30 November 2022

seperti mati lampu

(untuk sahabatku, Azahari)

Ada bayangan hitam seringkali ternanti, bila saatnya cahaya usir. 

 

Dan bila kau pergi bersama cahaya, kegelapan mula merangkulku. 

 

Aku ingin kembali sekali lagi, walau kutahu kita tidak mampu memutar takdir. Ke hari-hari biasa kita, waktu pagi kau telah ternanti, meminta peranti hitam dariku. Waktu tengahari ketika rasa lapar menggigit, merencana ke mana kita walau pilihan terhad ke hanya empat atau lima kedai yang sama. Bila ada yang datang bertamu, kita terlupa seketika bahawa kita senantiasa berdua. Keterbiasaan adalah pententeram jiwa, menyelimutkan rasa damai saat-saat taufan melanda. 


Dan taufan sering membadai kita. Pada hari-hari dan tarikh-tarikh yang sama tiap purnama, kita bergelumang dalam timbunan kertas dan notifikasi bertubi-tubi. Ada yang bertanya, ada yang meminta. Semuanya gila - pada fikiran kita. 


Hari-hari singkat, tidak pernah lewat di sela masa, adalah cuma persinggahan sementara.


Dan kini, aku sepi sendiri. Tiada lagi mendengar tawamu bercerita, intipati-intipati kisah yang tidak kupeduli isinya, hanya melihatmu terhibur membuat hatiku terhibur sama. Ada rasa hiba yang mengikat ketat rasa hati sewaktu melihatmu pergi, tapi masih setia bibirku mengukir senyum, biar perpisahan kita tidak basah dengan air mata. 

 

Aku mahu hari ini kuingat sebagai hari yang bahagia, bahawa kau telah pergi ketika aku sudah mampu berdiri sendiri, meski kita tahu kau tidak akan berpaling lagi. 


Aku mengerti pergimu lebih baik dari kau di sini, di sisiku wahai sahabat. Walau segala deritaku pernah terpadam dahulu, walau pernah dinding-dinding ini menelanku sebelum kau hadir. Tapi kita tidak harus selamanya bersama. Jalan takdirmu bukan terus tinggal di sini. 


Kini aku kembali ditekan dalam dimensi yang sama, tiadamu untuk mengusir derita pergi. Hanya suatu ruang kosong tempatmu dahulu yang menatapku kembali. Aku akur kepada ketentuan, bahawa pertemuan kita telah berakhir di persimpangan ini. 


Tiada lagi bunyi, hanya sunyi. Kerusi kuningmu tetap menanti tuannya kembali. 


Terima kasih teman, dalam hidupku yang dewasa kau telah sudi menumpangkanku walau sekejap di pundakmu, menopang hidupku waktu semuanya hampir berantakan. Semoga bahagia sentiasa mengiringimu, semoga jiwamu basah dengan rasa damai, semoga doa-doamu dan cita-citamu dimakbul Tuhan.


Jangan kau gusar tentangku. Aku selalu begini. Aku terus sendiri. 

2 comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter