17 October 2012

Magpies

Malam sebelum pergi, dia memegang kepalaku erat ke tubuhnya, seperti ingin melindungiku dari segala mara bahaya yang tidak dapat kulihat. Aku menangis untuk mendapatkannya walaupun sebelum dia pergi. Dan apabila berbaring di ribanya, dia menceritakan suatu kisah untukku.

“An-mei,” bisiknya, “pernahkah kau melihat kura-kura kecil yang tinggal dalam kolam itu?” aku mengangguk. Di laman rumah kami terdapat sebuah kolam yang selalu ku cucukkan kayu supaya kura-kura itu berenang keluar daripada bawah batu.

“Ibu mengenali kura-kura itu juga sewaktu ibu masih kecil,” kata ibuku. “Ibu selalu duduk di tepi kolam itu dan melihat kura-kura itu berenang ke permukaan, menggigit udara dengan muncung kecilnya. Kura-kura itu sudah sangat tua.”

Aku dapat melihat kura-kura itu dalam mindaku dan aku tahu ibu juga sedang melihat kura-kura yang sama dalam mindanya.

“Kura-kura itu hidup dengan memakan pemikiran kita,” kata ibuku. “Ibu tahu kerana pada suatu hari, sewaktu ibu sebaya dengan kau, dan Nenek tidak lagi membenarkan ibu untuk menjadi budak kecil. Katanya ibu tidak boleh berteriak, berlari atau duduk di atas tanah untuk menangkap cengkerik. Tidak boleh menangis jika ibu kecewa. Ibu perlu diam dan mendengar kata-kata orang tua. Dan jika ibu tidak patuh, Nenek akan memotong rambut ibu dan menghantar ibu ke tempat rahib-rahib Buddha hidup.

“Pada malam itu, setelah Nenek berkata perkara itu kepada ibu, ibu duduk di tepi kolam, memandang ke dalam air. Dan kerana ibu lemah, ibu mula menangis. Kemudian ibu melihat si kura-kura itu berenang ke permukaan dan muncungnya mula menelan titisan air mata ibu sebaik sahaja air mata itu menyentuh air. Dia menelannya cepat-cepat, lima, enam, tujuh titis, kemudia dia memanjat keluar dari kolam itu, merangkak ke atas suatu batu licin dan mula bersuara.

“Kata si kura-kura itu, aku telah menelan air matamu, dan dari itu aku mengetahui penderitaanmu. Tetapi aku perlu memberi amaran kepadamu. Jika kau menangis, kehidupanmu akan terus derita.

“Kemudian si kura-kura itu membuka muncungnya dan keluarlah lima, enam tujuh telur yang seakan-akan mutiara. Telur-telur itu pecah lalu daripadanya keluarlah tujuh ekor burung, yang terus bercicip dan menyanyi. Ibu tahu daripada perut mereka yang seputih salji bahawa mereka ialah burung murai, burung kegembiraan. Burung-burung itu memasukkan muncung mereka ke dalam air dan mula minum dengan tamaknya. Dan bila ibu memanjangkan tangan ibu untuk menangkap seekor, mereka semuanya terbang naik, memukul-mukul sayap hitam mereka ke muka ibu, dan terbang terus ke udara, tertawa.

“Sekarang kau lihat, kata si kura-kura, menyusup balik ke dalam kolam, kenapa tiada gunanya kau menangis. Air matamu tidak akan membasuh kedukaan. Air matamu memberi kebahagiaan kepada orang lain. Dan itu sebabnya kenapa kau harus belajar untuk menelan sendiri kesedihanmu.”

Tetapi setelah ibu menghabiskan ceritanya, aku memandangnya dan melihat dia menangis. Dan aku mula menangis semula, kerana ini takdir kami, untuk hidup seperti dua ekor kura-kura yang melihat dunia yang berkaca daripada dasar kolam kecil kami.

- Amy Tan, The Joy Luck Club

image

2 comments:
Write curses
  1. Sememangnya membaca karya Amy Tan membuatkan aku berasa kasih sayang ibu itu sangat rapat. Amy Tan berjaya menggamit kembali kenangan aku yang lalu. Terima kasih kerana memperkenalkan karya beliau kepada aku, wahai sahabat.

    ReplyDelete

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter