29 October 2019

BEBERAPA HALNYA TENTANG TSUNAMI ACEH


Setelah meranduk Laut Andaman menaiki kapal lambat dari Pelabuhan Balohan, Pulau Weh ke Pelabuhan Ulee Lheue, Aceh, kami dihampiri oleh seorang bapak pembawa teksi sebaik kaki kami menyentuh darat. Kami berniat mengambil Grab sahaja dari pelabuhan ke Muzium Tsunami, tetapi kesungguhan bapak itu meruntuhkan keteguhan kami.

"Murah saja, tidak sampai 2 dollar!" katanya, walau kami tidak memilih untuk melakukan pengiraan untuk memeriksa kadar tukarannya. Dia meminta 40,000 rupiah dari pelabuhan Ulee Lheue (disebut Ulele) ke Muzium Tsunami Aceh berbanding 34,000 jika kami mengambil Grab. Dia menawarkan untuk membawa kami ke sebuah lagi kawasan wisata tsunami, iaitu sebuah kapal yang tersadai 3km di daratan dibawa gelombang tsunami. Kapal PLTD Apung milik Perusahaan Listrik Negara (bersamaan TNB jika di Malaysia) ini sendiri telah ditukarkan menjadi muzium di tempatnya tersadai sejak 15 tahun yang lalu.

 Kapal PLTD Apung
Malangnya, pada hari Minggu tersebut, kapal PLTD Apung itu tidak dibuka untuk awam. Kami hanya dapat mengambil gambar daripada luar pagar. Dari kapal PLTD Apung, bapak supir membawa kami mengikuti jalan belakang ke Muzium Tsunami Aceh melalui kawasan perumahan, dari jauh dia menunjukkan kepada kami sebuah struktur tinggi warna kelabu yang melampaui tinggi-tinggi bangunan yang lain.

"Itu, Muzium Tsunami."

Dia menurunkan kami di depan pintu muzium, tulisan warna biru MUSEUM TSUNAMI ACEH tersergam di depan mengingatkan kami kepada warna biru ombak. Kami dikenakan bayaran 3000 rupiah seorang untuk masuk ke dalam.

Sebelum memasuki ruang pameran, sebuah helikopter dalam keadaan hampir hancur ditabrak tsunami, terbengkalai menyambut kami. Helikopter tersebut tidak digunakan dan diletakkan di parkir ketika tsunami melanda.

Saat kami mula masuk ke muzium, terasa seolah-olah roh kami dibawa kembali ke pagi hari 26 Disember 2004 di Aceh. Ruangan pertama yang dilalui kami ialah sebuah lorong sempit dan tinggi dipanggil lorong tsunami yang menghidupkan kembali suasana ketakutan, huru hara dan kebergantungan kepada Tuhan yang dirasai pada waktu tsunami melanda.


Lorong Tsunami

Lorong tersebut gelap gelita, sebuah kepungan yang lembab dan sejuk diapit 2 dinding tinggi menjulang kiri dan kanan, mencetuskan perasaan panik. Kegelapan mengakibatkan kami untuk tidak mampu mengagak ketinggiannya. Dikatakan bahawa tinggi dinding lorong sempit tersebut adalah setinggi ombak tsunami yang melanda Aceh 15 tahun yang lalu. Daripada dinding, air mengalir dari suatu ketinggian yang tidak dapat kami pastikan, dan terasa titisan-titisan air memercik kepada kami dari atas. Lorong sempit ini berkumandang suara berzikir berulang-ulang menyebut nama Allah, membuatkan kami merasa betapa ketakutan apabila dikepung gelombang tsunami tanpa jalan keluar, seolah hanya mampu berserah kepadaNya apabila ajal datang dalam gulungan ombak hitam setinggi 30 meter.

Terasa tangkai jantung bagai tersentak dengan setiap langkah kami di sini, mencetuskan suatu emosi gundah gulana, takut dan sayu.

Ruangan kedua yang meruntun hati kami ialah sebuah kubah yang tertulis nama-nama korban tsunami di dindingnya, dan di atas kubah ialah tulisan nama Allah swt, seolah suatu simbolik bahawa mereka telah kembali kepada hadrat Maha Pencipta, dan sesungguhnya semuanya adalah ketentuanNya. Dalam ruang ini, ayat-ayat suci al-Quran berkumandang tanpa henti, satu peringatan bahawa ajal kita pasti akan tiba, seperti mangsa-mangsa korban tsunami. Malah ada nama di dinding dengan pangkat Dr di hadapannya, membuatkan saya berfikir tentang kehidupan mangsa-mangsa sewaktu mereka masih bernyawa. Di ruang pameran turut diletakkan Kartu Tetap Penduduk (KTP) mangsa tsunami yang sudah terkorban, menjadi satu relik sejarah. Pasti mereka juga bekerjaya, mempunyai cita-cita masing-masing. Dan segalanya terus terpadam selamanya oleh gelombang tsunami.

Dalam ruang pameran seterusnya, ada dinyatakan bahawa tragedi tsunami pernah melanda nenek moyang mereka di Aceh dan rumah tradisional Aceh mempunyai ciri-ciri keselamatan bagi menanggapi bencana alam, tapi kerana peperangan demi peperangan, kewaspadaan mereka terhadap tsunami turut tenggelam, tidak lagi menjadi fokus utama hanya sekadar cerita yang diwariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya.

Pemandu Grab yang membawa kami dari hotel ke pelabuhan pada hari kedua tidak sanggup memasuki ruang muzium, katanya dia menangis sewaktu melalui lorong tsunami, trauma datang menyerang. Dia bercerita dia terpaksa meninggalkan ibunya yang tidak larat berjalan sewaktu tsunami.

"Kakek-kakek yang sudah tua tidak mampu berjalan, terus disuruh kami lari menyelamatkan diri tinggalkan saja mereka di rumah sewaktu ombak pertama melanda. Datang ombak kedua, terus habis segalanya disapu."

"Saya kehilangan 21 ahli keluarga sewaktu tsunami" tsunami ialah suatu takdir yang mengikat seluruh warga Aceh, kehilangan ahli keluarga dan orang tersayang kepada tragedi tersebut adalah suatu denyut nadi yang dirasai bersama.

Sewaktu tsunami, dia sempat melarikan diri ke tempat tinggi. Daripada tempat tinggi tersebut, dia melihat sebuah kapal dibawa laut, melanggar rumah-rumah dan kedai-kedai. Mereka menjerit dan berdoa supaya kapal tersebut berhenti.

"Dulu Pelabuhan Ulee Lheue ini besar, skala internasional, beratus tahun usianya. Selepas tsunami, pelabuhannya menjadi kecil, tidak lagi dapat menyaingi pelabuhan yang dulu. Di sini, dari hujung sini ke hujung sana, dahulu ada perkampungan Semuanya habis dibawa tsunami." Saya terbayang anak-anak kecil sedang bermain, mengutip ketam dan mengail ikan, apabila ombak tsunami menyerang seluruh kampung mereka, meranapkan rumah mereka dan mengambil nyawa mereka daripada tubuh tanpa mereka sempat mengetahui apa yang terjadi. Daripada keseluruhan jumlah mangsa tsunami Aceh, 1/3 adalah golongan kanak-kanak. Mereka tidak mempunyai kekuatan dan kudrat bagi menyelamatkan diri sendiri daripada dibaham ombak.

Setahun selepas tsunami, penduduk Aceh tidak sampai hati untuk memakan ikan dan hidupan laut yang lain, kerana mereka menganggap ikan-ikan tersebut telah memakan daging jenazah saudara-saudara mereka yang hilang di lautan. Kesan psikologi tersebut amat dahsyat memandangkan ikan ialah sumber protein utama orang Aceh.

Selepas tsunami, dikatakan mayat-mayat banyak yang terperangkap di dalam kenderaan dan di atas pokok sehingga berhari-hari lamanya, tapi kerana kesukaran dari segi jentera dan tenaga manusia, mereka tertinggal di situ. Malah ada mayat yang menjadi jamahan anjing liar. Mayat yang ditemui akibat kekurangan logistik dan kemaslahatan awam, dikebumikan tanpa dikafankan.

Sewaktu tahun 2004, konflik antara Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dan tentera Indonesia mengakibatkan Aceh terkepung ke suatu sudut dunia, terputus daripada dunia luar. Pertama kali dunia luar tahu mengenai Aceh ialah setelah berlakunya tsunami, apabila kerajaan Indonesia memerlukan bantuan antarabangsa dan tidak lagi dapat menekan Aceh ke sebuah sisi sepi.

Pada waktu itu, barulah Aceh membuka pintunya untuk menerima kunjungan daripada delegasi negara luar. Saya membaca sebuah artikel tulisan seorang wartawan antarabangsa yang menceritakan betapa dahsyatnya keadaan Aceh, dengan mayat manusia berselerakan di setiap tempat. Dia tidak sanggup mengambil gambar-gambar mayat tersebut, tetapi terpaksa mengambil sekeping dua fotografi atas dasar kejujuran dan tanggungjawab bukti profesion menyampaikan maklumat. Dunia harus tahu apa yang berlaku di Aceh. Dengan keadaan Aceh yang terputus hubungan dengan dunia luar ketika itu, dia terpaksa melalui perjalanan 8 jam pergi balik sehari hanya untuk ke bandar terdekat yang mempunyai akses internet bagi menghantar laporannya.

Seorang veteran perang yang melawat Aceh ketika tragedi tsunami menceritakan betapa dahsyatnya kemusnahan, lebih dahsyat daripada mana-mana perang yang pernah disertainya. Malah seorang sukarelawan yang datang setahun selepas tsunami terkejut melihat keadaan Aceh, dia tidak dapat membayangkan bagaimana keadaannya 6 bulan selepas tsunami, malah sebulan, seminggu, 10 minit selepas tsunami.

Abang Awie, pemandu becak menunjukkan kepada kami kawasan yang dulunya pernah menjadi padang jarang padang tekukur, kini sudah didirikan bangunan. Apabila terdapat lot-lot kosong di antara bangunan tersebut pantas dia menerangkan "Itu tanah yang sudah tiada siapa menuntut. Seluruh keluarganya sudah habis selepas tsunami."

Di muzium, ada tertulis suatu karangan. "Beragam kisah-kisah haru tsunami tentang keluarga yang akhirnya berkumpul kembali atau kesaksian mereka yang tinggal sendirian dan terus memendam harapan ingin bertemu keluarganya yang dianggap masih hidup di suatu tempat. Pada akhirnya semua orang harus belajar tulus menerima keadaan duka agar bisa bertahan melanjutkan hidupnya."

Membayangkan harapan untuk bertemu semula keluarga yang hilang, dan hari demi hari berlalu menghakis kepercayaan tersebut sehingga putusnya pengharapan adalah suatu hakikat yang sangat menyakitkan. Begitupun, orang Aceh mempunyai daya tahan yang luar biasa, malah diakui oleh ramai orang luar. Tragedi tsunami tidak mematahkan semangat orang Aceh.

Selepas tsunami 2004, pada tanggal 24 Februari 2005, GAM dan kerajaan Indonesia telah menandatangani perjanjian damai setelah peperangan gerila yang berlaku sejak tahun 1976 dan kedua-dua pihak menyatakan tsunami sebagai sebab perjanjian tersebut. Kehilangan rakyat Aceh kepada konflik Aceh-Indonesia hanyalah 15,000 orang dalam tempoh 30 tahun kewujudan GAM, berbanding 168,000 orang yang terkorban dan hilang ketika tsunami Aceh 2004.

Terkadang hanya tragedi saja mampu menyatukan hati kita.

Keluar daripada muzium, terasa seakan kepedihan dan kesedihan daripada tsunami mula berkumpul dalam relung hati. 15 tahun belum mampu untuk memadamkan jejak tsunami dari muka bumi, dan daripada hati orang-orang Aceh yang baik hati dan berani.

Al-fatihah untuk semua korban tsunami.

1 comment:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter