02 April 2012

KEMBALI

It’s been a long time since I came around, been a long time but I’m back in town. This time I’m not leaving without you.” You and I , Lady Gaga.

Saya kembali semula ke tempat segalanya bermula. 4 tahun yang lalu. Seharusnya saya mendengar kata-kata seorang sahabat untuk tidak kembali, tetapi saya sudah berjanji.

Dan janji itu membawa saya kembali ke tempat ini. 4 tahun bukanlah tempoh yang singkat, tetapi terasa seperti masih segar terjadi.

Dan jika diikutkan hati, saya mahu pergi ke hadapan. Tidak mahu kembali lagi ke blok ini. Blok ini terlampau banyak menyimpan kenangan yang menyeksa. Tetapi saya telah berjanji.

Mungkin sepatutnya saya menjadi lebih berani untuk ke tempat lain. Mungkin saya perlu memandang ke hadapan, memilih kolej lain untuk diduduki.

Tetapi mudahnya saya sudah kembali di sini.

Dan ketika berjalan di tingkat 1, mudahnya kaki saya ingin menuju ke bilik Ikram di hujung aras, sebelum otak saya sempat berfikir.

Dan ketika sampai di tangga aras 2, hampir tangan saya ingin membuka pintu bilik Baragas, sebelum saya meningatkan diri saya bahawa mereka semua telah tiada.

Dan ketika ingin membuka pintu bilik (baru) saya, mata saya mencari kasut hitam di rak kasut Hafifi, di sebelah bilik saya. Dan saya menahan perasaan sebak ketika menyedari kasut hitam itu bukan miliknya. Dia pun sudah tiada.

Saya mengemas barang-barang. Setiap inci, setiap sudut adalah bilik yang sama seperti 4 tahun lalu. Tiada apa yang baru dan mengejutkan.

Tandas yang sama seperti tahun lalu. Cuma paip getah warna kuning kini sudah ditutup lumut menjadi hitam. Sinki yang sama, shower yang sama. Mozek biru yang sama. Tempat saya membasuh baju yang sama.

Dan saya perlu membawa barang mandi bersama. Tandas ini dikongsi beramai-ramai, tak macam duduk dalam rumah. Barang mandi dah sedia ada dalam tandas. Sekarang semuanya saya gendong dalam tangan.

Bilik baru saya kipasnya laju. Dulu (baru semalam) sudah tegar tidur dalam aircond, kini harus berubah. Cuma langsir belum ada. Almari saya saya lapiskan dengan surat khabar pada setiap rak. Pemilik sebelum ni ada tinggal barang-barang. Baju, kertas. Semua saya campak keluar. Saya lapik tilam dengan cadar. Katilnya katil kayu. Dulu (baru pagi tadi) saya bangun dari tidur atas tilam di atas lantai.

Dan sekarang saya berfikir apa yang boleh saya makan ketika malam. Dulu semuanya disimpan dalam fridge, malam-malam boleh masak. Now I’ve lost that luxury.

Keadaan blok sama macam dulu, hingar-bingar. Saya dah terbiasa dengan sunyi sepi. Sikit masa lagi mungkin boleh biasakan diri dengan bunyi bising. Dan bila saya duduk bersendiri, seperti menanti ada orang yang datang mengetuk pintu, dan pada detik yang seterusnya saya mengingatkan diri saya bahawa saya sudah bersendiri. Tiada kawan yang akan melawat saya.

Gedil pun sudah mara ke hadapan. Sudah menyewa rumah di tempat lain.

Saya telah menekan butang reset. Dan kini saya kembali. Mereka semuanya telah pergi. Mereka menekan butang forward. Dan mereka meninggalkan saya dengan memori yang menyeksa.

Harus saya teringat detik-detik kami bersama. Di setiap bilik kami, bagaimana hidup kami menjadi sejarah. Setiap gelak ketawa dan janji setia. Setiap jamuan dan keraian. Setiap pesta dan majlis. Setiap umpatan dan gurauan. Setiap tugasan pensyarah. Setiap perkara kecil yang kami sengaja besarkan.

Dan saya menulis dengan memori mereka, memori kami. Saya tidak pernah lupa, saya harap mereka juga. Perasaan rindu mekar semula. Bagaimana kami semua telah menginjak dewasa bersama-sama, belajar mengenal dunia. Apabila berada di sini semula, saya akan selalu diingatkan dengan kenangan mereka. Dan kini, saya teringat mereka, mata saya menjadi berkaca-kaca. Saya menulis tentang mereka dengan menahan setitis air mata.

Tetapi saya tidak pernah kesal, kerana zaman first degree zaman paling bahagia.

LiveJournal Tags: ,

3 comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter