Barangkali Ila bukan gadis yang paling pintar di sekolah, tapi dia mengerti akan kebesaran kesilapan yang telah dilakukannya. Lalu kini dia sesungguhnya merasa kurang selesa; seluruh ruang yang sebelumnya merupakan zon selesa yang telah membentuk perimeter lilitan dunianya, kini terasa begitu janggal.
Papan putih di depan kelihatan begitu aneh; dia merasa terasing dengan rakan-rakan sekelasnya, seakan baru pertama kali bersua. Kerusi dan meja, kipas syiling, persekitarannya seperti dimensi yang lain. Hanya kerana dia merasa sesuatu yang berbeza di dalam dadanya telah mengubah seluruh persepsinya terhadap dunia.
Sepanjang hari ketakutan menghantui Ila. Lalu bersilih ganti dengan kekesalan dan rasa bersalah.
“Amat sayang Ila sepenuh hati Amat.” Setiap kali Ila mengingat kalimat itu, dadanya dihenyak dua emosi yang sama berat. Gembira; dan juga marah.
Kata-kata itu Amat ucapkan sebelum mengucup tengkuk Ila; dan seterusnya menceroboh suatu daerah yang terlarang – dengan kemarahan Ila.
Barangkali kemarahan Ila lebih terarah kepada dirinya sendiri; kerana seperti biasa dia terlalu lemah untuk melawan keadaan. Seringkali dia tunduk kepada asakan takdir; rebah kepada kelemahan. Ila marah kerana berasa dirinya lemah dan tidak berupaya. Dan selebihnya emosi itu teralir kepada Amat; yang memaksa Ila melakukan sesuatu di luar kerelaannya.
Ila merenung luar ke taman di luar kelas. Mukanya pucat; ditoreh tidak berdarah. Ketakutan itu sesungguhnya menggetar jantung Ila, menggigit kewarasannya dan menghentam segenap ruang hatinya.
“Ya Allah, ampunkan aku!” bisiknya berulang kali dalam hati.
Kelas-kelas silih berganti, dan kini Cikgu Syariza sedang membaca teks Bahasa Melayu di depan.
“Antara persoalan daripada prosa Khoja Maimon: ialah sifat nafsu serakah manusia yang menjerumuskan manusia kepada perbuatan tidak bermoral seperti curang dan bermukah. Hal ini ditunjukkan dengan jelas melalui watak Bibi Zainab yang ingin bermain kayu tiga bersama saudagar di luar pengetahuan suaminya, Khoja Maimun.”
Ila tersentak. Kali ini kali pertama perhatiannya ditumpu kepada gurunya.
“Selain itu, kebijaksanaan juga suatu persoalan penting dalam prosa ini. Si bayan yang pintar menggunakan kebolehannya untuk bercerita untuk melekakan Bibi Zainab supaya dia tidak keluar daripada rumahnya untuk berzina dengan saudagar.”
“Burung pun tahu berzina tu berdosa. Kalau manusia pun tak reti jugak, tak tahulah nak cakap apa.”
Zus! Hati Ila bagai dipanah. Matanya membeliak. Automatik. Kata yang terluah dari bibir Cikgu Syariza beku, tiada perasaan. Ekspresinya tidak berubah. Petanda bahawa amaran yang disampaikan bersifat tetap – tiada kompromi.
Dan bila menyedari mata Cikgu Syariza bakal bertembung dengan matanya, Ila menunduk – pantas. Buat-buat mencatat.
“Ila, awak kenapa? Awak ni macam Bibi Zainab pulak. Macam simpan sesuatu je!”
Satu kelas tergelak, memandang Ila. Ila kaget. “Weh, kau bermukah dengan Amat ke Ila? Gila lah Ila! Dah pandai dah kan sekarang!” Wafi menambah, melepaskan lagi busur panah ke dada Ila.
Spontan Ila memandang ke sudut belakang kelas “Senyaplah babi!” Mukanya merah dengan marah dan malu.
“Ila, apa ni mencarut? Yang kamu ni Wafi kenapa pulak nak tambah lauk? Saya ada suruh awak bercakap ke?”
Wafi diam. Seluruh kelas juga terpaku. Tidak menyangka begitu drastik reaksi Ila. Ila jarang begini – fikir mereka. Ila menunduk ke atas meja, terasa seluruh kemerahan dan hangat mula berpusat ke hujung matanya; lalu keluar sebagai titisan air mata.
“Hah, tengok. Kan Ila dah sedih. Sudah Ila, sudah. Kalau kamu ada masalah nanti datang jumpa Cikgu. Wafi ni, dia tengah ada masalah ke dengan
boyfriend” – perkataan boyfriend itu sengaja ditarik Cikgu Syariza; membawa sedikit gelak kecil kepada kelas, dan Ila membayangkan Cikgu Syariza memuncungkan bibirnya ketika menyebut perkataan itu “tengah masalah keluarga ke, mana kamu tau. Sudah Ila sudah. Nanti orang lain pun ikut sedih. Saya ni emosional sikit tengok orang menangis.”
Keluarga. Perkataan ini tiba-tiba memberi makna kepada perasaan Ila. Sepanjang dua bulan Ila berpacaran dengan Amat, Ila sudah melupakan keluarganya. Ila tidak langsung menghubungi ibunya sepanjang dua bulan, dan hal ini tiba-tiba menjadikan dirinya lebih sedih.
“Ya Allah, apa aku dah buat? Apa perasaan Mak sekarang?”
Mengenang wajah lembut ibunya membuat Ila tidak keruan. “Mak, Mak! Ampunkan Ila Mak! Ila tak dengar cakap Mak. Ila dah buat jahat!” dia berbisik ke dalam hati, dengan sekelumit harapan bahawa ibunya akan mendengar, memaafkannya lantas.
Sebelum mengenali Amat, setiap minggu Ila akan menelefon ibunya di kampung. Bertanya khabar. Dan lebih penting dari itu, menceritakan kepada ibunya setiap kesedihan, ketakutan, kegembiraan, harapan.
Dan bila Amat hadir, Ila merasakan hidupnya telah disempurnakan. Bahawa Amat tempat sebenarnya bergantung, tempat meluahkan segala yang tersirat dan tersurat, dan Ila merasakan sesungguhnya Amat ialah masa depannya. Ila sanggup melepaskan masa silamnya, keluarganya, segalanya. Asalkan Amat berada di sisinya sepanjang masa. Ila cintakan Amat, sepenuh hati.
Dan lebih dari itu, Ila takut Amat tidak dapat menerima dirinya. Seorang anak peneroka Felda. Kerana Amat anak seorang pegawai, tinggal di bandar. Hidup sebagai anak bandar. Amat seorang yang sangat tampan. Putih. Pemain bola. Pelajar pandai sekolah. Ila malah tahu ramai yang meminati Amat. Dan itu menjadikan Ila paranoid. Ila tidak secantik mana; dia sedar hakikat itu.
Malah itu ialah hujahnya ketika mula menolak cinta Amat pada awalnya – namun Amat meyakinkan Ila bahawa peribadi Ila yang membuatkannya jatuh hati. Ila tersentuh – kata-kata yang Amat lontarkan adalah kata-kata idaman setiap wanita – walau secantik mana wanita itu mereka mahu diperakui cantik dalaman; bukan semata-mata luaran. Dan apabila kata-kata itu diluahkan seorang jejaka yang tampan seperti Amat menjadikannya sepuluh ribu kali ganda lebih bermakna.
Dan lebih dari itu pula, Ila lebih takut jika ada orang lain yang mengatakan dia tidak sesuai bersama Amat. Ila takut jika mereka mengenali siapa dirinya yang sebenar. Ila takut jika Amat akan diracuni oleh mereka. Untuk bermain selamat, Ila merahsiakannya terus dari sesiapa. Supaya hal itu langsung tidak akan menjadi gangguan, langsung tidak akan menjadi sebutan sepanjang perhubungan mereka. Tiada siapa menyangka Ila datang dari Felda kerana dia antara pelajar yang fasih berbahasa Inggeris. Malah, Miss Hanis yang mengajar Ila pernah menyebut Ila sebagai ‘student with best grammar I have ever taught’.
Lalu perkara itu menjadikannya sedih. Ila sedar untuk bersama Amat, dia rela membuang keluarganya. Dia sanggup berpura-pura. Ila sanggup mengubah apa saja tentang dirinya untuk disesuaikan dengan keinginan Amat – walau untuk perkara yang tidak diminta. Ila ingin menjadi sempurna di mata Amat.
Dan bila Amat meminta sesuatu yang paling berharga daripada diri Ila, itu menjadikannya lemah. Mungkin kesilapan Ila sebenarnya ialah terlalu jujur kepada Amat. Ila menyedari dia menyimpan beberapa rahsia yang mungkin akan membuatkan Amat tawar hati kepadanya. Antara rahsia itu ialah latar belakang keluarganya; dan juga suatu kisah yang mampu merubah seluruh dinamik perhubungan Ila dan Amat.
Semuanya bermula 3 tahun lalu, sewaktu Ila berusia 13 tahun.
Ila menyertai sebuah kem motivasi untuk pelajar sekolahnya. Dia masih ingat dengan jelas bahawa ketika itu dia masih belum mencapai keremajaan – seorang kanak-kanak kecil. Pada malam itu Ila tidak boleh tidur, dia tidak biasa tidur di dalam dorm. Lalu dia turun dari katilnya, mencapai selipar Jepun di bawah katil dengan kakinya, melilit kepalanya dengan sehelai selendang dan membuka pintu dorm perlahan-lahan.
Ila berjalan menuju ke kantin sekolah, dia mahu meneguk sedikit air suam. Dia berasa sangat dahaga pada malam itu.
Tiba di kantin, dia melihat Cikgu Fareed sedang meronda sekitar kawasan itu. Cikgu Fareed terpandang Ila; terus Ila gumam.
“Kenapa kamu belum tidur lagi ni, Ila? Dah pukul 1 pagi ni! Esok nak bangun pagi pukul 4.30 kan!”
“Saya dahaga Cikgu. Saya nak minum air!”
“Kenapa sorang-sorang je? Kamu tak takut ke?”
“Yang lain dah tidur. Saya tak biasa tidur dalam dorm Cikgu. Saya tak boleh tidur.”
Cikgu Fareed diam seketika, seperti berfikir. “Tak bolehlah macam tu, saya tak boleh bagi keistimewaan kepada kamu sorang. Tak adillah kalau kamu nak mintak tidur tempat lain.”
“Takdelah Cikgu. Saya tak mintak pun. Harap-harap lepas minum air ni saya dah boleh masuk tidur.”
“Ha, pergilah minum dulu!” kata Cikgu Fareed. Ila berjalan melepasi Cikgu Fareed dan mengambil kole dari rak cawan, kemudian berjalan ke mesin penyejuk air. Perlahan-lahan dia mencampurkan air panas dan air sejuk dari mesin, dan meneguk campuran air itu dengan diam. Cikgu Fareed masih berdiri membelakangi Ila.
Selesai minum air, Ila berjalan perlahan-lahan ke arah Cikgu Fareed.
“Terima kasih Cikgu, saya masuk tidur dulu ye.” Lalu Ila terus berjalan menjauhi Cikgu Fareed.
Tiba ke langkah ketiga, Cikgu Fareed memanggilnya. “Tunggu Ila! Mari sini dulu!”
Ila berpusing, patuh. “Kenapa Cikgu?”
“Macam nilah, kalau awak tak selesa tidur dalam dorm, awak boleh tidur dalam bilik sakit. Dekat situ mungkin awak boleh tidur cepat. Lagipun bilik tu takdelah selesa, macam dorm jugak. Cuma tak ramai macam dorm. Kesian jugak dekat awak, orang lain boleh tidur, awak sorang je yang berjaga.”
Ila senyum gembira. “Terima kasih Cikgu!”
Cikgu Fareed senyum kembali.
Ila tidak menyangka pertemuannya dengan Cikgu Fareed akan memberinya rezeki terpijak. Dia berlari pantas ke dormnya, kemudian membuka pintu perlahan-lahan dan menyelinap masuk dengan senyapnya sepertimana dia keluar sebentar tadi. Selepas pasti tiada siapa yang masih berjaga, dia mengambil selimut dan bantalnya, lalu bergegas keluar semula. Ila merasa seronok.
Apabila sampai di bilik sakit, Ila terus berbaring di sebuah katil di tepi tingkap. Terdapat 5 buah katil di situ, yang semuanya kosong kerana cuti sekolah. Ila walaubagaimanapun tidak pernah berasa takut, dia seorang yang berani. Malah apabila tidur seorang dia lebih selesa.
Ila terus berbaring di katil; menyeringai sekejap-sekejap kerana teruja. Seronoknya! Tak sia-sia aku keluar sorang-sorang tadi! Fikir Ila. Tidak lama masa yang diambil Ila untuk tidur setelah merasa selesa.
Dan Ila langsung tidak menyedari sebelum tidur bahawa suatu peristiwa yang akan mengubah hidupnya akan berlaku pada malam itu.
Cikgu Fareed pada malam itu mengambil keputusan yang sangat besar dalam hidupnya; malah satu keputusan yang bukan berpaksikan logik akal.
Perlahan-lahan Cikgu Fareed membuka pintu bilik sakit, kemudian menyoroti lorong ke bilik sakit perempuan. Dia pasti tiada orang lain yang berjaga pada malam itu kecuali dirinya. Dia membuka pintu bilik sakit itu, mendapati Ila sudah diam di perbaringan. Cikgu Fareed menutup pintu, lantas menekan butang kunci.
Cikgu Fareed perlahan-lahan duduk di sisi katil Ila, mengusap rambutnya perlahan-lahan. Cikgu Fareed sudah lama menginginkan seorang kanak-kanak, tetapi tiada kesempatan. Dan malam ini bakal menjadi kali pertamanya.
Ila terjaga, mengenyeh-ngenyeh mata. “Kenapa Cikgu?” tanya Ila dengan perasaan mengantuk yang tebal. “Takde apa. Saya risau kamu tidur sini sorang-sorang. Tu saya datang melawat tu. Ila tidurlah ye.” Ila mengangguk dungu. Menepuk-nepuk bantalnya dan berbaring semula.
Cikgu Fareed berbaring di sebelah Ila di atas katil yang sama.
wah best la. teruskan menulis :)
ReplyDeleteit's worth reading :)
ReplyDelete