29 February 2016

Kasut


Bagaimana, kadang aku tertanya
Kau memakai kasut?
Seperti aku atau seperti mereka
Dengan sebelah yang serupa atau keduanya tidak sama
Selalunya yang memaknakan sesuatu ialah naluri
Untuk kau menjadi berbeza.

Dan semua impian ialah balutan kepada hakiki
Yang melitupi diri dan kemahuan kau
Supaya semuanya menjadi rahsia antara kita
Lewat persinggahan ini,
Masih aku tertanya
Bagaimana kau memakai kasut?
Sama keduanya atau berbeza,
Seperti aku - atau mereka.

BAB 51: DIALOG ORANG MUDA

“Kau pernah janji dengan aku, nak backpacking sama-sama pergi Filipina. Kau kata nak travel satu dunia lepas habis Master, suruh aku kumpul duit.”

“Kadang-kadang yang kita plan tu tak mungkin kita dapat.”

“Sampai hati kau Abang, hancurkan harapan aku.” 

Abang tidak mempertahankan dirinya, mungkin mengakui salah.

“Abang, kalau apa-apa jadi, sebelum apa-apa jadi, supaya aku tak menyesal kemudian hari, aku just nak bagitahu kau yang aku sangat sayang dan hormati kau sebagai kawan aku. Dan aku rasa, banyak benda kita akan achieve kalau kau dan aku bekerjasama.”

Abang diam cuma, tapi bibirnya mula mengukir senyum.

“Aku rasa kau dan aku, banyak benda yang kita boleh terokai sama. Kau, banyak memberikan aku idea.” Abang pula menjawab. 

“Tapi Bang, the thing with idea is. Kita ada idea, tapi selagimana kita tidak bergerak untuk merealisasikan idea kita, idea tinggal idea. Aku tak mahu jadi sesuatu yang akan ditelan lipatan sejarah. Aku ingin menjadi sesuatu yang dikenang sejarah, satu milestone dalam peradaban dunia, bilamana orang akan menyebut zaman aku hidup sebagai Zaman Nama-Aku, seperti orang menyebut Zaman Victoria, bermakna aku telah mencapai sesuatu. Dan itu, aku yakin pada kau. Aku yakin pada kita. Aku yakin, jiwa kita boleh meledakkan dunia. Kita ada idea.”

“Kadang-kadang, idea gila kau buat aku rasa takut.” Sahut Abang.

“Kau cuma takut pada sesuatu yang besar, sebab sesuatu yang besar kau tak boleh cerna. Dari segi harfiahnya dan dari segi pemikirannya. Dari segi rohaninya. Tapi bila kau bekerja sedikit demi sedikit untuk merealisasikan idea kau, kau akan sedar hakikat ketika itu, bahawa seluruh dunia sudah tunduk pada kau. Padahal kau cuma menggapai mimpi sendiri tanpa kau terfikir nak menakluk dunia.”

“Aku takut kalau suatu hari nanti, kau dengan aku dah kena berpisah, aku tak tahu macam mana aku nak hidup bersendirian. Mesti rasa sedih. Pelik.” Saya menyambung pendapat saya.

“Kadang-kadang, kau kena tahu semua orang bertemu kena berpisah. Kau tahu hadis Nabi yang kata ‘Sayangilah sesiapa yang kau sayangi, tapi ingatlah satu hari nanti kau akan berpisah dengannya’.” 

Abang memberi respon, tiada anjak dalam nada suaranya. Barangkali Abang terlebih dahulu memahami hakikat perpisahan sebelum saya. 

Saya terdiam, mendengar dengan takjub. Dalam kata-kata Abang terkandung suatu makna yang mendalam, tentang erti pertemuan. 

“Abang, kau tahu, Rumi kata untuk melihat wajah TuhanMu, maka lihatlah wajah sahabatmu. Dan dalam wajah kau Abang, aku melihat kasih sayang Tuhan kepada aku.”

Abang pula yang terdiam, barangkali cuba mencerna kata-kata yang saya ucapkan. 

“Aku melihat bagaimana Tuhan menghantarkan kau kepada aku untuk mengajar aku pelbagai benda. Tuhan kirimkan kau kepada aku untuk menghapuskan kesunyian, untuk mendampingi aku, untuk membetulkan kesilapan-kesilapan aku. Dan daripada tu, aku belajar bahawa kasih sayang Tuhan itu datangnya dalam pelbagai bentuk, termasuklah dalam bentuk persaudaraan, persahabatan – kau.”
Abang hanya terdiam, mungkin terpesona mendengar. 

“Hidup kita ni singkat Abang, dan dalam kehidupan kita, secara asasnya, sepaling-paling asasnya, kita cuma dibenarkan untuk memilih satu daripada dua benda, iaitu ‘live our dream’ atau ‘live somebody else’s dream’. Kau hidup setiap hari samaada kau memilih untuk merealisasikan mimpi kau sendiri, atau kau sebenarnya sebuah watak sampingan dalam sebuah filem yang kau bukan heronya.”

 “Dan mimpi aku sebenarnya teringin nak jadi penulis. Aku nak menulis tentang semua benda yang aku pelajari, semua benda yang aku jumpa dalam dunia. Semua benda yang aku alami, supaya bila aku membaca tulisan aku semula, aku akan ingat sejarah aku, kisah aku.” Saya mula bercerita kepada Abang, tanpa ditanya. 

“Amy Tan kata, kalau nak jadi penulis, kau kena jujur dengan perkara-perkara yang kau rasa malu untuk kau akui even pada diri kau sendiri. Dan paling aku malu nak akui pada diri aku Abang, adalah betapa aku menghargai kau. Betapa aku sayang kau. Dan aku rasa, itu yang akan kutulis.”

“Dan dalam baris-baris tulisan-tulisan yang aku tuliskan tentang kau, dengan sejujur-jujur, aku bertemu semula kau, sahabat aku. Aku bertemu semula erti-erti hidup, aku bertemu kisah-kisah yang menjadi tiang-tiang yang menegakkan aku sebagai seorang manusia, dan aku belajar erti pertemuan dan kehilangan. Aku nak diabadikan dalam tulisan.” 

“Dan aku berjanji dengan kau Abang, selagimana aku mengejar keabadian, aku akan membawa kau sekali dengan aku, aku akan pastikan kau dan aku mendapat keabadian. Dalam tulisan-tulisan aku, aku nak orang temukan kau dan aku sepertimana kita masih bersama. Aku nak kita sentiasa hidup – walau dalam tulisan.”

Kami berdua terdiam lama, meresap perlahan-lahan ayat-ayat jujur yang bergantungan di atmosfera yang baru kami sama ungkapkan. 

“Kau tahu, orang yang kagum pada diri sendiri, berfikir bahawa mereka boleh mengubah dunia, tapi instead of mengubah dunia, mereka menghabiskan masa mereka memikirkan, mengagumi, dan membayangkan kemampuan mereka mengubah dunia itu sendiri, menanti peluang tiba untuk orang seistimewa mereka, sehingga akhirnya mereka tidak dapat melakukan apa-apa. Dan aku tidak mahu menjadi orang-orang seperti itu, aku ingin menulis, supaya aku boleh menjadi sesuatu yang mengubah. Dan aku ingin penulisan aku dibaca, dihayati dan difahami, dan sekiranya mereka tertanya-tanya tujuan aku menulis, sekurang-kurangnya aku mampu mengajar mereka sesuatu dengan ceritaku, tentang diri aku, tentang persahabatan, tentang kau, tentang masa depan, dan yang lebih penting lagi, idea-idea.” 

Kalau saya tahu itu antara kali terakhir kami akan berbual panjang, hati ke hati, mungkin saya berharap pada waktu itu, siang takkan muncul. Supaya kami boleh berbicara panjang lagi, sepanjang-panjang malam, mencari definisi hidup kami – menghargai, dan ada kalanya bercakar dan berhujah. Tapi manusia, kita tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya. 

Begitulah juga pada malam itu, kami yang tidak tahu betapa pentingnya perbualan pada malam itu, terus tidak sedarkan diri, tidur ke subuh selesai sahaja berbicara.

22 February 2016

Dukacita dimaklumkan



Dalam menerima 2 baris ayat mel elektronik yang bererti penolakan, aku dimamah kecewa yang buntu. Dalam harapan yang bergantungan pada semangat yang kubawa pada mercu tinggi, baru kusedari puncaknya belum juga kutiba.

Entah. 

Mungkin aku tidak cukup baik. Mungkin aku tidak cukup hebat. Mungkin aku hanya mudahnya, tidak cukup.

Begitulah rasanya menangguk di tebing harap pada kali yang tidak sudi.

Aku menulis, menulis lagi. Mimpiku selama 20 tahun tidak harus dihalang oleh 2 baris ayat mel elektronik yang bererti penolakan. Aku harus menjadi lebih baik.

14 February 2016

Di Lantai Tari, Dinihari 14 Febuari



Lampu-lampu berwarna warni dari sudut-sudut tajam siling bersilang-silang ke lantai tari. Dua biji bola disko warna perak bergantungan, berputar dengan tempo sendiri di atas lantai tari. Metafora. Lantai tari setinggi 6 meter berdindingkan kaca yang menjulang tinggi sehingga ke aras bumbung menjadi denyut jantung malam ini. Nafas-nafas panas yang berhembus menambah cemar kepekatan udara yang berasap; berwap. 

Pengunjung menari mengikut irama rentak tekno – bunyi bass menyentak-nyentak denyut jantung. Malam ini malam Hari Kekasih – masing-masing ingin pulang tidak bersendiri. Setiap gerak tari, libasan tangan, hayunan kaki, goyang pinggul, lirikan mata menuansakan innuendo keinginan untuk berasmara. 

Di aras bumbung, bar kecil dibuka untuk pengunjung yang mahu lari dari lantai tari untuk sembang kasual, berbual dengan lebih mendalam. Pengunjung yang bertemu mengucup pipi untuk yang telah lama berkenalan, dan untuk baru berkenalan pipi dilaga, punat kamera ditekan. 

Dia sedang duduk di atas sofa di aras bumbung yang boleh melihat puncak 2 menara KLCC dengan jelas. Hiasan di sini minimal, membangkitkan suasana santai. Tapi bunyi dari lantai tari menafikan ketenangan untuk wujud dalam ruang itu. Dia memerhatikan suasana sekeliling, masih dalam ketakutan memasuki satu arena yang bukan forte – asing. 

“Jomlah menari!” rakan-rakannya mengajaknya ke lantai tari, separa menjerit.
“Come on, tak payah takut. Kita sama-sama kita je.” Rakannya yang paling tua memujuk.
Mereka turun beratur ke lantai tari dari aras bumbung berempat. 

Dia sebenarnya tidak mahu ke sini, tapi kerana ajakan dari rakan-rakannya, dia akur. Dia ingin belajar sesuatu – belajar tentang manusia, tentang kehidupan, pujuknya kepada hatinya yang memberontak benci. 

“Kau ingin menulis tentang kehidupan. Maka kau perlu melihat. Kau perlu merasa.”

Dari tangga mereka ke lantai tari yang padat dengan manusia. 

“Ridiculous.” Dia menyumpah dalam hati sendiri. Dia berdoa kepada Tuhan hanya 2 benda pada malam ini; satu, jangan 999 datang menyerbu tempat ini dan wajahnya keluar di kaca TV, kedua, jangan ada sesiapa yang dikenalinya pada malam ini di sini. 

Mereka mengambil sudut di tepi pentas, tangan dan kaki mula digerakkan mengikut irama muzik. Lagu Bad Blood dendangan Taylor Swift yang diremixkan menjadi lagu tari rancak menjadi bunyi latar. Pengunjung semakin menggila, gerakan badan membawa tubuh mereka bergesel dengan pengunjung lain.

Dia bergoyang sama dalam kumpulan mereka, kali pertama dia merasa sedikit lega, senyuman kemudiannya menjadi ketawa ketika dia menari mengikut kemahuan hati. 

Rakan-rakannya turut sama tergelak, merasa kebodohan dalam rentak tari mereka. Mereka datang hanya untuk berhibur – tekan mereka ketika ingin meyakinkan diri masing-masing mereka tidak akan membuat perkara yang tidak elok di sini. 

Sedang mereka sedang berdansa, pengunjung lain cuba memujuk mereka menari bersama dengan lenggok bahasa tubuh, tapi mereka menolak. Dia yakin perasaannya yang semakin tenang dalam keadaan yang semakin rancak menuju dinihari adalah disebabkan sesuatu di dalam udara; satu bahan yang memperlahankan debar jantung dalam wap-wap putih menjulang ke bola disko di siling. Atau, kedua, fikirnya secara ilham yang muncul sebagai epiphany, mungkin secara naturalnya dia merasakan dia sudah beradaptasi dengan suasana sekeliling. Manusia, fikirnya – mampu untuk merubah diri untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. 

Dia beristighfar sambil masih menari. Mengagumi ambivalens yang wujud sebagai oksimoron dalam hatinya, dia berjanji dia tidak akan hilang, tidak akan larut ke dalam atmosfera lantai tari. Dia tidak akan hilang dirinya sungguh berapa galak dia menari. 

Lantai tari rancak dengan lagu Beautiful Liar nyanyian Beyonce dan Shakira. 50 sentimeter di depannya, kali pertama depan matanya tanpa sebarang hadang dia melihat 2 manusia bercumbu – mulut ke mulut. Matanya dialih, di atas pentas tari seorang pengunjung tidak berbaju – sudah memperlihatkan tubuhnya sambil pinggulnya diasak-asak ke penari di depannya, tubuh dan tubuh bersentuh. 

Gerakan tariannya terus dihenti. 

Dia memohon untuk keluar ke bar, menebus kupon yang diterima selepas membayar caj kepala ketika memasuki tempat itu awal-awalnya. Vodka, gin, beer, spirit bersusun di depan mata dalam satu baris di atas bar. Dia memohon setin Red Bull, bartender lantas menuang ke dalam cawan yang berisi ais dan sepotong lemon.

Sambil menghirup Red Bull dari straw, dia mendengar perbualan dari orang sekeliling.

Jepun, Eropah, Thailand – dia memprofail manusia di sekelilingnya daripada perbualan mereka. Dia menghela nafas berat, dia tidak takut lagi. 

Seorang lelaki tidak dikenali memakai jubah berserban tiba-tiba muncul di depannya, menyusup lalu manusia dari lantai tari. Wajahnya putih bersih, tiada parut jerawat. Wow, beraninya pakai kostum macam ni dekat sini – fikirnya pada diri sendiri. 

“Assalamualaikum, saya cari awak tadi.” Lelaki berjubah serban tiba-tiba memulakan bicara. Dia memandang ke belakang, berfikir mungkin lelaki berserban berbicara dengan orang lain. Tapi tiada.

“Awak cakap dengan saya ke?”

Lelaki berserban mengangguk.

Dia tersenyum. “Waalaikummusalam. Kenapa cari saya?”

“Kenapa awak datang sini?” tanya lelaki berserban. “Saya ditugaskan malam ini untuk bertemu awak.” Sambung lelaki berserban.

“Awak bukan datang sini nak menari? Nak berhibur? By the way, berani awak pakai macam ni.” Dia menjawab kepada lelaki berserban. 

“Jangan risau pasal saya. Saya nak jumpa awak malam ni. Kenapa awak datang sini malam ni?”

Bunyi bingit dari lantai tari kedengaran perlahan dalam selang bicara lelaki berserban.

“Saya datang, nak tengok-tengok.” 

“Hati awak, macam keping-keping kelopak-kelopak bunga. Semakin awak biasa ke tempat macam ni, awak bersetuju dengan apa yang awak lihat dan rasa, satu kelopak akan terbukak, terkopak, koyak. Semakin nipis lapisan-lapisan kelopak hati awak semakin awak hanyut, awak hilang rasa hormat pada diri awak. Semakin awak jauh dari kebaikan.”

“Kenapa awak tahu ni?”

Lelaki berserban tidak menjawab. Lelaki berserban melakukan pusingan mengelilinginya, sambil berzikir. Setiap kali satu pusingan lengkap, lelaki berserban mengucapkan Assamualaikum kepadanya. Dia menjawab, sehingga pusingan keenam. 

Dia terdengar suara-suara rakannya, memanggilnya. 

“Awak ada 2 pilihan sekarang. Awak biarkan saya kelilingi awak satu pusingan lagi, awak akan saya bawa pergi mengikut saya. Jawab panggilan kawan awak, dan awak akan kembali kepada mereka. Sekarang pilih.”

Dia merasa kaget. Dia tidak pasti apa sebenarnya yang lelaki berserban maksudkan, tapi dia tahu dia mesti membuat pilihan.

“Saya nak awak kelilingi saya sekali lagi.”

Lelaki berserban senyum, kemudian mengelilinya buat kali ketujuh, selesai pusingan ketujuh lelaki berserban berhenti. Sebaik habis lelaki berserban mengelilinya, suasana gelap gelita. Cawan di tangannya hilang entah ke mana. Dia terdengar sekali lagi kawannya memanggilnya.

“Saya bagi awak buat pilihan kali kedua.”
“Saya pilih awak.”
“Jawab salam saya, Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam.”

Dia hilang kesedaran.

Keesokannya, 14 Febuari 2016. Portal berita atas talian melaporkan seorang pengunjung kelab malam disahkan meninggal dunia di sebuah kelab malam terkemuka di Kuala Lumpur, dipercayai akibat kelebihan dos dadah jenis ecstasy. Dipercayai dadah tersebut diletakkan dalam minumannya oleh individu yang tidak dikenali. Si mati ditemani 3 orang kawannya untuk berhibur pada malam itu dilaporkan tidak sedarkan diri setelah menari selama berjam-jam di lantai tari setelah mengambil dadah tersebut dan setelah usaha untuk mengembalikannya gagal, paramedik mengesahkan dia meninggal dunia pada pukul 2:45 pagi.

Rakan-rakannya menjerit memanggil-manggil namanya beberapa kali, tetapi tiada jawapan. 

12 February 2016

Dialog Orang Muda Ending (1)



Saya memerhatikan kereta Abang meluncur di jalan. Tangannya diangkat. Dengan demikian, tamat sudah perjalanan kami bersama selama dua tahun.

Pulang ke bilik, saya perasan ada sekeping sampul surat berwarna putih di atas meja.
“Happy Birthday.” 

Kad di dalam sampul bertulisan begitu. “Bila masa pulak ni? Birthday aku dah lepas berapa bulan.”
Sebaik membuka kad itu, saya perasan tulisan tangan Abang.

“Aku sebenarnya nak bagi kad ni pada kau masa birthday kau haritu, tapi macam kelakar je. Lama aku simpan kad ni, sekarang aku nak bagi pada kau. Aku tahu kau sedih aku dah dapat kerja, keluar dari bilik, tapi aku percaya tanpa aku pun kau boleh berjaya. Kau seorang yang hebat, tapi aku taknak akui sebab aku taknak kau jadi ego. Kau ada sifat rendah diri yang complement kehebatan kau, buat orang suka untuk mengenali kau. Aku mintak maaf aku selalu bergaduh dengan kau. Good luck. Ada masa kita jumpa lagi.”

Saya termenung panjang. Titisan air jernih bertakung di pinggir mata. Mujur kau dah keluar Abang. Tak malu aku nak menangis sorang-sorang.

Saya memandang kipas siling di kepala, putaran ligatnya mengingatkan saya kepada Jalaluddin al-Rumi. Lintasan dan imbasan imej muncul di balik mata; tarbus, jubah kembang yang berputar, ghazal yang meratapi pemergian sahabat yang dikasihi. 

Malam-malam yang panjang, kelam yang belum bercumbu siang. Kala itu yang menemu dalam dinding empat segi adalah kita, udara hangat dan sebuah dusta. 

“Kau tahu, tarian Darwis tu dicipta oleh seorang sufi, Jalaluddin al-Rumi yang meratap pemergian sahabatnya, Shamsi Tabrizi.” Saya teringat saya bercerita kepada Abang ketika saya menceritakan kepadanya bagaimana saya memandang persahabatan kami. 

Saya berdiri, kedua tangan didepang. Kepala saya didongak ke atas, mata memandang putaran kipas. Perlahan-lahan saya memusingkan badan, kemudian semakin pantas, pantas. Laju. 

Di dalam kepala, lagu Tudung Periuk dendangan Nada Badar bermain-main di neuron-neuron medial prefrontal complex dan serebelum. 

Tudung periuk pandai menari
Permainan anak putera mahkota
Kain yang buruk berikan kami
Untuk menyapu si air mata.





DIALOG ORANG MUDA TAMAT

11 February 2016

KLCC dan Kisah Kita



Barangkali bila memutar kembali detik-detik yang kita fikirkan menitik tolak sejarah kita pada tempat tidak pasti bernama masa hadapan, kita bakal melihat kembali pada hari itu, si berkaca mata dengan 2 jejaka aneh di kafe depan Kinokuniya.
 
Seorang berbaju merah Nike, walaupun tubuhnya jelas sekali bukan seorang pembakar kalori selain melibatkan aktiviti berasaskan vocal, seorang yang kurus berjanggut kambing berbaju hitam, sarkastik dan dari jauh dapat dilihat wajahnya yang setiap masa tersengih atau tersenyum, dan si berkaca mata - wanita kecil memakai tudung hijau tua yang asyik menghirup kuah dan manisan.

Pertemuan mereka dinafaskan oleh teknologi, selama berbulan-bulan lamanya oleh beberapa klik dan tekan-tekan kekunci di hadapan monitor dan telefon pintar, lantas dihidupkan ke alam nyata setelah berapa sekian kalinya perbualan mereka berlangsung dan dikurung dalam kerangka media sosial.  
Si berkaca mata, entah datang keberanian dari sudut hati yang mana, timbul percaya untuk bertemu dua lelaki aneh yang apabila berkata-kata tiada penghadang dan breknya. 

Ayat-ayat yang mereka bertiga tuturkan pada pagi yang bermakna itu merangkumi mimpi sejagat mereka bertiga, menggumpal awan gemawan dalam minda menjadi bicara-bicara yang kalaupun belum mampu menggegar dunia, sudah bercita-cita demikian jua.

Bicara mereka tentang puisi dan pemuisi, cerita dan hakiki, mimpi-mimpi dan bayang ilusi, menghidupkan keajaiban yang sebelumnya mereka percayai secara kendiri, dan kali pertama kini mereka melihat mimpi mereka menjadi sesuatu yang bukan sekadar hanya fikir-fikir dan impian sepi.

Mereka bertukar madah, cerita dan seterusnya hanyut dibuai keakraban yang tercipta dalam dua fasa – alam maya dan alam nyata.  

Mereka bertiga saling mengagumi satu sama lain, golongan pelik yang saling mengampu. Tapi ketiga-tiga mereka juga langsung menyedari impian mereka bukan lagi pelik, sekurang-kurangnya dalam Trinity ini, mereka bertiga pasti apa yang mereka mahukan adalah apa yang mereka semua mahukan. 

Dalam derap-derap langkah, daripada aku, kau dan dia, mereka mula berbicara dalam irama kita.
Ah sungguh pada malam-malam ketika inci terakhir aku telah hilang sehingga aku tiada lagi tembok penghadang dari menabrak ke ruang sepi, aku kini bertemu sesuatu yang baru. Sesuatu yang selalu membuatku hidup untuk mentafsir hidup.

Dan itu, di sebuah kafe di depan Kinokuniya, kita bertiga menghirup manisan dari cawan dan mangkuk, saat keanehan dari tiga entiti mencair dan memejal kepada hanya satu bentuk yang baru tetapi kukuh.
Waktu hadapan nanti, aku mahu melihat waktu itu lagi, dan mengenangkan kalian berdua, aku bertemu titik-titik pertama kita. Kita.

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter