Mengunjungimu, harapku
Masihkah kau di sana, berdiri, mengenangku
Atau pinggir dalam lubuk yang terdalam,
menekan rahsia kita kelemasan
Ingatkah kau apabila cahaya bulan menembus
kaca, menari di atas kulit kita pada suatu malam yang permai
Aku baris-bariskan ayat ini supaya aku tidak
akan lupa.
Apabila kau membaca isi surat ini yang tidak
kunjung tiba,
Adakah sampai maksud hatiku ketika aku
menulisnya kepada dadamu yang sedang membaca
Adakah air mataku yang hinggap pada cebisan
kertas kumal masih basah tatkala kau menatap bait-baitnya, atau air matamu
sendiri menitis ke tempat keringnya air mataku
Apakah bakal sampai kepadamu khabar-khabar
dari relung jiwa yang bergumpal resah, pada malam dingin menatap waktu, menanti
pagi tiba dengan kerisauan, gusar
Kita pernah punya sejarah – tulisku kepadamu
dengan pena biru.
Dan aku simbahkan tintaku dengan darah, tanda
betapa segalanya bermakna walau terlalu kejam,
Dan aku tandatangani suratku dengan marah,
kerana rindu itu terlalu buas untuk tunduk menjadi dendam.
Ketika tamatnya kau membaca, baru kau sedari. Bahawa
surat ini tidak pernah akan kunjung sampainya ke alamatmu di jemari. Kau terlalu mengerti
untuk kutuliskan sebuah lagi sengketa dalam warkah, menghantar kita sekali lagi
dalam kelahi.
No comments:
Write curses