Where to begin
with this one?
Tanpa meletakkan
sebarang expectation walaupun membaca reviu di twitter dan goodreads yang
memuja-muja buku ini sehingga dijulang-julang ke aras yang tidak munasabah,
saya membeli buku ini di Pesta Buku Negara pada 26 November yang lalu dengan
harga diskaun RM10. Sekurang-kurangnya tidaklah rasa menyesal membeli jika
bukunya tidak mencapai tahap memuaskan.
Dengan suspension
of disbelief dan expectation sifar, saya memulakan pembacaan buku Budak Hostel
Otaknya Sewel dengan bintang 4.1 di goodreads. Sebagai seorang budak hostel,
saya tahu bagaimana gilanya kehidupan di asrama. Oleh itu, sedikit sebanyak
saya yakin saya boleh memahami intisari novel karangan Hasrul Rizwan ini.
Menyelak satu
demi satu helaian, ternyata walaupun tanpa sebarang expectation, tiada halaman
buku ini mengujakan saya ke tahap yang sama seperti reviu di twitter dan
goodreads.
Tiada Stake
Kisah Akhil dan
rakan-rakannya dalam buku ini berkisar kepada kehidupan pelajar di asrama yang
nakal dan pelbagai ragam. Buku ini diterbitkan di wattpad bab demi bab terlebih
dahulu dan berjaya meraih 150,000 views sebelum dijilidkan sebagai buku. Oleh
itu, buku ini mengikut model ‘tunggu dan lihat’ yang memerhatikan sambutan
pembaca dahulu sebelum diteruskan.
Dengan model ini,
penulisan sesebuah novel itu akan berlaku dengan garis masa yang statik
mengikut kronologi bab. Ini bermaksud setelah terbitnya satu bab, ia tidak lagi
dapat diedit sehinggalah ke pengakhiran buku.
Kelemahan utama
bagi buku model ‘tunggu dan lihat’ ini adalah sekiranya penulis mempunyai idea
baru untuk dimasukkan ke dalam cerita, idea itu hanya dapat diselitkan pada
bab-bab yang terakhir. Buku Budak Hostel Otaknya Sewel ini malangnya, termasuk
dalam kategori itu.
Kisah budak
hostel sendiri mempunyai modal yang kaya, menarik dan pelbagai. Bagi seorang
yang pernah tinggal di asrama, mengolah kisah sedemikian ke dalam bentuk buku
adalah suatu perkara yang natural dan tidak perlu dibuat-buat. Walau bagaimanapun,
untuk membawa naratif ke penghujung cerita semata-mata menceritakan tentang
kenakalan pelajar asrama tanpa justifikasi plot yang munasabah, kisah itu akan
hilang daya tarikan sedikit demi sedikit.
Novel BHOS juga
mengingatkan saya kepada novel grafik Kartini yang pernah diterbitkan MOY
Publication. Kartini juga menggunakan asrama sebagai latar tempat, dan idea
pokok yang dibawa kartunis Tembakau juga jelas dengan plot yang dibina kemas tanpa
perlu bergantung kepada jenaka asrama semata-mata.
Kisah BHOS ini
menceritakan kisah Akhil dan 4 rakannya bersubahat untuk memecah masuk asrama
puteri untuk mencuri pakaian dalam pelajar wanita. Atas kertas, idea pokok ini
mempunyai potensi besar untuk dijelmakan sebagai naskhah yang lucu. Sungguhpun demikian,
helaian demi helaian, tiada justifikasi jelas kenapa plot perlu menuju ke arah
itu.
Mungkin di
pertengahan cerita, penulis cuba meletakkan satu konflik untuk membuatkan
pembaca bersetuju dengan tindakan mereka untuk memecah masuk asrama puteri,
iaitu dengan cara mewujudkan cinta 3 segi antara Adam iaitu abang kembar Akhil
dan pelajar wanita yang diminatinya, Zakiah Merican. Akhil ingin memecah masuk bilik
Zakiah untuk mencari surat-surat yang dihantar oleh Adam. Begitupun sebab ini
belum cukup kuat untuk memangkin plot.
Oleh itu, dalam
kisah BHOS, tidak ada stake yang jelas yang boleh membuatkan pembaca benar-benar
peduli dan merasa gementar untuk watak-wataknya. Sepanjang pembacaan, saya
lebih khuatir jika cerita ini tidak akan membawa apa-apa payback di hujung
cerita berbanding kerisauan pada watak-watak utamanya.
Plot twist lemah juga
menyebabkan stake yang diberikan terus bertambah menjadi kurang signifikan. Zakiah
Merican kononnya lari dari asrama bersama teman sekampungnya untuk berkahwin
lari pada malam yang sama Akhil memecah masuk ke biliknya yang ditinggalkan
kosong. Ini adalah poin di mana saya merasakan penulis novel ini tidak boleh
berpatah balik kepada bab-bab yang awal untuk memperbetulkan dan memperkuatkan
ceritanya, menggunakan bab-bab terakhir sebagai satu-satunya tempat untuk
meleraikan plot tanpa terlebih dahulu dibina pada bab-bab terawal.
Tragedi penulisan
ini secara rasminya menjadikan naskhah BHOS ini paling tinggi hanya wajar
diberi 2 daripada 5 bintang pada pandangan saya.
Kelucuan Spastik
Kebanyakan review
beranggapan bahawa jenaka pelajar asrama merupakan kekuatan utama naskhah BHOS.
Begitupun, jenaka-jenaka lucah yang diulang-ulang dari mula sehingga ke akhir
merupakan satu cabaran ketika saya cuba menyelesaikan pembacaan.
Saya cuba
membuka minda seluas mungkin untuk menghadam jenakanya, tetapi kegagalan untuk
ketawa bukanlah terletak pada pembaca yang tertutup minda, sebaliknya pada kesalahan
penulis yang mengulang jenaka yang sama sehingga kehabisan modal. Malah, sukar
dicari jenaka di BHOS yang tidak melibatkan lawak yang kotor atau lucah.
Ini menjadikan
saya semakin gusar apabila kebanyakan review bercerita tentang jenaka BHOS yang
menggeletek perasaan, sedangkan saya langsung tidak berasa demikian.
Apakah justifikasi
BHOS dijilidkan sebagai sebuah buku? Jawapan ini tidak terjawab selesai pembacaan
saya.
No comments:
Write curses