06 November 2015

Kena Paksa Kahwin

“Bukan nak suruh kahwin sekarang, tandalah dulu.”

Kata Mak. 

“Taknaklah Mak. Tak minat.” Lagipun dia bukan lembu, kena cucuk dekat hidung tanda bertuan. Biarlah dia bebas.

“Takkan awak taknak. Dia tunggu awak. Sebut nama awak dia dah sengih-sengih. Budaknya OK. Lawa pulak.” Kata Abengah pula.

Tengok cerita Hindustan pun orang boleh tersengih. Gadis remaja bukan tahu apa benda dia nak tu betul atau tak. Sedangkan Justin Bieber pun dia suka. 

“Sambung jelah PhD, nanti habis belajar kahwinlah. Lagipun sampai bila awak nak belajar.”

“Mak, budak tu umur baru 19. Belajar pun tak habis lagi. Tak hendaklah. Kalau dah ada degree ke, kerja ke, lainlah cerita.”

“Iya, tanda je dulu. Kahwin kemudian.”

“Sekarang ni umur awak dah 26. Taknak fikir masa depan ke?”

Masa depan manusia bukan setakat kahwin je Mak. Banyak lagi kemungkinan untuk masa depan. Umur 26 muda la Mak. Jangka hayat rakyat Malaysia kan 75 tahun.
“Ke awak tengah tunggu girlfriend habis belajar oversea?” 
Kak Long pulak mencelah sambil sengih mengejek. 
“Ambil jelah budak ni. Dia suruh whatsapp dia, dia nak bagi gambar dulu.”

“Kenal pun tidak, nak kahwin macam mana. Ee serabutlah.”

Abah je berdiam, tak banyak cerita pasal jodoh. Kali ni Mak pulak yang beria.

Tak tahulah nak kata apa. Kenapa parents kita terlalu risaukan soal jodoh dan pernikahan anak-anak. 

“Lagipun Mak, dia sedara kita. Taknaklah kahwin sedara dekat. Taknaklah ayah mertua orang sepupu orang.”

“La, apa salahnya.”

Saya ni bukanlah jenis pandai bercinta. Tapi nak dijodohkan dengan sedara dekat ni memang turn off gila.
“Kahwin sedara dekatlah senang. Balik kampung dekat-dekat.”

Budaknya memang comel. Hidung mancung. Kulit putih. Tapi dia anak kepada sepupu saya. Tak tahulah kenapa family saya tak kisah. 

Rasa macam tak logik pulak bila berlaku drama kena paksa berkahwin dekat diri sendiri. Selama ni tengok dekat TV macam tipu. Tak mungkinlah zaman 2015 pun ada orang kena kahwin paksa. Tang ni saya sendiri pulak kena.

Mungkin family dah risau usia makin dekat 30, tapi single dulu dari sekarang. Sebenarnya banyak faktor menyebabkan saya rasa tak bersedia nak kahwin. Tapi family kita ni, selagi tak kahwin selagi tu dia anggap tak lepas. Family Melayu ni selalu kan, cerita dekat orang “anak ada 5. 4 dah lepas. Tinggal sorang lagi.” 

Maksudnya 4 tu dah kahwin, sorang tu macam masih belum berjaya selagi belum bertemu jodoh.
Kalau jujur dengan family pasal sebab taknak kahwin ni banyaklah nanti kena bertaki. Serabut betullah.
Pertamanya saya tak bersedia berkahwin sebab saya jenis rimas dengan orang. Saya rimas kalau kena duduk menghadap orang yang sama 24 jam, lepas tu kena update setiap kali nak pergi mana-mana, kena kaji perasaan dia, kena risau pasal dia. Kalau dia ada masalah, saya kena selesaikan. 

Mungkin bagi orang lain “Eh kalau dah sayang semua boleh.” Memang, tapi saya bukan orang lain. Kalau pasangan kita tu jenis satu kepala takpe, tapi yang ni kenal pun tidak. Lagi-lagi jurang umur besar, budak tu sekolah lagi. Saya pulak tak pernah bercinta. Saya tak reti nak memahami orang lain. 

Saya ni jenis suka bersendiri, terutamanya bila tengah membaca, saya berkurung sorang-sorang. Ada ke orang yang faham saya ni? Bila saya nak bersendiri, saya singkirkan semua orang, saya duduk melayan perasaan sorang-sorang dalam bilik. Family saya pun tahu saya ni jenis berkurung, kadang-kadang lebih sehari tak keluar bilik, malah kadang-kadang kalau balik bercuti pun tak pernah keluar rumah. 

Melainkan beberapa orang tertentu yang betul-betul boleh berbual dengan tahap pemikiran yang sama macam saya, boleh bertukar buah pendapat, berfikir dengan frekuensi sama, saya susah betul nak rapat dan meluangkan masa dengan orang lain. 

Keduanya, tanggungjawab besar nak kahwin. Saya fikir pasal diri sendiri pun serabut, yang ni fikirkan pasal orang lain. Fikir nak duduk rumah mana, fikir pasal nafkah, dah kena jadi bertanggungjawab, dah ada dua family, ada dua mak dan dua ayah – semuanya kena jaga. Fikir pasal duit, pasal kerjaya dah tak boleh main-main. Satu silap boleh mengheret satu family sekali. Lepas tu bila dah ada anak, satu cerita lain pulak. Fikir pasal susu, pampers, pendidikan anak-anak. Insurans. Pendidikan agama anak-anak. Lagi-lagi anak perempuan. Jadi lelaki lagilah, salah didik anak isteri boleh diheret masuk neraka sekali. 

Walaupun saya berpengalaman dengan budak kecil, tapi sebab pengalaman tulah banyak kali saya cakap “Aku tak tahulah kalau ada anak sendiri. Ni baru jaga budak ni sekejap rasa nak mengamuk. Karang kalau ada anak sendiri macam manalah.”

Ketiganya, kawan dengan sedara mara ni major NO-NO buat saya. Satu, penyakit genetik. Bila kahwin family dekat ni ada kemungkinan tinggi untuk kena penyakit berkaitan genetik. Ini kajian saintifik yang dah terbukti lepas bertahun-tahun kajian, bila kahwin sedara dekat anak-anak lebih tinggi kemungkinan untuk cacat dan terencat akal. Kedua, bila kahwin sedara mara, kan jadi tak best kalau gaduh laki bini nanti parents pun sekali terheret sama. Nanti mulalah salahkan parents sebab jodohkan. Lagi satu nanti terbukak aib keluarga dekat sedara mara tak ke malu.
Hari tu pulak kakak budak tu mesej adik saya, tanya betul ke bulan 2 depan nak hantar cincin? Ya Allah cincin apanya. Aku nak hidup sampai bulan depan pun kena makan sekali sehari, nak menghantar cincin apa entah guna duit siapa. Adoi.

Nak je rasanya slow talk dengan budak tu, awak nak ke dengan saya. Saya ni dahlah tak hensem, perangai buruk, agama toksah cakaplah, jauh dari sempurna. Tak reti bercintan cintun. Duit takde. 

Tapi kalau dia nak jugak, masalahnya saya yang memang taknak. 

Orang lain mungkin fikir 26 masa yang sesuai nak mendirikan rumah tangga, tapi kenalah ukur baju di badan sendiri. Kalau rasa boleh, maka bolehlah. Kalau rasa taknak lagi, kenapa perlu dipaksa-paksakan. 

Karang kalau bergaduh, sebab keluarga dekat buat malu Mak dengan Abah saya, Mak dengan Abah dia. Satu keluarga tahu. Jurang umur dan tahap pemikiran pun lain. 

Eh entah serabut nak fikir. Nak carut banyak-banyak pun orang tak faham, nak cerita lebih-lebih nanti kena marah. Tengok jelah macam mana nanti.












No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter