Showing posts with label Short story. Show all posts
Showing posts with label Short story. Show all posts

22 March 2016

Bicara-bicara Lindap


“Tidak ada yang adil dalam dunia ini, Neng.”

“Kau fikir kau bicara begini, kau dapat mengubah apa-apa?”

“Keadilan itu bermakna aku dapat bersamamu bila-bila masa aku mahu. Adil untuk mencinta sesiapa yang aku mahu.”

“Kau fikir aku tidak mahu bersamamu?”

“Tidak sekuat keinginanku untuk bersamamu, Neng.”

“Tiap titisan air mataku yang berderai dalam ingatanku kepadamu, dan masih kau tidak berfikir cintaku sedalam cintamu. Kau angkuh.”

“Kau lebih angkuh.”

"Aku takut. Aku terlalu takut."



14 February 2016

Di Lantai Tari, Dinihari 14 Febuari



Lampu-lampu berwarna warni dari sudut-sudut tajam siling bersilang-silang ke lantai tari. Dua biji bola disko warna perak bergantungan, berputar dengan tempo sendiri di atas lantai tari. Metafora. Lantai tari setinggi 6 meter berdindingkan kaca yang menjulang tinggi sehingga ke aras bumbung menjadi denyut jantung malam ini. Nafas-nafas panas yang berhembus menambah cemar kepekatan udara yang berasap; berwap. 

Pengunjung menari mengikut irama rentak tekno – bunyi bass menyentak-nyentak denyut jantung. Malam ini malam Hari Kekasih – masing-masing ingin pulang tidak bersendiri. Setiap gerak tari, libasan tangan, hayunan kaki, goyang pinggul, lirikan mata menuansakan innuendo keinginan untuk berasmara. 

Di aras bumbung, bar kecil dibuka untuk pengunjung yang mahu lari dari lantai tari untuk sembang kasual, berbual dengan lebih mendalam. Pengunjung yang bertemu mengucup pipi untuk yang telah lama berkenalan, dan untuk baru berkenalan pipi dilaga, punat kamera ditekan. 

Dia sedang duduk di atas sofa di aras bumbung yang boleh melihat puncak 2 menara KLCC dengan jelas. Hiasan di sini minimal, membangkitkan suasana santai. Tapi bunyi dari lantai tari menafikan ketenangan untuk wujud dalam ruang itu. Dia memerhatikan suasana sekeliling, masih dalam ketakutan memasuki satu arena yang bukan forte – asing. 

“Jomlah menari!” rakan-rakannya mengajaknya ke lantai tari, separa menjerit.
“Come on, tak payah takut. Kita sama-sama kita je.” Rakannya yang paling tua memujuk.
Mereka turun beratur ke lantai tari dari aras bumbung berempat. 

Dia sebenarnya tidak mahu ke sini, tapi kerana ajakan dari rakan-rakannya, dia akur. Dia ingin belajar sesuatu – belajar tentang manusia, tentang kehidupan, pujuknya kepada hatinya yang memberontak benci. 

“Kau ingin menulis tentang kehidupan. Maka kau perlu melihat. Kau perlu merasa.”

Dari tangga mereka ke lantai tari yang padat dengan manusia. 

“Ridiculous.” Dia menyumpah dalam hati sendiri. Dia berdoa kepada Tuhan hanya 2 benda pada malam ini; satu, jangan 999 datang menyerbu tempat ini dan wajahnya keluar di kaca TV, kedua, jangan ada sesiapa yang dikenalinya pada malam ini di sini. 

Mereka mengambil sudut di tepi pentas, tangan dan kaki mula digerakkan mengikut irama muzik. Lagu Bad Blood dendangan Taylor Swift yang diremixkan menjadi lagu tari rancak menjadi bunyi latar. Pengunjung semakin menggila, gerakan badan membawa tubuh mereka bergesel dengan pengunjung lain.

Dia bergoyang sama dalam kumpulan mereka, kali pertama dia merasa sedikit lega, senyuman kemudiannya menjadi ketawa ketika dia menari mengikut kemahuan hati. 

Rakan-rakannya turut sama tergelak, merasa kebodohan dalam rentak tari mereka. Mereka datang hanya untuk berhibur – tekan mereka ketika ingin meyakinkan diri masing-masing mereka tidak akan membuat perkara yang tidak elok di sini. 

Sedang mereka sedang berdansa, pengunjung lain cuba memujuk mereka menari bersama dengan lenggok bahasa tubuh, tapi mereka menolak. Dia yakin perasaannya yang semakin tenang dalam keadaan yang semakin rancak menuju dinihari adalah disebabkan sesuatu di dalam udara; satu bahan yang memperlahankan debar jantung dalam wap-wap putih menjulang ke bola disko di siling. Atau, kedua, fikirnya secara ilham yang muncul sebagai epiphany, mungkin secara naturalnya dia merasakan dia sudah beradaptasi dengan suasana sekeliling. Manusia, fikirnya – mampu untuk merubah diri untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. 

Dia beristighfar sambil masih menari. Mengagumi ambivalens yang wujud sebagai oksimoron dalam hatinya, dia berjanji dia tidak akan hilang, tidak akan larut ke dalam atmosfera lantai tari. Dia tidak akan hilang dirinya sungguh berapa galak dia menari. 

Lantai tari rancak dengan lagu Beautiful Liar nyanyian Beyonce dan Shakira. 50 sentimeter di depannya, kali pertama depan matanya tanpa sebarang hadang dia melihat 2 manusia bercumbu – mulut ke mulut. Matanya dialih, di atas pentas tari seorang pengunjung tidak berbaju – sudah memperlihatkan tubuhnya sambil pinggulnya diasak-asak ke penari di depannya, tubuh dan tubuh bersentuh. 

Gerakan tariannya terus dihenti. 

Dia memohon untuk keluar ke bar, menebus kupon yang diterima selepas membayar caj kepala ketika memasuki tempat itu awal-awalnya. Vodka, gin, beer, spirit bersusun di depan mata dalam satu baris di atas bar. Dia memohon setin Red Bull, bartender lantas menuang ke dalam cawan yang berisi ais dan sepotong lemon.

Sambil menghirup Red Bull dari straw, dia mendengar perbualan dari orang sekeliling.

Jepun, Eropah, Thailand – dia memprofail manusia di sekelilingnya daripada perbualan mereka. Dia menghela nafas berat, dia tidak takut lagi. 

Seorang lelaki tidak dikenali memakai jubah berserban tiba-tiba muncul di depannya, menyusup lalu manusia dari lantai tari. Wajahnya putih bersih, tiada parut jerawat. Wow, beraninya pakai kostum macam ni dekat sini – fikirnya pada diri sendiri. 

“Assalamualaikum, saya cari awak tadi.” Lelaki berjubah serban tiba-tiba memulakan bicara. Dia memandang ke belakang, berfikir mungkin lelaki berserban berbicara dengan orang lain. Tapi tiada.

“Awak cakap dengan saya ke?”

Lelaki berserban mengangguk.

Dia tersenyum. “Waalaikummusalam. Kenapa cari saya?”

“Kenapa awak datang sini?” tanya lelaki berserban. “Saya ditugaskan malam ini untuk bertemu awak.” Sambung lelaki berserban.

“Awak bukan datang sini nak menari? Nak berhibur? By the way, berani awak pakai macam ni.” Dia menjawab kepada lelaki berserban. 

“Jangan risau pasal saya. Saya nak jumpa awak malam ni. Kenapa awak datang sini malam ni?”

Bunyi bingit dari lantai tari kedengaran perlahan dalam selang bicara lelaki berserban.

“Saya datang, nak tengok-tengok.” 

“Hati awak, macam keping-keping kelopak-kelopak bunga. Semakin awak biasa ke tempat macam ni, awak bersetuju dengan apa yang awak lihat dan rasa, satu kelopak akan terbukak, terkopak, koyak. Semakin nipis lapisan-lapisan kelopak hati awak semakin awak hanyut, awak hilang rasa hormat pada diri awak. Semakin awak jauh dari kebaikan.”

“Kenapa awak tahu ni?”

Lelaki berserban tidak menjawab. Lelaki berserban melakukan pusingan mengelilinginya, sambil berzikir. Setiap kali satu pusingan lengkap, lelaki berserban mengucapkan Assamualaikum kepadanya. Dia menjawab, sehingga pusingan keenam. 

Dia terdengar suara-suara rakannya, memanggilnya. 

“Awak ada 2 pilihan sekarang. Awak biarkan saya kelilingi awak satu pusingan lagi, awak akan saya bawa pergi mengikut saya. Jawab panggilan kawan awak, dan awak akan kembali kepada mereka. Sekarang pilih.”

Dia merasa kaget. Dia tidak pasti apa sebenarnya yang lelaki berserban maksudkan, tapi dia tahu dia mesti membuat pilihan.

“Saya nak awak kelilingi saya sekali lagi.”

Lelaki berserban senyum, kemudian mengelilinya buat kali ketujuh, selesai pusingan ketujuh lelaki berserban berhenti. Sebaik habis lelaki berserban mengelilinya, suasana gelap gelita. Cawan di tangannya hilang entah ke mana. Dia terdengar sekali lagi kawannya memanggilnya.

“Saya bagi awak buat pilihan kali kedua.”
“Saya pilih awak.”
“Jawab salam saya, Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam.”

Dia hilang kesedaran.

Keesokannya, 14 Febuari 2016. Portal berita atas talian melaporkan seorang pengunjung kelab malam disahkan meninggal dunia di sebuah kelab malam terkemuka di Kuala Lumpur, dipercayai akibat kelebihan dos dadah jenis ecstasy. Dipercayai dadah tersebut diletakkan dalam minumannya oleh individu yang tidak dikenali. Si mati ditemani 3 orang kawannya untuk berhibur pada malam itu dilaporkan tidak sedarkan diri setelah menari selama berjam-jam di lantai tari setelah mengambil dadah tersebut dan setelah usaha untuk mengembalikannya gagal, paramedik mengesahkan dia meninggal dunia pada pukul 2:45 pagi.

Rakan-rakannya menjerit memanggil-manggil namanya beberapa kali, tetapi tiada jawapan. 

11 December 2015

Big Boys Don't Cry

Petang hening Isnin, deruan dingin angin dari fan coil unit menghembus ke muka. Jemarinya masih mengetik-ngetik papan kekunci, sebekas kole kaca di sisi dengan sedikit cecair koko masih berbaki - semua haba sudah terbebas kini airnya sudah dingin. Dia tidak gemar menjamah makanan dan minuman yang sudah sejuk, melainkan jika sifat semulajadi makanan dan minuman itu sejuk.

Kaca mata yang memisah di antara mata dan skrin sedikit bersilau menyambut cahaya dari monitor.

Beberapa kali butang menekan backspace bila bertemu kesilapan. Matanya sesekali dikalih ke jam di dinding – pukul 5.40 petang, lewat 10 minit dari tamat waktu bekerja.

Setelah ilhamnya bertemu kebuntuan, tangannya dikepal menjadi penumbuk. Meja di depan menjadi mangsa.“Bodoh!” pekik hatinya sambil menumbuk permukaan meja dengan kedua-dua belah tangan.

Dia sedar dia hanya memaki diri sendiri, tapi dia perlu melepaskan kemarahan. Penumbuknya dilepaskan, tangan mencapai kole berbaki sejatan koko. Dia ke pantry ingin berehat sebentar.

Anita sedang membancuh kopi di kaunter pantry.

“Hey Anita, belum pulang?”

Anita berpaling sekilas, tersenyum.

“Hey honey. Belum lagi. Ada kerja sikit.”

Anita gemar memanggil kenalannya dengan nama-nama yang manis. Honey, dear, sayang, gorgeous, handsome. Anita ketua penulis Bahasa Inggeris di pejabat media atas talian mereka, berusia 33 tahun, masih bujang.

“You tak pulang lagi, kenapa?”

“Sama macam you. Ada kerja sikit.”

Dia ke sinki, membasuh kolenya.

Anita sudah siap membancuh kopi.

“Dear, I pergi dulu. Ada kerja. I catch you later, okay?”

Anita terus meninggalkannya, dengan senyuman manis.

Dia meletakkan kolenya di mesin pembancuh kopi dan menekan butang ‘White Coffee’ di panel mesin. Mesin pembancuh mula berbunyi. Dari hujung saluran mesin mula terkeluar air panas, kemudian serbuk-serbuk kopi, serbuk krimer dan akhir sekali larutan glukosa menggelongsor ke dalam kole. Dia sebetulnya bukan penggemar kopi, tapi kadang-kadang kaffein satu-satunya pemangkin yang mampu menggerakkan dirinya untuk bekerja, terutama pada waktu-waktu dia bertemu kebuntuan.

Dia mencapai sudu plastik di dalam rak, lalu membancuh larutan di dalam kolenya, memastikan semua campuran tadi teradun sebati.

Sambil berjalan meninggalkan pantry, tangannya sempat mengagau biskut wholemeal bebas garam di dalam tin.

Dia berjalan dengan fikiran kosong sambil mengunyah biskut.

Kerjanya masih banyak yang belum selesai, cut off date semakin menghampiri.

Dia kembali ke mejanya, kembali menghadap skrin. Dia mengeluh – kemudian menghela nafas yang berat.

Sudah 6 bulan dia di sini, tapi prospek kerjaya masih pudar. Dia mengenang mengingat kembali zaman sebelum tiba di sini, mengejar impian. Belum sempat kenangannya dicakar jauh ke dalam, telefonnya berbunyi. Korus ‘Rain of Castamere’ bermain. Gambar ibunya terpampang di skrin. Jarinya pantas menekan butang di Gorilla glass.

“Hai ibu!”

“Assalamualaikum anak ibu! Apa cerita?”

“Waalaikummusaalam bu. Sihat-sihat sahaja. Kenapa bu?”

“Ni along, kamu pulang tidak hujung minggu nanti? Ayah kamu hendak berjalan makan angin.”

"Berjalan makan angin ke mana bu? Bukan itu hari dah makan angin ke?”

“Tahulah ayah. Dia bosan duduk rumah. Bukannya tak kenal ayah kamu. Semalam diajaknya ibu pergi petik buah betik dengan ulam dekat dusun Pak Cik Mail, lepas tu cari ikan sungai, suruh ibu buat gulai tempoyak dengan sambal belacan makan dengan ulam. Bising ayah kamu kata ibu pemalas asyik duduk rumah. Bukan tak tahu, Pak Cik Mail bukan suka asyik datang rumah dia mintak macam-macam dekat dusun. Pokok betik tu buah pertama pulak tu. Ayah kamu bukan tahu malu.”

Sambil ibunya bercerita, dia menelek-nelek kalendar. Hari Sabtu dan Ahad ibunya menyuruh pulang, hari Isnin cut off date.

Ibunya menyambung cerita.

“Ayah bukan nampak sangat tu bawak kereta. Kejap ke tengah, kejap ke tepi. Kereta potong semua tengok. Hari tu dah kena hon berapa kali.”

“Ibu, minggu ni macam tak dapat balik. Sebab Isnin minggu depan dah cut off date. Kena siap semua kerja”

Ibunya terdiam terus di hujung talian. Takut perbualannya berhenti, dia memujuk lekas.

“Tapi lepas minggu depan orang free tahu ibu. Kalau minggu depan orang boleh balik.”

“Kerja sampai mati pun kamu tak kaya-kaya jugak. Ikut kamulah.”

Ibunya bernada perlahan mengandung kecewa, kontras daripada nada cerianya baru beberapa saat yang lalu.

“bukan tak mahu, bu. Tapi ibu tahulah...”

“Ya Along. Ibu tahu. Kamu dekat mana tu? Dekat pejabat lagi ke?”

Ibunya juga lekas mengalih topik. Keluarganya memang begitu, enggan berlama-lama dalam suasana janggal.

“Haah dekat pejabat lagi, bu. Kejap lagi baliklah.”

“Jaga kesihatan tahu. Jangan kerja lewat-lewat. Ibu nak keluar kejap ni pergi pasar malam.”

“Ibu pergi dengan ayah berdua ke?”

“Jadi?”

Nada suara ibunya mengejek di hujung talian, kemudian disertai dengan bunyi tawa.

“Sudah biasa Along, tua-tua ni makin romantik. Asyik berdating berdua. Kamu tu je entah bila nak berdua.”

“Ibu ni!”

Ibunya mengekek ketawa.

“Baiklah along. Ibu nak keluar dah ni.”

“Baik bu. Kirim salam pada ayah. Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam.”

Sebelum sempat ibunya mematikan panggilan, terdengar suara ayahnya di hujung talian.

“Dia kata apa?” tanya ayahnya dengan nada ingin tahu.

Panggilan terputus. Hatinya rasa bagai ditampar. Kaca mata ditanggal, kalendar dicampak ke tepi. Dia termenung kembali menghadap skrin, air mata berlinang.

Hey, lelaki tak menangis – bisik hati kecilnya.

17 September 2015

Malam Langit Permata

19 September 2015

Malamnya di dalam hutan belantara. Keadaan sekeliling gelap, cuma ditemani cahaya kosmik dari angkasa. Ketika itu saya belum memandang punca cahayanya secara terus, jikalau tidak nescaya sudah terlihat keindahannya; malahan dari pantulannya di atas bumi sahaja menerangkan suasana sehingga boleh terlihat samar-samar walaupun ditengah kegelapan hutan.  

Kami duduk di atas kerusi yang disusun menghadap layar putih berlantaikan tanah, berdindingkan udara panas hutan, berbumbung angkasaraya mengikut ambilan masing-masing. Pelajar ambilan 2000, 2001, dan 2002 disusun secara berkelompok. Suasana diam, hanya hingar bunyi serangga hutan; tiada perbualan yang tercetus walaupun kami sudah tidak bertemu lebih sepuluh tahun. 

Dalam hutan ini, kami semua kembali remaja. 

Saya mencari-cari kawan daripada batch yang sama, sehingga beberapa kali beralih tempat duduk. Tapi suasana yang tidak begitu cerah menyukarkan saya mencari mereka. 

Malam ini akan berlangsungnya upacara yang penting, gilang-gemilang. Seluruh planet sedang berkumpul untuk upacara malam ini, tetapi saya ingat-ingat lupa agendanya kerana untuk saya pula, ada upacara lain yang lebih penting. Malam ini Malam Langit Permata.  

Setiap cahaya sintetik dari lampu neon dan kalimantang akan dimatikan berperingkat pada malam ini untuk seluruh dunia menikmati langit malam dan cahaya bintang pada akhir malamnya. Dan kalau berjaya, lintasan meteor juga dapat diperhatikan. 

Sedang saya mencari rakan-rakan ambilan 2002, saya menerima mesej di whatsapp.

Gambar seorang lelaki dan wanita yang bergambar di hadapan banner bertulis “Majlis Perkahwinan Az dan Nisah” yang digantung di hadapan sebuah kedai. 

“Kau tolong nasihat sikit kawan kau ni.” Tulis mesej itu. Di dalam gambar, pengantin lelaki yang namanya ditulis di dalam banner bergambar dengan perempuan yang bukan bakal pengantinnya. Darah terasa berderau. Banner itu pula bukan tempatnya di situ. Tempatnya sepatutnya di majlis perkahwinannya.  

Terus saya berjalan meninggalkan kem kami, menelusuri denai kecil di tengah hutan ke arah lokasi gambar dalam telefon diambil tanpa toleh-toleh. Ketika itulah, saya terpandang langit. Langkah terhenti serta merta. Nafas sesak.

Ya Allah, cantiknya! Setiap butir bintang – berjuta-juta terlihat jelas, dengan setiap kerdipan berbeza warnanya. Ada yang kuning terang, jingga, putih, hijau malah magenta. Ada yang besar dan ada yang kecil. Dan cahaya biru ungu bimasakti seakan-akan awan yang melindungi bintang-bintang tersebut, dengan sedikit percikan cahaya warna merah. Beberapa biji meteor terbang melintasi langit malam, menambahkan seri malam langit permata. 

Walaupun masih ada lampu yang belum dipadamkan, langit sudah menjadi terlalu indah. Bayangkan kalau semua lampu di mukabumi sudah dipadamkan – saya terfikir sendiri. 

Malam ini, saya punya agenda sendiri. 

Kaki dihayun kencang. Saya tiba di kedainya hampir sekelip mata, masih teruja dengan keajaiban alam di luar. Ketika saya bertemu dengannya, dia sedang menggulung banner masuk ke dalam beg sandang. Tanpa perlu saya menegurnya, dari wajahnya saya tahu ada orang lain yang telah menegurnya dahulu, lalu mengganggu perasaannya.  

Yani, gadis yang bukan bakal pengantinnya cepat-cepat pulang ketika saya tiba, mengelak sebarang perbualan. 

Saya berdiri di belakangnya semasa dia mengemas.

Dia berpaling, dalam baju kemeja warna ungu berbelang seperti kali terakhir kami bertemu di majlis perkahwinan Ikram. Baju yang sama.

“Em?”
“Em.”

Tanpa perlu berbicara, bunyi sepatah yang bertukar di antara kami memancarkan perasaan. Saya telah mengerti apa yang terjadi dan dia mengerti kenapa saya hadir.

Malam ini kami telah berjanji untuk menyaksikan malam langit permata di atas puncak gunung di pinggir Central Park. 

Kami berjalan bersama, mungkin buat kali yang terakhirnya. Pada malam terakhirnya sebelum berkahwin, dia telah berjanji untuk berjalan dengan saya kali yang penghabisan. Mungkin, selepas ini – kami berdua sedari, kami tidak akan seakrab dulu. 

Kami menelusuri kaki gunung Central Park, di pinggirnya sebuah tasik dipagar batu-batuan besar yang tambah cemerlang di bawah sinaran sejuta bintang. Keindahannya bagai fantasi – mimpi yang tidak boleh ditandingi. Pada sebelah kiri kami, pohon-pohon hutan yang kelihatan penuh misteri dalam kegelapan dan bayang-bayang malam. Di hadapan kami, pendakian ke puncak, bintang-bintang terus bersinar. 

Sewaktu kaki kami melangkah semakin tinggi ke puncak, terdengar ketukan gendang dengan nyanyian yang asyik sayup-sayup di pinggir tasik. Semua orang nampaknya mempunyai cara mereka tersendiri meraikan malam gilang gemilang ini.

Kami tiba ke puncak dengan perasaan takjub. Semua lampu di mukabumi sudahpun terpadam, yang kini tinggal hanya cahaya alam. Pada langit permata, sejuta bintang berkerdipan. Semuanya tidak bersempadan, ke mana saja mata memandang, setiap sudut akan diekori cahaya bintang. Saya tidak pernah menyangka keindahan alam sebegini mengasyikkan. 

“Kau nampak tak tiga bintang menghala kiblat? Itulah 3 bintang yang membentuk pinggang Sagittarius, buruj aku.” Saya bertanya kepadanya beberapa bulan yang dahulu sewaktu kami berjalan pulang ke kolej sewaktu seluruh UPM bergelap. 

“Yeke?”
“Haah”

“Kau pernah tengok, in real life, langit macam dalam gambar dekat internet? Yang nampak bintang terang, yang ada nebula macam ada awan dekat bintang?” tanyanya pula. 

“Tak pernah.”

“Aku pernah tengok sekali. Dalam hutan waktu camping.”

“Cantik tak? Sebijik dalam internet tu ke?”

“Cantik. GILA! Sebijik!” bersemangat dia menjawab. 

“Aku teringin sekali nak tengok.” Kata saya. Sedikit cemburu. 

Malam ini, setelah seribu malam kami berbicara tentang Malam Langit Permata, akhirnya kami berdua menyaksikannya bersama. 

Kami turun semula ke kaki gunung Central Park ketika semua bunyi-bunyian telahpun mati, hanya tinggal cahaya beberapa jam sebelum sinar mentari pagi menjengah. 

Bersama pagi, pada fikiran saya – akan datangnya perpisahan. 

Kami berdua duduk di bangku depan kedainya, saling menghadap – bersemuka. Setelah menjadi saksi malam yang bersejarah ini, kami tidak mampu lagi melelapkan mata, malah belum mampu merasa letih. 

Kali yang penghabisan ini, setelah semua kata-kata dizahirkan antara kami pada hari-hari sebelum malam ini menjengah, kami menghabiskan jam-jam terakhir ini dengan sunyi.

Tiada satupun perkataan yang mampu keluar dari bibir, tetapi kesunyian ini memberikan kami ketenangan untuk mengenang kembali kata-kata yang pernah terucap. Tentang mimpi yang bakal berakhir, harapan yang semakin suntuk di hujung masa. 

Kami berdua meresap kesepian dinihari dengan sayu. Dia memandang saya dengan simpati, masih sukar menerima hakikat dia terlebih dahulu akan meninggalkan. Saya memandangnya dengan hati yang tersayat ngilu, pedih mengenang kesunyian setelah dia pergi nanti.

“Aku dah nak kahwin.” Katanya pada beberapa hari yang lalu. 

Bila dituturkan seperti itu, kedengarannya seperti mudah. Seperti air mengalir. Licin, laju, dan terus.

Dia tidak memaksa, tetapi saya tahu dia menantikan reaksi.

“Kahwinlah.” Jawab saya mudah, tidak mahu konfrontasi. Seneutral yang boleh.

“Kau takde girlfriend ke?” pertanyaannya yang tiba-tiba menjengah tanpa mengikut arah nada pertanyaan sebelumnya, tidak memaksa, tetapi mahukan penjelasan. Dia mahu mengetahui sejauh mana saya telah bersedia untuk kehilangannya.  

“Entah. Aku tak berminat” 

Dalam masa dia menelusuri masa depan, dia sempat khuatir kepada saya yang bakal ditinggalkan. Mungkin fitrahnya begitu, selalu merisau-risaukan sahabatnya. 

“Aku tak rasa nak bercinta.” Saya menjawab sejujurnya.

“Kau tak rasa ke macam kau perlukan pendamping, nak menemani hidup kau?”

“Apa, kau tak cukup ke sebagai kawan aku?” 

“Bukan maksud macam tu.”

Dia mengakhiri kata-katanya, tanpa menjelaskan.

Tiba pada jam ini, segala kata-kata yang masih bergantungan, sudah tidak bererti untuk bertemu jawapan. Kami masih berdiam, kerana kami tahu segala yang perlu diungkapkan tidak perlu dijelmakan dalam kata-kata. Kami mengenang malam-malam kami berbicara ke pagi, bertelingkah, bercakaran, berhujah, dan selalu bertemu konklusi yang tidak serasi. 

Tapi pada akhirnya yang kami temukan juga ialah kesimpulan bahawa setiap pertemuan akan bertemu perpisahan.  

Kini kami mengulangi semula malam-malam dahulu pada malam ini – bertemu, hanya diam. Larut dalam khayalan masa depan. Saya cuba menahan diri dari berkata-kata, kerana walau satu perkataan yang terkeluar sedang diempang dengan emosi, dan seandainya saya berbicara hatta sepatah, nescaya air mata akan mengiringi. Sungguh saya kepingin kepada saat kami berdua mentah, mencari erti kehidupan bersama. Meneroka sempadan dunia. 

Dan syukurnya, pada jam-jam terakhir ini, kami bertemu langit permata.
Setelah berjam-jam lamanya kami berdiam menikmati kehadiran masing-masing dalam sepi, dia memecahkan kesunyian. 

“Dah pukul 4. Pukul 7.15 aku dah kena ada dekat sana.” 

“Tunggu sekejap.”

Saya menghirup udara dingin pagi dalam-dalam, membiarkan setiap molekul bermain di setiap inci rongga paru-paru. 

“Kau ada nak bagitahu aku apa-apa?”

Pertanyaannya seolah-olah menikam, cuba mencari ruang terakhir untuk saya mempamerkan emosi yang sebenar-benarnya.

Saya menggeleng. Setitis air mata mengalir tanpa berjaya ditahan. 

“Allah pinjamkan kau pada aku sekejap.” Kata saya dalam hati cuma. 

Dia berpaling pergi setelah tersenyum pahit kali terakhir. Saya tahu dia risaukan saya, seperti selalu-selalunya. 

Dia tidak berpaling buat kali kedua. Segala empangan air mata sudah pecah pada detik ini. Daripada mata yang berkaca, saya melihat baju kemeja ungu hilang ditelan jarak.



23 September 2013

Dunia, Garis Merah dan Cinta (2)

(Dunia, Garis Merah dan Cinta)

Kesilapan Ila yang mungkin juga kesilapan pertamanya yang menjerat terus dirinya kepada beberapa siri kesilapan besar yang lain – ialah berlaku jujur tentang peristiwa itu kepada Amat.

Petang itu mereka bertemu sebelum latihan bola, selepas tamat prep petang. Di bawah pohon rambutan, di tepi dusun sekolah.

“Amat, Ila ada sesuatu yang Ila perlu ceritakan pada Amat. TETAPI, Amat kena berjanji pada Ila Amat takkan judge Ila. Amat kena berjanji apa pun yang berlaku Amat akan menerima diri Ila seadanya. Amat kena maafkan Ila. Sebab apa pun yang Ila akan ceritakan pada Amat tidak pernah mengubah perasaan Ila pada Amat.”

“Kenapa serius ni Ila? Amat ada buat salah ke dekat Ila?”

“Bukan Amat. Bukan dari pihak Amat. Yang ni dari bahagian Ila, Amat. Ila terlebih dulu nak mintak ampun dengan Amat. Sebelum Ila mula, Amat berjanji dulu yang Amat takkan tinggalkan Ila setelah Ila ceritakan rahsia ni.”

“Ila ada HIV ke?”
“Bukanlah Amat!”

Amat ketawa kecil.
“Gelabahlah Ila. Macam kucing Amat tengah marah.”

Amat bergurau, Ila tahu. Tetapi Ila gagal menyambut gurauan Amat dengan baik, kerana sedikit sebanyak gurauan Amat berkisar tentang rahsia Ila.

“Kalau takde HIV dah cukup baguslah bagi Amat. Boleh kahwinlah kita!”
Ila pura-pura tidak ambil peduli.
“Amat janji ke tak ni?”

“Amat janji.” Amat mengangkat tangannya. Senyum.

Ila risau. Amat seperti tidak serius. Ila risau keriangan yang Amat tunjukkan barangkali satu penunjuk bahawa sebenarnya Amat belum benar-benar bersedia untuk mendengar sesuatu yang begitu penting. Barangkali Amat belum benar-benar menyangka bahawa rahsia yang Ila simpan sedahsyat itu.

“Amat, Ila serius Amat. Ila tak main-main. Apa yang Ila nak cakapkan mungkin akan mengubah perasaan Amat terhadap Ila. Ila nak Amat betul-betul serius.”
“OK la sayang. Amat serius”

Ila terpana. Sedikit cebisan dalam hatinya segah mendengar panggilan sayang dari Amat. Dan cebisan-cebisan hatinya yang lain mengingatkannya bahawa panggilan sayang itu mungkin akan lupus dari bibir Amat sebaik sahaja Amat mengetahui rahsia Ila.

“Kalau Amat sayang Ila, dengar apa yang Ila nak cakapkan baik-baik.”

- bersambung….

19 September 2013

Skull & Bones

-Excerpt from a novel which is yet to be named-

Rokok jenama Marlboro dikeluarkan dari kotaknya. Yang kedua dari dua belas. Tangannya pantas menyuakan rokok ke bibir.

Pemetik api yang sudah bersedia di atas meja dicapai dengan tangan kiri. Pantas ibu jarinya menggolek picu, lalu disuakan apinya ke rokok di bibir.

Rokoknya menyala; membara. Lalu asapnya disedut dalam-dalam ke dalam peparu. Setelah terasa penuh rongga dadanya dengan asap nikotin, perlahan-lahan dikeluarkan dari bibirnya yang sedikit dimuncung ke atas, seperti cerobong asap.

“Pengotor” getus hati saya diam.
“Kau nak?” dihulurkan rokoknya ke saya.
“Tidak. Tak mengapa.” Saya membalas dengan sedikit senyuman halus.
*Gelak kecil*
“Kau terkejut jumpa aku di sini?”

Kami di dalam Cafe La Salle. Dalamnya lampu kuning jingga. Hiasan dalamannya indah, nyata untuk manusia berkasta tinggi. Di tingkat atas bangunan ini, tempat dia bekerja.

Saya mengangguk-angguk, mata tidak lepas memandang ke bibirnya. Separuh teruja, separuh kecewa. Tetapi kedua-dua perasaan itu saya selubungkan dengan wajah yang senada, tiada beremosi. Bibir saya dengan garisan mendatar.

Asap diluahkan lagi dari mulutnya, terus ke udara.

“Siapa kasi tahu?”
“Saya tahu dari kawan-kawan abang.”
“Kau pembohong. Aku mana ada kawan!” dia bernada garang. Mengancam. Seperti harimau yang mahu menerkam.
“Bukan kawan. Mungkin kenalan. Mereka mengenali abang.”
“Kau nak bawa aku pulang?”
“Tidak.”
*Gelak kecil*
“Berapa lama lagi abang hendak buat kerja begini?”
“Sampai aku puas.”
“Bila abang akan puas?”
“Bila-bila. Aku tak tahu bila”
“Abang tak ingin balik?”
“Tidak.”
Dia spontan meludah ke dalam ashtray. Lalu mulutnya kembali meratah puntung.
“Abang tidak rasa malu?”
“Aku tak main punai kau. Aku tak malu.” Tajam laras bahasanya. Kotor.

Saya sedikit bungkam.

Kami masih diam ketika dia mengeluarkan sebatang lagi rokok dari kotak. Yang ketiga dari dua belas.
“Abang suka menghisap?” tajam saya menyindir.
“Ini hidup aku. Kau jangan kacau.”
“Hidup abang milik Tuhan. Bukan milik abang.”
“Kalau milik Tuhan, buat apa kau sibuk? Ini urusan aku dengan Tuhan!”

Wajahnya putih benar. Nampak pucat sedikit bila dilihat pada sudut tertentu. Lampu watt kuning tidak dapat menenggelamkan wajahnya yang licin tiada cela bagai telur dikupas. Badannya semakin berisi. Dadanya semakin bidang.

“Abang bahagia begini?”
“Lebih bahagia daripada dulu.”

Telefonnya di atas meja berdering.

Dia berlari pantas ke luar kafe. Jarinya menekan butang di telefon sambil bergerak keluar. Dari jauh, kelihatan dia ketawa kadang-kadang. Senyum simpul. Rokoknya tidak lepas dari tangan.

Saya menunduk. Abang Safuan sudah berbeza benar. Tapi saya memahami. Ini, bukannya mudah. Untuknya bukan mudah. Ini terlalu sukar.

Setelah agak lama juga, dia kembali ke meja.

“Jadi kau nak apa ni? Jangan kacau aku lama-lama. Aku ada bisnes nak jaga.”
“Tidak ada apa. Kalau abang sibuk baiklah saya mintak diri dulu.”
“Lagi lima minit. Kalau kau lambat dari lima minit masaklah kau.”
“Apa dia? Kenapa?”
“Pukul 1 kau.”

Saya memandang ke sebelah kirinya. Seorang lelaki berjambang lebat, badannya hampir dua kali lebih besar daripada saya sedang menghirup teh panas dari cawan. Mata kami bertemu sedetik, lalu berkalih.

“Ada orang tak suka kau jumpa aku.” pandangan saya dialihkan kepadanya.
“Kenapa?” saya tidak mengerti.
“Aku buat bisnes. Bisnes aku ada orang jaga. Kau ambil masa aku bisnes aku tak jalan.”
“Kalau saya duduk lagi lebih lima minit?”
“Kau pernah bernafas pakai mulut?”
“Tidak. Kenapa? Tak faham...”
“Kalau nak hidung patah takde masalah. Kau duduk lagi 2 jam sini pun takpe.”
Ini bukan dunia saya. Ini bukannya juga dunia dia bertahun-tahun dahulu. Ini dunia syaitan. Dunia yang dipenuhi syaitan.

“Kenapa abang jadi macam ni?” sedikit kekecewaan terluah akhirnya.

-End of excerpt-























































Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter