05 March 2011

Mak

Semalam Mak telefon, tanya khabar berita. Dah lama tak telefon mak. Saya cakap, batuk-batuk. Kadang-kadang bersin. Tak sihat. Mak suruh cepat ambil ubat, takut melarat. Saya cakap ya.

Belakang Mak, dengar suara Dadad. Mak suruh Dadad ambilkan kain buruk; lap lantai. Dadad tanya Mak; “Mak, dekat mana?” Mak jawab; “Tu, dekat tangga tu!”

Dadad tahun ni sudah masuk tiga tahun. Sudah tiga tahun mak jaga cucu Mak macam anak sendiri, sampai Dadad pun panggil Mak Mak. Sedih dengar suara Mak, Mak kata rindu. Saya pun rindu Mak. Rasa nak balik rumah. Tapi minggu ni saya sibuk; saya belajar kereta.

Mak cakap Mak tak sihat sangat lagi. Tangan kanan Mak yang terkehel hari tu masih lagi sakit. Tapi Mak gagahkan diri buat kerja rumah; takut otot tangan Mak jadi lemah.

Belakang badan Mak kulitnya tegang, masih tak pulih-pulih. Sebab Mak diabetik, kudis susah nak elok. Sedih teringat Mak. Harap-harap Kitan dengan De jaga Mak baik-baik.

Teringat peristiwa sedih masa Mak tertumpah minyak panas satu kawah. Hari yang sepatutnya gembira buat kami, bertukar jadi hari malang. Malam tu, saya kejutkan Mak daripada tidur. Mintak Mak kain pelikat buat pakai. Kain pelikat untuk duduk rumah takde. Mak tolong carikan kain Abah yang Abah dah tak pakai untuk saya.

Besok awal-awal pagi Mak dah bangun, nak siapkan kenduri tunang La. Mak tak macam kami, bangun lewat. Mak bangun awal-awal pagi, siapkan sarapan, basuh kain baju, sidai kain, basuh pinggan. Dalam pukul 10, orang dah mula ramai menolong. Mak pun dah mula kalut nak siapkan semuanya. Kami menolong setakat termampu; De pun masih berpantang lahirkan Akmal.

Dalam pukul 11, orang dah mula memasak di dapur. Kawah-kawah besar dibuka menadah, dapur-dapur besar semua dinyalakan. Lauk-pauk mula dimasak. Kemudian terdengar khabar rombongan tunang pihak lelaki akan tiba. Mereka lekas menyuruh Mak bersiap. Mak pun ingin lekas bersiap. Mak nak buang air. Mak tak tahu lantai tu ditutup surat khabar sebab minyak tumpah. Mak tak tahu. Bila Mak pijak surat khabar tu je, Mak terjatuh. Pak Cu Su menjerit nama Mak; mak cik-mak cik yang lain pun menjerit. Tapi bukan setakat terjatuh; tangan Mak terhentak pada kawah besar yang penuh minyak; minyak masak sebesar satu kawah yang masih mendidih tumpah atas belakang Mak.

Pak Cu Su menjerit nama Mak kuat lagi; sambil Ya menjerit jugak “Mak! Mak!”. Saya ketika itu sedang menjaga anak saudara, lekas berlari ke dapur untuk melihat Mak. Alangkah tersayat hati bila nampak badan Mak berlumuran minyak panas dari bahu ke kaki; baju Mak lenjun dengan minyak panas. Pak Cu Su papah Mak ke tepi; orang ramai mula menjerit memekik. Daripada muka Mak nampak kesakitan yang amat.
De yang masih berpantang, berlari-lari mendapatkan Mak. Saya berlari kepada Mak dan menjerit: “Mak bukak baju! Bukak baju!” saya risau kalau minyak pada baju Mak yang masih panas terus membakar kulit Mak. Seharusnya ditanggalkan segera mungkin!

Kemudian Mak kata dengan tenang: “Tanggalkanlah baju Mak!” Tapi saya melihat semua orang melihat Mak. Saya takut memalukan Mak di depan orang ramai. Segera saya berlari ke bilik Mak mencari kain batik. Sebaik jumpa sehelai, saya berlari semula kepada Mak. De dan Kak Long dengan segera menanggalkan baju Mak. Mak kata “tangan Mak patah!”, perkataan terakhir saya dengar daripada Mak ketika itu. Pak Cu Su menjerit memanggil Abang Hatta; Abang Hatta ketika itu sedang menyiapkan meja di luar.

De sapukan badan Mak dengan minyak gamat setakat tercapai, kemudian Pak Cu Su menyuruh Abang Hatta menyiapkan kereta. Kak Long menyuruh saya mengambil dompetnya di bilik; saya segera berlari ke tingkat atas rumah. Tiba-tiba saya terlihat Dadad di celah kanak-kanak yang berkumpul di tangga melihat Mak. Saya begitu risau akan keselamatannya: kanak-kanak yang sebelum itu begitu asyik bermain dengannya, kini mengabaikan Dadad sekaligus. Dadad mencelah-celah di antara mereka untuk berjalan. Terus saya mendakap Dadad dan mendukungnya turun.

Kak Long kemudian menjerit: “Jaga anak Kak Long!” sebaik saya menyerahkan dompetnya. Dadad ketika itu bersama saya; Shasha pula didukung oleh sepupu kami. Itu pesanan terakhir Kak Long sebelum dia, Pak Cu Su dan Abang Hatta menghantar Mak ke hospital. Susasana hingar-bingar mula bertukar sepi. Ketika itu Ya memeluk De erat-erat dan menangis teresak-esak. “Ya nampak Mak jatuh, Ya nampak Mak jatuh!” kata Ya antara selang tangisnya. De cuba memujuk Ya; kemudian saya menyuruh Ya masuk ke bilik. Di dalam bilik saya, Kitan sedang menangis bersendirian. Ya dan Kitan keduanya menangis tidak berhenti.
Di ruang tamu, Abah termenung. Abah kesal tidak sempat ditemukan dengan Mak sebelum dikejarkan ke hospital; sebab Abah tahu ayat-ayat penawar untuk cedera akibat api.

Saya melepaskan Dadad selepas semuanya bertukar tenang semula. Rombongan tunang lelaki kemudiannya tiba. Mereka terkejut mendengar perkhabaran yang begitu drastik. Abah menyambut mereka dengan sugul; tetapi masih tidak lekang dengan senyuman.

Kemudian saya mengambil Mia dan Shasha dan menidurkan mereka berdua dalam bilik Mak. Dalam bilik Mak, tergantung baju kurung ungu yang akan Mak pakai beserta baju Melayu ungu Abah. Hati saya menjadi sayu.

Dunia saya berhenti sebentar di situ. Saya termenung mengingat Mak dan tidak peduli lagi pada majlis yang berlangsung. Saya memeluk dan mencium Shasha dan Mia berulang kali; kerana begitu saya rasakan rapuhnya nasib manusia. Selepas terdengar bacaan zikir dimulakan, tanda bermulanya majlis merhaban Akmal, saya tahu La sudahpun ditunangkan. Tidak lama kemudian La datang ke bilik Mak dengan baju putih persalinan tunangnya. La menyiapkan beg Mak. Mak ditahan di wad. Kemudian tidak semena-mena La menangis. “Hari ni La pakai cantik-cantik, Mak tak dapat nak tengok!” La begitu pilu dan kesal. Mak tidak ada dalam majlis tunangnya yang patut menjadi hari bahagia, sedangkan sebelum ini Mak sentiasa ada pada hari-hari penting anak-anaknya: konvo, kahwin, tunang. 

Daripada semua orang yang ada, kenapa Mak yang ditimpa bala ini? – Saya bertanya sendiri. Kenapa bukan orang lain?

Kemudian teringat setiap penderitaan anak-anak Mak. Kitan tertelan jarum; Ya memasukkan manik dalam hidung; De dan Kak Long bersalin; saya dan Kitan disunatkan; Abengah patah tangan. Terasa seolah-olah Mak sedang mengambil setiap penderitaan anak-anaknya sekaligus. Setiap kesakitan yang kami rasai ditumpahkan ke atas Mak semuanya serentak untuk menguji sejauhmana kasih sayang kami kepada wanita agung yang melahirkan dan membesarkan kami.

Petang itu, kami melawat Mak. Saya tidak tertahan melihat Mak berbaring di sisi; belakang Mak hampir kesuluruhan luluh dimamah minyak. Saya mencium pipi Mak berkali-kali, sambil airmata saya tumpah tanpa dapat diempang. Saya berbisik tanpa disedari: “Mak! Mak!” Semua saudara dan jiran kami hanya memandang dengan sayu. Saya lihat belakang Mak; kesan-kesan minyak sudah menjadi gelembung air yang besar.

Mak melecur sampai di celah paha. Melihat kecederaan Mak, saya tahu akan mengambil masa untuk pulih. Hanya kami adik-beradik dan Allah sahaja yang mengetahui betapa pilunya hati kami.
Tangan Mak mujurlah tidak patah; hanya tulangnya lari daripada siku. Dalam penderitaan Mak, saya bersyukur kepada Allah kerana keadaan Mak tidak begitu serius. Sekurang-kurangnya minyak panas tersebut tidak tumpah ke muka Mak.

Keesokannya, saya terpaksa kembali ke UPM untuk projek tahun akhir. Saya tidak henti-henti menangis. Saya berdoa Mak segera sembuh; dan saya akan menjaga Mak baik-baik.

Sehingga kini, hampir 3 bulan berlalu, Mak masih belum pulih sepenuhnya. Kadangkala saya menyalahkan diri sendiri kerana tidak mampu menjaga Mak, dan kadangkala kerana kesal saya selalu tidak boleh diharap. Sudah lama tidak menjenguk Mak, dan kerinduan mula menguasai jiwa. Saya berdoa supaya saya dapat berbakti kepada Mak dan Abah sementara mereka masih ada, dan saya akan menjaga mereka sepertimana mereka memelihara saya daripada kecil sehingga sekarang. :’) Ya Allah, makbulkan doa hambamu ini!

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Luqman 31:14]

7 comments:
Write curses
  1. tsk tsk . kenapa aku tak tahu pun hal nih ? tabah ye tenet

    ReplyDelete
  2. tenet....sabar n tabah yer...sedih aku bace cerita ko ni tau....lagi sikit je kite nak abis belaja...kuatkan semangat tau...

    ReplyDelete
  3. Tenet!!!
    aku sedih baca cter ko...
    Ni semua dugaan n cabaran utk ko adik beradik, tenet....
    Jangan terus menerus salahkan diri sendiri...
    Ni semua takdir Allah...
    Mungkin Allah menguji sbb nak tgk sejauh mana kasih sayang korang terhadap parents yang dah lama menjaga korang... T_T

    ReplyDelete
  4. sukemakan dan ziera...tima kasih atas kata2 perangsang... terharu2.... insyaAllah aku akan siapkan tesis dengan jayanya n bergraduat....

    ReplyDelete
  5. dapat rasa kesedihan saudara masa kjadian ni... we r so lucky because still ada MAK sampai sekarang...

    ReplyDelete

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter