19 October 2023

Day #10 Writing Challenge - Hospital Abah dan memori-memori (2)

(langkau 10 bahagian Writing Challenge)

*menulis pada pukul 11.30 malam di pekarangan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah* 

Keriuhan group WhatsApp keluarga membawa kepada mesyuarat tergempar adik beradik kami tentang topik yang sangat berat-mak dan abah bagaimana sekarang?

Dua bulan yang lalu, bengkak di kaki abah semakin membesar. Sayalah yang membawa abah ke hospital setelah pulang dari masjid waktu maghrib pada malam Sabtu. Mengangkat abah ke dalam perut kereta sendiri satu tugas yang getir, kerana abah sudah tidak mampu mengampu beratnya sendiri. Penat mendukung Abah dari katil ke kerusi roda, seterusnya dari kerusi roda ke kereta, kakinya langsung tidak memberi kerjasama. 

Tepat sewaktu azan Isyak berkumandang, tayar bergolek. Teringat malam itu, hanya berfikir Abah hanya akan dirawat dan diberi ubat, tetapi doktor merumuskan masalah Abah lagi serius dari yang kami fikirkan. Thrombosis - salur darah Abah di kaki tersumbat.

Abah ditahan di hospital pada malam itu, dan keluarga kami terus diuji. Abah sebelum ini walau perlahan, mampu mengurus dirinya sendiri. Kini Abah berdiri sendiri pun tidak betah lagi.

Sebelum ini hanya ada La untuk melihat-lihat Abah dan Mak, masak lauk tengahari, menyediakan hidangan di atas meja untuk Mak dan Abah makan pada waktu malam, menjemur dan mengangkat kain di ampaian. Mak dan Abah boleh berjalan walau dengan bantuan tongkat.

Kini tidak lagi. 

Abah tidak mampu lagi berjalan sendiri ke tandas. Harus ditolak atas kerusi roda. 

Kami bercakaran. Berhujahan dalam mencari kata sepakat. Pada akhirnya diputuskan (dengan penuh kontroversi) ada satu kitaran 10 minggu untuk menjaga Mak Abah. Abengah akan mengambil 4 minggu sewaktu pulang dari offshore, manakala baki 6 minggu akan diambil kami berenam yang lain. Bermakna setiap kami yang bekerja perlu mengambil tempoh cuti seminggu sewaktu giliran kami, tiada kompromi.

Giliran saya setelah dipersetujui, jatuh pada minggu kedua kerana tarikh yang tidak kritikal untuk tugasan kerja. Ada perbincangan yang panjang dengan majikan, bahawa saya memohon bekerja dari rumah dan bukan cuti sewaktu giliran saya. Bermakna tugasan-tugasan kerja masih perlu disiapkan walau di kampung.

Dan giliran tersebut bermula pada hari ini. Rabu 18 Oktober 2023. Sengaja saya susun jadual giliran saya supaya bermula pada hari Rabu dan berakhir pada hari Selasa, kerana tidak mahu satu minggu berderet tidak bekerja. Sekurang-kurangnya kedua-dua minggu saya akan masuk ke pejabat. 

Dan seperti kali terakhir saya menghantar Abah ke hospital, takdir saya Abah perlu ditahan di wad. Pada kali ini, tekanan darah Abah terlalu rendah - 4.5 (what's the unit here, I'm not sure). Dr mengesahkan ada luka di usus Abah, tapi Dr perlu memasukkan kamera untuk menentukan lokasinya. Sepatutnya pada hari ini Dr hanya mengambil bacaan mingguan darah Abah. Kini tersekat kami di sini. 

Dari pukul 8 pagi tadi Abah di hospital, semalam redam dalam tangis air mata mengkhabarkan kepada Mak untuk menyiapkan bajunya untuk ke hospital hari ini, katanya tidak akan kembali lagi. Mak apabila terlihat gambar jarum branula di leher Abah semakin berjujuran air matanya membayangkan yang tidak-tidak (bukan-bukan, tapi dengan cara orang Sabah menyebutnya). Tangan dan kaki Abah bengkak, tiada tempat lagi untuk Dr memasukkan jarum. 

Begitulah update ringkas tentang menjaga Abah. 20 minit yang lalu baru diumumkan Abah akan dihantar ke wad dan warisnya (saya) dimaklumkan melalui pembesar suara, kerana saya tidak dibenarkan menemani Abah sewaktu menjalani rawatan di zon kuning. Tadi sempat melihat Abah dimasukkan darah, melihatnya pun dah gelap mata, mabuk. Can never be a doctor, for sure. 

Ya dari 8 pagi sampai 11 malam di sini. Malam saya baru saja akan bermula sekarang. Menjaga Abah di wad sehingga dibenarkan keluar. Wish me luck guys. 

No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter