“Kau pernah janji dengan aku, nak backpacking sama-sama pergi Filipina. Kau
kata nak travel satu dunia lepas habis Master, suruh aku kumpul duit.”
“Kadang-kadang yang kita plan tu tak mungkin kita dapat.”
“Sampai hati kau Abang, hancurkan harapan aku.”
Abang tidak mempertahankan dirinya, mungkin mengakui salah.
“Abang, kalau apa-apa jadi, sebelum apa-apa jadi, supaya aku tak menyesal kemudian
hari, aku just nak bagitahu kau yang aku sangat sayang dan hormati kau sebagai
kawan aku. Dan aku rasa, banyak benda kita akan achieve kalau kau dan aku
bekerjasama.”
Abang diam cuma, tapi bibirnya mula mengukir senyum.
“Aku rasa kau dan aku, banyak benda yang kita boleh terokai sama. Kau,
banyak memberikan aku idea.” Abang pula menjawab.
“Tapi Bang, the thing with idea is. Kita ada idea, tapi selagimana kita
tidak bergerak untuk merealisasikan idea kita, idea tinggal idea. Aku tak mahu
jadi sesuatu yang akan ditelan lipatan sejarah. Aku ingin menjadi sesuatu yang
dikenang sejarah, satu milestone dalam peradaban dunia, bilamana orang akan
menyebut zaman aku hidup sebagai Zaman Nama-Aku, seperti orang menyebut Zaman
Victoria, bermakna aku telah mencapai sesuatu. Dan itu, aku yakin pada kau. Aku
yakin pada kita. Aku yakin, jiwa kita boleh meledakkan dunia. Kita ada idea.”
“Kadang-kadang, idea gila kau buat aku rasa takut.” Sahut Abang.
“Kau cuma takut pada sesuatu yang besar, sebab sesuatu yang besar kau tak
boleh cerna. Dari segi harfiahnya dan dari segi pemikirannya. Dari segi
rohaninya. Tapi bila kau bekerja sedikit demi sedikit untuk merealisasikan idea
kau, kau akan sedar hakikat ketika itu, bahawa seluruh dunia sudah tunduk pada
kau. Padahal kau cuma menggapai mimpi sendiri tanpa kau terfikir nak menakluk
dunia.”
“Aku takut kalau suatu hari nanti, kau dengan aku dah kena berpisah, aku
tak tahu macam mana aku nak hidup bersendirian. Mesti rasa sedih. Pelik.” Saya
menyambung pendapat saya.
“Kadang-kadang, kau kena tahu semua orang bertemu kena berpisah. Kau tahu
hadis Nabi yang kata ‘Sayangilah sesiapa yang kau sayangi, tapi ingatlah satu
hari nanti kau akan berpisah dengannya’.”
Abang memberi respon, tiada anjak
dalam nada suaranya. Barangkali Abang terlebih dahulu memahami hakikat
perpisahan sebelum saya.
Saya terdiam, mendengar dengan takjub. Dalam kata-kata Abang terkandung
suatu makna yang mendalam, tentang erti pertemuan.
“Abang, kau tahu, Rumi kata untuk melihat wajah TuhanMu, maka lihatlah
wajah sahabatmu. Dan dalam wajah kau Abang, aku melihat kasih sayang Tuhan
kepada aku.”
Abang pula yang terdiam, barangkali cuba mencerna kata-kata yang saya
ucapkan.
“Aku melihat bagaimana Tuhan menghantarkan kau kepada aku untuk mengajar
aku pelbagai benda. Tuhan kirimkan kau kepada aku untuk menghapuskan kesunyian,
untuk mendampingi aku, untuk membetulkan kesilapan-kesilapan aku. Dan daripada
tu, aku belajar bahawa kasih sayang Tuhan itu datangnya dalam pelbagai bentuk,
termasuklah dalam bentuk persaudaraan, persahabatan – kau.”
Abang hanya terdiam, mungkin terpesona mendengar.
“Hidup kita ni singkat Abang, dan dalam kehidupan kita, secara asasnya,
sepaling-paling asasnya, kita cuma dibenarkan untuk memilih satu daripada dua
benda, iaitu ‘live our dream’ atau ‘live somebody else’s dream’. Kau hidup
setiap hari samaada kau memilih untuk merealisasikan mimpi kau sendiri, atau
kau sebenarnya sebuah watak sampingan dalam sebuah filem yang kau bukan
heronya.”
“Dan mimpi aku sebenarnya teringin
nak jadi penulis. Aku nak menulis tentang semua benda yang aku pelajari, semua
benda yang aku jumpa dalam dunia. Semua benda yang aku alami, supaya bila aku
membaca tulisan aku semula, aku akan ingat sejarah aku, kisah aku.” Saya mula
bercerita kepada Abang, tanpa ditanya.
“Amy Tan kata, kalau nak jadi penulis, kau kena jujur dengan
perkara-perkara yang kau rasa malu untuk kau akui even pada diri kau sendiri. Dan paling aku malu nak akui pada diri
aku Abang, adalah betapa aku menghargai kau. Betapa aku sayang kau. Dan aku
rasa, itu yang akan kutulis.”
“Dan dalam baris-baris tulisan-tulisan yang aku tuliskan tentang kau,
dengan sejujur-jujur, aku bertemu semula kau, sahabat aku. Aku bertemu semula
erti-erti hidup, aku bertemu kisah-kisah yang menjadi tiang-tiang yang
menegakkan aku sebagai seorang manusia, dan aku belajar erti pertemuan dan
kehilangan. Aku nak diabadikan dalam tulisan.”
“Dan aku berjanji dengan kau Abang, selagimana aku mengejar keabadian, aku
akan membawa kau sekali dengan aku, aku akan pastikan kau dan aku mendapat
keabadian. Dalam tulisan-tulisan aku, aku nak orang temukan kau dan aku
sepertimana kita masih bersama. Aku nak kita sentiasa hidup – walau dalam
tulisan.”
Kami berdua terdiam lama, meresap perlahan-lahan ayat-ayat jujur yang
bergantungan di atmosfera yang baru kami sama ungkapkan.
“Kau
tahu, orang yang kagum pada diri sendiri, berfikir bahawa mereka boleh mengubah
dunia, tapi instead of mengubah dunia, mereka menghabiskan masa mereka
memikirkan, mengagumi, dan membayangkan kemampuan mereka mengubah dunia itu
sendiri, menanti peluang tiba untuk orang seistimewa mereka, sehingga akhirnya
mereka tidak dapat melakukan apa-apa. Dan aku tidak mahu menjadi orang-orang
seperti itu, aku ingin menulis, supaya aku boleh menjadi sesuatu yang mengubah.
Dan aku ingin penulisan aku dibaca, dihayati dan difahami, dan sekiranya mereka
tertanya-tanya tujuan aku menulis, sekurang-kurangnya aku mampu mengajar mereka
sesuatu dengan ceritaku, tentang diri aku, tentang persahabatan, tentang kau,
tentang masa depan, dan yang lebih penting lagi, idea-idea.”
Kalau saya tahu itu antara kali terakhir kami akan berbual panjang, hati ke
hati, mungkin saya berharap pada waktu itu, siang takkan muncul. Supaya kami
boleh berbicara panjang lagi, sepanjang-panjang malam, mencari definisi hidup
kami – menghargai, dan ada kalanya bercakar dan berhujah. Tapi manusia, kita
tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.
Begitulah juga pada malam itu, kami yang tidak tahu betapa pentingnya
perbualan pada malam itu, terus tidak sedarkan diri, tidur ke subuh selesai
sahaja berbicara.
No comments:
Write curses