09 June 2019

Diari Ramadan Bedaduz (2)

Tahun terakhir dalam dekad ketiga menuju ke dekad keempat kehidupan, saya menghadapi Ramadan tahun ini dengan suatu perasaan kekalahan, tapi dalam suatu warna yang positif. Kekalahan menunduk kepada Sang Pencipta.

Pada tahun ini, ada dua sisi kehidupan yang saya telusuri. Suatu sisi penurutan nafsu, manakala suatu lagi menundukkannya.

Ada beberapa peristiwa pada bulan Ramadan kali ini. Hampir separuh daripadanya, berbuka dalam kemewahan melampau-lampau di hotel-hotel dan kafe mewah. Bermula di Marriott, Little White Cafe, Teknocafe, Ambassador, Hotel Bangi Resort, Palm Garden; hampir keseluruhan hotel di Putrajaya telah dilawati. Makanan yang beraneka jenis, serba serbi, berwarna warni, ditambah tuang tiada berhenti suatu ironis kepada kelaparan berpuasa sepanjang hari. Menurut kepada nafsu, tidak pernah cukup pinggan walau perut terasa ingin meletus. Dan setelah kekenyangan bagai ular sawa, solat terawih ditinggalkan terus dengan sedikit kesalan 'Ah esok aku akan lebih baik'. Begitulah.  

Dalam malam-malam lainnya, saya ke surau-surau bersendiri, mengemis barang secebis makanan sewaktu berbuka. Selesai beratur mengambil makanan sekadar apa yang ada, saya melabuhkan diri di celahan orang ramai, sendirian di tengah-tengah masyarakat berkeluarga. Dalam merasa sudah berusia, mungkin begitu juga saya masih tercari-cari tempat di dalam dunia, kadang tersudut di suatu bucu sepi, seboleh mungkin mendiamkan diri tidak mahu diperhati. kemudi haluan sendiri dalam kehidupan yang melupakan kita.

Pada hari Nuzul Quran, saya menerima naskhah al-Quran pertama yang saya beli sendiri setelah menjadi audiens untuk bicara bersama ustaz ad-Dien. Begitu hiba mendakap rona merah saga dalam tangan, perasaan ketika itu di dalam bilik adalah sebuah keterujaan dan kesedihan yang silih berganti, hampir pada usia 30 memiliki al-Quran sendiri. Sungguh, saya merasa terharu dengan kebaikan Tuhan. Dia tidak pernah melupakan.

Kali pertama juga saya di celah audiens mendengar bicara ustaz ad-Dien tentang al-Quran, dalam bulan Ramadan dengan rela hati memandu mencari ilmu. Dulu di sekolah, kerap ponteng kerana bosan mendengar ceramah agama. Ah, begitu Ramadan tahun ini begitu berbeza. Kata ustaz ad-Dien, jalan-jalan kebaikan ada banyak dan tidak pernah terlewat untuk menjadi baik. Bahkan ada ilmuwan masa silam yang pada mudanya kaki botol, menuntut ilmu pada usia senja lantas menjadi ulama. Betapa beruntungnya, berkatnya usianya di hujung-hujung nyawa.

"Jangan fikir yang jahat selamanya jahat. Dan jangan fikir yang baik pengakhirannya baik." Dari situ saya simpulkan dua perkara - jangan sesekali menilai seseorang hanya kerana perbezaan pada dirinya kerana dia boleh berubah, dan berdoalah kepada Allah agar ditetapkan iman untuk terus berada di jalanNya. 

Bulan Ramadhan lebih penting daripada membaca al-Quran, adalah mempelajari al-Quran, kata Ustaz ad-Dien. Quality over quantity. Kata Ustaz ad-Dien, setiap kali pada bulan Ramadan, Nabi Muhammad saw akan bertalaqi dengan malaikat Jibrail as membaca al-Quran, dan tahun sebelum kewafatan baginda, Nabi sempat khatam 2 kali bertalaqi dengan Jibrail. Pengajaran ketiga - semakin meningkat usia dan semakin dekat dengan kematian, kita harus semakin bersemangat menambah ilmu.

Dalam hati tercuri-curi doa, bahawa janganlah Ramadhan ini menjadi yang terakhir. Betapa kerdilnya diri, betapa sedikitnya amalan. Betapa sukarnya mencari titik keseimbangan kerjaya dan ukhrawi, apabila malam terlalu penat untuk beribadah. Kadang janji untuk bangun subuh berjemaah juga sering dimungkiri mata yang enak tidur, bersahur benar-benar di hujung waktu tidak sempat untuk ke surau.

Ramadhan kali ini, sewaktu di kampung saja sempat 20 rakaat dan berjemaah Isya dan Subuh di surau, teringat pesanan Ustaz di sekolah dulu "Utamakan yang wajib. Terawih itu hukumnya sunat. Kalau kamu solat fardhu Isya dan esoknya Subuh berjemaah, dapat pahala seperti bersolat sunat sepanjang malam."

Begitulah, diari Ramadan tahun ini. Moga amalan saya diterima Allah swt, moga dosa-dosa saya diampunkan, dan moga berjumpa Ramadan dan lailatulqadar tahun hadapan. Amin.


No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter