saya kenal Fareez je, Fareez kenal Helmi, presiden RENTAS.

Saya kena satu kereta dengan Ecah, Din dengan Aziz. Nama je tahu, mana pernah jumpa dalam dunia sebenar. Dalam WhatsApp pun kami tak pernah berbual.

Dipendekkan cerita, walaupun agak serabut jugak waktu tu nak mencari siapalah yang satu kereta dengan aku ni, akhirnya saya pun jumpalah dengan Ecah dengan Din. Kami naik kereta Iswara Din. Saya pun tanyalah Ecah dengan Din, korang ni kenal ke sebelum ni? Eh tidak. Malam ni baru first time jumpa. Korang pernah ke join program RENTAS sebelum ni? Tak pernah jugak kata Ecah dengan Din. Deorang pun tak pernah kenal sesiapa dari group RENTAS ni. Tak lama lepas tu kami jumpa Aziz.

Sama jugak, saya tanya Aziz. Kau selalu ke join RENTAS? Tidak, ni kali pertama. Aku kenal dengan Leya sorang je – jawab Aziz. Maksudnya malam ni semua orang tak kenal semua orang, baru first time berkenalan.

Lepas kami bertaaruf begitu, kami pun sempat berselfie lol


Lineup Iswara: Aziz | Din | ME! | Ecah
Kau tengok, mana ada orang baru jumpa 5 minit dah selfie sekali hewhewhew

Bila dah masuk kereta tu, tak disangka, mula-mula saya yang macam eehhh tak sukanya tak kenal sesiapa ni, tiba-tiba jadi happening gila. Si Ecah ni riuh nak mati, tambah dengan Aziz yang tak tahu malu. Memang serius weh, kereta kami jadi happening gila waktu tu.

Dalam pukul 11:00 malam, kami pun mula bergerak ke Gerik. Kami baru kenal berapa minit tapi cepat gila masuk, sebab masing-masing satu kepala. Si Ecah kata “Sorry weh korang. Aku kalau masuk kereta tak boleh berhenti bercakap.” So konon-konon dia lah kena co-pilot untuk Din, layan Din borak-borak. Saya dengan Aziz duduk belakang. Sekali bila masuk kereta, Ecah first sekali tidur. Memang kena bahan la dengan saya, Aziz dengan Din.

Lepas tu setiap kali ada lagu dekat radio, si Aziz melalak kuat-kuat, lepas tu saya ikut join dia. Serius tak tahu malu weh deorang, seronok gila waktu tu. Rasa bersyukur lah sebab first kawan saya yang dari group RENTAS ni memang seronok, happening, riuh. Din pulak bawak memang laju nak mati, asyik mencucuk je sampai Aziz time terlelap dia kata dia terjaga sebab terlalu takut.

Lepas berkenalan, kami semua rupanya single. Ecah pulak cerita dia beberapa kali tertipu bercinta dengan suami orang. Kami pun bahanlah Ecah, kata Ecah taste dekat suami orang. Lepas tu sebab Ecah ni graduan UIA, kami pun kutuk-kutuk Ecah tanya Ecah bila dia nak confess dekat IIUM Confession lol

Jadi malam tu lepas beberapa lagi peristiwa (gangguan mistik dekat highway, lalu orang baru lepas eksiden 5 bijik kereta sebab hujan lebat, tukar baju dekat R&R yada yada) dalam pukul 4:30 kami sampai dekat Gerik.

Sebab kami antara yang paling awal sampai, kami pun lepak dulu dekat restoran mamak dekat Gerik, Restoran Famidah tah nama dia. Saya dengan Aziz pun belum dinner, kami pun makan dulu. Saya, Din dengan Aziz turun makan, tapi si Ecah bahan tidur dalam kereta, letih katanya sebab malam tu dia ada mengajar kelas tusyen, UPSR dah dekat.

Waktu kami makan nilah, Din, Aziz dengan saya bukak cerita masing-masing. Banyak cerita peribadi kami bukak, kisah hidup masing-masing. Waktu tu saya fikir, wow, we just knew each other tak sampai 6 jam. Tapi terus boleh masuk dan percaya masing-masing macam kawan lama. Dengan malam tu kami melalak-lalak dalam kereta, bergelak sakan tak ingat dunia macam dah lama kenal. Serius weh rasa something new.

Lepas masuk waktu Subuh, kami pun ke masjid. Dekat sini waktu tu kebanyakan ahli ekspedisi kami dah sampai. Lepas solat semua, kami berkumpul semula dekat Restoran Famidah, sebab ada yang baru sampai belum sempat makan.

Lepas habis breakfast dan tapau makanan untuk merarau (lunch hewhew), kami bergerak semula ke masjid yang sama, nak agihkan barang apa semua antara peserta. Dekat sinilah waktu tu nampak sangat kereta kami paling riuh. Saya Ecah Din dengan Aziz tak berhenti-henti buat bising, macam kereta lain nampak diam je sebab masing-masing baru kenal, tapi kereta kami masing-masing macam bukan baru kenal semalam.

Lepas dah siap membuang segala isi perut, dah siap kemas semua barang, 4 wheel pun pickup kami, dan lepas park kereta kami dekat rumah akak pemilik 4 wheel tu, 4 wheel pun hantar kami ke kaki gunung dekat tepi ladang getah.

 Bergambar dekat rumah akak 4 wheel sebelum memasuki hutan

Lepas bergambar, briefing, baca doa oleh Aziz (multitalented Aziz ni, baca doa pun dia hehe) kami pun mula masuk ke dalam hutan menuju ke Annapurna Base Camp ewah. (OK, kalau korang tak faham lawak ni, Annapurna Base Camp ni ialah kem dekat kaki banjaran Himalaya pada ketinggian 4130m. Yang pergi ABC ni orang-orang yang memang hebat mendaki tahap moksya dah hehe)




Inilah Annapurna Base Camp. Muahahaha

Hiking kali ni saya pertama kali diperkenalkan dengan konsep BPR, atau Buddies, Pace and Regrouping. Maksudnya kalau hiking kita kena sentiasa ada buddy atau berdua (Buddies), kena jaga pace yang sekata (Pace) dan regroup atau berkumpul apabila sampai di satu-satu point (Regrouping). Kali ni, saya berbuddy dengan Aziz.

Dalam dua jam juga kami hike, daripada masuk ladang getah, kemudian masuk ke dalam hutan, akhirnya sampai jugak dekat tapak kem Low Water Point di tebing sebatang anak sungai lebih kurang pukul 1 tengahari.


Baru sampai dekat kem. Saya Ecah dengan Aziz sampai-sampai terus makan. Coach Fareez baju biru tu terbungkang keletihan hewhew

DAY 1: GUNUNG KERUNAI

Kami semua berbaring-baring kepenatan, ada yang tertidur, ada yang makan lunch dulu.

Lepas siap mendirikan khemah, bersolat, buang air besar dan kecil, dan ada yang mandi, lebih kurang pukul 3 kami memulakan pendakian untuk ke puncak Gunung Kerunai. Disebabkan saya punya headlamp dah rosak, saya terpaksa pinjam headlamp seorang ahli RENTAS, Bobby namanya.

Pemandangan gunung Kenderung. Awesome gila pemandangan kabus
 
Pendakian Gunung Kerunai pada pendapat saya kurang meletihkan jika dibandingkan Gunung Datuk, cuma Gunung Kerunai treknya lebih panjang. Gunung Datuk mempunyai trek yang mencanak yang mencabar jantung tanpa trek yang landai, berbanding Gunung Kerunai yang ada trek yang ada kombinasi mendaki, menurun dan mendatar. Sama jugak masa hiking ke kem, saya berbuddy dengan Aziz jugak.


Kami bertiga gila-gila di lereng Kerunai

Ya ampun peruutttt
 
Pukul 3 petang adalah waktu yang sesuai untuk mendaki, disebabkan Gunung Kerunai pernah terbakar hutannya, dan kini hanya tinggal pokok renek, maka pendakian tidak sesuai dilakukan sewaktu matahari naik kerana tiada teduhan pokok. Disebabkan faktor tiada teduhan pokok, pendakian ke puncak Kerunai boleh dikatakan agak ekstrem dan lebih sesuai dilakukan pada waktu awal pagi atau petang.


Again, kabus yang sangat mengujakan


Menuju puncak! Gemilang cahaya!
 
Yang menarik tentang pendakian ke puncak Kerunai ialah pemandangannya. Bila kita berjalan di satu denai kecil di puncak sebuah banjaran, kiri dan kanan adalah dua lembah yang berbeza, di sebelah kiri Gunung Kenderong dan di sebelah kanan ialah pekan Gerik – kita secara automatik akan merasa takjub berada di tengah-tengah sempadan antara dua wilayah yang berlainan. Melihat pula awan dan kabus berarak perlahan di atas pepohonan hijau dan batu-batuan di lereng bukit adalah satu pengalaman yang sukar dicari ganti.

"Abang, ni ke puncak Brokeback, eh puncak Kerunai?"

Sepanjang perjalanan kami agak santai, banyak ambil gambar, banyak berehat. Kami tiba di puncak pukul 6 lebih, setelah lebih kurang 3 jam perjalanan mendaki. Ironinya, dekat puncak Kerunai pemandangan tak seindah berbanding sewaktu perjalanan mendaki.


Di Puncak Kerunai bersama coach







Pemandangan menakjubkan di lereng gunung err tak ingat Kenderung ke Kerunai lol
 
Dalam pukul 7, sebab waktu Maghrib dah dekat, kami pun mula bergerak turun menuju ke kem. Waktu mula, saya mengikut Aziz, tapi disebabkan Aziz berlari turun, saya ketinggalan.

Disebabkan saya sorang-sorang je dekat situ, saya pun tunggulah sampai orang seterusnya sampai sebab seram jugak tengah-tengah hutan takde sesiapa. Dalam 10 minit selepas tu, baru nampak ada orang dari belakang.

Kami masing-masing dah cuak sebab Maghrib dah dekat tapi kami masih dekat tengah hutan. Bila agak-agak Maghrib dah masuk, kami hentikan perjalanan turun. Lepas ada seorang ahli kumpulan kami azan, kami pun teruskan perjalanan.

Perjalanan turun lebih kurang 2 jam, waktu tu hari dah gelap. Mujurlah kami semua memang dah sedia bawak headlamp. Dalam pukul 8 lebih, hampir pukul 9 kami sampai di kem semula. Sampai kem je nampak si Aziz dah siap makan nak masuk tidur. Ciss.

“Aziz laju gila kau tadi! Tak sempat aku nak catch up kau lari ke apa?” Saya tanya dekat Aziz.
“Aku nak terberak tadi doh. Aku korek lubang!”


Lol ok dimaafkan.

Saya pun balik tu terus makan malam, lauk nasik dengan kambing bakar (sedapppp!). Lepas makan saya mandi, lepas tu terus tidur. Sebab dah dengar cerita penganjur kata pukul 2 pagi dah kena bangun, sebab nak mendaki awal pagi. Waktu tu dah dengan peha melecet (awaa saia monteyyll) dan dengan sakit-sakit kaki tinggal berapa jam lagi nak tidur. Dalam pukul 10:45 barulah saya dapat tidur.

Pukul 2 je, masing-masing dah bising sebab dah nak gerak. Waktu tu ya ampun, memang sakit badan tak hilang, melecet peha belum pulih sepenuhnya.

Saya terfikir taknak panjat mula-mula, tapi heyyy aku dah bayar kan. Mahal pulak tu. Rugilah kalau satu lagi puncak ni aku tak panjat.

DAY 2: GUNUNG KENDERUNG

Lepas bangun, basuh muka, siap-siap barang untuk mendaki, termasuk air dalam 5 liter (sebab dah dengar cerita panjat Kenderung ni lagi ekstrem dan kami akan turun waktu hari dah panas, teduhan pokok takde), bawak breakfast (Bobby sediakan tortilla wrap untuk kami), kami mulakan pendakian pada pukul 3 pagi.

Seperti biasa, ada taklimat ringkas dan Aziz mengetuai bacaan doa.

Waktu lebih kurang 30 minit pertama, jalan agak landai. Tapi tiba-tiba trek jadi mencanak. Penganjur jalan di depan, tolong tebaskan pokok-pokok kecil dan dahan dekat depan kami. Kata orang, kalau denai tu sempit dan jalan dia banyak ranting yang kena tebas, bermaksud jalannya jarang dilalui. Jadi betullah kata Fareez tak ramai orang yang panjat Gunung Kenderung ni.

Bersama buddy hiking di lereng Kenderung, si Aziz. Yang ambil gambar tu pulak namanya Yen.
Merah membara semangat waja~~ biru perpaduan kita semua~~

Agak gila, sekali dia mencanak dia dah takde mendatar atau menurun dah. Terussss mencanak naik je. Lepas tu tak lama dia mencanak tu, ada satu tempat tu kami kena buat wall climbing, panjat tebing tegak dekat 90 darjah pakai tali sebab treknya berbatu dan tiada tempat nak berpaut. Dekat situ makan masa agak lama sebab cuma boleh lalu seorang demi seorang, tak boleh bergayut pada tali tu dua orang. Bayangkan waktu tu memang gelap, hanya ada headlamp di kepala. Dalam gelap tu teraba-raba kami nak wall climbing dalam keadaan tak cukup tidur lagi.

Bila dah lepas tempat kena wall climbing tu, ada lagi tali. Kena wall climbing lagi huhuhu waktu tu mujur sebab pagi masih gelap, jadi mendaki je takde perasaan. Tapi mendaki wall climbing tanpa safety harness, helmet atau gloves. Bahaya betul sebenarnya. Habis tangan luka waktu tu. Waktu wall climbing tu, banyak batu layang atau batu longsor jatuh, jadi setiap kali ada batu layang je dengar orang menjerit ‘BATU! BATU!’

Lepas je daripada tebing tu, ingat lagi deorang kata ni dah bukan panjat gunung, ni dah macam Putrajaya Challenge Park, sebab mencabar sangat pendakiannnya. Ecah pun kata dekat saya yang Gunung Kenderung ni sangat mencabar untuk beginner, kalau banding dengan Gunung Stong dekat Kelantan, sebab Ecah pernah panjat Gunung Stong.

Proses pendakian ke puncak tipu di lereng Kenderung
 
Tiba dekat satu batang balak yang tumbang, kami regroup semula. Masing-masing dah tercungap, berehat dulu. Dekat sini, kami semua matikan headlamp masing-masing, kemudian kami mendongak tengok langit. Wah cantik nampak bintang! Sebab dalam hutan yang gelap tanpa cahaya, hanya cahaya dari langit menemani kami. Teringat saya tentang Malam Langit Permata. Perasaannya sama.


Lepas mendaki lebih kurang 3 jam trek mencanak tak hengat, kami tiba di puncak solar. Puncak solar ni tanahnya lapang dan rata, dan ada orang yang bercamping di sini kalau ikut Google search. Tapi memang tak ada air lah, cuma boleh buat tempat solat je.

Lepas solat Subuh, kami berehat sekejap. Waktu tu saya menggigil sebab lepas mendaki kan badan basah berpeluh, lepas tu tiba-tiba terus masuk dekat tempat sejuk gila babas peluh belum sempat kering.

Lepas kami berehat sekejap, kami teruskan pendakian. Belakang kami nampak puncak tinggi mencanak, tapi kata ahli RENTAS, puncak sebenar tinggi lagi. Yang puncak kami nampak tu hanyalah puncak tipu atau false peak. Walaweh waktu dengar tu macam nak nangis dah rasa. Sebab puncak tipu pun nampak dah macam gila mencanak, puncak sebenar apatah lagi.


Belakang ni puncak tipu. Kejam tak? Mencanak tak hengaaattt
Puncak sebenar ada dekat belakang dia, lagi tinggi

Kali ni memang saya dah rasa flat. Kaki sakit, dengan peha melecet lagi. Perlahan-lahan saya teruskan mendaki, tapi start kena potong dengan orang lain. Kalau semalam tu saya panjat Kerunai, bolehlah top 10 terawal yang sampai, tapi panjat Kenderung ni saya dah hampir dapat tempat terakhir dah.

Subhanallah cantiknya ciptaan Allah! Lagi-lagi yang pakai baju biru gelap tu kahkahkah!

Lepas sorang-sorang tinggalkan saya, akhirnya tinggallah Fareez sorang dekat belakang saya. Kali ni terharu woo sebab Fareez memang tak tinggalkan saya mengikut amanat boss waktu hari Jumaat tu. Terharu gila sebab saya tahu Fareez ni jenis kurang penyabar.

Tapi dia sabar je kali ni temankan saya berjalan perlahan-lahan. Waktu tu banyak kali berehat sebab kaki saya memang dah sakit dekat tumit dengan jari. Fareez sabar je sambil bagi support. Dan kali ni, pendakian pun mencanak. Waktu ni teringat filem Cina zaman dulu yang mengembara panjat gunung nak pergi bertapa.

