19 September 2013

Skull & Bones

-Excerpt from a novel which is yet to be named-

Rokok jenama Marlboro dikeluarkan dari kotaknya. Yang kedua dari dua belas. Tangannya pantas menyuakan rokok ke bibir.

Pemetik api yang sudah bersedia di atas meja dicapai dengan tangan kiri. Pantas ibu jarinya menggolek picu, lalu disuakan apinya ke rokok di bibir.

Rokoknya menyala; membara. Lalu asapnya disedut dalam-dalam ke dalam peparu. Setelah terasa penuh rongga dadanya dengan asap nikotin, perlahan-lahan dikeluarkan dari bibirnya yang sedikit dimuncung ke atas, seperti cerobong asap.

“Pengotor” getus hati saya diam.
“Kau nak?” dihulurkan rokoknya ke saya.
“Tidak. Tak mengapa.” Saya membalas dengan sedikit senyuman halus.
*Gelak kecil*
“Kau terkejut jumpa aku di sini?”

Kami di dalam Cafe La Salle. Dalamnya lampu kuning jingga. Hiasan dalamannya indah, nyata untuk manusia berkasta tinggi. Di tingkat atas bangunan ini, tempat dia bekerja.

Saya mengangguk-angguk, mata tidak lepas memandang ke bibirnya. Separuh teruja, separuh kecewa. Tetapi kedua-dua perasaan itu saya selubungkan dengan wajah yang senada, tiada beremosi. Bibir saya dengan garisan mendatar.

Asap diluahkan lagi dari mulutnya, terus ke udara.

“Siapa kasi tahu?”
“Saya tahu dari kawan-kawan abang.”
“Kau pembohong. Aku mana ada kawan!” dia bernada garang. Mengancam. Seperti harimau yang mahu menerkam.
“Bukan kawan. Mungkin kenalan. Mereka mengenali abang.”
“Kau nak bawa aku pulang?”
“Tidak.”
*Gelak kecil*
“Berapa lama lagi abang hendak buat kerja begini?”
“Sampai aku puas.”
“Bila abang akan puas?”
“Bila-bila. Aku tak tahu bila”
“Abang tak ingin balik?”
“Tidak.”
Dia spontan meludah ke dalam ashtray. Lalu mulutnya kembali meratah puntung.
“Abang tidak rasa malu?”
“Aku tak main punai kau. Aku tak malu.” Tajam laras bahasanya. Kotor.

Saya sedikit bungkam.

Kami masih diam ketika dia mengeluarkan sebatang lagi rokok dari kotak. Yang ketiga dari dua belas.
“Abang suka menghisap?” tajam saya menyindir.
“Ini hidup aku. Kau jangan kacau.”
“Hidup abang milik Tuhan. Bukan milik abang.”
“Kalau milik Tuhan, buat apa kau sibuk? Ini urusan aku dengan Tuhan!”

Wajahnya putih benar. Nampak pucat sedikit bila dilihat pada sudut tertentu. Lampu watt kuning tidak dapat menenggelamkan wajahnya yang licin tiada cela bagai telur dikupas. Badannya semakin berisi. Dadanya semakin bidang.

“Abang bahagia begini?”
“Lebih bahagia daripada dulu.”

Telefonnya di atas meja berdering.

Dia berlari pantas ke luar kafe. Jarinya menekan butang di telefon sambil bergerak keluar. Dari jauh, kelihatan dia ketawa kadang-kadang. Senyum simpul. Rokoknya tidak lepas dari tangan.

Saya menunduk. Abang Safuan sudah berbeza benar. Tapi saya memahami. Ini, bukannya mudah. Untuknya bukan mudah. Ini terlalu sukar.

Setelah agak lama juga, dia kembali ke meja.

“Jadi kau nak apa ni? Jangan kacau aku lama-lama. Aku ada bisnes nak jaga.”
“Tidak ada apa. Kalau abang sibuk baiklah saya mintak diri dulu.”
“Lagi lima minit. Kalau kau lambat dari lima minit masaklah kau.”
“Apa dia? Kenapa?”
“Pukul 1 kau.”

Saya memandang ke sebelah kirinya. Seorang lelaki berjambang lebat, badannya hampir dua kali lebih besar daripada saya sedang menghirup teh panas dari cawan. Mata kami bertemu sedetik, lalu berkalih.

“Ada orang tak suka kau jumpa aku.” pandangan saya dialihkan kepadanya.
“Kenapa?” saya tidak mengerti.
“Aku buat bisnes. Bisnes aku ada orang jaga. Kau ambil masa aku bisnes aku tak jalan.”
“Kalau saya duduk lagi lebih lima minit?”
“Kau pernah bernafas pakai mulut?”
“Tidak. Kenapa? Tak faham...”
“Kalau nak hidung patah takde masalah. Kau duduk lagi 2 jam sini pun takpe.”
Ini bukan dunia saya. Ini bukannya juga dunia dia bertahun-tahun dahulu. Ini dunia syaitan. Dunia yang dipenuhi syaitan.

“Kenapa abang jadi macam ni?” sedikit kekecewaan terluah akhirnya.

-End of excerpt-























































1 comment:
Write curses
  1. And I shall wait till it finish. Until then, no comment at all from me.

    Don't do it because we have promised it, but because you want to explore the creativity within you. Remember about 'To Kill The Mocking Bird' story that you told me? It inspires me to put some thought in my next novel.

    I still wish you the best.

    ReplyDelete

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter