Ketika bertemu
bersama Shafiq, Amirul dan Aizuddin di Alamanda hari Rabu yang lalu, kami
membuka kembali kisah pertualangan kami ke puncak gunung G7, Yong Yap, Bubu dan
Tok Nenek menjelang tanggal merdeka bulan yang lalu. Perjalanan selama 4 hari 3
malam meredah sungai, belantara dan hutan buluh di dalam hutan Kelantan demi
menuju ke puncak lebih 7000 kaki dari paras laut mendekatkan perhubungan kami
sehingga kami menjadi seperti bersaudara. Frasa Brotherhood of Mountaineers
menerjah di kepala.
Amirul, setelah dipujuk
Aizuddin dan saya, pada mulanya perlu menghadiri latihan koir universiti,
memilih untuk membatalkan hasratnya dan terus menyertai kami. Aizuddin
terutamanya, menggasak Amirul dengan guilt trip sehingga Amirul merasa bersalah
untuk meninggalkan kami. “Bukan selalu kau jumpa aku, batalkan jelah pergi koir
tu!” pujuk Aizuddin. Amirul tersenyum dengan wajah penuh rasa bersalah. “Cakap
je kau penat tadi ada exam, satu malam belum tidur.” Saya pula mencucuk jarum.
Kami semua
berbeza umur, latar belakang keluarga dan pendidikan (kecuali saya dan Aizuddin
yang sama sekolah, tapi kami tidak pernah bersua kerana saya masuk ke MRSM
Jasin tahun selepas dia bergraduat), yang menyatukan kami anehnya ialah tiga
puncak gunung di banjaran terpanjang Semenanjung Malaysia. Aizuddin paling tua,
berusia 29 tahun walaupun dia sering mengaku usianya 30 “Genapkan je umur aku”,
katanya, saya bakal berusia 27 tahun 2 bulan lagi (tetapi dari segi saiz badan,
ya saya yang paling besar angkanya), Shafiq 25 tahun, menyambung pengajian
ijazah di UniKL – MFI setelah 3 tahun bekerja, dan Amirul paling muda, berusia
24 tahun, masih mengaji ijazah di UniKL – MIAT.
Aizuddin senior
saya di MRSM Jasin, kami berdua secara seloroh digelar Bani Jasinian oleh ahli
GEMA yang lain, satu gelaran yang dicipta oleh Ustaz Fairus.
Kami berempat silih
berganti bercanda dan bergurau, membuka kembali kisah-kisah yang terabadi di
Banjaran Titiwangsa genap sebulan yang lalu.
Sehari sebelum
bertolak ke YYTBN, malamnya saya tidak dapat tidur, merisau-risaukan bahaya
yang menanti di hutan nanti. Saya meneliti berkali-kali senarai barang yang
disediakan penganjur, separuh daripada barang-barang tersebut belum saya
miliki.
Ini ialah kisah
bagaimana akhirnya saya memiliki setiap barang-barangnya pada hari kami
bertolak ke Cameron Highlands dan demi Tuhan, saya terasa seperti ingin
menangis kegembiraan dan keharuan, kerana setiap barang tersebut sangat
diperlukan sewaktu ekspedisi, seolah-olah Tuhan telah membantu saya untuk
mendapatkan setiap satunya pada saat-saat genting beberapa jam sebelum kami
berlepas (atau mungkin juga saya yang kuat bertangguh, hanya mencari pada
saat-saat akhir hmm).
Seminggu
sebelumnya, sewaktu pulang ke rumah, saya meminjam duit Abah RM200 untuk
membeli barang keperluan ke YYBTN. Dalam kepala saya ketika itu, RM200 itu akan
digunakan untuk membeli 3 barang yang paling utama – windbreaker, kasut hiking
dan seluar tracksuit.
Kasut hiking saya
rosak setelah menuruni Gunung Kenderung dua minggu sebelum mendaki YYBTN. Kali
ini saya membeli sepasang kasut Power yang baru berwarna biru dengan harga RM80
di Bata, Alamanda – cari yang termampu. Saya meneruskan derapan langkah pantas
ke Parkson – membeli seluar tracksuit yang paling murah juga jenama Cheetah –
RM21.90. Seluar tracksuit yang lama telah koyak ketika menuruni gunung, tidak
pasti yang mana. Koyaknya benar-benar di bahagian punggung, sungguh garisan
koyaknya kecil, tetapi khuatir juga akan memanjang ke bawah.
Saya mencari-cari
windbreaker di Parkson – tiada, yang ada hanya baju hujan yang tidak boleh
menyimpan haba badan. Jika anda tertanya mengapa windbreaker sungguh penting
untuk mendaki, izinkan saya untuk menghuraikan sebabnya. Sewaktu saya mula
menyiapkan diri untuk mendaki, termasuklah menyediakan material-material yang
perlu dibawa, setiap satu barang yang dibawa akan dijustifikasi setiap
perinciannya – berapa berat, apakah materialnya kalis air, berapa pentingkah
barang ini, apa akan terjadi jika barang ini tidak dibawa?
Windbreaker atau
windcheater, ialah satu artikel pakaian penting yang dipakai untuk melindungi
diri dari angin sejuk dan hujan sewaktu mendaki gunung. Berlainan dengan baju
hujan, windbreaker bukan setakat perlu untuk menangkis serangan dari luar,
windbreaker juga mestilah mampu menyimpan haba badan daripada terbebas,
pendakian yang melibatkan ketinggian lebih 1000 meter dan bermalam di puncak
lazimnya tidak dapat lari daripada suhu sejuk.
Untuk mencapai
objektif tersebut, sesehelai windbreaker perlulah kalis air, dibuat daripada
material yang kedap haba, dan ringan. Ketiga-tiga ciri yang dinyatakan
bermaksud windbreaker selalunya diperbuat daripada bahan sintetik yang ringan dan
lebih mahal berbanding pakaian lain yang dibuat daripada kapas atau bulu.
Pemakaian sweater misalnya, untuk mendaki tidak sesuai kerana sweater selalunya
dibuat daripada kapas yang akan menyerap air dan lambat kering yang akan
menjadi azab ketika hujan, dan sweater juga akan memberi beban tambahan kepada
pendaki, selain saiznya yang besar dan tebal menyebabkan sweater lebih sukar
disimpan dan mengambil banyak ruang simpanan di dalam beg.
Setelah selesai
membeli kasut dan tracksuit di Alamanda, saya bergegas ke Outdoor World
Adventures di depan MINES sebelum solat Jumaat pada hari kami bertolak untuk
mencari windbreaker. Pengalaman kesejukan di puncak Kenderung menjadi igauan
ngeri apabila baju yang dibasahi peluh ditiup angin sejuk gunung tanpa sebarang
perlindungan sewaktu mendaki selepas subuh, sehingga saya menggigil terasa
kulit digigit-gigit angin dan lembapan di baju menjadi musuh kepada diri
sendiri. Itu saja sudah cukup meyakinkan saya untuk memiliki sehelai
windbreaker untuk ekspedisi YYBTN.
Windbreaker The
North Face, berharga RM99, sudah kehabisan saiz. Akhirnya saya membeli windbreaker
jenama lain yang berharga RM85 setelah diskaun. Dihitung tolak tambah, hampir
kehabisan RM200 duit pinjaman daripada Abah. Windbreaker tersebut nipis tetapi
boleh menyimpan haba dengan cemerlang, ringan dan apabila dilipat dengan betul
boleh muat disimpan ke dalam poket seluar, satu faedah yang menyenangkan saya.
Petang setelah
solat Jumaat, saya singgah ke farmasi. Hajat di hati untuk membeli plaster atau
kain yang boleh digunakan untuk melindungi luka daripada terus menjadi teruk.
Pendakian berturut-turut gunung selama beberapa minggu menyebabkan kaki saya
melecet di ibu jari dan jari kelingking, sehingga kulitnya bergelembung air.
Setelah gelembungnya pecah, kulitnya terbuka, belum mahu bertaut.
Pada mulanya,
atas saranan kak Nina, saya meminta kain gauze daripada pekerja farmasi. Tetapi
pekerja tersebut mencadangkan kepada saya untuk menggunakan self adhesive
bandage untuk melindungi luka di jari. Lebih mudah tanpa perlu menggunakan pita
pelekat, hanya lilitkan bandage tersebut di jari beberapa kali dan bandage
tersebut akan melekat sendiri. Meneliti kembali senarai barang-barang yang
perlu dibawa, satu demi satu saya pangkah tanda sudah selesai – kasut hiking,
seluar track, windbreaker, dan plaster – tupperware, toiletries. So far so
good.
Pada malamnya
sewaktu dalam perjalanan ke Cameron Highlands kami berhenti di R&R Sungai
Buloh, saya dan Edi membeli barang-barang keperluan terakhir kami untuk mendaki
– gula-gula gummy candy, air mineral dan bar coklat. Satu lagi item dipangkah
dari senarai.
Item terakhir
yang saya pangkah dari senarai, menariknya pada hari pertama kami mendaki,
ialah satu perkara yang membuatkan saya berasa sangat terharu kerana akhirnya
saya menemui penawar kepada sebuah persoalan rumit dan menekan yang selalu
bermain di minda ketika mendaki – apakah ubat untuk peha melecet?
Iwan yang
terdengar perbualan saya dengan Edi memberikan jawapannya – Vaseline. Secara
automatik, satu lagi item dipangkah dari senarai. Vaseline juga dipanggil
sebagai jeli petroleum, dan walaupun dibuat daripada petroleum, lazimnya
digunakan untuk tujuan kosmetik. Kata Iwan, Vaseline tidak sama dengan losyen.
Losyen akan rasa melekit di kulit, tetapi Vaseline tidak.
Semua item
tersebut saya gunakan sewaktu mendaki; kasut hiking tersebut yang masih keras
kerana baru dibeli malangnya melukakan kaki saya, sehingga pada hari keempat
kedua-dua tumit saya berdarah dek geseran keras dari kasut. Windbreaker, setiap
kali malam melabuhkan tirai dan kesejukan menyelubungi. Tracksuit – sudah
tentu, setiap masa mendaki. Vaseline – walaupun saya belum memilikinya ketika
di YYBTN dan terpaksa meminta dari Iwan setiap pagi, sekurang-kurangnya saya
sudah menemui penawar kepada peha melecet – pengetahuan yang akan dibawa sampai
bila-bila setiap kali mendaki atau bersukan lasak.
Nah, untuk semua
ini berlaku di YYBTN, saya berasa bertuah. Senarai itu yang saya tidak pernah
jangka untuk saya penuhkan, satu demi satu saya pangkahkan sehingga semuanya
selesai.
“Aku mental hari
pertama waktu dekat YYBTN!” teriak Amirul kepada kami. Saya dibawa kembali ke
meja makan kami, di foodcourt Rasa Alamanda.
“Kenapa Amirul?”
Saya bertanya.
“Sebab kau potong
aku!” Amirul mengaku jujur, mengundang tawa saya dan Aizuddin. Shafiq masih
belum menghabiskan makan malamnya.
“Tengah-tengah
jalan je, tiba-tiba ‘Tumpang lalu!’ Itulah. Macam mana kau boleh jadi laju ah?”
tanya Aizuddin kepada saya.
Saya juga tidak
menyangka, apa yang berlaku sewaktu di YYBTN adalah bertentangan dengan
jangkaan saya. Saya menjangka akan menjadi orang terakhir sampai bersama
sweeper, bernafas mencungap-cungap, kepenatan. Sewaktu latihan, saya beberapa
kali menjadi orang terakhir sampai. Saya tahu tahap kecergasan saya terlalu
rendah. Mendaki YYBTN merisaukan saya kerana sewaktu latihan saya tidak membawa
sebarang beban. YYBTN lebih mencabar kerana pendakian lebih 2000meter dengan
muatan barang di belakang yang perlu dikendong sepanjang masa. Saya juga hanya
mula berlatih mendaki benar-benar sebulan sebelum YYBTN, iaitu pada 30 Julai bermula
dengan Gunung Datuk, Kenderung Kerunai dan Bukit Kutu, dan pada 27 Ogos, saya
sudah mula mendaki Gunung Yong Yap.
Berbanding dengan
ahli lain ekspedisi kami yang semuanya pernah memanjat beberapa belas dan ada
yang berpuluh gunung dan telah terjebak dengan aktiviti hiking bertahun-tahun
lamanya, saya tahu latihan saya selama sebulan itu terlalu sedikit.
Tetapi syukur,
perkara yang saya takutkan itu tidak berlaku, sekurang-kurangnya untuk hari
pertama dan kedua di YYBTN. Walaupun saya beberapa kali berhenti kepenatan,
saya meneruskan pendakian sehingga berjaya memotong beberapa orang yang lebih
berpengalaman dari saya, Amirul salah seorang daripada mereka. Walau
bagaimanapun, perjalanan hari pertama dan kedua meletihkan saya dan salah
perkiraan dari segi makanan, minuman dan masa menyebabkan pada hari ketiga,
saya benar-benar penat dan ketinggalan di belakang.
“Aku stress hari
pertama sebab dia potong aku, lepas tu bila aku dah dapat masuk dalam mindset
tu, baru aku tak mental.” Amirul menerangkan. Mungkin bagi sesetengah mereka,
melihat saya berjalan laju merasa tercabar, kerana saya peserta yang paling
mentah, dan juga montel.
Tetapi saya tidak
merasa saya hebat atau laju, kerana pada pendapat saya, hari pertama
pendakiannya tidak mencanak, banyak jalan yang mendatar. Pada hari kedua,
sewaktu jalannya sudah mencanak ke puncak Yong Yap, ketika itu saya sudah
perlahan, cuma kerana saya sudah laju ke hadapan ketika jalannya masih
mendatar, saya mempunyai kelebihan masa sewaktu mendaki. Sekiranya saya mendaki
di cerun mencanak itu pada waktu yang sama dengan ahli ekspedisi yang lain, saya
tahu saya akan ketinggalan di belakang.
Dan yang
terakhir, saya merasakan bahawa beg saya lebih ringan berbanding orang-orang
lain. Sewaktu mengemas barang, semua benda yang rasa tidak diperlukan saya
tinggalkan di rumah. Cecair mandian disalin ke dalam bekas-bekas kecil, dan
dompet pun saya tinggalkan. Saya hanya membawa kad pengenalan, lesen, kad ATM
dan kad Hijau CIDB untuk insurans sekiranya apa-apa berlaku. Sewaktu
pembahagian ration juga saya merasakan saya mendapat ration yang lebih ringan
berbanding orang lain, selain hari kedua saya membawa sampah yang lebih ringan
daripada ration lain.
Saya pernah
membaca, hiker mat salleh ada yang sangat komited dan obses dengan berat barang
yang mereka bawa, sehingga mereka mematahkan berus gigi mereka untuk
mengurangkan beberapa gram berat daripada dibawa mendaki. Sedikit daripada
semangat itu tertempias sewaktu saya mengemas, benda yang tidak diperlukan
jangan sesekali dibawa, walaupun beratnya hanya beberapa gram.
Pendakian pada
hari ketiga menyebabkan saya sebenarnya masih trauma sehingga hari ini. Perjalanan
bersendirian di tengah belantara tanpa mengetahui simpang yang perlu dituju,
kehabisan bekalan air sehingga terpaksa menjilat dedaunan dan menghisap lumut,
selain cerun yang seperti ingin membunuh. Sewaktu itu benar-benar saya
merasakan kebencian gunung kepada manusia, seperti setiap kali kami melepasi
satu cabaran, gunung akan cuba membunuh kami dengan cabaran dan cara yang lain –
sehingga samaada kami berjaya dibunuh atau kami meninggalkannya. Batu licin 90
darjah, agas, cerun tanah runtuh, hujan dan panas silih berganti bagai ingin
mengelirukan badan sekejap sejuk dan sekejap hangat.
Sehingga apabila
kembali, beberapa kali imbasan ngeri dalam hutan muncul ke dalam mimpi. Saya
teringat ketika berhenti di bawah pokok besar, saya mendengar bunyi daun-daun bergesel.
Ketika menoleh, saya melihat seolah-olah ada orang berjalan di lorong yang baru
saya lalui. Saya tidak berhenti berzikir dan berdoa supaya tiada perkara buruk
akan berlaku. Eira juga menceritakan kepada saya, sewaktu saya berjalan
bersendirian dua orang pendaki mendengar bunyi ngauman harimau. Kerana
khuatirkan keselamatan saya, mereka menyalakan mercun.
Eira juga
khuatirkan saya, setelah membaca penulisan saya di blog selepas kami kembali,
Eira bercerita tentang kisah Hassan Ayat yang sudah hilang selama 7 tahun di
hutan Yong Yap, sehingga kini masih belum ditemui. Pencarian lanjut kisah
Hassan Ayat menemukan saya kepada mangsa-mangsa Gunung Yong Yap yang lain. 5
tahun sebelum kehilangan Hassan Ayat, seorang jurutera Petronas, Mohd Ehsan
juga telah hilang di hutan Yong Yap, sehingga kini belum ditemui. Isterinya
ketika itu sedang hamil.
Secara retrospek,
setiap cebisan cerita ini membuatkan pengalaman saya ketika di dalam hutan
menjadi lebih tegang, membuatkan memori ngeri itu diperkuatkan sebagai trauma.
Sewaktu di Lata
Jerangkang 3 minggu selepas kembali dari YYBTN, walaupun pendakian kami ke air
terjun tingkat 40 tidaklah lama, saya berasa takut ketika ketinggalan
bersendiri, tanpa ada orang di belakang dan depan. Saya segera berlari
mendapatkan Aizuddin di depan, walau apapun yang berlaku, bersendirian di dalam
hutan sudah menjadi satu pantang buat saya selepas YYBTN.
Sewaktu kami
bermandi manda di Lata Jerangkang juga, saya merasa takut untuk melompat ke
dalam air, sedangkan sebelum ini saya tidak pernah takut kepada air yang dalam.
Tidak seperti sebelum-sebelum ini, untuk terjun ke dalam air di Lata Jerangkang
ini saya perlu memujuk diri sendiri untuk menjadi berani. YYBTN telah mengubah
persepsi saya terhadap alam, bahawa sebabnya manusia perlu membina tamadun
adalah kerana manusia tidak mungkin mampu hidup di tengah alam tanpa
mengubahnya, kerana alam terlalu kejam kepada manusia. Alam tidak pernah mahu
bersahabat dengan kita.
Sepanjang masa
berada di tengah belantara, di dalam sungai, pemahaman itu mendalamkan rasa
hormat saya kepada alam sebagai makhluk ciptaan Allah. Dan juga merasa gentar
kepada amarah alam – lubuk yang tidak berdasar, gunung tinggi mencecah awan,
hutan tiada bersempadan.
Tetapi alam juga
yang mendekatkan kami semua. Jikalau bukan kerana gunung Yong Yap, Bubu dan Tok
Nenek, pada malam ini saya tidak akan bertemu dengan Aizuddin, Amirul dan
Shafiq, bahkan untuk mengenali mereka jauh lagi.
“Shafiq datang
sini untuk berubah, Bad.” Luah Shafiq kepada saya sewaktu kami mandi bersama di
Kem Berlumut, malam kami turun dari Gunung Tok Nenek.
“Nak ubah apa?”
tanya saya.
“Shafiq tak boleh
cerita.” Saya membiarkan kata-kata Shafiq tergantung di situ.
Semua orang
miliki sejarah, termasuklah saya. Sejarah saya yang memaksa saya berkelana di
sini, tanpa pula saya membenarkan sesiapa mengetahui, segalanya biar tersimpan
sebagai rahsia. Saya memahami Shafiq, dalam frekuensi itu. Kami semua di sini,
berada di sini kerana sebab-sebab sendiri.
Saya mula rapat
dengan Shafiq seingat saya hari kedua, ketika di atas puncak Gunung Yong Yap. Di
dalam kumpulan WhatsApp, saya teringat Shafiq pernah merujuk Tokie dan Ita
sebagai ‘Maharani-maharani’ mengundang ketawa saya. Sebetulnya, saya dan Shafiq
bertemu kali pertama di kedai Outdoor World Adventure pada hari kami bertolak
ke YYBTN, ketika saya membeli windbreaker. Sungguhpun kami belum mengenali satu
sama lain, saya sempat mengerling kepadanya sebelum dia keluar.
Pekerja kedai
tersebut yang melayan saya selepas Shafiq selesai urusan pembelian bertanya
kepada saya ketika saya sedang mencuba windbreaker “Abang nak pergi mana?”
“Yong Yap.”
“Bila?”
“Malam ni.”
“Oh, customer
yang sebelum ni pun nak pergi Yong Yap. Malam ni jugak.”
“Oh yeke?
Kecilnya dunia!”
Aizuddin saya
kenali dari Gunung Datuk, bermula pendiam sebelum menonjolkan sifatnya yang
kuat mengenakan orang, dan Amirul saya kenali dari Batu Maloi, yang dari saat
pertama sudah meriah dengan celoteh. Kami menjalin ukhuwah mesra, ironinya dari
gunung yang berlaku kejam kepada kami. Malah baru minggu sebelumnya, kami
beramai-ramai; Yunuss, Hakim, Irsyad, Ostad Fairus, Amirul dan saya tidur
beramai-ramai di rumah Aizuddin selepas berpesta durian. Pada malam bekerja
pula. Ini, sesuatu yang sudah lama tidak berlaku dalam hidup saya selepas tamat
pengajian di universiti – tidur beramai-ramai pada malam hari bekerja,
membuatkan saya teruja bersama mereka. Impulsif, dengan mentaliti ‘kasi jadi’,
sama seperti saya. Bagi mereka, norma boleh dilentur kepada keinginan sendiri,
asalkan tidak melampaui batas-batas Sang Paduka.
“Kita nak jadikan
aktiviti outdoor ni syariah compliant” teringat saya kepada kata-kata abang
Fauwaz ketika memperkenalkan kumpulan GEMA Selangor Backpackerz sewaktu kali
pertama kami bertemu. Solat jemaah, ikhtilat wanita dan lelaki yang dijaga
sewaktu berkhemah menjadikan pengalaman di GEMA sesuatu yang menenangkan,
terasa bagai kami bertemu dan berpisah dengan redha Allah. Kata-kata itu terus
membawa saya kepada doa saya di depan Kaabah 2 tahun yang lalu.
“Ya Allah, saya
telah redha dengan takdirMu ya Allah. Janganlah benarkan saya berasa sunyi lagi
ya Allah. Berikanlah saya sahabat yang akan menemani saya hingga ke syurga.”
Doa itu saya
ungkapkan di depan Kaabah tatkala saya merasa hidup saya buntu, keseorangan,
kesepian. Saya tidak pasti apakah doa saya sudah terjawab, tapi buat masa kini,
apabila bersama mereka, saya tidak lagi merasa sepi.
Tapi dalam gembira
bersama sahabat-sahabat baru, sebaik pulang dari YYBTN, mendengar pengakuan
Keon dan Naja menyebabkan hati saya pilu. Keon dan Naja menceritakan kepada
saya ketakutan mereka sewaktu saya berada di sana.
“I thought I’ll
never see you again. Or after you got back you become distant. Alhamdulillah
you don’t. I’m afraid that you injure yourself and nobody else would help you.”
Tulis Keon kepada
saya sebaik saya kembali. “When you got back, I was relieved. I was worried
sick.” Tambah Keon sewaktu kali pertama kami bertemu selepas tamat YYBTN.
“Malam ini, aku
akan hilang seorang kawan yang hidupnya dulu seputar buku, lagu, dan secawan
teh.”
Tulis Naja dalam
blognya tentang saya, yang ditulis sebelum saya mendaki. Saya terkesima pada
baris pertama ayatnya.
“Wahai kawan,
pergi kau bukanlah selamanya, beberapa hari dan malam cuma. Benarkah? Aku tak
begitu pasti lagi. Mungkin engkau akan pulang, ya, tapi adakah yang pulang itu
engkau?”
“I know you guys
were worried about me, but I don’t know to what extent.” Saya membalas mesej
mereka, terharu.
Kata-kata mereka
memilukan saya. Betapa juga YYBTN menyerlahkan perasaan persahabatan dalam diri
mereka kepada saya yang menyayangi saya dan merisaukan saya sebagai sahabat
mereka.
Tentulah saya pulang, tetapi yang pulang itu bukan lagi saya yang
sebelum mendaki. Saya pulang kembali dengan pengalaman yang diraih dari tiga
puncak gunung, dengan suatu pemahaman baru yang saya pelajari tentang alam,
persahabatan dan diri sendiri. Tetapi bagaimana pula saya ingin bercerita dan
berkongsi dengan mereka tentang segalanya yang telah berubah di samping
segalanya yang masih sama tentang saya? Adakah mereka sudi untuk menerima?
Tanpa mereka
menyedari, sungguh di luar kerelaan saya, YYBTN telah mengubah kami semua. Saya
yang pergi ke sana, mereka yang saya tinggalkan, dan mereka yang saya temu di
YYBTN. Betapa aneh.
Malam ketika kami
mula melihat Shafiq di eskalator menuju ke medan selera Rasa, kami tertawa
melihat beg jenama Karrimor yang digalas Shafiq di belakangnya untuk ke kelas.
Shafiq baru
pulang dari kelas, terus memecut motornya ke sini sementara saya, Aizuddin dan
Amirul menunggu.
“Pertama kali
Shafiq datang sini.” Katanya.
Beg Karrimor, beg
mahal dipakai untuk aktiviti outdoor. Untuk seseorang memakainya ke kelas,
menunjukkan obsesi dan kecintaan yang mendalam kepada bidang outdoor yang
melimpah ke kehidupan seharian. Begitupun, kami menerimanya dengan lelucon dan
gurauan, no hard feelings, no judgment.
“Orang panggil
Shapit bapak orang dekat kolej.” Shafiq membuka cerita tentang usianya yang
lebih tua berbanding rakan sekuliahnya yang lebih muda beberapa tahun
berbandingnya. Selepas tamat diploma Shafiq bekerja beberapa tahun sebelum
menyambung ijazah. Shafiq katanya malam ini ada latihan hoki di universiti,
tetapi seperti Amirul juga, dia mengambil keputusan untuk bertemu kami.
“Kita nak buat
apa malam ni?” tanya Shafiq.
Kami bertiga
tertawa.
“Malam ni kita teman
Amirul pergi training.”
Perbualan kami
terus disambung tentang kisah-kisah di YYBTN. Sungguh aneh, apabila bersama,
segala kenangan pahit boleh bertukar menjadi manis, dengan senyuman dan gelak
tawa, air laut pun boleh terasa bagai madu. Setelah puas bercerita tentang masa
silam, kami sempat singgah ke wilayah masa depan – tentang pertemuan yang
seterusnya, rancangan-rancangan kami untuk bersua semula, dan dengan gurauan
dan senda, apa-apa yang kami fikirkan kelakar untuk dicerita.
Teringat saya 3
tahun lalu, ketika Abang membaca resume yang saya tulis.
“Hobbies:
reading, hiking?”
Abang gelakkan
saya. “Engkau, suka pergi hiking?”
“Eleh, kau apa
tahu. Aku sukalah pergi hiking!”
Abang masih
tersenyum mencemik, mengejek tidak percaya.
Dia tahu, dan
saya tahu, saya tidak pernah memanjat mana-mana gunung kecuali Bukit Broga dan
Gunung Datuk.
“Aku tak percaya
langsung. Macam mana kau tahu kau suka hiking kalau kau tak pernah pergi
hiking?”
“Aku tahulah, cuma
aku tak pernah pergi je lagi! Tengoklah kau, satu hari nanti aku akan tunjuk
dekat kau aku boleh pergi hiking!”
“Ek, ek?” Abang
masih mengejek. Saya mencapai buku, malas melayan.
“Kalau boleh, aku
nak pergi hiking dengan kau.” Saya berkata kepadanya, acuh tak acuh.
“Jomlah, nanti
kita buat plan hiking mana-mana gunung.” Dia menyahut.
“Serius?” saya
bertanya
“Serius.”
Jawabnya.
Saya memegang
kata-katanya sebagai janji, sehinggalah beberapa bulan berlalu, sehingga kami
berpisah selepas tamat pengajian pun, janji itu tidak pernah tertunai.
Beberapa hari
sebelum hari pernikahannya, saya bermimpi bertemu dengannya di atas sebuah
gunung, untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Mungkin, kerana kekecewaan
dengan janjinya tidak pernah tertunai, saya bermimpi bertemu dengannya di atas
gunung. Dengan berjuta bintang di angkasa, dihembus angin malam kami menghabiskan
masa-masa terakhir zaman bujang kami.
Ketika di puncak
Yong Yap, meninjau Banjaran Titiwangsa saujana mata memandang, sempat saya
berkata dalam hati.
“Abang, kau
tengok. Akhirnya betul aku buktikan aku boleh hiking.”
Saya tersenyum
mengenang masa dulu.
Kini, di puncak
gunung tempat Abang meninggalkan saya di dalam mimpi dahulu, saya bertemu
sahabat-sahabat baru.
Kosa kata gunung:
1-
Gogo
: Pengarah program
2-
Sweeper
: Orang terakhir berjalan. Berfungsi untuk memastikan semua peserta sampai ke
destinasi
3-
Shooter
: orang yang berjalan di depan sekali. Berperanan dalam meninjau jalan dan
menyiapkan kem
4-
Pewai
: Penat. Menurut kata Yunuss, dalam askar, pewai atau piawai bermaksud
standard. Setiap orang mempunyai standard kecergasan sendiri, dan apabila
mereka telah mencapai standard atau piawai tersebut, bermaksud prestasi mereka
sudah mencapai kemuncak dan tidak boleh pergi lebih jauh lagi
No comments:
Write curses