14 February 2016

Di Lantai Tari, Dinihari 14 Febuari



Lampu-lampu berwarna warni dari sudut-sudut tajam siling bersilang-silang ke lantai tari. Dua biji bola disko warna perak bergantungan, berputar dengan tempo sendiri di atas lantai tari. Metafora. Lantai tari setinggi 6 meter berdindingkan kaca yang menjulang tinggi sehingga ke aras bumbung menjadi denyut jantung malam ini. Nafas-nafas panas yang berhembus menambah cemar kepekatan udara yang berasap; berwap. 

Pengunjung menari mengikut irama rentak tekno – bunyi bass menyentak-nyentak denyut jantung. Malam ini malam Hari Kekasih – masing-masing ingin pulang tidak bersendiri. Setiap gerak tari, libasan tangan, hayunan kaki, goyang pinggul, lirikan mata menuansakan innuendo keinginan untuk berasmara. 

Di aras bumbung, bar kecil dibuka untuk pengunjung yang mahu lari dari lantai tari untuk sembang kasual, berbual dengan lebih mendalam. Pengunjung yang bertemu mengucup pipi untuk yang telah lama berkenalan, dan untuk baru berkenalan pipi dilaga, punat kamera ditekan. 

Dia sedang duduk di atas sofa di aras bumbung yang boleh melihat puncak 2 menara KLCC dengan jelas. Hiasan di sini minimal, membangkitkan suasana santai. Tapi bunyi dari lantai tari menafikan ketenangan untuk wujud dalam ruang itu. Dia memerhatikan suasana sekeliling, masih dalam ketakutan memasuki satu arena yang bukan forte – asing. 

“Jomlah menari!” rakan-rakannya mengajaknya ke lantai tari, separa menjerit.
“Come on, tak payah takut. Kita sama-sama kita je.” Rakannya yang paling tua memujuk.
Mereka turun beratur ke lantai tari dari aras bumbung berempat. 

Dia sebenarnya tidak mahu ke sini, tapi kerana ajakan dari rakan-rakannya, dia akur. Dia ingin belajar sesuatu – belajar tentang manusia, tentang kehidupan, pujuknya kepada hatinya yang memberontak benci. 

“Kau ingin menulis tentang kehidupan. Maka kau perlu melihat. Kau perlu merasa.”

Dari tangga mereka ke lantai tari yang padat dengan manusia. 

“Ridiculous.” Dia menyumpah dalam hati sendiri. Dia berdoa kepada Tuhan hanya 2 benda pada malam ini; satu, jangan 999 datang menyerbu tempat ini dan wajahnya keluar di kaca TV, kedua, jangan ada sesiapa yang dikenalinya pada malam ini di sini. 

Mereka mengambil sudut di tepi pentas, tangan dan kaki mula digerakkan mengikut irama muzik. Lagu Bad Blood dendangan Taylor Swift yang diremixkan menjadi lagu tari rancak menjadi bunyi latar. Pengunjung semakin menggila, gerakan badan membawa tubuh mereka bergesel dengan pengunjung lain.

Dia bergoyang sama dalam kumpulan mereka, kali pertama dia merasa sedikit lega, senyuman kemudiannya menjadi ketawa ketika dia menari mengikut kemahuan hati. 

Rakan-rakannya turut sama tergelak, merasa kebodohan dalam rentak tari mereka. Mereka datang hanya untuk berhibur – tekan mereka ketika ingin meyakinkan diri masing-masing mereka tidak akan membuat perkara yang tidak elok di sini. 

Sedang mereka sedang berdansa, pengunjung lain cuba memujuk mereka menari bersama dengan lenggok bahasa tubuh, tapi mereka menolak. Dia yakin perasaannya yang semakin tenang dalam keadaan yang semakin rancak menuju dinihari adalah disebabkan sesuatu di dalam udara; satu bahan yang memperlahankan debar jantung dalam wap-wap putih menjulang ke bola disko di siling. Atau, kedua, fikirnya secara ilham yang muncul sebagai epiphany, mungkin secara naturalnya dia merasakan dia sudah beradaptasi dengan suasana sekeliling. Manusia, fikirnya – mampu untuk merubah diri untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. 

Dia beristighfar sambil masih menari. Mengagumi ambivalens yang wujud sebagai oksimoron dalam hatinya, dia berjanji dia tidak akan hilang, tidak akan larut ke dalam atmosfera lantai tari. Dia tidak akan hilang dirinya sungguh berapa galak dia menari. 

Lantai tari rancak dengan lagu Beautiful Liar nyanyian Beyonce dan Shakira. 50 sentimeter di depannya, kali pertama depan matanya tanpa sebarang hadang dia melihat 2 manusia bercumbu – mulut ke mulut. Matanya dialih, di atas pentas tari seorang pengunjung tidak berbaju – sudah memperlihatkan tubuhnya sambil pinggulnya diasak-asak ke penari di depannya, tubuh dan tubuh bersentuh. 

Gerakan tariannya terus dihenti. 

Dia memohon untuk keluar ke bar, menebus kupon yang diterima selepas membayar caj kepala ketika memasuki tempat itu awal-awalnya. Vodka, gin, beer, spirit bersusun di depan mata dalam satu baris di atas bar. Dia memohon setin Red Bull, bartender lantas menuang ke dalam cawan yang berisi ais dan sepotong lemon.

Sambil menghirup Red Bull dari straw, dia mendengar perbualan dari orang sekeliling.

Jepun, Eropah, Thailand – dia memprofail manusia di sekelilingnya daripada perbualan mereka. Dia menghela nafas berat, dia tidak takut lagi. 

Seorang lelaki tidak dikenali memakai jubah berserban tiba-tiba muncul di depannya, menyusup lalu manusia dari lantai tari. Wajahnya putih bersih, tiada parut jerawat. Wow, beraninya pakai kostum macam ni dekat sini – fikirnya pada diri sendiri. 

“Assalamualaikum, saya cari awak tadi.” Lelaki berjubah serban tiba-tiba memulakan bicara. Dia memandang ke belakang, berfikir mungkin lelaki berserban berbicara dengan orang lain. Tapi tiada.

“Awak cakap dengan saya ke?”

Lelaki berserban mengangguk.

Dia tersenyum. “Waalaikummusalam. Kenapa cari saya?”

“Kenapa awak datang sini?” tanya lelaki berserban. “Saya ditugaskan malam ini untuk bertemu awak.” Sambung lelaki berserban.

“Awak bukan datang sini nak menari? Nak berhibur? By the way, berani awak pakai macam ni.” Dia menjawab kepada lelaki berserban. 

“Jangan risau pasal saya. Saya nak jumpa awak malam ni. Kenapa awak datang sini malam ni?”

Bunyi bingit dari lantai tari kedengaran perlahan dalam selang bicara lelaki berserban.

“Saya datang, nak tengok-tengok.” 

“Hati awak, macam keping-keping kelopak-kelopak bunga. Semakin awak biasa ke tempat macam ni, awak bersetuju dengan apa yang awak lihat dan rasa, satu kelopak akan terbukak, terkopak, koyak. Semakin nipis lapisan-lapisan kelopak hati awak semakin awak hanyut, awak hilang rasa hormat pada diri awak. Semakin awak jauh dari kebaikan.”

“Kenapa awak tahu ni?”

Lelaki berserban tidak menjawab. Lelaki berserban melakukan pusingan mengelilinginya, sambil berzikir. Setiap kali satu pusingan lengkap, lelaki berserban mengucapkan Assamualaikum kepadanya. Dia menjawab, sehingga pusingan keenam. 

Dia terdengar suara-suara rakannya, memanggilnya. 

“Awak ada 2 pilihan sekarang. Awak biarkan saya kelilingi awak satu pusingan lagi, awak akan saya bawa pergi mengikut saya. Jawab panggilan kawan awak, dan awak akan kembali kepada mereka. Sekarang pilih.”

Dia merasa kaget. Dia tidak pasti apa sebenarnya yang lelaki berserban maksudkan, tapi dia tahu dia mesti membuat pilihan.

“Saya nak awak kelilingi saya sekali lagi.”

Lelaki berserban senyum, kemudian mengelilinya buat kali ketujuh, selesai pusingan ketujuh lelaki berserban berhenti. Sebaik habis lelaki berserban mengelilinya, suasana gelap gelita. Cawan di tangannya hilang entah ke mana. Dia terdengar sekali lagi kawannya memanggilnya.

“Saya bagi awak buat pilihan kali kedua.”
“Saya pilih awak.”
“Jawab salam saya, Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam.”

Dia hilang kesedaran.

Keesokannya, 14 Febuari 2016. Portal berita atas talian melaporkan seorang pengunjung kelab malam disahkan meninggal dunia di sebuah kelab malam terkemuka di Kuala Lumpur, dipercayai akibat kelebihan dos dadah jenis ecstasy. Dipercayai dadah tersebut diletakkan dalam minumannya oleh individu yang tidak dikenali. Si mati ditemani 3 orang kawannya untuk berhibur pada malam itu dilaporkan tidak sedarkan diri setelah menari selama berjam-jam di lantai tari setelah mengambil dadah tersebut dan setelah usaha untuk mengembalikannya gagal, paramedik mengesahkan dia meninggal dunia pada pukul 2:45 pagi.

Rakan-rakannya menjerit memanggil-manggil namanya beberapa kali, tetapi tiada jawapan. 

No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter