19 October 2023

Day #11 Writing Challenge: Hari kedua di HosHAS

Harini start bercakap dengan waris di katil sebelah abah. Katil belah kiri belum sempat ditemubual dah checkout. Berjaya lolos dari hospital petang tadi.



Waris katil sebelah kanan abah orangnya dari Maran. Nampak anak lakinya menjaga seorang, justeru ada suatu rasa faham kepada keadaan mentalnya. Saya bertanya di mana ayahnya. Keseluruhan katilnya tiada di sebelah. 

Katanya dibawa ke dialisis. 

Ayahnya menghidap kanser. Buah pinggangnya sudah gagal di tahap 5. Perlu di dialisis. Saya menggelarnya adik nampak seperti masih di bangku sekolah. Tapi dia membetulkan saya, katanya sudah habis belajar.

Penat. Begitulah satu perkataan yang boleh menceritakan peri keadaan menjaga pesakit di hospital. Malam tadi lebih 24 jam saya di hospital, masih memakai pakaian yang sama dari pagi semalam dari rumah di Putrajaya. Bererti lebih 24 jam juga tidak mandi. Tidur sekejap-sekejap atas kerusi di tepi katil. 

Mengendalikan Abah bukan mudah. Teringat kata-kata cikgu Zarina masa darjah dua dulu, orang tua nanti dia akan kembali jadi macam budak kecil. Tak boleh berjalan, terpaksa pakai lampin, makan bersuap, tiada lagi rasa segan atau malu. Begitulah rasanya menjaga Abah. Harini saja 4 kali Abah melepaskan hajat.


Saya pulang sebentar petang tadi, sekadar untuk mandi, makan tengahari, membasuh baju kotor yang dibawa pulang lebih 500km dari site visit di Johor Bahru. Walau sudah kembali ke kampung lebih 24 jam, belum lagi boleh merebah badan di atas katil melunjurkan kaki. Kerana berjanji bahawa kepulangan ini bukanlah cuti, terpaksa juga melunaskan tugasan-tugasan kerja pejabat.


Sementara saya di rumah, kakak menemani Abah di hospital. Anak-anaknya Boboiboi kuasa tiga ditinggalkan di rumah mak. Bertambah pula tekanan melakukan kerja di komputer. Anak-anak saudara sama-sama ingin membantu katanya. Habis ditekan-tekan papan kekunci sambil saya menyiapkan kerja.


Anak saudara saya yang kedua dari adik beradiknya rasa bosan ditinggalkan ibunya, mula tantrum. Mula-mula mengugut ingin mencampak telefon saya, kemudian ingin membuang beg saya di luar rumah. Setelah mengugut tiada duit raya akan diberikan kepadanya tahun hadapan, dia mengambil pisau ingin menikam dadanya sendiri. Ya dramatis sungguh anak saudaraku (seperti bapa saudaramu jua) gara-gara kebosanan ingin menikam diri sendiri (I have video proof BTW totally going to bring this up once he's old enough to cringe from past behaviours). One cracked screen protector and a bag of Chupa Chups lollipop later, barulah berjaya ditenangkan anak-anak saudara. 


Dalam pada diserang dua hala oleh anak-anak sedara, sempat jugalah menyiapkan tugasan sekadar mana yang kritikal. Walau ikut perjanjian asal sepatutnya lebih lagi, tapi itulah. Perjanjian asal tidak termasuk Abah ditahan di wad. Terpaksa menyiapkan kerja ala kadar.


Sekarang di sebelah Abah di wad. Abah sudah lama tidur. Masa yang ada saya gunakan untuk mengejar 15 post Writing Challenge. #ambitious. Penat. Sangat penat. 


Pak cik di katil sebelah sudah kembali dari dialisis. Abah bangun sekejap tadi, ingin bercakap dengan mak. Soalan pertama Abah "Anak-anak siapa yang balik?" aduhai meruntun. Begitulah ibu bapa kita pada masa tua, menghitung hari-hari kepulangan anak ke pangkuan. Ada ketakutan juga kita nanti bagaimana? Moga Allah permudahkan.


Besok masih ada komitmen kerja pukul 3 petang, ada online session dengan supplier. Tapi macam perlu cancel je. Not in the right mind nor have the time for a meeting.


Ada satu soalan menerpa di minda, paraphrasing Dan Brown dalam buku Digital Fortress - "Who takes care of the caretakers?" (OG line - who will guard the guards?) 


Orang telefon kita tak tanya dah tidur ke belum, makan ke tidak, OK ke tak mental? Semua tanya "Abah macam mana dah?" so far boleh lagi I think tapi I can totally see macam mana caretakers orang tua ni boleh burnout.

So yeah. Itu jelah untuk harini. Apa-apa tambahan kita update besok ya. 

1 comment:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter