Sejak tulis entry
kenapa saya tak baca novel Melayu, boom! Macam-macam kata nista saya terima daripada
pembaca *huk3* Konon-konon biadab la, nak up-kan diri sendiri la. Termasuklah
orang kata pemuja buku FIXI.
Pemuja ke
masalahnya?
Sewaktu awal kemunculan
buku FIXI dalam industri penulisan Negara, pendapat umum terbahagi dua. Ramai
yang memuja keberanian FIXI menongkah arus dalam dunia penulisan, tidak
menghadkan plot kepada cerita cinta dan norma masyarakat, sebaliknya bermain
berani dengan mengetengahkan plot yang melingkari gejala sosial seperti
perhubungan luar nikah, gejala rasuah, tragedi manusiawi, jenayah terancang dan
permasalahan keluarga. Pendapat umum kedua menghakimi FIXI sebagai pemusnah
sastera, bermain dengan idea picisan dan kotor, dan aliran alternatif yang
pariah dan mencemar.
Pendapat saya
pada mulanya sealiran dengan pendapat pertama. Buku FIXI segar dengan
permasalahan yang dekat dengan masyarakat, yang tidak menipu dan jujur dalam
pembentangan idea, dan seakan sebuah sketsa tulen yang dipetik dan diolah
daripada masalah masyarakat sebenar.
Kemunculan buku FIXI pula kena sewaktu khalayak pembaca naskhah Melayu
sedang loya dan mual dengan buku-buku percintaan yang berkualiti rendah yang
membanjiri pasaran penulisan Negara.
Novel-novel tentang
percintaan yang seolah-olah diulang cetak dengan permasalahan yang dangkal,
tidak asli dan meleret-leret membuatkan khalayak dahaga dengan karya
berkualiti. Tambahan pula, industri penulisan menumpukan pengeluaran kepada
gadis remaja semata-mata dengan buku-buku fantasi cinta wanita memarginalisasi
kelompok pembaca lelaki. Hal ini membawa kepada perlunya kelahiran sebuah
penulisan yang lari daripada arus perdana.
Buku FIXI pada
mulanya, ironisnya, diterajui penulis-penulis lelaki. Penulis-penulis ini
bagaikan mencabar dominasi penulis wanita dengan penulisan yang keras, berbisa
dan dengan kejujuran brutal yang jarang dapat dirasai daripada buah tangan
penulis wanita yang selalu bermain selamat dengan pemilihan tema dan jalan
cerita yang boleh diduga dan berakhir dengan penghabisan gembira.
Penulis-penulis
lelaki FIXI seperti Nizam Bakeri dan Shaz Johar pada awal kemunculan mereka
dalam dunia sastera mencantas status quo dunia penulisan dan membuka jalan
untuk penulis-penulis seterusnya dengan mengetengahkan kisah hitam gelap noir
berpaksikan pulp fiction dengan penulisan yang jarang-jarang ditapis dari segi
idea mahupun pengolahan – sesuatu yang merenjat industri penulisan ketika itu.
Cerita seperti
rompakan bank yang mengambilkira pandangan perompak sebagai watak protagonis
dengan motif yang boleh dipercayai, dan dengan watak yang mempunyai sejarah
silam yang menarik memercikkan warna warni ke atas kanvas karya buku Nizam
Bakeri, Pecah, dan kisah anak dara tua yang bercinta dengan beberapa anak muda
sebelum diperdaya untuk mengahwini seorang kenalan di kampong yang kemudian
menderanya secara mental dan fizikal dan akhirnya menggugurkan kandungan
sendiri memberikan suara berani yang memperkasakan wanita dalam karya Shaz
Johar, Kougar.
Suara-suara seperti ini jarang didapati daripada penulisan
penulis wanita yang menggambarkan wanita sebagai golongan yang lemah, perlu
dilindungi dan dicintai, dan hanya akan gembira dalam dakapan lelaki.
Keberanian FIXI
pada ketika itu, bersama dengan kreativiti mereka (atau gimik, mungkin juga)
yang meletakkan tajuk satu perkataan sebagai judul buku mereka, menggegar dan
merevolusi dunia penulisan secara total. Masyarakat mula memandang serius
penulisan daripada arus alternative, dan pengkarya yang menginap dalam zon
selesa mereka mula panas punggung. Malah yang kelakarnya pemain-pemain utama
industri mula meniru rentak tarian penulisan arus alternative dengan meniru
plot dan idea pokok, serta gimik buku FIXI dengan meletakkan tajuk yang
seakan-akan sama, dan rekaan grafik seakan-akan buku FIXI untuk cuba kekal
relevan dalam khalayak.
Kelahiran buku
FIXI juga berpunca dari penulis-penulis blog sebagai pemerhati diam industri
bertahun-tahun lamanya, sebelum mereka mula memegang pen secara figurative dan
terus menulis ke arus perdana membuktikan karisma mereka sebagai pemimpi yang
bermimpi besar menjelmakan suatu kelainan ke dalam arus penulisan yang mengalir
lesu selama bertahun-tahun. Penulis-penulis buku FIXI aktif berkarya secara
atas talian melalui media social seperti blog dan twitter sebelum menerbitkan
buku mereka yang seolah-olah mempersiapkan mereka untuk memasuki media arus
perdana.
Sungguhpun
demikian, saya sedikit skeptic dengan kemampuan buku FIXI untuk terus
menggenggam baton dalam perlumbaan dunia penulisan. Sungguhpun tampak kelainan,
FIXI berisiko menjadi terlalu selesa dengan identiti mereka, lantas mengulangi
formula yang sama dalam setiap buku mereka sehingga akhirnya mereka mengulangi
kesilapan pemain-pemain besar industri – keselesaan yang mengekang inovasi dan
percambahan idea.
Setelah beberapa
tahun menyokong buku FIXI, saya mula berasa tidak sedap hati apabila formula
yang sama diulang-ulang dalam buku-buku mereka. Pada mulanya, kelainan yang
lahir daripada keberanian mereka begitu dirasai kerana perbezaan ketara
daripada karya-karya yang sediaada, namun kepelbagaian itu dibunuh sendiri
setelah terciptanya niche mereka dalam industri.
Identiti yang mulanya
merupakan satu kelainan daripada kebiasaan, lama kelamaan menjadi satu kebiasaan
sendiri dalam aliran buku FIXI.
Bak kata pepatah
Inggeris, ‘familiarity breeds contempt’.
Pengulangan watak
dalam buku-buku FIXI menjadi satu permasalahan ketara apabila berbicara tentang
kelemahan buku FIXI. Penciptaan watak yang dijelmakan atau diinspirasikan
daripada pulp fiction dari Amerika mewujudkan watak yang mempunyai luaran Timur
dengan nilai-nilai Barat, yang pada satu tahap mengelirukan dan pada tahap yang
lain menjadikan keseluruhan karya menjadi sukar dipercayai.
Watak FIXI jarang
dapat dilihat sebagai watak yang dinamik dan 3 dimensi, lazimnya diciptakan
dalam satu konstruk yang reduktif kepada beberapa set yang berulang. Watak gila
seks, malangnya, merupakan watak ruji yang perlu dalam setiap karya FIXI.
Terdapat perkembangan karakter yang dinamik dan menarik, seperti watak Kisha
dalam Kougar yang bersahaja dan mengalami metamorfosis lengkap daripada suatu
watak yang kebandaran tetapi konservatif, kepada seorang isteri kampung yang
mencuba taat dalam keterpaksaan, dan akhirnya sebagai wanita bebas yang memilih
jalan sendiri. Suara yang dibawa Kisha menghidupkan dilema wanita urban yang
bertembung dengan nilai konservatif. Watak-watak lain, malangnya, adalah
salinan tak tumpah daripada karya-karya Barat dengan nilai moral yang korup dan
perkembangan watak yang boleh diduga sekiranya ada, dan lazimnya mendatar.
Watak-watak FIXI
mempunyai ideologi, pegangan hidup dan moral yang hampir serupa, yang sengaja
dikaburkan dalam warna kelabu dengan cara penyampaian tanpa menyelitkan mesej
moral yang ketara. Setiap wataknya dibina dengan nilai teras Barat, seperti
pandangan sejagat tentang perhubungan kelamin luar nikah tanpa batasan,
kegilaan kepada wang, LGBT, sifat liberal yang memandang enteng kepada nilai
moral Timur dan kehidupan beragama dan juga nilai luaran Barat seperti cara
berpakaian, percakapan dan perhubungan.
Awal kemunculannnya,
watak-watak seperti ini diraikan dan dilabelkan sebagai watak-watak yang
mencerminkan segelintir masyarakat, khususnya masyarakat Melayu urban. Walau bagaimanapun,
pengulangan nilai-nilai seperti ini menjadikan karya FIXI secara kolektif suatu
kumpulan yang terpisah atau tersasar daripada gagasan sifat umum masyarakat,
yang kemudiannya menjadikan karya FIXI terus hanyut sebagai pariah.
Watak utama dalam
buku Gantung, garapan Nadia Khan misalnya, tentang sekumpulan pelajar lelaki di
sekolah yang meniduri gadis di sekolah mereka secara bergilir-gilir adalah
suatu penciptaan watak yang sangat mengelirukan, tidak berasaskan realiti
semasa, dangkal dan menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding memberikan
jawapan yang memuaskan.
Pertamanya,
tentang gejala sosial di sekolah berasrama yang seolah-olah mengamalkan gaya
hidup bebas tanpa timbul sebarang masalah dengan pihak berkuasa. Watak mereka
digambarkan sebagai suatu kumpulan remaja yang berpengaruh di sekolah, berumur dalam
lingkungan 16 ke 17 tahun, dan tujuan mereka wujud semata-mata untuk melakukan
perhubungan dengan (hampir semua) gadis adalah sukar dipercayai dan satu
garapan watak yang tidak kemas dan malas.
Walhal untuk
sesuatu kumpulan untuk menjadi begitu berkuasa di sebuah sekolah tanpa
dikenakan tindakan disiplin atau tanpa sedikitpun tentangan dari guru-guru adalah
memusykilkan, dan kegilaan mereka kepada seks sehingga menubuhkan kumpulan
sendiri untuk meraikannya sewaktu berusia 16 tahun dan tinggal menghuni di
asrama bukanlah suatu norma yang boleh diterima untuk dijadikan tapak asas
sebuah cerita berlatarbelakangkan Malaysia (waima mungkin untuk mana-mana
negara sekalipun).
Sifat penulis
yang membuang terus sifat ketimuran watak dan menggantikannya secara keseluruhan
dengan nilai Barat telah melepaskan peluang keemasan untuk mereka berbicara tentang
konflik pertembungan nilai.
Ini membawa kita
kepada point seterusnya, iaitu kecenderungan atau tarikan oleh penulis-penulis
FIXI untuk meletakkan atau menyelitkan seks di dalam cerita. Kebanyakan adegan
seks yang ditonjolkan pada buku-buku awal mereka boleh diterima atas alasan kebebasan
berkarya, walau bagaimanapun kelemahan ketara mereka dalam menyajikan
adegan-adegan seks dalam buku-buku seterusnya ironisnya ialah kelemahan adegan
itu sendiri untuk membawa atau mengembangkan plot cerita.
Adegan dan
innuendo seks yang ditonjolkan bersifat lemah, tidak penting dan memanipulasi. Setiap
watak dicipta tampil begitu selesa dengan identiti seksual mereka, yang boleh
melakukan sewenang-wenangnya tanpa timbul retribusi, hukuman atau pertentangan
dalam masyarakat. Adegan-adegan seks yang digarap melebihi perkembangan watak
dilihat suatu unsur yang sebenarnya tidak perlu. Watak Bakar yang merogol anak
sendiri sehingga hamil gagal memberi sebarang impak kepada jalan cerita novel
Pecah, malah sebenarnya satu sisihan jauh daripada plot induk yang mengganggu kualiti
cerita secara keseluruhan.
Watak Maya yang
akhirnya didapati seorang lesbian adalah satu plot twist yang gagal dalam novel
Mental. Sifat lesbian Maya sebelum timbul pendedahan tersebut langsung tidak
disentuh atau diberikan walau sedikitpun perhatian, lantas menjadikan
pendedahannya sebagai satu klimaks yang tidak dibina dengan cemerlang, terburu-buru
dan rambang. Menggunakan gimik LGBT sebagai satu kejutan seolah-olah dijadikan
satu eskapisasi atau jalan mudah setiap kali ingin menerangkan kelainan atau
keganjilan sesebuah watak dalam buku FIXI tanpa memberikan watak-watak ini keadilan dalam penceritaan.
Malah, watak salah
seorang dari kumpulan pelajar lelaki dalam novel Gantung pula yang biseksual,
sangat mengganggu perjalanan cerita apabila penulis cuba berulang kali
mengingatkan sifat watak biseksual tersebut dengan menceritakan secara
terperinci fantasi seksualnya setiap kali watak tersebut muncul. Malangnya
walaupun dengan pengulangan berkali-kali, sifat biseksual watak tersebut
langsung tidak ada kepentingan atau sumbangan kepada keseluruhan cerita.
Secara kolektifnya,
merencahkan cerita dengan seks seperti dalam konteks buku FIXI yang gagal
memberikan impak yang jitu dan konklusif adalah gimik murahan yang memualkan
pembaca. Kejujuran pada asalnya untuk memberikan cerita tanpa menapis sebarang
adegan seolah-olah menjerat penulis-penulis FIXI untuk terus kekal menggunakan
seks sebagai suatu kebiasaan yang sukar untuk diubah walaupun tanpa sebab yang
konkrit.
Penggunaan adegan
seks, sekiranya benar-benar perlu boleh mencantikkan perjalanan cerita. Namun meletakkan
adegan seks semata-mata tanpa justifikasi yang jelas ke atas perkembangan jalan
cerita menjadikan keseluruhan karya sesuatu yang janggal dan merunsingkan.
MASA DEPAN
INDUSTRI
Dengan wujudnya
buku FIXI sebagai arus baru dalam dunia penulisan, saya meramalkan akan
terdapat gelombang baru selepas ini yang akan megamalgamasi atau menggabungkan
unsur gaya bahasa sastera klasik dengan jalan cerita sastera moden yang
dipelopori oleh FIXI, yang mana akan melahirkan hasil karya kontemporari dengan
nilai sastera tinggi. Jujurnya, perubahan sedang berlaku dalam dunia penulisan,
cuma arah perubahan tersebut belum dapat dipastikan ke mana.
KESIMPULAN
Dalam dunia yang
dinamik, tidak ada satupun yang boleh kekal, dan keinginan untuk kekal dengan
sesebuah kebiasaan lazimnya akan membantutkan perkembangan. Novel-novel FIXI
harus mampu membuang unsur-unsur seksual yang mengganggu yang dianggap teras
penceritaan untuk terus kekal disayangi oleh pembaca. Dengan novel-novel FIXI
yang begitu rigid untuk kekal dengan tema yang bersifat 18SX, mereka sedikit
demi sedikit kehilangan khalayak pembaca yang mula mencari sebuah kelainan.
spot on
ReplyDeletehmmm nak kena try baca novel fixi la lepas ni tak pernah try lagi baca
ReplyDeletethis is brilliant bro with good elaborated points (Y)
ReplyDeletePenulisan yg bagus. You got a new fan
ReplyDeletethanks Anon :)
Delete