Showing posts with label dialog. Show all posts
Showing posts with label dialog. Show all posts

29 February 2016

BAB 51: DIALOG ORANG MUDA

“Kau pernah janji dengan aku, nak backpacking sama-sama pergi Filipina. Kau kata nak travel satu dunia lepas habis Master, suruh aku kumpul duit.”

“Kadang-kadang yang kita plan tu tak mungkin kita dapat.”

“Sampai hati kau Abang, hancurkan harapan aku.” 

Abang tidak mempertahankan dirinya, mungkin mengakui salah.

“Abang, kalau apa-apa jadi, sebelum apa-apa jadi, supaya aku tak menyesal kemudian hari, aku just nak bagitahu kau yang aku sangat sayang dan hormati kau sebagai kawan aku. Dan aku rasa, banyak benda kita akan achieve kalau kau dan aku bekerjasama.”

Abang diam cuma, tapi bibirnya mula mengukir senyum.

“Aku rasa kau dan aku, banyak benda yang kita boleh terokai sama. Kau, banyak memberikan aku idea.” Abang pula menjawab. 

“Tapi Bang, the thing with idea is. Kita ada idea, tapi selagimana kita tidak bergerak untuk merealisasikan idea kita, idea tinggal idea. Aku tak mahu jadi sesuatu yang akan ditelan lipatan sejarah. Aku ingin menjadi sesuatu yang dikenang sejarah, satu milestone dalam peradaban dunia, bilamana orang akan menyebut zaman aku hidup sebagai Zaman Nama-Aku, seperti orang menyebut Zaman Victoria, bermakna aku telah mencapai sesuatu. Dan itu, aku yakin pada kau. Aku yakin pada kita. Aku yakin, jiwa kita boleh meledakkan dunia. Kita ada idea.”

“Kadang-kadang, idea gila kau buat aku rasa takut.” Sahut Abang.

“Kau cuma takut pada sesuatu yang besar, sebab sesuatu yang besar kau tak boleh cerna. Dari segi harfiahnya dan dari segi pemikirannya. Dari segi rohaninya. Tapi bila kau bekerja sedikit demi sedikit untuk merealisasikan idea kau, kau akan sedar hakikat ketika itu, bahawa seluruh dunia sudah tunduk pada kau. Padahal kau cuma menggapai mimpi sendiri tanpa kau terfikir nak menakluk dunia.”

“Aku takut kalau suatu hari nanti, kau dengan aku dah kena berpisah, aku tak tahu macam mana aku nak hidup bersendirian. Mesti rasa sedih. Pelik.” Saya menyambung pendapat saya.

“Kadang-kadang, kau kena tahu semua orang bertemu kena berpisah. Kau tahu hadis Nabi yang kata ‘Sayangilah sesiapa yang kau sayangi, tapi ingatlah satu hari nanti kau akan berpisah dengannya’.” 

Abang memberi respon, tiada anjak dalam nada suaranya. Barangkali Abang terlebih dahulu memahami hakikat perpisahan sebelum saya. 

Saya terdiam, mendengar dengan takjub. Dalam kata-kata Abang terkandung suatu makna yang mendalam, tentang erti pertemuan. 

“Abang, kau tahu, Rumi kata untuk melihat wajah TuhanMu, maka lihatlah wajah sahabatmu. Dan dalam wajah kau Abang, aku melihat kasih sayang Tuhan kepada aku.”

Abang pula yang terdiam, barangkali cuba mencerna kata-kata yang saya ucapkan. 

“Aku melihat bagaimana Tuhan menghantarkan kau kepada aku untuk mengajar aku pelbagai benda. Tuhan kirimkan kau kepada aku untuk menghapuskan kesunyian, untuk mendampingi aku, untuk membetulkan kesilapan-kesilapan aku. Dan daripada tu, aku belajar bahawa kasih sayang Tuhan itu datangnya dalam pelbagai bentuk, termasuklah dalam bentuk persaudaraan, persahabatan – kau.”
Abang hanya terdiam, mungkin terpesona mendengar. 

“Hidup kita ni singkat Abang, dan dalam kehidupan kita, secara asasnya, sepaling-paling asasnya, kita cuma dibenarkan untuk memilih satu daripada dua benda, iaitu ‘live our dream’ atau ‘live somebody else’s dream’. Kau hidup setiap hari samaada kau memilih untuk merealisasikan mimpi kau sendiri, atau kau sebenarnya sebuah watak sampingan dalam sebuah filem yang kau bukan heronya.”

 “Dan mimpi aku sebenarnya teringin nak jadi penulis. Aku nak menulis tentang semua benda yang aku pelajari, semua benda yang aku jumpa dalam dunia. Semua benda yang aku alami, supaya bila aku membaca tulisan aku semula, aku akan ingat sejarah aku, kisah aku.” Saya mula bercerita kepada Abang, tanpa ditanya. 

“Amy Tan kata, kalau nak jadi penulis, kau kena jujur dengan perkara-perkara yang kau rasa malu untuk kau akui even pada diri kau sendiri. Dan paling aku malu nak akui pada diri aku Abang, adalah betapa aku menghargai kau. Betapa aku sayang kau. Dan aku rasa, itu yang akan kutulis.”

“Dan dalam baris-baris tulisan-tulisan yang aku tuliskan tentang kau, dengan sejujur-jujur, aku bertemu semula kau, sahabat aku. Aku bertemu semula erti-erti hidup, aku bertemu kisah-kisah yang menjadi tiang-tiang yang menegakkan aku sebagai seorang manusia, dan aku belajar erti pertemuan dan kehilangan. Aku nak diabadikan dalam tulisan.” 

“Dan aku berjanji dengan kau Abang, selagimana aku mengejar keabadian, aku akan membawa kau sekali dengan aku, aku akan pastikan kau dan aku mendapat keabadian. Dalam tulisan-tulisan aku, aku nak orang temukan kau dan aku sepertimana kita masih bersama. Aku nak kita sentiasa hidup – walau dalam tulisan.”

Kami berdua terdiam lama, meresap perlahan-lahan ayat-ayat jujur yang bergantungan di atmosfera yang baru kami sama ungkapkan. 

“Kau tahu, orang yang kagum pada diri sendiri, berfikir bahawa mereka boleh mengubah dunia, tapi instead of mengubah dunia, mereka menghabiskan masa mereka memikirkan, mengagumi, dan membayangkan kemampuan mereka mengubah dunia itu sendiri, menanti peluang tiba untuk orang seistimewa mereka, sehingga akhirnya mereka tidak dapat melakukan apa-apa. Dan aku tidak mahu menjadi orang-orang seperti itu, aku ingin menulis, supaya aku boleh menjadi sesuatu yang mengubah. Dan aku ingin penulisan aku dibaca, dihayati dan difahami, dan sekiranya mereka tertanya-tanya tujuan aku menulis, sekurang-kurangnya aku mampu mengajar mereka sesuatu dengan ceritaku, tentang diri aku, tentang persahabatan, tentang kau, tentang masa depan, dan yang lebih penting lagi, idea-idea.” 

Kalau saya tahu itu antara kali terakhir kami akan berbual panjang, hati ke hati, mungkin saya berharap pada waktu itu, siang takkan muncul. Supaya kami boleh berbicara panjang lagi, sepanjang-panjang malam, mencari definisi hidup kami – menghargai, dan ada kalanya bercakar dan berhujah. Tapi manusia, kita tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya. 

Begitulah juga pada malam itu, kami yang tidak tahu betapa pentingnya perbualan pada malam itu, terus tidak sedarkan diri, tidur ke subuh selesai sahaja berbicara.

12 February 2016

Dialog Orang Muda Ending (1)



Saya memerhatikan kereta Abang meluncur di jalan. Tangannya diangkat. Dengan demikian, tamat sudah perjalanan kami bersama selama dua tahun.

Pulang ke bilik, saya perasan ada sekeping sampul surat berwarna putih di atas meja.
“Happy Birthday.” 

Kad di dalam sampul bertulisan begitu. “Bila masa pulak ni? Birthday aku dah lepas berapa bulan.”
Sebaik membuka kad itu, saya perasan tulisan tangan Abang.

“Aku sebenarnya nak bagi kad ni pada kau masa birthday kau haritu, tapi macam kelakar je. Lama aku simpan kad ni, sekarang aku nak bagi pada kau. Aku tahu kau sedih aku dah dapat kerja, keluar dari bilik, tapi aku percaya tanpa aku pun kau boleh berjaya. Kau seorang yang hebat, tapi aku taknak akui sebab aku taknak kau jadi ego. Kau ada sifat rendah diri yang complement kehebatan kau, buat orang suka untuk mengenali kau. Aku mintak maaf aku selalu bergaduh dengan kau. Good luck. Ada masa kita jumpa lagi.”

Saya termenung panjang. Titisan air jernih bertakung di pinggir mata. Mujur kau dah keluar Abang. Tak malu aku nak menangis sorang-sorang.

Saya memandang kipas siling di kepala, putaran ligatnya mengingatkan saya kepada Jalaluddin al-Rumi. Lintasan dan imbasan imej muncul di balik mata; tarbus, jubah kembang yang berputar, ghazal yang meratapi pemergian sahabat yang dikasihi. 

Malam-malam yang panjang, kelam yang belum bercumbu siang. Kala itu yang menemu dalam dinding empat segi adalah kita, udara hangat dan sebuah dusta. 

“Kau tahu, tarian Darwis tu dicipta oleh seorang sufi, Jalaluddin al-Rumi yang meratap pemergian sahabatnya, Shamsi Tabrizi.” Saya teringat saya bercerita kepada Abang ketika saya menceritakan kepadanya bagaimana saya memandang persahabatan kami. 

Saya berdiri, kedua tangan didepang. Kepala saya didongak ke atas, mata memandang putaran kipas. Perlahan-lahan saya memusingkan badan, kemudian semakin pantas, pantas. Laju. 

Di dalam kepala, lagu Tudung Periuk dendangan Nada Badar bermain-main di neuron-neuron medial prefrontal complex dan serebelum. 

Tudung periuk pandai menari
Permainan anak putera mahkota
Kain yang buruk berikan kami
Untuk menyapu si air mata.





DIALOG ORANG MUDA TAMAT

20 January 2016

(Teaser) Dialog Orang Muda



Saya teringat masa-masa yang saya habiskan bertengkar dengan Abang, lalu saya merasa kesal. Entah kenapa kekesalan datang ketika melihat Abang terlantar sakit ketika demam panas.

“Abang, aku tuamkan kepala kau.” Abang separa terbangun, separa terjaga.  
Saya menukar kain di kepalanya yang sudah sejuk.

Saya menyuruh Abang balik ke rumah, tapi dia tidak yakin saya memandu. Dia sendiri tidak larat memandu.

Petang dua hari yang lalu, sewaktu hujan lebat, Abang balik ke bilik mengadu tidak sihat. Dia menaiki motor pulang dari fakulti, dalam perjalanan hujan lebat. 

“Kenapa kau redah hujan? Tunggulah sampai hujan teduh.”
“Aku nak cepat balik.”
“Kenapa?”
“Aku nak bawak kau pergi Seoul Garden. Hari ni kan birthday kau.”

Malam itu kami tidak ke mana-mana. Abang tidak larat benar.
“Maafkan aku.” Katanya.
Selesai menuam kepalanya, saya bersandar di katil.

“Hei, aku bangga ada ahli MPP sanggup meredah hujan sebab nak sambut birthday kawan dia.”
Abang diam.
Tanpa disedari, air mata saya menitik.

“Kenapa? Kau sedih ke tak dapat makan Seoul Garden?”

Saya menggeleng-geleng kepala. Menyedari Abang masih risaukan saya, saya bertambah haru. Saya mengumpul kekuatan untuk berbicara.

“Kau tahu, keluarga aku tak pernah ingat hari jadi aku.” Saya berkata kepada Abang, cuba sedaya upaya tidak kelihatan seperti meraih simpati.

“Aku tak sangka orang yang takde pertalian darah dengan aku sanggup meredah hujan sebab teringat hari jadi aku.”

“Aku rasa hukuman untuk aku kot, tak menghargai keluarga aku.” Abang menjawab semula.

“Kau tahu, masa aku form 2. Hari jadi aku. Mak aku janji dengan aku balik dari sekolah mak aku akan bagi aku kek hari jadi. Kau tahu, balik dari sekolah aku punyalah semangat nak tengok kek tu. Sekali aku tengok kek tu kek yang mak aku masak sendiri. Kek pelangi yang takde icing pun. Lepas tu aku menjerit dengan mak aku “Taknak kek ni! Kek ni buruk!”

Abang tiba-tiba mengalirkan air mata.
“Mungkin balasan dosa aku kot.”
Saya sama terdiam. Hujan di luar terus menggila. 

“Lepas tu mak aku cuba pujuk aku, tapi aku tetap taknak kek tu. Kek orang lain masa hari jadi semua cantik. Kenapa kek hari jadi aku tak cantik?”

“Sekurang-kurangnya mak kau ingat, Abang.”

Abang tidak menjawab.

14 September 2014

Dialog Orang Muda (5)

Saya mengenali Syikin lebih lagi daripada Abang. Lebih awal lagi, lebih dalam lagi. Sebagai orang tengah, kadang-kadang emosi mereka lebih tercurah kepada saya; apabila kedua-duanya memilih untuk mengunci bibir daripada bersuara apabila bersua.
 
Dan saya, menjadi yang di tengah, selalunya mendengar apa yang lebih berbaki – yang tidak tercurah antara mereka berdua. Saya menjangka, pada kali ini; saat semuanya sudah berantakan, barangkali sayalah yang paling memahami gelora jiwa mereka.
 
Syikin yang sudah melarikan diri dari sebuah perhubungan yang menyakitkan; dan Abang yang punah dihentam kemusnahan janji. Kedua-duanya dapat saya lihat remuk-redam bersama emosi yang hancur di dalam dada.
 
Berjam-jam lamanya Abang mendiamkan diri, duduk terperuk di dalam bilik.
 
“Abang, aku nak balik! Tolong hantar aku!” saya mengetuk-ngetuk pintu biliknya, diam. Entah berapa kali begitu, saya hilang kiraan.
 
Setelah tiba petang, saya tidak tertahan lagi, lalu terus meninggalkan rumah itu. Dengan menggendong 2 beg, perlahan-lahan saya berjalan ke perhentian bas, berharap dapat mengejar bas terakhir. Di dalam hati, saya berdoa dia bakal menemui jawapan. Dan lebih penting dari itu, dia menemui kekuatan untuk terus hidup.
 
Adakalanya, pertolongan terbaik yang boleh kita berikan kepada seseorang ialah dengan tidak memberikan sebarang pertolongan.
 
Saya mengira-ngira masa depan – mungkin akhirnya dia bakal mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan keluarganya. Dia sudah tiada pilihan lain.
 
Ketika sampai semula di kampus, hari sudah larut malam. Perjalanan hari ini begitu jauh – bertukar-tukar bas, LRT, komuter dan bas. Penat menjalar dari tumit sehingga ke kepala. Kenderaan tiada lagi yang keluar masuk. Saya menghela nafas panjang di dalam bilik. Hujung minggu ini terasa panjang benar.
 
“Maafkan aku, Abang.” Bisik saya di dalam hati. Ada juga saya menanti panggilan telefon dan mesej daripadanya, tetapi tiada. Barangkali dia terlalu larut dalam kekecewaan. Biarkanlah dia begitu – bisik saya sendiri. Orang dewasa ada perkara yang masih kanak-kanak dalam diri mereka.
 
Besoknya sudah bermula study week.
 
Saya lantas mandi dan solat Isyak, kemudiannya terus berbaring di atas katil. Ketika hampir-hampir saja mata terlelap, mesej pertama masuk.
 
“Kau rasa aku bodoh?” - Abang, 12:45 am.
 
Saya tersengih. Berulang kali saya baca. Abang mungkin baru tersedar dari lena yang panjang. Setelah berfikir-fikir respon yang paling sesuai, saya menjawab:
 
“Aku tak tahu, aku penat. Bagi aku ruang.”
 
Saya terus mematikan telefon bimbit.
 
Esok sudah bermula study week. Seminggu saja lagi sebelum final exam.
































10 December 2012

Dialog Orang Muda (4)

Bahasawanya mungkin takdir selalu berasa cemburu dengan kita. Bahawasanya mungkin takdir selalu bermain dengan perasaan kita.
Sewaktu menuruni tangga ke tanah yang berlecak, dengan hujan yang masih lebat menyiram bumi, dia keluar dari muka pintu.

“Maafkan aku.” katanya, pendek. Mungkin kali pertama saya mendengarnya memohon demikian.
“Aku pergi bukan sebab aku tak maafkan kau.”
“Shikin dah takde!”

“Jadi, apa kaitan dengan aku?” sedikit kejam kata-kata saya. Saya sendiri terkesima.
“Tolong, tolong jangan pergi. Aku dah takde siapa. Tolonglah!”
Saya meletakkan beg di atas anak tangga.
“Apa jadi dekat dia? Kenapa ni? Aku confuse.”
“Dia mesej aku. Keluarga dia bawak dia lari pergi UK!”
“Ah sudah. Tak sempat lagi aku nak tolong dah jadi macam ni. Kau macam mana?”
“Macam mana apa? Aku lagilah bengong!”

“Kejap kejap. Cool brader. Tiap masalah ada penyelesaian. Kau dah call dia? Ke dia nak gurau dengan kau?”

“Dia kata itu last mesej dia. Mak dia nak rampas phone dia. Weh kau kena tolong aku weh! Masaklah aku macam ni!”

“Masak apa? Siapa nak goreng kau? Lepak la dulu. Tenang-tenang. Macam mana aku nak fikir kalau kau dok gelabah?”

“Bak sini barang-barang kau!” Abang turun ke tangga, merampas beg saya, langsung membawanya masuk ke dalam rumah.

“Eh kejap natang. Apa ni?” saya cuba merampas semula, tetapi telefon saya tiba-tiba berdering.
Mesej daripada nombor yang tidak dikenali. Saya menekan butang ‘Read’.
 
“Salam, ni Shikin. Perkara pertama aku nak kau buat lepas dapat mesej ni ialah jangan bagitahu Abang kau dapat mesej ni.
Kedua; aku tahu keadaan Abang sekarang. Aku mohon kau tolong tenangkan dia.
Ketiga; kita perlu berbincang. Bila kau dah online, cari aku dekat google talk.
Keempat, jangan contact aku selagi aku tak contact kau.”
 
Saya terpana. Terpaku.
“ABANG!”
“Apa dia?”
“ABANNGG!”
“APA DIAA?”
“ABAAANNGG!”
“LAHABAU, APA DIA? AKU TENGAH STRESS NI KAU JANGAN MENJERIT BOLEH TAK?!”

Saya lari ke atas rumah semula.

“Kau kata mak Shikin rampas phone dia kan?”
“Haah.”
“Siapa yang kata?”
“Shikin kata!”

“Ok, ok. Sorry sorry. So sekarang apa kita nak buat?”
“Aku tak tahu.” Suaranya merudum semula.
Sah memang Shikin yang menipu.
“Matilah aku.” Abang bersuara perlahan. Dia masuk ke bilik utama; mukanya menunduk memandang lantai - perlahan-lahan menutup pintu.

Pecutan adrenalin menyerbu setiap sel dalam badan saya. Nafas kencang; dada berdegup pantas.
Saya membuka laptop yang disimpan dalam beg.
Cucuk modem broadband. Buka Google talk. SweetShikin22 sedang online.

“SHIKIN! APA NI?”

Saya menembak Shikin laju.

Tiada respon. 5, 10 saat berlalu.
Tiba-tiba: Shikin is typing...

“Abang ada dekat situ?” respon pertama dari Shikin.

Me: “Takde. Dia tengah berkurung”
SweetShikin22: “Kau dah figure out?”
Me: “Apa? Yang kau tipu dia? Kau taknak kahwin dengan dia?”
SweetShikin22: “Well....sekarang kau nak kata aku jahat la?”
Me: “Aku tak faham. Why so sudden? Dah genting baru kau nak berundur? Apa ni Shikin? Kau ingat dia mainan kau ke?”

SweetShikin22: “Jangan hukum aku kalau tak tahu cerita sebenar. Kau takde hak!”
Me: “Apa pulak hak kau nak menipu dia?”
Terasa seperti berbalah. Menjerit muka ke muka. Bersembur air liur, menghentak-hentak meja.
SweetShikin22: “Aku dah lama derita. Kau tahu tak selama aku dengan Abang, banyak kali aku dah makan hati!”
Me: “Ah kau! Sekarang nak komplen! Masa mula couple suka, puas hati! Dapat balak good looking. Kau bangga satu U! Dah puas bercinta banyak pulak nak mengungkit!”
SweetShikin22: “Boleh tak kau cuba dengar cakap aku dulu? OK, memang aku admit antara sebab aku suka dia dulu sebab dia handsome. Good looking. Tapi itu dulu...”

