15 January 2014

NEGARA BINATANG




Animal Farm (dialihbahasa ke Bahasa Melayu menjadi Negara Binatang) ialah sebuah novel allegorikal yang digarap oleh George Orwell, antara penulis termasyhur Inggeris. Novel ini ditulis Orwell pada tahun 1943 – 1944, rentetan daripada Perang Sepanyol.
Animal Farm merupakan novel yang sangat dihargai sejarah, kerana peranannya dalam menceritakan dan meringkaskan sistem politik dan keburukannya dalam bentuk simbolisma haiwan yang memainkan peranan manusia.
Haiwan-haiwan tersebut diberikan sifat manusia (anthropomorphism) untuk mewakilkan setiap golongan masyarakat yang berbeza dalam suatu negara/unit politik.

Saya membaca novel ini ketika tingkatan 4, dan novel ini membantu saya menilai politik Malaysia dengan kaca mata berbeza.

animal-farm

SINOPSIS

Old Major, babi yang tua dan pandai mengumpulkan semua haiwan di Ladang Manor di sebuah reban di ladang tersebut untuk menceritakan mimpinya yang memberi gambaran sebuah negara binatang yang bebas hidup bersama tanpa cengkaman manusia. Apabila Old Major mati 3 malam kemudiannya, 3 ekor khinzir muda, Snowball, Napoleon dan Squealer merumuskan impian Old Major ke dalam satu falsafah yang diberi nama Animalisma.

Suatu malam, haiwan-haiwan di ladang tersebut berjaya menumpaskan penternak mereka, Mr Jones yang pemabuk dalam suatu pertarungan. Mereka menamakan semula Ladang Manor sebagai Ladang Binatang dan mendedikasikan diri mereka untuk mencapai cita-cita Animalisma.

Seekor kuda, Boxer yang gagah, ialah haiwan paling gigih mengorbankan dirinya dengan kekuatan yang dimilikinya dalam ladang tersebut untuk mencapai prinsip-prinsip Animalisma itu. Boxer berpegang kepada prinsip “Saya akan bekerja lebih kuat” dalam merealisasikan impian Ladang Binatang. Kesemua babi-babi di Ladang Binatang diangkat ke posisi pemimpin, kerana mereka dianggap haiwan yang lebih pandai dan pula pandai membaca.

Haiwan-haiwan lain, seperti anjing bernama Jessie dan Bluebell, diambil anak-anaknya oleh Napoleon dan dididik oleh Napoleon untuk kawalan keselamatan. Lembu-lembu diambil susunya oleh babi-babi sebagai makanan. Ayam dan itik mengumpul bijirin menggunakan paruh mereka.

Terdapat haiwan lain, seperti kuda bernama Mollie yang tidak menyumbang sebarang pengorbanan kepada Ladang Binatang kerana biasa dengan kemewahan yang diberikan oleh manusia sewaktu ladang itu belum dimiliki haiwan. Mollie akhirnya melarikan diri ke ladang sebelah kerana dijaga dengan lebih baik oleh manusia berbanding haiwan.

Kucing di rumah peladang itu juga tidak begitu melibatkan diri dalam pergolakan politik ladang itu, tetapi dimaafkan kerana alasannya yang kukuh dan dia berdengkur dengan sangat mengharukan sehingga haiwan-haiwan lain mempercayai niatnya yang suci. Kucing didapati ‘mengundi kedua-dua pihak’ sewaktu pilihanraya.

Kambing biri-biri merupakan sekumpulan haiwan yang tidak begitu memahami konsep Animalisma, tetapi secara buta tuli menyokong pemimpin mereka iaitu babi-babi. Mereka menyanyikan lagu-lagu yang memuja-muja pemimpin mereka yang diajar oleh babi-babi tersbut.

Benjamin ialah seekor keldai yang bijak dan merupakan antara haiwan yang pandai membaca di ladang tersebut, tetapi bersifat pesimistik. Dia meramalkan kehancuran Ladang Binatang pada masa hadapan.

Animal Farm
Babi mengajar membaca

Pada mulanya, Ladang Binatang berkembang dengan jaya, dengan setiap haiwan menyumbang mengikut kemampuan mereka. Snowball, babi pertama mengajar haiwan-haiwan membaca, dan Napoleon, babi kedua mengajar mereka prinsip-prinsip Animalisma.

Tidak lama kemudian, Snowball dan Napoleon mula bercakaran kerana merebut pengaruh dan kuasa di kalangan haiwan-haiwan lain. Snowball ingin membina kincir angin untuk menjana elektrik, tetapi Napoleon mentah-mentah menolak cadangan itu. Mereka memberikan haiwan-haiwan kuasa untuk mengundi, dan sewaktu hari pilihanraya, kedua-dua babi itu diberi peluang untuk mengemukakan manifesto mereka.

Snowball diberi peluang untuk mengemukakan terlebih dahulu cadangan kincir anginnya, diikuti dengan Napoleon. Apabila Napoleon memberi ucapan, dia membuat suatu bunyi, dan anjing-anjing peliharaannya, iaitu anak-anak Jesse dan Bluebell yang diambilnya sejak lahir untuk ‘dididik’ – menyerang dan mengusir Snowball daripada ladang itu.

Napoleon berjaya merampas kuasa dan menjadi pemerintah mutlak Ladang Binatang, lalu membuat keputusan bahawa tiada sebarang pilihanraya dan mesyuarat akan diadakan pada masa hadapan, dan babi-babi itu diberi kuasa penuh sebagai pemimpin dan pembuat keputusan – untuk kebaikan haiwan-haiwan bersama.

Apabila Napoleon berjaya memperoleh kuasa, dia menukar fikirannya tentang kincir angin tersebut, lalu mengerah seluruh kaum haiwan untuk membina kincir angin itu. Semua haiwan, terutamanya Boxer, si kuda yang setia dan gagah membanting tulang demi menyiapkan kincir angin itu. Suatu hari setelah ribut, kincir angin itu didapati tumbang.

Manusia di sekeliling ladang itu merumuskan bahawa dinding kincir itu terlalu nipis, tetapi Napoleon, si babi ketua mengumumkan bahawa Snowball cuba kembali merampas kuasa, dan dibantu oleh haiwan-haiwan lain yang bersubahat dengannya. Maka dengan itu, mana-mana haiwan yang cuba melawan kepimipinan Napoleon, akan dihukum bunuh dengan cara dibaham anjing-anjing peliharaan Napoleon.

Keadaan ladang menjadi sukar setelah tumbangnya kincir angin, dan Napoleon menjadi semakin manusia – tidur di atas katil, minum wiski, berdagang dengan peladang di sekitar. Prinsip Animalis menghalang perbuatan-perbuatan itu yang meyerupai manusia, tetapi ahli propaganda Napoleon, babi ketiga bernama Squealer, membenarkan segala perbuatan itu dengan meyakinkan haiwan-haiwan itu bahawa Napoleon seekor pemimpin agung dan sedang berusaha memperbaiki nasib semua haiwan – sungguhpun haiwan-haiwan lain kesejukan, kelaparan dan bekerja separuh mati sewaktu babi-babi itu hidup senang lenang.

Susu lembu diperah babi-babi itu dan menjadi makanan mereka sedangkan haiwan-haiwan lain dinafikan hak yang sama. Boxer semakin gigih bekerja kerana merasakan usahanya masih belum cukup, sungguhpun dia semakin tua dan kudratnya semakin lemah. Boxer masih setia kepada ladangnya dan menganggap jika ladangnya belum maju, bererti dia belum betul-betul berbakti. Boxer mempunyai prinsip baru, iaitu “Napoleon sentiasa betul.”

Suatu hari, Mr. Frederick, seorang peladang jiran menipu Napoleon dalam jual beli kayu api dan menyerang ladang itu dan meletupkan kincir angin yang dibina semula. Setelah kemusnahan kincir angin itu, pertarungan hebat berlaku antara haiwan-haiwan dengan manusia, dan Boxer, si kuda pekerja yang gagah dan rajin telah tercedera.
animalfarm2.shortdescription
Pertarungan peladang dan haiwan


Suatu hari, Boxer didapati telah hilang, dan babi-babi itu meyakinkan haiwan-haiwan lain bahawa Boxer telah meninggal di hospital. Sebenarnya, Boxer telah dijual ke kilang membuat gam untuk disembelih oleh babi-babi itu, dan duit yang diperolehi daripada penjualan Boxer digunakan untuk membeli wiski.
Tahun –tahun berlalu dan babi-babi semakin berperangai seperti manusia; berjalan atas dua kaki, membawa cemeti dan memakai baju.

Akhirnya, daripada tujuh prinsip Animalisma (dikenali dengan nama 7 Commandments) yang digantung di dalam reban, hanya tinggal “Semua binatang adalah sama, tapi ada binatang lain yang lebih sama”. (“all animals are equal, but some animals are more equal than others.”)

Akhirnya Napoleon makan malam bersama peladang bernama Mr Pilkington dan bercadang bergabung dengan peladang manusia untuk memperhambakan komuniti buruh manusia dan haiwan. Ladang Binatang ditukar nama semula ke Ladang Manor kerana menurut Napoleon, nama itu lebih wajar. Apabila haiwan-haiwan lain melihat Napoleon dan manusia lain makan bersama melalui tingkap, mereka tidak lagi dapat membezakan yang mana manusia dan yang mana haiwan.

SIMBOLISMA

Boxer – Rakyat golongan bekerja yang sentiasa bekerja separuh mati, tetapi kerana ekonomi negara belum cukup kukuh, meyakini bahawa mereka masih belum cukup menyumbang, lalu bekerja dengan lebih keras. Merasakan pemimpin negara sedang melakukan yang terbaik demi kebaikan semua orang, dan mereka ingin berbakti sehingga keadaan menjadi lebih baik. Rakyat golongan seperti Boxer akhirnya disembelih kerana kesetiaan mereka.

Snowball dan Napoleon – Two sides of the same coin. Apabila seekor babi diundi keluar, babi kedua akan menggantikannya. Babi kedua akan tidak bersetuju dan menyebut segala kepincangan babi pertama sewaktu pemerintahannya – curi duit rakyat (susu lembu), makan harta rakyat, pemboros, membazir, projek tiada faedah (kincir angin menjana elektrik) – tetapi selepas menggantikan babi pertama, babi kedua bakal mengulangi perkara yang dilakukan oleh babi pertama. Ya, kerana walau sekian banyak carut dan caci dan nafi menafikan tuduhan, ia sebenarnya hanya menjelaskan hakikat bahawa kedua-duanya adalah sama-sama babi.

Mollie – Haiwan yang kuat (kuda) tetapi memilih untuk tidak bekerja keras kerana pernah mengecapi kemewahan sewaktu pemerintahan manusia. Walaupun mempunyai potensi dan kudrat untuk memajukan negaranya, mereka memilih untuk berhijrah keluar kerana dianggap tidak cukup disayangi pemimpin dan kerana negara luar menawarkan kemewahan kepadanya.

Anjing – Pasukan yang gagah perkasa, tetapi melindungi kelompok yang salah kerana sejak dari awal, mereka dididik bahawa apa-apa berlaku, mereka perlu melindungi pemimpin mereka. Golongan ini banyak melakukan kekejaman kerana menzalimi rakyat yang tidak berdaya, tetapi masih dianggap betul di sisi undang-undang. Mereka sendiri tidak merasa perbuatan mereka zalim kerana sejak awalnya mereka telah dididik sedemikian rupa.

Kambing biri–biri – Haiwan yang tidak memahami politik, lalu diguna-gunakan oleh pemimpin untuk menyanyikan kehebatan mereka.

Benjamin – golongan intelek yang menyedari hakikat sebenar keadaan negara, iaitu mana-mana pihak yang dipilih, hanya bakal menyusahkan rakyat. Golongan ini tidak merasa gembira kerana bersifat skeptikal dan pesimis terhadap mana-mana pemimpin, walau bagaimanapun terus bekerja kerana tiada pilihan lain.

Kucing – hidup bahagia kerana tidak mengambil kisah hal-hal negara. Apabila pilihanraya, memilih kedua-dua pihak. Golongan yang menyedari kegembiraan sebenar adalah dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak dan hanya mengambil tahu tentang hal diri sendiri sahaja.

Manusia – penjajah yang meletakkan sistem dan nilai mereka ke dalam negara yang dijajah. Meninggalkan negara yang dijajah dengan kacau bilau, dan golongan yang pandai (babi) mengambil peluang menjadi penjajah baru.

Babi–babi – Opportunist, pandai berpropaganda, tamak dan manipulatif. Pemimpin yang tidak pandai bekerja, tetapi pandai berkata-kata. Babi merupakan simbolisma haiwan yang pandai, tetapi suka menggunakan haiwan lain. Semua pemimpin dalam Ladang Binatang dianalogikan sebagai babi.
Babi mulanya seperti memerangi manusia, tetapi akhirnya mereka sendiri menjadi manusia. Simbolisma bahawa mulanya mereka memerangi orang yang memegang kuasa, tetapi setelah mereka memegang kuasa, mereka bakal mengulangi kejahatan yang sama.

Squealer – Babi propaganda. Mereka tidak memegang kuasa, tetapi kerana mereka kroni (sama spesies babi) mereka diberi kemewahan yang hampir sama seperti pemimpin babi yang lain (minum susu lembu, tidur dalam rumah etc etc). Mereka adalah golongan yang mengajak rakyat memuja pemimpin, kerana mendapat kemewahan. Haiwan yang diajak mereka untuk memuja pemimpin tidak mendapat kemewahan yang sama.
Well that goes a long entry.


Kenapakah saya menulis tentang Ladang Binatang?

Kerana sekali lagi saya rasa seperti diperhaiwankan. Digembala dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Membuat kerja – kerja berat kononnya untuk kebaikan bersama. Tapi kebaikannya tidak ternampak di mana-mana.

Dan ketika inilah, saya melihat golongan – golongan di atas wujud. Yang seperti Boxer, habis segala kudrat digunakan, menyumpah seranah kerana terpaksa bekerja keras, tetapi masih patuh menurut arahan. Dan apabila haiwan lain tidak mengikut arahan, si Boxer bakal menerangkan bahawa arahan itu sesuatu yang perlu diikuti untuk kebaikan semua.

Yang seperti Mollie, ingin melarikan diri kerana mahukan kemewahan di tempat lain.
Dan pentingnya, babi – babi yang bersuara memberi arahan, tetapi mereka sendiri tidak turun bersama rakyat untuk merasai kesusahan.

Sekarang, tanya pada diri anda. Binatang yang manakah anda?

3 comments:
Write curses
  1. macam menarik. novel ni dari publisher mana ya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. alamak. tak sure pulak publisher mana. novel ni yang saya baca datuk punya, dia punya tulisan pun bahasa melayu klasik. yang tulis sa-perti ini.

      Delete
    2. https://www.goodreads.com/author/show/4604480.Aus_Suriatna

      penterjemah ke dalam Bahasa Melayu namanya Aus Suriatna. mungkin boleh google untuk lebih maklumat lanjut ;)

      Delete

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter