"I can't speak French, the only sentence I know in French is 'au nom de la lune''
Saya berkata kepada seorang pengunjung Perancis di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, 11 tahun yang lalu.
Pengunjung itu mengangguk, dengan muka yang berubah berfikir mendalam tentang ayat yang baru disebut saya. Dia mengulangnya semula 'Au nom de la lune' dengan dahi yang berkerut mendadak dan pandangannya terus menjadi menungan. Ayat yang seterusnya dia fikirkan boleh jadi 'Ah that's such a nice sentence. Poetic.' tapi kemudian dia berlalu pergi, masuk ke kawasan pameran gajah.
Au nom de la lune - atas nama bulan adalah sebenarnya lagu Perancis nyanyian penyanyi kelahiran Indonesia yang kini menetap di Perancis, Anggun Cipta Sasmi. Pengunjung itu takkan tahu, atau mungkin dia akan kelak menyedari bahawa ayat yang disebut saya hanyalah suatu tajuk lagu.
Kehidupan ketika itu, berfikir bahawa ini adalah tapak permulaan kerjaya saya suatu hari nanti merupakan suatu permulaan pengembaraan yang mengujakan. Jika ini mulanya, tentu pengembaraannya nanti lebih meriah.
Semasa siang, kami bertemu dengan pengunjung dari seluruh pelusuk dunia. Pelbagai kerenah dan telatah, ideologi dan falsafah. Ada pengunjung dari United Kingdom bertemu dengan kami setelah tamat aktiviti di pusat, menyatakan perasaan terima kasih atas kerja-kerja konservasi yang kami lakukan. 'You're doing such a splendid job on these elephants. Thank you'. Seolah-olah berterima kasih bagi pihak gajah-gajah di bawah jagaan kami.
Sewaktu petang setelah pengunjung pulang, kadang kami berendam dalam Sungai Teris yang mengalir di tengah pusat konservasi. Sungguh, kehijauan alam membuatkan saya bangga dengan keputusan untuk memilih bidang ini sebagai kerjaya saya - suatu hari nanti.
Pada waktu malam kami menyusukan anak gajah yang ketiadaan ibu, menyaksikan lampu-lampu dari Genting Highlands di jalan keluar dari kampung. Atau hanya diam, membiarkan bunyian serangga mengisi latar ruang. Betapa indahnya, betapa.
Kini di sebuah kota, saya bermuram durja. Menyaksikan betapa anehnya kehidupan berubah, kini dibawa arus lemas entah di lubuk mana. Walau untuk kembali seketika ke daerah ketenangan, terasa bagai tembok-tembok menghalangi. Betapa harunya, betapa. Menjadi hamba kepada dunia, hidup tidak lagi dekat dengan alam seperti dahulu.
Dalam waktu-waktu yang runcing, tertekan dengan entah apa-apa, keliru dengan putaran dunia. Terasa bagai saya ingin menamatkan segala-galanya. Permulaannya dulu begitu indah, kenapa di tengah perjalanannya begini?
Cuma terkadang bila ada peluang mengembara ke gunungan dan hutan, bertualang bersama teman-teman, terasa hingar seketika kotak hati yang telah lama bungkam.
Mungkin saya tidak akan kembali. Mungkin perjalanan ini sudahpun menuju ke destinasi, tidak akan berubah haluan lagi. Mungkin tiada siapa yang akan membantu atau memahami, hanya tahu mengambil tanpa memberi. Mungkin diri dan keakuan saya telah hilang, tidak akan berganti.
No comments:
Write curses