Saya kekhuatiran berhenti di belakang kereta Iswara warna
hitam. Setiap kali trafik berhenti daripada perjalanan perlahan seperti siput,
perlahan-lahan kereta Iswara mengengsot ke belakang, seolah langsung tiada
usaha pemandu untuk menekan brek.
Hampir benar terkena bumper depan si Saga FL yang saya
pandu. Kali keempat keadaan berterusan begitu, kerana sudah risau, sebaik
sahaja keretanya menggelongsor ke belakang, terus sahaja tangan saya menekan
hon di tengah stereng.
Terkejut barangkali, si pemandu Iswara hitam terus menekan
brek, terhenti hanya mungkin satu inci sebelum bumper kami bercumbu. Sewaktu
trafik bergerak semula, didorong atas perasaan malu bertambah bengang
barangkali, laju dia menyusur ke lorong kecemasan meninggalkan si Saga FL.
Sewaktu hujan masih lebat, daripada corong radio
berturut-turut lagu melankoli dimainkan. Hari ini hari konvokesyen seorang
sahabat di UPM sedang berlangsung dan sungguhpun berkali-kali saya berjanji
dalam hati untuk menghadiri, berkali-kali juga ada suara dominan mengingkatkan
supaya jangan pergi. Ada sesuatu yang menggamit emosi tentang kejayaannya menggenggam
skrol ijazah Sarjana, sedang saya masih menyusun serpihan hidup yang berderai.
Lagu Dewa, Pupus yang dinyanyikan Agnes Monica berputar di
corong
“Aku tak mengerti, apa yang kurasa. Rindu yang tak pernah, begitu hebatnya…”
Lagu Hafiz beralun kemudiannya
“Jika dapat ku mengulangi, perjalananku bersamamu lagi…”
Sedikit sentak di ulu hati.
Diikuti Stacy
“Ku bermimpi, engkau kembali…”
Hati dibuai sejenis kesunyian gundah yang tambah dialun hujan
di luar.
“Kenapa kau ego sangat?” suara kecil dari hati membentak, satu
pecahan spontan daripada buih-buih perasaan kesedihan yang membuak-buak.
“Apa?”
“Kenapa kau ego sangat? Kalau rindu, nak bercakap, telefon
ada. Mesej ada. Tinggal lagi kau hendak atau tidak.”
Saya mendiam mula, tidak mahu melayan perasaan yang terbit
dari hati. Dalam masa yang sama, terbayang memori kami bersama mengejar mimpi.
Nokia Lumia 900, teman setia 2 tahun lamanya saya genggam. Namanya
saya cari dalam senarai mesej yang baru dihantar. Tatkala itu juga, bertemu
pertukaran mesej-mesej lama antara kami yang masih setia diingat memori telefon
usang Lumia 900.
“Kau balik tak harini?”
“Bawak balik apa-apa yang murah-murah. Aku dah lapar”
“Ke mana kau? Balik tak?”
“Balik lambat sikit harini. Kawan aku belanja Seoul Garden. Hehuhehu.”
“Damnnn.”
“Aku ada kerja sikit la. Happy Birthday. Tengok dalam peti
ais. Aku belanja.”
“Tak best la kau takde. Thank you! Aku tak tahu pun kau beli
kek :D”
Tiap kali dia menghantar sekeping mesej kepada saya,
bertanyakan saya pulang atau tidak, mengingatkan saya pada rasanya masih
berteman yang merisau-risaukan setiap ketiadaan kita. Hati disulam ngilu.
Saya mendial namanya.
Panggilan berdering lama, sebelum bertemu suara.
“Hey Master, apa cerita dah konvo?”
Pantas pertanyaan dari saya menerjah belum sempat dia
mengucap hello.
“Macam tulah.”
“Tahniah weyy. Aku nak datang. Tapi aku dari Sungai Besi,
jam dekat depan MINES. Dah dekat sejam trafik tak bergerak.”
“Takpelah, aku pun dah balik tadi. Hujan lebat. Family aku
nak balik.”
“Kau sorang je ke tahun ni? Macam mana konvo?”
“Aku konvo sekali dengan junior kau kot. Bacelor Alam
Sekitar. Dia duduk ramai-ramai tau Master of Science. Semua fakulti campur. Ada
jugak Master Ekonomi, Master Komunikasi Korporat. Pastu ada sebijik muka macam
Gedil! Aku ingat Gedil sambung belajar buat Diploma lanjutan ke apa!”
Saya tergelak di hujung talian.
“Lepas tu nama Gedil ke nama lain?”
“Nama lainlah. Apa entah nama dia, tapi bukan nama Gedil
lah.”
“Kau takde geng lah konvo tahun ni?”
“Haah ye kot. Eh tak. Kau ingat tak Noh, Mad Scientist?”
“Haah, ingat-ingat. Mad Scientist yang kawan satu fac kau tu
kan?”
“Hah. Dia konvo jugak tahun ni!”
“Dem! Dia pun dah konvo!”
Pertanyaan dan jawapan bertukar daripada kami, sehingga
akhirnya dia meminta diri ingin mandi. Badan terkena hujan, katanya.
Sewaktu panggilan ditamatkan, dalam hati kecil suara tadi
memberi kesimpulan.
“Tengok, tak susah pun kan?”
Saya membelok mengambil simpang ke Seri Kembangan, pulang ke
rumah. Hujan masih terus membasahi bumi mengiringi nada sunyi dalam hati, tiada henti.
No comments:
Write curses