06 January 2015

Things We’ve Lost in The Flood

temerlohbanjir

Papan tanda Temerloh yang rosak separuh dihanyutkan banjir di tebing Sungai Pahang

 

“Mungkin Tuhan mulai bosan, melihat tingkah kita. Yang selalu salah dan bangga, dengan dosa-dosa.”

- Ebiet G Ade, Berita Kepada Kawan

Minggu lepas, saya pulang ke Temerloh. Pertama kalinya lepas banjir melanda. Sepanjang-penjang jalan daripada Lebuhraya Pantai Timur ke jalan bandar masuk jalan kampung, kelihatan kesan ketara daripada bencana banjir. Pokok-pokok yang bertakat kuning menjadi penanda aras ketinggian banjir, rumpur-rumput dan lalang yang mati petanda kawasan yang pernah dilanda bah. Jalan-jalan tar merekah, malah ada yang terputus terus akibat runtuh. Setiap kali tingkap kereta dibuka, bau busuk lumpur mencucuk-cucuk hidung.

Masih ada lagi kawasan yang tenggelam, kami hanya melaluinya sambil menggeleng-geleng kepala sambil berkata “E eee” seakan tidak percaya. Malah jalan yang kami lalui untuk sampai ke rumah pun sebenarnya tenggelam sewaktu banjir, hanya boleh dilalui bot.

Ada rumah yang rebeh, ada yang roboh terus, ada yang berselut sampai ke syiling. Sepanjang-panjang melalui kawasan perumahan, nampak tilam, bantal, perabot dan pakaian yang dijemur di luar rumah. Ada juga barang-barang tersebut yang dilonggokkan dan dibakar, jelas sekali akibat sudah rosak disentuh air.

 

Syukur rumah kami selamat di atas bukit. Tapi terputus hubungan juga. Satu daerah Temerloh lumpuh, tiada tempat yang tidak terjejas. Seluruh kawasan kejiranan kami masih tiada bekalan elektrik kerana pencawang yang membekalkan elektrik ke grid rumah kami meletup, sudah hampir seminggu tidur bertemankan api lilin.

Kata Mak, walaupun tiada elektrik, Mak dan Abah tetap tak mahu bermalam di rumah Abengah walaupun selepas banjir surut. Sewaktu banjir risikonya samaada rumah tenggelam, ataupun rumah dimasuki pencuri yang menangguk di air keruh. Tiada yang benar-benar terselamat. Mak dan Abah takut rumah kami jadi mangsa pecah rumah selepas banjir.

 

Terminal Bas Temerloh

Bukan setakat rumah tenggelam, pasaraya yang dekat dengan rumah kami pun habis dipecahkan. Bekalan yang dicuri dari pasaraya tersebut dijual dengan harga gila kepada mangsa-mangsa banjir terdesak yang tinggal di rumah masing-masing kerana terputus hubungan, sehingga satu sarang telur boleh mencecah RM30 dan air mineral botol besar RM10. Ada dengar cerita mesin ATM di Petronas berdekatan dipecahkan, tapi tiada berita samada duit berjaya dilarikan atau tidak. Begitulah manusia. Bila terjadi bencana terus berpatah ke jungle law, jadi tidak bertamadun. 

Ada kereta yang dihanyutkan air sehingga menjunam ke tebing, ada yang ditinggalkan begitu sahaja, mungkin sekali tidak sempat dilarikan pemiliknya.

Kami melalui jalan kampung untuk melawat saudara kami. Ada seorang sepupu kami bercerita dia terpaksa menarik bangkai lembu yang mati ke dalam sungai kerana risau bangkai lembu yang mereput itu akan berbau. Selut yang melitupi lantai rumah separas buku lali, kami hampir saja tidak boleh melangkah kerana selipar melekat dalam lumpur.

Kami mengemaskan rumah saudara kami yang terjejas, sekurang-kurangnya membawa keluar barangan dari dapur. Kerja-kerja yang selalunya lebih mudah menjadi sukar kerana selut yang menyebabkan pergerakan menjadi perlahan, dan keputusan bekalan air untuk mencuci. Segala-galanya menemui penghujung riwayat. Perabot menjadi kembang, mesin basuh, TV dan peti sejuk sudah boleh dibuang. Kami bertemu 2 ekor ular yang dihanyutkan banjir di dalam rumah, kedua-duanya dibunuh terus.

Bandar Temerloh yang seminggu lumpuh masih bersalut lumpur. Jalan yang baru lepas ampuh dek banjir pun berselut tebal, sehingga ada kereta yang tergelincir ke tepi kerana kegagalan mengawal stereng. Kami melalui jalan tersebut berhati-hati, risau nasib sama menimpa kami.

 

 

 

 

Sesetengah lampu trafik pun masih belum berfungsi, menyebabkan kereta terpaksa dipandu dengan cermat sewaktu di simpang. Bekalan makanan ada yang terus dinaikkan harga, walaupun sedikit mungkin sekali untuk menampung kerugian sewaktu banjir.

Ada juga kedai yang terus memberi harga diskaun melampau. Kedai perabot dan kedai tudung terus dibuka selepas banjir surut dengan barang jualan dijual murah, kerana sudah menyerap air banjir. Mereka ingin cepat menghabiskan barang-barang niaga yang terjejas.

 

Kedai bengkel kereta pun boleh mencari rezeki, walaupun banyak bengkel-bengkel yang terletak di kawasan rendah mengalami kerugian yang besar. Hotel-hotel semuanya penuh kerana ramai yang mencari perlindungan di tempat selesa.

Ada kisah seorang guru yang baru berpindah 2 hari ke rumah baru, terus dilanda bencana. Rumah barunya tenggelam habis akibat air paya yang melimpah di belakang rumah. Menangis guru itu tidak berhenti.

Temerloh, seperti Muar yang terkenal dengan tempat bernama Parit, terkenal dengan tempat bernama Paya. Paya Dalam, Paya Kecil, Paya Kecil Hilir, Paya Pamah. Kata Mak, paya-paya ni asalnya dari penanaman padi zaman dulu, sebelum orang Temerloh beralih ke getah dan kelapa sawit, meninggalkan sawah menjadi paya.

Paya-paya inilah dulu yang menjadi empangan air sewaktu hujan lebat, yang boleh menampung sementara hujan lebat. Malangnya sekarang banyak paya-paya ini yang dikambus untuk pembangunan sehingga apabila hujan, air terus berkumpul di atas tanah dan tiada tempat untuk mengalir. Kawasan paya ini setelah ditebus didirikan McDonald’s, KFC, Marrybrown dan pelbagai deretan kedai. Memandangkan sekarang perubahan iklim berlaku, hujan semakin lebat dan air pula tiada tempat untuk mengalir, menyebabkan banjir mudah berlaku. Kawasan paya yang semakin mengecil cepat memuntahkan isi ketika hujan lebat.

Sungai Pahang yang selalunya menjadi punca rezeki penduduk Temerloh bertukar ganas. Sangkar-sangkar ikan patin, ikan rasmi daerah Temerloh banyak yang musnah. Ada yang terhanyut sehingga ke darat. Ikan-ikan patin dalam sangkar mungkin sekali sudah terlepas keluar mencapai merdeka. Kerugian mungkin sekali mencecah puluh-puluh ribu.

Buat pertama kalinya, barulah saya mengerti amarah alam.

 

 

 

*Semua gambar diambil dari facebook group TEMERLOH*

2 comments:
Write curses
  1. Pembangunan di Malaysia, tidak memerhati faktor geografi... keadaan muka bumi dan sebagainya. Lihat saja jalan-jalan yang rosak setiap kali selepas hujan. Berlubang di tempat yang sama setiap kali. Baiki. Hujan, rosak lagi. Sepatutnya pihak berkuasa perhatikan, tempat tersebut memang tempat pasir jerlus atau laluan air...

    Air memang banyak kegunaan tetapi air juga boleh jadi bencana.

    ReplyDelete
    Replies
    1. benar. itulah yang menggusarkan perasaan saya. kita seolah-olah bermain dengan risiko bencana

      Delete

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter