04 January 2014

Dalam kotak sempit ini

Hembusan kencang angin dari luar menghempas kuat daun jendela, lalu menampar-nampar langsir dalam bilik. Ekor langsir terbang tinggi, hampir menjadi makanan pusingan tajam bilah-bilah kipas syiling.

Hujan membasahi lagi, bersama angin yang kuat menikam-nikam gegendang telinga, membangkitkan saya dari tidur yang lena. Petang yang menjadi sejuk secara tiba-tiba. Dedaunan rimbun di belakang bilik bergoncang kencang; menggila bersama angin. Dalam kebisingan ribut yang menjelang, terdengar sayup-sayup bunyi cicipan burung penghuni bertahun lamanya pohon usang.

Awan gelap berarak di angkasa, membawa pergi sinar mentari petang. Pintu-pintu di luar kedengaran terhempas. Dan bersama bunyi pintu yang menghempas, terdengar jeritan di luar, menyuruh mengangkat kain di ampaian.

Skrin Lumia 900 segera ditatap dalam genggaman tangan. Mendung membawa bersama emosi muram ke dalam jiwa; tanpa disedari. Saya melihat notification terbaru; dari whatsapp, twitter dan facebook. Tiada. Tiada sebarang noti.

Sudah 6 tahun?

5 tahun menghuni kotak sempit ini, cuba menjalani kehidupan sesempurna mungkin. Mencari titik persilangan kehidupan yang terbaik pada satah yang semakin tidak seimbang; antara garisan masa, wang, keselamatan, keselesaan, pelajaran.

Saya masih bersamanya; teman sebilik; sahabat - companion. Mengejar cita-cita kami bersama. Sekeping ijazah sarjana impian dari bermulanya pertemuan semula kami di sini.

Di sini. Tempat segalanya bermula. Masih belum berakhir titian perjalanan di sini.

Kami sudah terlalu tua di sini, melihat mereka datang dan pergi. Saya tidak lagi mengenali wajah-wajah yang melintas di depan pintu, cuma jika ada sedikit hormat mata bertemu lalu bibir bertukar senyuman.

Setiap hujung semester, sewaktu semuanya kosong, kami masih tetap di sini. Sewaktu suara manusia mendiam, hilang dibawa pergi cuti. Menghabiskan sisa waktu dengan menulis, mengejar impian yang kadang kabur kadang terang. Dan kadang dipaksa berpindah ke blok sebelah, just because.

Bahagia itu suatu konsep yang abstrak. Bahagia itu ertinya menerima kehidupan kita seadanya, lalu mensyukuri hakikat bahawa itulah yang ditakdirkan untuk kita. Buat ketika ini, inilah takdirnya. Demi masa depan yang lebih sempurna, persinggahan ini perlu ditempuhi.

Petang sebelum Maghrib, dia pulang. Dengan wajah yang ceria ketika saya sedang membelek helaian novel.

Ajaknya, dengan wajah bercahaya,“Jom pergi berenang malam ni jom!”

“JOM!”

Dan segalanya rutin biasa hari-hari di sini, malamnya kadang berenang di kolam Putrajaya, paginya bangun, bersiap lalu menyambung penyelidikan. Setiap hari berlalu, begitulah. Sehingga tanpa disedari masa berlalu hampir setengah dekad, dan kami masih di sini juga.

Dalam kotak sempit ini, apa-apa yang berlaku telah berlaku. Bakal berlaku. Sedang berlaku. Semuanya penghidupan sementara. Tiada apa yang perlu digusarkan. Tiba masanya, kotak sempit ini bakal kosong juga. Kami bakal pergi, membawa bersama memori yang tercipta, seperti mereka yang telah pergi sebelumnya. Wajah-wajah yang melemparkan senyuman kepada kami, mereka juga bakal pergi.

Kosong akhirnya.

Cuma pada ketika yang sekejap ini, kotak sempit ini adalah kehidupan. Kotak sempit ini adalah metafora alam kepada kami.

Segala yang berlaku. Bakal berlaku, telah berlaku. Semuanya berlangsung dalam kotak sempit ini.

Kehidupan, selalu indah-indah sahaja.

Notification pertama petang itu datang dari facebook.

“Somebody likes your status”

Kotak sempit ini, tidak kebal dari luar. Kehidupan berlangsung di dalam dan di luar kotak ini. Walau wujud pada kehidupan maya.

Mulut menguntum senyum.

Satu hari nanti, aku akan bebas dari kotak sempit ini – bisik saya ke dalam hati.

Dan hidup, bebas seperti burung di pokok belakang. Kehidupan bakal berlangsung dari luar kotak sempit ini.

2 comments:
Write curses
  1. kotak sempit yang menjadi saksi perjuangan selama 4 tahun :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya, dan untuk sesetengah orang lain, lebih 4 tahun :D

      Delete

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter