19 September 2015
Malamnya di dalam
hutan belantara. Keadaan sekeliling gelap, cuma ditemani cahaya kosmik dari
angkasa. Ketika itu saya belum memandang punca cahayanya secara terus, jikalau
tidak nescaya sudah terlihat keindahannya; malahan dari pantulannya di atas
bumi sahaja menerangkan suasana sehingga boleh terlihat samar-samar walaupun
ditengah kegelapan hutan.
Kami duduk di
atas kerusi yang disusun menghadap layar putih berlantaikan tanah,
berdindingkan udara panas hutan, berbumbung angkasaraya mengikut ambilan
masing-masing. Pelajar ambilan 2000, 2001, dan 2002 disusun secara berkelompok.
Suasana diam, hanya hingar bunyi serangga hutan; tiada perbualan yang tercetus
walaupun kami sudah tidak bertemu lebih sepuluh tahun.
Dalam hutan ini,
kami semua kembali remaja.
Saya mencari-cari
kawan daripada batch yang sama, sehingga beberapa kali beralih tempat duduk.
Tapi suasana yang tidak begitu cerah menyukarkan saya mencari mereka.
Malam ini akan
berlangsungnya upacara yang penting, gilang-gemilang. Seluruh planet sedang
berkumpul untuk upacara malam ini, tetapi saya ingat-ingat lupa agendanya
kerana untuk saya pula, ada upacara lain yang lebih penting. Malam ini Malam Langit
Permata.
Setiap cahaya
sintetik dari lampu neon dan kalimantang akan dimatikan berperingkat pada malam
ini untuk seluruh dunia menikmati langit malam dan cahaya bintang pada akhir
malamnya. Dan kalau berjaya, lintasan meteor juga dapat diperhatikan.
Sedang saya mencari
rakan-rakan ambilan 2002, saya menerima mesej di whatsapp.
Gambar seorang
lelaki dan wanita yang bergambar di hadapan banner bertulis “Majlis Perkahwinan
Az dan Nisah” yang digantung di hadapan sebuah kedai.
“Kau tolong
nasihat sikit kawan kau ni.” Tulis mesej itu. Di dalam gambar, pengantin lelaki
yang namanya ditulis di dalam banner bergambar dengan perempuan yang bukan
bakal pengantinnya. Darah terasa berderau. Banner itu pula bukan tempatnya di
situ. Tempatnya sepatutnya di majlis perkahwinannya.
Terus saya
berjalan meninggalkan kem kami, menelusuri denai kecil di tengah hutan ke arah
lokasi gambar dalam telefon diambil tanpa toleh-toleh. Ketika itulah, saya
terpandang langit. Langkah terhenti serta merta. Nafas sesak.
Ya Allah,
cantiknya! Setiap butir bintang – berjuta-juta terlihat jelas, dengan setiap
kerdipan berbeza warnanya. Ada yang kuning terang, jingga, putih, hijau malah
magenta. Ada yang besar dan ada yang kecil. Dan cahaya biru ungu bimasakti
seakan-akan awan yang melindungi bintang-bintang tersebut, dengan sedikit percikan
cahaya warna merah. Beberapa biji meteor terbang melintasi langit malam,
menambahkan seri malam langit permata.
Walaupun masih
ada lampu yang belum dipadamkan, langit sudah menjadi terlalu indah. Bayangkan
kalau semua lampu di mukabumi sudah dipadamkan – saya terfikir sendiri.
Malam ini, saya
punya agenda sendiri.
Kaki dihayun
kencang. Saya tiba di kedainya hampir sekelip mata, masih teruja dengan
keajaiban alam di luar. Ketika saya bertemu dengannya, dia sedang menggulung
banner masuk ke dalam beg sandang. Tanpa perlu saya menegurnya, dari wajahnya
saya tahu ada orang lain yang telah menegurnya dahulu, lalu mengganggu
perasaannya.
Yani, gadis yang
bukan bakal pengantinnya cepat-cepat pulang ketika saya tiba, mengelak sebarang
perbualan.
Saya berdiri di
belakangnya semasa dia mengemas.
Dia berpaling,
dalam baju kemeja warna ungu berbelang seperti kali terakhir kami bertemu di
majlis perkahwinan Ikram. Baju yang sama.
“Em?”
“Em.”
Tanpa perlu
berbicara, bunyi sepatah yang bertukar di antara kami memancarkan perasaan.
Saya telah mengerti apa yang terjadi dan dia mengerti kenapa saya hadir.
Malam ini kami
telah berjanji untuk menyaksikan malam langit permata di atas puncak gunung di
pinggir Central Park.
Kami berjalan
bersama, mungkin buat kali yang terakhirnya. Pada malam terakhirnya sebelum
berkahwin, dia telah berjanji untuk berjalan dengan saya kali yang penghabisan.
Mungkin, selepas ini – kami berdua sedari, kami tidak akan seakrab dulu.
Kami menelusuri
kaki gunung Central Park, di pinggirnya sebuah tasik dipagar batu-batuan besar yang
tambah cemerlang di bawah sinaran sejuta bintang. Keindahannya bagai fantasi –
mimpi yang tidak boleh ditandingi. Pada sebelah kiri kami, pohon-pohon hutan
yang kelihatan penuh misteri dalam kegelapan dan bayang-bayang malam. Di
hadapan kami, pendakian ke puncak, bintang-bintang terus bersinar.
Sewaktu kaki kami
melangkah semakin tinggi ke puncak, terdengar ketukan gendang dengan nyanyian
yang asyik sayup-sayup di pinggir tasik. Semua orang nampaknya mempunyai cara
mereka tersendiri meraikan malam gilang gemilang ini.
Kami tiba ke
puncak dengan perasaan takjub. Semua lampu di mukabumi sudahpun terpadam, yang
kini tinggal hanya cahaya alam. Pada langit permata, sejuta bintang
berkerdipan. Semuanya tidak bersempadan, ke mana saja mata memandang, setiap
sudut akan diekori cahaya bintang. Saya tidak pernah menyangka keindahan alam
sebegini mengasyikkan.
“Kau nampak tak
tiga bintang menghala kiblat? Itulah 3 bintang yang membentuk pinggang
Sagittarius, buruj aku.” Saya bertanya kepadanya beberapa bulan yang dahulu
sewaktu kami berjalan pulang ke kolej sewaktu seluruh UPM bergelap.
“Yeke?”
“Haah”
“Kau pernah
tengok, in real life, langit macam
dalam gambar dekat internet? Yang nampak bintang terang, yang ada nebula macam
ada awan dekat bintang?” tanyanya pula.
“Tak pernah.”
“Aku pernah
tengok sekali. Dalam hutan waktu camping.”
“Cantik tak? Sebijik
dalam internet tu ke?”
“Cantik. GILA!
Sebijik!” bersemangat dia menjawab.
“Aku teringin
sekali nak tengok.” Kata saya. Sedikit cemburu.
Malam ini,
setelah seribu malam kami berbicara tentang Malam Langit Permata, akhirnya kami
berdua menyaksikannya bersama.
Kami turun semula
ke kaki gunung Central Park ketika semua bunyi-bunyian telahpun mati, hanya
tinggal cahaya beberapa jam sebelum sinar mentari pagi menjengah.
Bersama pagi,
pada fikiran saya – akan datangnya perpisahan.
Kami berdua duduk
di bangku depan kedainya, saling menghadap – bersemuka. Setelah menjadi saksi
malam yang bersejarah ini, kami tidak mampu lagi melelapkan mata, malah belum
mampu merasa letih.
Kali yang
penghabisan ini, setelah semua kata-kata dizahirkan antara kami pada hari-hari
sebelum malam ini menjengah, kami menghabiskan jam-jam terakhir ini dengan
sunyi.
Tiada satupun
perkataan yang mampu keluar dari bibir, tetapi kesunyian ini memberikan kami
ketenangan untuk mengenang kembali kata-kata yang pernah terucap. Tentang mimpi
yang bakal berakhir, harapan yang semakin suntuk di hujung masa.
Kami berdua
meresap kesepian dinihari dengan sayu. Dia memandang saya dengan simpati, masih
sukar menerima hakikat dia terlebih dahulu akan meninggalkan. Saya memandangnya
dengan hati yang tersayat ngilu, pedih mengenang kesunyian setelah dia pergi
nanti.
“Aku dah nak
kahwin.” Katanya pada beberapa hari yang lalu.
Bila dituturkan
seperti itu, kedengarannya seperti mudah. Seperti air mengalir. Licin, laju,
dan terus.
Dia tidak
memaksa, tetapi saya tahu dia menantikan reaksi.
“Kahwinlah.”
Jawab saya mudah, tidak mahu konfrontasi. Seneutral yang boleh.
“Kau takde
girlfriend ke?” pertanyaannya yang tiba-tiba menjengah tanpa mengikut arah nada
pertanyaan sebelumnya, tidak memaksa, tetapi mahukan penjelasan. Dia mahu
mengetahui sejauh mana saya telah bersedia untuk kehilangannya.
“Entah. Aku tak
berminat”
Dalam masa dia
menelusuri masa depan, dia sempat khuatir kepada saya yang bakal ditinggalkan.
Mungkin fitrahnya begitu, selalu merisau-risaukan sahabatnya.
“Aku tak rasa nak
bercinta.” Saya menjawab sejujurnya.
“Kau tak rasa ke
macam kau perlukan pendamping, nak menemani hidup kau?”
“Apa, kau tak
cukup ke sebagai kawan aku?”
“Bukan maksud
macam tu.”
Dia mengakhiri
kata-katanya, tanpa menjelaskan.
Tiba pada jam
ini, segala kata-kata yang masih bergantungan, sudah tidak bererti untuk
bertemu jawapan. Kami masih berdiam, kerana kami tahu segala yang perlu
diungkapkan tidak perlu dijelmakan dalam kata-kata. Kami mengenang malam-malam
kami berbicara ke pagi, bertelingkah, bercakaran, berhujah, dan selalu bertemu
konklusi yang tidak serasi.
Tapi pada akhirnya
yang kami temukan juga ialah kesimpulan bahawa setiap pertemuan akan bertemu
perpisahan.
Kini kami mengulangi
semula malam-malam dahulu pada malam ini – bertemu, hanya diam. Larut dalam
khayalan masa depan. Saya cuba menahan diri dari berkata-kata, kerana walau
satu perkataan yang terkeluar sedang diempang dengan emosi, dan seandainya saya
berbicara hatta sepatah, nescaya air mata akan mengiringi. Sungguh saya
kepingin kepada saat kami berdua mentah, mencari erti kehidupan bersama. Meneroka
sempadan dunia.
Dan syukurnya,
pada jam-jam terakhir ini, kami bertemu langit permata.
Setelah berjam-jam
lamanya kami berdiam menikmati kehadiran masing-masing dalam sepi, dia memecahkan
kesunyian.
“Dah pukul 4. Pukul
7.15 aku dah kena ada dekat sana.”
“Tunggu sekejap.”
Saya menghirup
udara dingin pagi dalam-dalam, membiarkan setiap molekul bermain di setiap inci
rongga paru-paru.
“Kau ada nak
bagitahu aku apa-apa?”
Pertanyaannya
seolah-olah menikam, cuba mencari ruang terakhir untuk saya mempamerkan emosi yang sebenar-benarnya.
Saya menggeleng. Setitis
air mata mengalir tanpa berjaya ditahan.
“Allah pinjamkan
kau pada aku sekejap.” Kata saya dalam hati cuma.
Dia berpaling
pergi setelah tersenyum pahit kali terakhir. Saya tahu dia risaukan saya,
seperti selalu-selalunya.
No comments:
Write curses