06 November 2015

Selamat Tinggal Kawan

Seperti juga kita dulu yang remaja,

Paluan angin petang yang menampar-nampar wajah kita di atas motor,
Semuanya bakal terlepas ke belakang.

Kotak sepi, 5 darab 2 darab 3.
Rahsia kita yang membuat dinding-dinding terdiam malu

Pintu pagar depan, lorong tikus belakang
Dan kisah-kisah pasar yang kita bawa pulang
Menghingarkan suasana sunyi di dalam kamar

Jendela, pintu dan lubang angin
Membawa suara halus ke dalam
Bersama bisikan masa
Yang menggenggam dunia

Detik-detiknya bermula seawal pagi
Melihat dan mendengar dari deria
Cahaya pagi menebuk bayang-bayang jaluran kayu ke lantai
Sedang tajamnya di pelupuk mata sipi,
Merenjat dari lena mimpi
Membuka luas ruang realiti

Kau dan aku, sementelah masih bersama
Entah duduk mengusung cita
Bersama mengarang perenggan-perenggan masa
Penglipur lara, kita pendeta.     

Jangan dilupa bukit hutan dan gunung
Tempat kita beradu semahu-mahu
Mengumpul embun daun dan debu
Menghirup udara semanis madu

Petangnya dalam lingkaran jingga langit
Di kawah tengah velodrom agung
Atas bawah tengah dan pinggir
Laju kita mengayuh, laju

Malam gelita, aku nampak cahaya
Syukur, dalam silang suara meningkah
Aku temui bahagia.


Bedaduz,
Putrajaya

No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter