Petang hening Isnin, deruan dingin angin dari fan coil unit menghembus ke muka. Jemarinya masih mengetik-ngetik papan kekunci, sebekas kole kaca di sisi dengan sedikit cecair koko masih berbaki - semua haba sudah terbebas kini airnya sudah dingin. Dia tidak gemar menjamah makanan dan minuman yang sudah sejuk, melainkan jika sifat semulajadi makanan dan minuman itu sejuk.
Kaca mata yang memisah di antara mata dan skrin sedikit bersilau menyambut cahaya dari monitor.
Beberapa kali butang menekan backspace bila bertemu kesilapan. Matanya sesekali dikalih ke jam di dinding – pukul 5.40 petang, lewat 10 minit dari tamat waktu bekerja.
Setelah ilhamnya bertemu kebuntuan, tangannya dikepal menjadi penumbuk. Meja di depan menjadi mangsa.“Bodoh!” pekik hatinya sambil menumbuk permukaan meja dengan kedua-dua belah tangan.
Anita sedang membancuh kopi di kaunter pantry.
“Hey Anita, belum pulang?”
Anita berpaling sekilas, tersenyum.
“Hey honey. Belum lagi. Ada kerja sikit.”
Anita gemar memanggil kenalannya dengan nama-nama yang manis. Honey, dear, sayang, gorgeous, handsome. Anita ketua penulis Bahasa Inggeris di pejabat media atas talian mereka, berusia 33 tahun, masih bujang.
“You tak pulang lagi, kenapa?”
“Sama macam you. Ada kerja sikit.”
Dia ke sinki, membasuh kolenya.
Anita sudah siap membancuh kopi.
“Dear, I pergi dulu. Ada kerja. I catch you later, okay?”
Anita terus meninggalkannya, dengan senyuman manis.
Dia meletakkan kolenya di mesin pembancuh kopi dan menekan butang ‘White Coffee’ di panel mesin. Mesin pembancuh mula berbunyi. Dari hujung saluran mesin mula terkeluar air panas, kemudian serbuk-serbuk kopi, serbuk krimer dan akhir sekali larutan glukosa menggelongsor ke dalam kole. Dia sebetulnya bukan penggemar kopi, tapi kadang-kadang kaffein satu-satunya pemangkin yang mampu menggerakkan dirinya untuk bekerja, terutama pada waktu-waktu dia bertemu kebuntuan.
Dia mencapai sudu plastik di dalam rak, lalu membancuh larutan di dalam kolenya, memastikan semua campuran tadi teradun sebati.
Sambil berjalan meninggalkan pantry, tangannya sempat mengagau biskut wholemeal bebas garam di dalam tin.
Dia berjalan dengan fikiran kosong sambil mengunyah biskut.
Kerjanya masih banyak yang belum selesai, cut off date semakin menghampiri.
Dia kembali ke mejanya, kembali menghadap skrin. Dia mengeluh – kemudian menghela nafas yang berat.
Sudah 6 bulan dia di sini, tapi prospek kerjaya masih pudar. Dia mengenang mengingat kembali zaman sebelum tiba di sini, mengejar impian. Belum sempat kenangannya dicakar jauh ke dalam, telefonnya berbunyi. Korus ‘Rain of Castamere’ bermain. Gambar ibunya terpampang di skrin. Jarinya pantas menekan butang di Gorilla glass.
“Hai ibu!”
“Assalamualaikum anak ibu! Apa cerita?”
“Waalaikummusaalam bu. Sihat-sihat sahaja. Kenapa bu?”
“Ni along, kamu pulang tidak hujung minggu nanti? Ayah kamu hendak berjalan makan angin.”
"Berjalan makan angin ke mana bu? Bukan itu hari dah makan angin ke?”
“Tahulah ayah. Dia bosan duduk rumah. Bukannya tak kenal ayah kamu. Semalam diajaknya ibu pergi petik buah betik dengan ulam dekat dusun Pak Cik Mail, lepas tu cari ikan sungai, suruh ibu buat gulai tempoyak dengan sambal belacan makan dengan ulam. Bising ayah kamu kata ibu pemalas asyik duduk rumah. Bukan tak tahu, Pak Cik Mail bukan suka asyik datang rumah dia mintak macam-macam dekat dusun. Pokok betik tu buah pertama pulak tu. Ayah kamu bukan tahu malu.”
Sambil ibunya bercerita, dia menelek-nelek kalendar. Hari Sabtu dan Ahad ibunya menyuruh pulang, hari Isnin cut off date.
Ibunya menyambung cerita.
“Ayah bukan nampak sangat tu bawak kereta. Kejap ke tengah, kejap ke tepi. Kereta potong semua tengok. Hari tu dah kena hon berapa kali.”
“Ibu, minggu ni macam tak dapat balik. Sebab Isnin minggu depan dah cut off date. Kena siap semua kerja”
Ibunya terdiam terus di hujung talian. Takut perbualannya berhenti, dia memujuk lekas.
“Tapi lepas minggu depan orang free tahu ibu. Kalau minggu depan orang boleh balik.”
“Kerja sampai mati pun kamu tak kaya-kaya jugak. Ikut kamulah.”
Ibunya bernada perlahan mengandung kecewa, kontras daripada nada cerianya baru beberapa saat yang lalu.
“bukan tak mahu, bu. Tapi ibu tahulah...”
“Ya Along. Ibu tahu. Kamu dekat mana tu? Dekat pejabat lagi ke?”
Ibunya juga lekas mengalih topik. Keluarganya memang begitu, enggan berlama-lama dalam suasana janggal.
“Haah dekat pejabat lagi, bu. Kejap lagi baliklah.”
“Jaga kesihatan tahu. Jangan kerja lewat-lewat. Ibu nak keluar kejap ni pergi pasar malam.”
“Ibu pergi dengan ayah berdua ke?”
“Jadi?”
Nada suara ibunya mengejek di hujung talian, kemudian disertai dengan bunyi tawa.
“Sudah biasa Along, tua-tua ni makin romantik. Asyik berdating berdua. Kamu tu je entah bila nak berdua.”
“Ibu ni!”
Ibunya mengekek ketawa.
“Baiklah along. Ibu nak keluar dah ni.”
“Baik bu. Kirim salam pada ayah. Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam.”
Sebelum sempat ibunya mematikan panggilan, terdengar suara ayahnya di hujung talian.
“Dia kata apa?” tanya ayahnya dengan nada ingin tahu.
Panggilan terputus. Hatinya rasa bagai ditampar. Kaca mata ditanggal, kalendar dicampak ke tepi. Dia termenung kembali menghadap skrin, air mata berlinang.
Hey, lelaki tak menangis – bisik hati kecilnya.
No comments:
Write curses