Dengan awan, kabus dan batu-batu nak memanjat tegak gila, memang sebijik macam filem Cina dulu. Saya menggeletar waktu tu nak panjat puncak tipu tu sebab trek dia mencanak dan memang tepi gaung. Dengan takde tempat nak berpaut, hanya ada rumput-rumput, kalau salah langkah boleh terjatuh.

Akhirnya bila sampai dekat satu kawasan yang ada pokok-pokok, saya berehat lama sikit dengan Fareez. Fareez suruh saya tidur dulu kalau saya nak berehat, saya kata takpe. Saya nak berehat sekejap je. Lepas makan chocolate bar Mars dengan minum air mineral, saya pun bangun semula, ajak Fareez berjalan.


Di puncak Kenderung bersama coach

Yang kelakarnya, kami baru jalan 2-3 minit dah sampai puncak. Waktu tu laa ingat jauh lagi rupanya dah sampai.

Orang-orang kuat Rentas Adventures hehe
Wan, Putek, Aman, Hazim dan Mus

Pagi di Kenderung

Dalam pukul 8:50 jugak kami sampai puncak selepas lebih kurang 6 jam mendaki. Wah dahsyat weh. Waktu atas puncak saya dengan Fareez terakhir sekali sampai. Agak mental di situ.


Puncak Kenderung pun sama macam Kerunai. Pendakiannya lebih cantik pemandangan daripada puncaknya sendiri

Sampai je atas puncak Kenderung nampak si Aki tengah potong buah tembikai.

Lepas makan tembikai 2-3 potong saya terus baring bawah pokok, tidur. Dengan tak cukup rehat, breakfast pun saya jamah sikit je, kaki pulak dah start sakit, peha melecet, badan penat.


Aki potong tembikai atas gunung, gila kental bawak sebijik tembikai dekat belakang. Aku bawak botol air pun dah patah pinggang bernafas kuat macam gajah naik minyak T.T

Tak lama tidur tu dah ada orang kejutkan. Pukul 9:30 dah kena gerak turun semula, sebab kalau makin lambat hari makin panas. Disebabkan Kenderung pun sama jugak macam Kerunai, hutan pernah terbakar, sekarang tinggal pokok-pokok renek je jadi kalau kami masih on trek waktu matahari naik, memang akan kena terik matahari.

Bila start turun tu, ada tenaga sikit. Tapi makin lama berjalan dengan kaki makin sakit, tenaga makin susut akhirnya saya mengesot turun tak larat dah berjalan guna kaki. Paling azab kena lalu semula tempat wall climbing yang mula-mula kami naik tu.

Lepas tu baru saya perasan perbezaan memanjat gunung dengan aktiviti-aktiviti outdoor yang lain. Aktiviti lain lepas dah habis, boleh terus berehat, balik rumah, tidur. Tapi memanjat gunung bila dah siap panjat gunung, kena turun semula, dan turun tu sendiri ialah satu aktiviti lasak yang lain.

Masa mula turun tu semangat lagi sebab ada Aziz dengan geng-geng lain. Kami turun pun dengan penuh gembira sambil nyanyi lagu Cobalah Untuk Setia lol. Aziz pulak buat impression sinetron Indonesia.

Lepas tu tak lama tu, matahari dah tegak atas kepala. Lagilah seksa nak turun ya ampun. Lepas tu tak lama tu pun Aziz hilang, agak kencang dia berlari turun.

Saya kadang mengengsot, kadang berjalan perlahan. Nak menurun tali tu lagilah sakit. Sebab hari dah cerah, baru nampak betapa tingginya tebing yang kami daki pagi tu. Waktu tu tangan dah luka. Mujur pinjam gloves Poojah sebab dia kata dia ada gloves tapi dia memang tak suka pakai. Dia simpan je dalam beg.

Dengan kena hiris dengan daun tajam sampai luka dekat jari, dekat leher. Kena gigit dengan semut hitam besar gila. Yang best, saya tak sempat pun sedar tangan dah luka, sempat tanah masuk dalam luka. Lepas tengok jari baru nampak dah hitam sebab ada tanah dan kulit koyak.

Lepas tu bila tengok sekeliling, still lagi dekat altitud tinggi. Entah bila nak sampai. Nak mengengsot pun, batu-batu dah jadi panas. Panas kot punggung huhuhu Fareez siap marah lagi dia kata “Kalau kau nak berehat, jangan berehat dekat sini! Balik cepat dekat kem, boleh berehat dekat kem!” huhuhu asyik kena marah je dengan coach

Sampai dekat satu tempat tu, saya rasa menggigil, tapi still tengah panas. Astagha, kena hipoglisemia! Waktu tu saya menjerit (dalam hati). Gula dalam darah kurang sebab dari pagi tadi saya tak ambil gula kecuali chocolate bar Mars.

Waktu tu bagitahu dekat Fareez, dia boleh kata saya banyak kalori dalam badan. Ciiis lelaki taguna taguna taguna

Puncak Kenderung juga. Puncak dia susah nak ambil angle cantik. (Ke sebab orangnya takde yang cantik tu gambar sume tak lawa hehuhehu)

Saya terus korek beg, mujur dalam beg ada gummy candy lagi sikit. Terus saya habiskan sampai sisa-sisa. Tak lama tu, ada orang belakang sampai. Yen namanya. Saya pun tak malu mintak Yen air manis. Dia kata ada sikit je air Extra Joss tapi dia bagilah dekat saya.

Lepas tu Fareez kata dekat saya ‘Bad, kau jangan gerak.’

Fareez ambil air mineral dari beg, dia siram badan saya. Tanjat kita awaa sebab tengah panas-panas tu dia tuang air sejuk.

Agak-agak ada tenaga tu dan tak berapa menggigil, badan pun baru lepas kena mandi bunga, saya pun jalan semula. Terharu woo Fareez sampai sudah dia sanggup tunggu saya.

Lepas rasa makin dekat dengan kem, waktu tu terus datang semangat nak cepat sampai. Terus kaki dihayun cewah tanpa rehat-rehat dah. Tengah berjalan tu tiba-tiba phone Fareez berbunyi – azan. Dah masuk waktu Zohor. Kami terus jalan sampailah dekat kem, Fareez ajak rendam kaki dalam sungai.

Sambil tu saya termenung.

Ecah and the gigirls. And err, 2 boboi

Time ni semua dok kibar bendera Perak macam masing-masing rakyat Perak. Padahal sebab bendera tu je yang ada orang tinggal dekat trek hewhew
Kami kumpulan, Black Eyed Peas!


Lepas tu terfikir ‘Eh betul ke aku dah panjat gunung? Weh aku baru panjat gunung weh!’

Sebabnya bila nak turun tu dalam keadaan terlalu penat, kita automatik akan padamkan perasaan kita sebab taknak stress atau mental. Jadi saya turun tu memang dalam keadaan otak kosong, tak boleh berfikir apa-apa. Sampai sudah saya tak percaya saya dah berjaya panjat dua gunung, dalam tempoh tak sampai 24 jam.

Panjat turun Kerunai lebih kurang 6 jam, tapi Kenderung memang dahsyat. 11 jam panjat turun. 6 jam mendaki, 5 jam menurun.

Lepas tu terdengar yang deorang kata selalunya orang panjat K2 ni 3 hari 2 malam. Tapi kami buat 2 hari 1 malam je, maksudnya trip kami trip compressed. Waktu dengar je perghh rasa macam mak aih.
Dahsyat jugak aku boleh buat trip compressed. Rasa tertipu pun ada waktu tu

Petang tu, lepas mandi saya sempat tidur kejap. Makan tengahari disediakan Bobby yang tinggal dekat kem tak ikut memanjat, ada lauk kambing (kot) masak lemak cili api, sayur kobis goreng dengan papadom. Lepas kami kemas-kemas barang semua – bukak khemah, kutip sampah, kami pun bergerak balik. Masih kena meredah hutan dalam sejam lebih weh nak sampai ke pintu masuk.

Sambil berjalan tu, walaupun memang dah sakit-sakit badan semua, tapi mengenangkan boleh balik rumah, tidur, berehat, jalan jugak, terus sampai keluar.

Sampai je dekat pintu masuk hutan tu, 4 wheel dah tunggu. Kami pun patah balik ke rumah akak pemilik 4 wheel tu. Sampai je akak tu edarkan kami air kotak.

Bergambar dan berselfie riang sukahati
Yen dan Aziz

Saya waktu tu berjalan dua langkah je rasa nak terjelepok. Bayangkan malam tu jalan dari pukul 3 pagi, pukul 5 petang baru jumpa ketamadunan.

Kami pun naik kereta yang kami park dekat rumah akak 4 wheel tu, patah semula ke masjid tempat kami berkumpul mula-mula, lepas tu mandi. Waktu ni tiba-tiba Fareez ajak naik kereta dengan dia dengan Hazim dan Mus, sebab deorang nanti drop dia dekat rumah sebab deorang duduk Bangi je.

Waktu tu rasa macam alaa, aku nak lepak dengan Ecah, Aziz dengan Din. Semalam belum kenal pun dah havoc, ni dah panjat gunung sesama mesti lagi meriah. Pastu Fareez kata takpelah kalau kau nak naik dengan deorang. Sampai R&R Sg Perak naik dengan aku.

Pastu kami pergi makan ramai-ramai. Seperti biasa bila dah kenal mestilah lagi meriah kan. Tapi ada jugak yang tertidur dekat meja makan letih sangat dah nak oiii pastu kena drive balik pulak nanti.

Lepas habis makan, sebab kesian pulak kalau dekat Sg Perak baru nak tukar-tukar barang, saya pun mengoffer diri nak naik dengan Fareez, Hazim dengan Mus.

Lepas tukar-tukar barang masuk kereta, kami pun bertolak balik. Sekejap je masuk kereta, lepas tu terus tak sedar diri.

Dekat Sg Perak kami berhenti solat kejap, lepas tu bertolak balik semula. Saya memang tak sedar langsung, sedar bila deorang tukar pemandu atau tempat duduk je.

Sampai dekat rumah Fareez dah pukul 3.30 pagi, lepas tu Fareez terus pecut hantar saya balik rumah.

Lepas balik rumah mandi kejap, terus baring atas katil. Sekali dapat mesej dari Ecah.

“Bad, kau ambik kasut aku!” Ya ampun, waktu tukar kereta tu tak perasan saya terambil kasut Ecah. Sebab gelap, lepastu kasut kami sama brand, design pun lebih kurang.

Esok tu masuk keje lambat. Huhuhu. Penat tak habis lagi weihh. Malamnya terpaksa jugak hantar kasut Ecah dekat rumah dia dekat Keramat sebab dia nak pakai hari Selasa. Ciss.

Begitulah sedikit sebanyak perkongsian pengalaman memanjat K2 itu hari. Balik tu memang habis sakit-sakit badan. Dengan kena gigit agas tangan berbintat, kaki melecet sampai berair, tumit sengal nak pijak lantai pun sakit. Tapi alhamdulillah, diberi kesempatan memanjat 2 lagi gunung.

Tapi itulah, entah kuat tidak nak panjat Yong Yap - Bubu - Tok Nenek ni. Hmmm. Tawakal lah jawapannya.

So far itu je. Jumpa lagi dalam entry seterusnya! Assalamualaikum and thanks for reading!

P/S: bawah ni kita belanjat gambar. Tengoklah ye puas-puas!










P/S: Sorry Yen letak gambar awak tidur!





























5 comments:
Write curses
  1. Awesome experience, awesome view, awesome people! Tahniah ya, bukan calang-calang pengalaman ni.

    Boleh tahu, RENTAS tu apa? Keahlian terbuka untuk sesiapa atau macamana?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih!
      Pengalaman yang sungguh berharga walau memang sakit kaki luka-luka kena gigit agas semua ada.

      RENTAS tu satu kumpulan outdoor, dia selalu post pasal aktiviti dekat facebook. boleh tengok aktiviti dia dekat link ni: https://www.facebook.com/groups/243246699095574/

      Delete
  2. nak naik k2 memang kena camping ke. haha saya newbie juga. saya penah naik angsi(via ulu bendul) ngan datuk je. bole ke saya naik k2?

    ReplyDelete
    Replies
    1. nak naik tu untuk yang baru mendaki memang sangat mental. tapi insyaAllah, kuatkan semangat pasti boleh :)

      Delete
  3. wah! best baca experience Bad ni. Tergelak pun ada..tp itulah best experience ever suka duka pahit manis..geng semua pun terbaik.

    Saya tengah cari geng nak pergi K2.
    Kalau ada sesiapa disini nak pergi, boleh roger sy ya.
    Terima kasih :)

    ReplyDelete

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter