28 May 2021

keterlewatan

Kelewatan yang telah mampir, walau lebih sedekad tertunda, adalah sebuah kepastian. Bahawa mimpi-mimpi yang pernah terbakar menyala kita tahu hanya bakal mendebu kepada pasir.


Kita pernah berdiri gagah pada dini, menentang segala-gala. Gerak hati kita adalah gergasi, mematah-matah segala bentuk takut dan duri. 

Kita pernah menari pada malam-malam yang seakan tidak mampu berkunjungnya pagi, hingga kita kelelahan dalam kemamar, bahagia dan air mata berjuraian di pipi. 

Kepulangan kita adalah sebuah hakikat, walau pahit dan lewat bagaimanapun adalah bagian kehidupan kita. Kau dan aku, telah bertemu, bersatu dan kini akan selamanya bepergian sendiri dalam keterasingan, jejak langkah kita tinggalkan terukir pada kerikil-kerikil putih, dan kisah kita tercatat dalam lembaran-lembaran hikayat yang tidak sesekali bisa kita baca semula. 

Segala telahan dan tekaan telah berakhir kini, hanyalah secebis lagi hati yang pernah terbakar tidak mati untuk kita bawa pergi pada hari terakhir kita mengerti - bahawa menyayangi itu tidak sesekali sama dengan memiliki. 



1 comment:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter