Depan mereka saya perlu selalu menjadi kuat. Senyuman dan tawa itu harus, mereka tidak wajar mengetahui apa yang menikam-nikam dalam hati. Bukan berpura-pura bahagia, tetapi berharap setiap senyuman itu akan menanamkan perasaan bahagia. Dan betapa setiap kemaafan itu hanya mendalamkan lagi perasaan rindu terhadapnya. Dan kemudian kita berkata dalam diam, ‘kembalilah’.
Depan mereka saya tidak kisah. Segala kisah dilipat secara rahsia dan diam ke dalam lubuk hati yang terdalam, supaya mereka tidak dapat membaca. Kadang kala juga saya lupa siapa yang pernah singgah sebelum dia. Saya lupa bagaimana pernah saya bahagia sebelum adanya dia?
Betapa sepinya diri, itu saya telan perlahan-lahan. Jika dia mampu bahagia mengapa tidak saya? Dan saya mendiamkan segala emosi itu seperti selalunya, kerana dia selalu rasa terganggu dengan setiap luahan perasaan. Dia tidak harus mengetahui setiap satu penderitaan yang saya alami setelah dia tiada.
Apabila terkenang memori silam, yang mampu saya lakukan hanya menggigit lidah dan menahan perkataan daripada keluar dari bibir. Dia sangat penting, dan dia mengerti. Tetapi tidak wajar saya merampas kebebasannya untuk kepentingan diri sendiri. Ada masanya, yang terbaik untuk kita adalah perpisahan, dan menunggu masa berlalu untuk menyembuhkan segala kesakitan itu.
Mereka tidak mengerti. Kita juga. Kita juga tidak mengerti apa yang telah terjadi. Tetapi sekurang-kurangnya kita pasti bahawa perpisahan itu yang perlu untuk kita. Sekurang-kurangnya buat waktu sekarang.
Segalanya tidak mungkin akan kembali seperti dulu, saya mengerti.
Kisah-kisah waktu dulu tidak mungkin akan terulang antara kita, dan itu menguatkan lagi perasaan sedih bahawa kita akhirnya telah terpisah.
Dan mereka juga tidak akan tahu sampai bila-bila bagaimana semuanya telah terjadi. Sehingga tiba waktunya saya sudah melupakan, selagi itu malam-malam akan dipenuhi dengan kesedihan. Setahun sudah berlalu, dan saya ingat setiap harinya.
No comments:
Write curses