Me: “Kan? So lepas dah puas berbangga, puas kau usung dia ke hulu ke hilir macam trofi, kau nak buang dia bila korang dah nak bernikah? What the hell man?”
SweetShikin22: “Kenapa kau cakap macam aku ni teruk sangat? Takpe, aku memang dah sedia dengar makian kau pun anyways. Aku dah agak kau memang macam ni. Abang pun cakap yang kau ni judgmental! Taknak dengar dulu cakap orang!”

Me: “So sekarang salah aku pulak? Mak aih, sedapnya kau. Kau berjanji, kau mungkiri, salah aku! Kau tahu kan aku ada dengan Abang sekarang ni pun sebab dia nak mintak aku tolong pujuk parents kau suruh terima lamaran dia!”
SweetShikin22: “Aku lebih dari tahu. Sebenarnya parents aku tak halang. Aku yang cakap dekat Abang deorang taknak bermenantukan dia. Aku suggest Abang gunakan kau untuk slow talk dengan parents aku.
SweetShikin22: Sejak kau datang rumah aku dengan Abang dulu actually parents aku lagi suka kau. Kau pandai ambik hati deorang. So aku bagi reason suruh kau yang pujuk mak ayah aku. So bila kau dah ada dengan Abang, aku boleh putuskan hubungan dengan dia dengan lebih selamat. At least aku tahu kau akan lindungi dia daripada buat benda bodoh.”

Me: “WHAT? Semua ni penipuan kau lah kau nak cakap?”

SweetShikin22: “Aku tak kisah kalau kau nak judge aku atau tak. Aku akan taip ni sampai habis bagi kau baca. Aku sayangkan Abang; in fact, aku memang cintakan dia. Tapi pernikahan ni, dia yang paksa. Kau tahu tak betapa mengongkongnya Abang? Semua benda dalam hidup aku dia yang buatkan keputusan. Dia nak lari dari family dia aku pulak yang jadi kambing hitam. Aku muda lagi, aku taknak kahwin lagi!”

SweetShikin22: “Aku sayang Abang. Sangat-sangat. Tapi dia tak bagi aku buat keputusan dalam hubungan kami. Dia kuasa veto. Dia kutuk ayah dia, tapi dia tak sedar dia sendiri tengah evolve ke arah ayah dia. Mengongkong, takde rasional. Aku harap kau faham yang aku buat ni bukan sebab pentingkan diri, tapi aku taknak Abang sakit hati kalau dia tahu aku yang tinggalkan dia. Biarlah dia ingat keluarga aku yang tak kasi. Aku lagi pentingkan perasaan Abang. Kalau aku kena kahwin dengan dia tapi aku tak sudi, lambat laun hubungan kami ke laut jugak. Aku tau aku tak boleh bagi komitmen lagi sekarang ni. Daripada dia terseksa kemudian, baik dia terseksa sekarang.

SweetShikin22: “Dan tujuan aku mintak tolong kau, bukan sebab aku nak kau memahami keputusan aku. Tidak. Aku nak kau tolong memahami Abang. Kau satu-satunya kawan dia. Buat masa ni, Abang lebih perlukan kawan, bukan kekasih. Dia tak tahu lagi apa yang dia nak dalam hidup.”

Me: “Kau kata kau tak selfish? Dah kau humban semua masalah kau dekat aku apa cerita? Kau yang buat dia jadi macam ni, lepas tu aku pulak kena selamatkan? Korang tahu tak korang ni membebankan aku? Aku dah bosan dah dengan korang!”

SweetShikin22: “Kau tau kan apa kesan dia pada Abang? Kau tau kan dia tak boleh handle benda ni baik-baik? Dia perlukan kawan sekarang. Sebab aku tak selfish aku mintak tolong kau. Kalau aku selfish aku biar je dia merana – or worse yet, biar dia bunuh diri. Sepertimana aku merana masa kami couple sampai sekarang; aku boleh kasik dia rasa balik. Sebab aku tak selfish aku hinakan diri cerita benda ni dekat kau supaya kau boleh bantu dia. Kau ingat aku taip nada macam ni aku tak sedih? Kau ingat aku tak pernah menangis bila fikir aku akan kecewakan Abang?”

Me: “Bagi aku, kau tetap selfish.”

SweetShikin22:“Mungkin jugak aku selfish. Mungkin jugak aku lagi pentingkan kebahagiaan aku. Tapi percaya cakap aku; aku akan cintakan Abang sampai bila-bila. Tanya diri kau, kau tahu dalam hati kau yang semua ni salah dia. Dia yang buat keadaan jadi macam ni. Tapi aku tak semata-mata tuduh dia. Kelemahan aku; aku terlalu lemah. Aku terlalu lemah sampai akhir sekali aku tak dapat bezakan apa yang aku nak dengan apa yang Abang nak. Aku mengikut sampai bila aku dah tersedar, semuanya dah terlambat. Keadaan tak boleh dibaiki.

SweetShikin22: Aku ingat dulu bila aku mengikut cakap Abang, hubungan kami akan bahagia. Tapi aku silap. Kalau aku berkeras dengan Abang dulu mungkin hubungan kami masih dapat diselamatkan.
SweetShikin22: Tapi nak buat macam mana. Aku lemah, bodoh. Pentingkan diri. Sebab terlampau nak bersama Abang aku korbankan diri. Aku dengar cakap dia sebijik sebijik.

SweetShikin22: Lastly, aku nak bagitahu kau. Aku nak berhijrah. Aku dah dapat tawaran sambung Master dekat UK. Parents aku support. Mungkin untuk 3 tahun ni aku takkan balik. Aku nak lupakan Abang; walaupun itu mungkin tak boleh berlaku. In fact, aku sekarang dekat KLIA. Aku buat benda ni sekarang sebab kalau kau bagitahu Abang pun, dah terlambat nak kejar aku. Flight aku lagi beberapa jam.

SweetShikin22: Jagakan Abang untuk aku. Tolong dia cari wanita yang lebih layak untuk dia. Dia perlukan seorang wanita; bukan budak perempuan macam aku.”

SweetShikin22: Chow.

SweetShikin22 is now offline.

Geram. Pengakuannya sebentar tadi menyakitkan hati saya. Wajah Shikin dan wajah Abang silih berganti dalam kepala, membangkitkan rasa marah yang amat.

10 November 2012

Dialog Orang Muda (3)

Besok pagi, hujan masih belum reda.
Saya bangun dan menyiapkan sarapan. French toast dengan telur dadar. Air teh o panas.
Dia sedang menonton kartun di TV.
“Abang, aku risau hari ni hujan lagi. Parit depan tu mesti melimpah lagi air. Macam gaya nak banjir.”

“Aku risau jugak ni. Tapi rumah ni tinggi. Tak usah nak heran sangat.”
“Kereta kau?”
“Kereta aku kereta akulah. Nak buat macam mana lagi kalau terkandas.”
“Haritu aku ada baca tau. Kalau kereta kau rosak masa banjir, kau jangan tunggu je. Pergi lari tinggalkan kereta tu. Nyawa lagi penting dari harta benda.”
“Kau ingat aku tak tau?”

“Aku mengingatkan.”
“Kau kuat membebel. Benda mudah tak payah diserabutkan.”
“Mudah apanya kalau kereta rosak! Aku nak balik jugak!”
“Bawak kereta sendiri. Tak boleh ke kalau kau berdikari? Asyik nak bergantung dengan aku je!”
“Celaka kau. Sumpah aku sentap! Apsal kau tiba-tiba nak mengungkit ni? Kau tak payah nak riak sangat dengan kereta kau! Kalau rosak sama jugak kau takde kereta macam aku!”
“Diamlah kau! Membebel je! Aku nak tengok kartun ni tau tak!”

Abang menguatkan bunyi TV. Saya bingkas bangun.
Saya ke dapur. Pinggan berisi French toast saya lemparkan terus ke tong sampah dengan pinggannya sekali. Jag berisi teh o panas saya tuang ke sink.
“Abang, kau nak makan masak sendiri. Berdikari sikit! Jangan asyik harapkan aku!”
Saya naik ke atas rumah, terus ke balkoni. Bermenung.
“Kau buang rezeki? Apa keji punya perangai?”

“Buang rezeki salah? Kau buat orang kecik hati tak keji?”
“Kau hati busuk! Cakap sikit nak terasa. Blah ah kau! Baik kau kawan dengan lembu kalau nak terasa sangat!”
“Aku kawan dengan kau pun macam kawan dengan lembu. Eh silap. Kau lagi teruk dari lembu. Kurang-kurangnya lembu pandai menghargai sahabat.”
“Dah tu sesuailah kau kawan dengan lembu. Sikit-sikit tacing. Sikit-sikit tacing!”
Abang mendengus. Saya menung di tangga; marah.
“Aku dah penat dah macam ni. Boleh tak sehari kita tak gaduh?” Dia tiba-tiba bersuara semula.
“Aku ingat lembu tak pandai bercakap.”

“Tolonglah faham. Aku tengah risau sekarang ni...”
“Berani buat berani tanggung Bang. Nak jadi suami orang tak boleh bacul.”
“Kau cakap semua mudah. Bagi kau pengalaman kau superior dari pengalaman orang lain! Idea kau lagi hebat! Bila orang lain tak sehebat kau kau jadi judgmental!”
“Ada aku cakap macam tu ke? Takde kan? Apesal pulak kau nak misquote aku ni?”
“Aku cakap kebenaran. Dah kau memang macam tu!”

“Kalau aku macam tu buat apa kau nak kawan dengan aku lagi? Putus kawan la, senang!”
“Mulut kau lancang kau tau tak.”
“Kalau tak lancang aku jadi hamba makian kau jelah. Kalau kau melancang takpe pulak!”
“Sudahlah kau!”
Abang diam semula.
“Aku mintak maaf, Bang. Aku nak balik!”
“Apa lagi kau ni?”

Saya masuk ke dalam bilik, melipat baju. Mengemas barang-barang.
“Hari hujan lagi. Nanti aku hantarlah kau! Banjir kot dekat luar!”
“Aku kena berdikari. Sampai lagi nak mengharap dekat kau?”
“Tengok! Nak tacing lagi! Ikut suka kaulah. Kalau apa-apa jadi jangan cari aku!”
“Jadi apa-apa dekat aku kau risau apa? Aku tak tulis pun nama kau dalam wasiat aku!”
Diam. Diam yang menjanggalkan.

“Aku kadang-kadang rasa nak beralah. Ada benda tak kena Bang.”
“Aku tak salahkan kau.”
“Aku pun tak salahkan kau. Mungkin waktu ni lagi baik kau duduk sorang-sorang. Kau fikir baik buruk tindakan kau. Aku rasa tak adil kau babitkan aku dalam kemarahan kau. Aku bukan punch bag kau. Aku pun ada perasaan sendiri, ada benda nak fikir. Hidup aku bukan nak mengabdi diri dekat konflik keluarga kau.”

Dia senyap. Meminta maaf bukan perkara yang akan dilakukannya.
“Abang, kadang-kadang kau kena fikir betul-betul. Kau hidup ni untuk apa? Benda-benda ni bukan macam main tuju tin; habis main kau balik rumah, mandi, makan. Benda ni berlanjutan sampai kau mati Bang. Kau tak boleh libatkan orang lain dalam masalah kau. Kadang-kadang kau kena buat keputusan sendiri.”
“Dah puas dah kau cakap? Hah? Dah puas? Dah puas nak kutuk aku?”

“Belum. Kenapa setiap kali aku bagi nasihat kau rasa terancam? Kenapa kau tak boleh terima?”
Dia merenung saya; setajam-tajamnya. Rasa tidak puas hati melimpah dari sinaran matanya.
“Maafkan aku, tapi dari sekarang kau kena jalan sendiri. Aku dah tak terlibat.” Saya berkata, sebaik saja memasukkan helaian terakhir pakaian ke dalam beg.
“Pergilah! Aku tak peduli!”

Bunyi telefonnya berdering tiba-tiba. Abang lari ke dalam bilik – menghempas pintu.
Saya menghela nafas yang berat.
 
*bersambung….
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter