21 June 2021

SKETSA SEBABAK

Pintu kereta terbuka. Deruan hujan, kilauan kilat dan dentuman guruh di angkasa menyambar di latar belakang.

 

# Maaf. Lama ke tunggu?

- Takde. Saya baru sampai. 

 

Bauan Dior Savage merebak ke dalam ruangan kereta. Si penumpang usia pertengahan, masih segak bergaya, karisma seperti Johnny Depp. Lagu Terasing nyanyian Sudirman bermain di corong radio.


Kereta perlahan menyusur ke jalanraya. 


# Dari mana ni?

-Oh saya dari rumah bekas isteri.


Si pemandu terpempan dengan jawapan si penumpang. Perlahan dia mengetap bibir.


- Saya tak duduk di sini. Tu yang takde transport. Saya duduk dekat Sarawak, kerja offshore. Pergi ke rumah isteri ni nak tinggalkan anak, saya nak masuk bekerja semula minggu depan.

 

Si pemandu diam, menghadam setiap kata dari penumpang dengan berhati-hati. Sedikit rasa yang aneh mula menghenyak dada.

 

- Anak bujang seorang je. Baru masuk tadika.

 

Sambung si penumpang tanpa perlu disoal.


- Anak lelaki tengah membuas. Pandai dah sekarang ni. Sekejap je membesar.


 Si pemandu mengangguk-angguk. Tersengih.

 

Si penumpang sambil bercerita membayangkan anak lelakinya, pada usia 6 tahun masih minum susu dalam botol. Wajahnya mengukir senyum apabila teringat keletah anaknya. 


- Memang kerja bawak Grab ke sekarang?

 

Si pemandu tergelak kecil. Rasa yang bermain dalam dadanya dibiarkan tersimpan.

 

# Saya sebenarnya ada kerja tetap. Tahu saya kerja apa?

-Tak

# Veterinar. Doktor haiwan. 

 

Si penumpang angguk, dahinya berkerut.

 

- Anak saya umur 6 tahun. Pun suka binatang jugak. Minggu lepas dia minta saya belikan hamster. Tapi ibunya tak suka. Kalau dah besar nanti, saya harap dia jadi veterinar macam kamu. 


Si pemandu tersenyum sendiri, manis. Petir menyambar di luar, mengejutkan si pemandu dari lamunan.


- Itulah sekarang ni, hari hujan. Habis basah baju. Saya pula takde transport. 


Si penumpang berkata, kesal.


Si pemandu mengerling sejenak si penumpang. Kebasahan dari hujan mendakap tubuh si penumpang. Rasa kasihan merekah dalam dadanya, antara beberapa rasa lain yang bergulir campur dalam relung sanubari. 


# Sorry, saya tak perasan. 

 

Si pemandu menghulurkan tangannya ke kerusi penumpang dan mencapai beg galas di kerusi belakang. Pantas tangannya membuka zip beg dan mengeluarkan sehelai baju dari beg.

 

# Nah tukar baju tu. Karang sejuk. Kita lambat lagi nak sampai ni.

 

Si penumpang nampak tidak selesa dengan saranan si pemandu, tapi entah mengapa dia menurut. Ada kemesraan daripada si pemandu yang membuatkan si penumpang merasa selesa. Dia membuka bajunya dan menukarnya dengan pakaian yang diberikan si pemandu.

 

- Susah ke belajar veterinar?

 

Tanya si penumpang, selepas merasa selesa.  


# Susah jugaklah. Tapi saya OK je masa belajar. Nak kata gifted tu, tak jugak.  


- Kamu ada tips macam mana nak belajar veterinar ni? Boleh saya cerita dekat anak saya.  


Si pemandu mencuri pandang ke si penumpang. Senyuman kecil dihulurkan sewaktu mata mereka bertemu.

 

Si penumpang merasa sesuatu yang mengganggu fikirannya. Sesuatu tentang pemandu ini membuatkan dia merasa tidak selesa. Tapi apa?

 

# Bagitau dekat anak tu, belajar rajin-rajin, tapi jangan sampai lupa diri untuk menjadi budak-budak. Yang penting dengar cakap ayah, sebab kita tak tahu berapa lama masa kita ada dengan ayah. Dan kamu jangan risau, dewasa nanti kamu pasti akan menjadi seorang doktor veterinar.

 

Si penumpang tergelak. Keletah anaknya bermain di minda lagi. 

Si pemandu memandangnya. Wajahnya mula berubah sugul.  


- Nama kamu siapa ya?

# Ehsan

- Eh sama macam nama anak saya. Ehsan bin apa?

# Ehsan bin Razak.  

 - Eh, Razak tu nama saya! 

 

Si penumpang menggapai tangannya ke pemandu, hinggap ke pipi, terus dielus lembut. Ehsan, si pemandu mendiamkan diri. Tangannya merayap ke atas kepala, lalu diusap-usap rambut Ehsan yang disisir rapi. Si pemandu tidak menolak.


Si pemandu terus tenang, dari kaca mata hitamnya air jernih mengalir. Ayahnya sudah dementia. Dalam memorinya yang terkebelakang, 20 tahun telah terpadam. Setiap hari adalah hari terakhir dia meninggalkan anak tunggalnya di rumah bekas isterinya sebelum berlepas untuk bekerja, Ehsan masih 6 tahun di dalam mindanya. 

 

Bagi Ehsan, setiap hari bersama ayahnya, adalah hari pertama ayahnya mengenali dirinya yang dewasa.


Lagu Terasing yang dipasang berulang, masih berkumandang di radio. 

'Sebuah kematian yang tiada bernisan, sendu mengiringi perpisahan.'


-FIN_




No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter