Low Bee Yong.
Nama yang terpacul spontan dalam fikiran ketika jejari menari di tatal kumpulan PLKN Tasik Chini Siri 4 Kumpulan 1 2007. Puas saya mencari-cari raut wajahnya, ketiadaan gambarnya seolah-olah dia tidak pernah wujud.
Mana Low sekarang agaknya? Gambarnya tiada dalam memori maya, tiada dalam layar sosial media. Mungkin masih ada dalam majalah kem siri kami, tetapi majalah tersebut sudah kembang dan rosak terkena air hujan di kampung, bersama majalan Tinta Mas MRSM Tun Ghafar Baba dan Amanat MRSM Kuala Klawang.
Pemuda dari kompeni Bravo, berketinggian hampir 6 kaki. Low Bee Yong, kacukan orang Asli dan Tionghua, asalnya dari Tasik Chini jua.
Oh betapa muda dan mentah, seperti bait kata lagu Zainal Abidin, Hijau yang dimainkan selepas lagu Anugerah Terindah Pernah Kumiliki kumpulan Sheila on 7 setiap pagi sepuluh minit sebelum waktu rehat tamat untuk kelas Pembinaan Karakter di PLKN. Kenapa dua lagu tersebut? Kata jurulatih kami, jumlah masa kedua lagu tersebut dimainkan genap 10 minit, jadi penanda kepada kami untuk bersedia masuk ke kelas sewaktu lagu tersebut mula dimainkan.
Saya yang muda dan mentah, pertama kali diaduk semula ke dalam masyarakat setelah 5 tahun tinggal di dalam 'sangkar emas' MRSM - di kalangan helang kononnya *cringe*. Kali pertama bertemu rakan-rakan dari latar masyarakat yang asing, dari bumi sama tapi rantau yang berbeza. Teringat Ana N2GU (meletakkan singkatan moto Naruto Never Gives Up kepada gelarannya), seorang lepasan sekolah agama yang tertekan kerana selama ini dia bertudung labuh tetapi terpaksa menyuaikan diri memakai tudung yang dimasukkan ke dalam baju di PLKN.
Teringat Christy dari Kuala Lumpur yang memilih untuk menjadi free thinker setelah perceraian ibu bapanya bertentangan dengan Mei Fong, gadis Chindian Kuantan yang menganut dua agama iaitu Hindu dan Buddha.
Saya selalu ingin memahami apa yang berlaku luar dari zona nyaman saya, seperti bagaimana Low seorang Asli-Cina, suatu demografi yang belum pernah saya kenali secara akrab. Ada satu kenaifan tentang Low yang membuatkan saya cemburu, betapa hidupnya di Chini sangat terlindung dari anasir luar- caranya berfikir yang sungguh polos dan naif.
Sewaktu ada aktiviti berkumpulan yang perlu pembabitan kami semua, saya dari MRSM berfikir 'oh cukuplah 5 tahun aku buat benda ni dekat maktab' begitu prejudis dengan modul latihan. Tetapi Low berbeza, seolah-olah sangat terhibur berlakon dalam sketsa, terhibur apabila ada persembahan, apabila perlu membabitkan diri secara aktif dalam kelas. Polos dan naif, menjadikan dia mudah terhibur.
Tetapi kenaifan dan kepolosan Low tidak datang percuma. Di kem, kami para wira perlu membotakkan rambut kami 2 kali, pertama sewaktu kami mendaftarkan diri, dan keduanya di tengah latihan setelah rambut kami sudah mula panjang. Entah bagaimana, Low seorang terlepas untuk pemotongan kali kedua. Sewaktu nama Low disebut pada suatu malam roll call, saya dalam hati hanya sempat berkata 'Oh, Low.'
Low dimarahi jurulatih, dalam terkebil dia tidak dapat menjelaskan bagaimana dia terlepas memotong rambut, tanpa disedari sesiapa. Sedangkan tukang gunting beberapa kali telah datang ke kem untuk memotong rambut kami pada minggu itu. Hukumannya 1000 (atau 10,000, saya sudah lupa) kali star jump, dalam tempoh beberapa hari Low dikehendaki berdiri di belakang jurulatih di depan semua pelatih, dan melompat sehingga habis cukup dendanya tertunai. Kasihan Low, susuk tingginya melompat-lompat di latar, tapi beginilah lumrah kehidupan di PLKN.
Ada pernah suatu kali saya mengguris hati Low tanpa menyedarinya. Muda dan mentah, bukan?
Suatu hujung minggu, Low menerima kunjungan ibunya. Saya sempat melihat mereka berdua di bawah wakaf tepi surau. Esoknya saya memberitahu Low saya terlihat mereka.
'Low semalam tu mak kau ke?'
'Haah'
'Keluarga kau tak Islam kan, Low?'
'Tak.'
'Kenapa mak kau pakai tudung?'
Soalan itu mendiamkan Low. Low tiba-tiba memegang dan mengipas-ngipas kolar kemeja biru PLKNnya. 'Panas ni' - katanya tiba-tiba. Saya tidak dapat menangkap maksudnya.
'Kenapa mak kau pakai tudung, Low?'
Low bangkit dan berlalu pergi dari saya. Saya terpinga-pinga. Ana N2GU yang di hadapan kami sebelumnya mengisi saya dengan jawapan. 'Kau tak faham ke? Soalan kau sensitif kot.'
Saya pula terpinga - tujuan saya demi Allah bukan untuk merendah atau memandang serong pada Low. Saya bertanya kerana saya tidak mengerti kehidupan Low sebagai seorang anak Asli-Cina. Saya bertanya untuk mendengar dan mamahami sisi pandang Low, tentang majmuknya masyarakat kita. Ternyata, saya masih muda dan mentah. Ada persoalan dalam minda yang tidak boleh dijelmakan ke dalam suara.
Setelah tamat latihan, saya tidak lagi berhubungan dengan Low. Sehingga suatu hari saya menerima panggilan daripada nombor yang asing suatu petang di matrikulasi.
'Siapa ni?' saya bertanya.
'Low Bee Yong.'
'Oh Low. Kau dekat mana sekarang?'
'Aku sekarang kerja dekat car wash.' suaranya berteriak gembira, masih dengan kenaifan yang dahulu. Dia berbangga kini dia memiliki kerja sendiri, mencari wang sendiri. Saya terkejut Low menghubungi saya, kerana nombor telefon itu nombor yang baru saya beli sewaktu di matrikulasi.
Tetapi kemudian saya menukar nombor telefon, SIM percuma School of X daripada Celcom. Saya pasti Low ada menelefon saya dua atau tiga kali kemudiannya, masuk terus ke dalam peti suara. Saya tidak pernah mendengar suaranya semula.
No comments:
Write curses