19 February 2012

Jadam


“Ke manakah kau? Ke manakah?” aku berbisik sunyi kepada sang angin. Moga bisikan halus itu sampai kepada kau. Semoga gelora sang angin mampu tersampai kepada kau dalam panjang gelombang tertentu; moga kau mendengar.

“Ke mana kau?” kataku cemas; masih dengan berbisik.

Baru semalam kau katakan kepadaku kau suka kepadaku. Kau kata kau cemburu aku suka kepada orang yang selain kau. Kata kau “lepaskan dia untukku”.

Dan malam ini kau lesap semula ke dalam kejamnya pekat malam. Kau menghilang semula.
Malam kelmarin, ketika aku sedang hampir ingin berbicara kepadanya, “bahawasanya aku terasa aku mula mencintai ...”dan lalu kau memintas dan tersenyum kepadaku.

“Aku pun suka pada kau”
“Eh, siapa?”

Dan kau mengarahkan telunjuk kau sepintas; tepat mengenai dadaku. Lalu kau tersenyum.
“Kau.”

Lalu aku terdiam. Aku memendam perasaanku terhadapnya; dan kini kau datang dengan kejujuran kau yang memusnahkan kejujuran aku. Kau menghancurkan peluang untukku mencari bahagia dengan mempergunakan ketidakmampuanku untuk menghancurkan hati kau.

Aku tidak sampai hati memalukan kau di hadapannya. Untuk menolak kau di hadapannya. Dan kau mempergunakan kelemahan aku untuk mencari bahagia kau.

Lalu aku tersenyum kepadanya. Aku pergi. Kau mengekori. Dan kata kau “kita harus bersama. Aku sudah lama menyukai kau.”

Dan aku menunduk serta-merta. “Kenapa setelah lama aku menunggu, baru kau mengatakannya sekarang? Kau tahu aku sudah lama mengasihi kau lebih dari batas yang harus!”

Dan kau mencuka. “Maafkan aku”. Kata kau. Permohonan maaf kau sama seperti jadam. Menyembuh tetapi pahit. Pahit.

Dan kini kau menghilang pula. Aku kegelisahan. Ketakutan. Kesejukan.

“Pulanglah. Pulanglah. Kita harus bicara.” Aku berbisik. Kali yang penghabisan.

Dan kau pahit dan gelap seperti jadam. Kau penyembuhku. Dan kau sudah larut ke dalam pekat malam.
Dan akhirnya aku tersedar aku masih di kuburan, bila mataku mengizinkan aku melihat nisan-nisan yang berceracak. Dan bagai tersedar dari sebuah mimpi, aku tersedar aku sedang berdiri di sebelah pusara kau. Yang masih merah. Dengan emosi. Masih merah dengan dendam.

“Kembalilah, kita harus bicara.” Dan kali itu kuhitung, sudah hampir kali keseratus lima puluh air mataku gugur. Dan gugur lagi buat sekelian kalinya bila aku menyedari perbualan kita semalam hanyalah mainan mindaku. Kesedaranku menghalang aku daripada melupakan kau. Dan itu menghantuiku untuk merasa bahagia semula.

Dan suaraku terus merendah ke dalam esak tangis kesalanku sewaktu aku menyebut namamu. Benar-benar di tanah kuburan. Betul-betul di sebelah pusara kau. Dan dalam kekesalan yang agung, aku berharap kau mampu menjelma semula. Berharap kau mampu bangkit semula. Berharap supaya kau menemaniku semula. Berharap supaya kau muncul di hadapanku dan tahu aku menyesali setiap satu perkataan kejam yang aku lemparkan terhadap kau.

Dan aku benar-benar berharap bahawa mimpi boleh membawa semua penderitaan itu pergi. Benar-benar aku berharap bahawa kemaafan kau kepadaku tidak dibawa pergi ke sana bersama pemergian kau yang terakhir.

2 comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter