22 October 2012

Fantasi

 
Apa guna kita bercerita kalau yang menyambutnya hanya penghinaan? Tiada sesiapa akan percaya.
Tiada siapa akan percaya bahawa kitalah mangsa. Bahkan kita dikata memfitnah.
Kalau kita mampu bercerita, seperti menyimbah selaut derita. Kalau kita mampu bercakap, seperti membentang segurun azab.
Siapa kita untuk bercerita sejauh mana telah kita melalui jalan derita? Siapa kita untuk merayu meminta diselamatkan dari jurang neraka?
Dan mereka tertawa dari tepi. Semuanya menangguk madu dari aib kita yang terbuka.
Kita disepak macam anjing, ditampar macam pelacur. Kita barangkali telah melacurkan maruah untuk bercerita perkara-perkara keji yang mereka datangkan kepada kita.
Kita mengabarkan kepada satu dunia, minta dibantu. Satu dunia mencemik; ‘Diamlah pendusta. Orang-orang yang kau katakan merosakkan kau; mereka semua orang yang baik-baik dari kalangan kami.”
Kita menangis sekali lagi. Manusia mana yang percaya? Tolonglah kita, tolonglah. Selamatkan kita dari sini!
“Kamu jangan memfitnah dia. Dia tak mengaku pun dia buat semua benda tu kepada kamu!”
“Entah-entah kamu kot yang berfantasi?” Ya Tuhan. Sesungguhnya Kaulah satu-satunya yang Maha Mengetahui.
Jika aku berani bersuara ketika itu, maka satu dunia akan mengerti. Mereka telah mencalar arang ke mukaku, mereka telah kencing ke atas maruahku.
Jahanamlah kamu manusia-manusia berlidah dua. Hari ini kau menelanjangkanku ke pentas dunia, aku bersumpah hari esok masa depan kau ditelanjangkan seluruh umat manusia berzaman-zaman lamanya.
Siapakah kau yang layak memberikanku derita? Siapakah kau yang layak berhibur di atas kesakitanku?
Walau untuk membayangkan sekali lagi setiap perkara itu, jiwaku bergegar dengan kejijikan.
Mana pergi sahabat-sahabat ketika itu? Mana pergi pelindung-pelindungku yang bersumpah untuk menjagaku seperti anak mereka sendiri? Mana pergi keadilan? Mana pergi undang-undang?
Sesungguhnya ketika itu ku merasa; undang-undang itu dicipta mereka yang menderitakan manusia yang lain. Undang-undang itu alat derita.
Percaya – pintaku waktu itu. Hanya percaya kepadaku walau kau tidak boleh menerimanya. Tetapi mereka enggan. Mereka lebih rela bergelumang dengan dusta daripada menyinari kebenaran. Merekalah sesungguhnya pendusta yang lebih hina.
Ke mana harus ke panjatkan lagi kesedihan dan harapanku? Ke mana lagi tempatku mengadu nasib malangku?
Dan kini aku menulis – untuk mengabarkan kepada mereka yang masih ketawa kepada kelamnya masa silamku. Tiada sesiapa sebenarnya mengerti kesakitan itu; tiada sesiapa yang mengetahui mengapa apabila berada dalam keramaian manusia jantungku berdegup pantas.
Kerana aku telah hilang percaya kepada kebaikan manusia. Aku percaya mudahnya mereka melakukan kejahatan bila mereka memegang kuasa. Mudahnya mereka menggunakan undang-undang untuk menyeksa.
Apakah yang kau fahami dengan hanya mendengar cerita? Adakah kau berfikir kau telah merasa derita hanya dengan kecewa dalam bercinta?
Ptui! Dan kau bahagia menelan kesedihan dari air mataku. Celaka.





















No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter