16 December 2012

Kita Wujud di Dalam Kotak

“You, bangun! Pergi masuk bilik!”

“Hurm!’

“Bangun, bangun! Pergi tidur bilik!”

Dia mengejutkan lagi. Dengan penuh lembut. Dan mungkin dengan ciuman. Itu tidak dapat dipastikan.
Berlari anak saya ke dapur. Bersembunyi. Biar kalau dia terjaga dia tidak melihat saya. Cukuplah perkenalan dan kejutan yang tidak terduga malam ini.

Bunyi geseran sofa yang melaga bajunya. Bunyi dia sudah terjaga. Saya menuang air ke dalam cawan. Mengambil sos cili McD. Sekeping pinggan kecil. Bunyi dia bangun dari sofa, berkalih ke bilik. Saya berpura-pura berbuat sesuatu supaya tidak akan terperangkap dalam suasana janggal. Kekal di dapur sehingga mereka hilang sepenuhnya ke dalam bilik.

Setelah pasti, saya membawa pinggan kecil ke meja di ruang tamu. Sudah tiada sesiapa. Menuang french fries ke dalam. Cuba mengoyakkan plastik sos. Ketat. Ke dapur mengambil pisau. Kembali ke meja. Memotong gigi peket kecil sos dengan pisau.

Ketika ingin mula makan, saya meminta. “Mana kad tu?”
Dia menunjuk ke dalam pasu. “Itulah bunga yang dia kasik!”

Dan dia menyerahkan sekeping kad kepada saya. “Growing older is compulsory, growing old is optional. May your wish come true.” –kata kad itu. Kad yang mencetuskan pergaduhan mereka. Kad dari orang ketiga. Kad dari kekasih lama. Dia kembali ke dalam bilik.

Aneh. Sesuatu yang aneh. Saya menjamah Big Mac perlahan-lahan, menambah sekeping lagi keju Cheddar di lapisan daging atas. Pandang jam di dinding. Pukul 8.30. Eh tidak, jam sudah mati. Saya cuba menghadam perasaan janggal itu.

Dia keluar dari bilik.
“Aku nak sembahyang kejap”
“Eh, kejap. Pinjam baju dengan kain pelikat.”

Dia masuk ke bilik. Membawa sehelai T-shirt Polo.
“Taknak lah. Yang simple lagi takde ke? Taknaklah baju berkolar nak tidur malam”
Dia kembali ke bilik. Saya mengekori.
“Baju ni OK?”
T-shirt plain. Tanpa kolar.
“OK, muat kot.”

Dan kemudian saya ke tandas, mengambil wuduk. Solat Isya’.

Dan kemudian ke beranda saya pergi. Mengambil sedikit udara malam. Menyorot pancaran cahaya neon. Saya menoleh belakang; di meja kopi, 3 helai kain pelikat berlipat. Duit syiling bertaburan di atas timbunan. Dan sebentuk kunci kereta Honda.

Saya masuk ke bilik tetamu. Buka lampu. Mengambil beg laptop, mengeluarkan helaian draf jurnal Titi. Dalam udara panas yang mencengkam dan menggigit kulit saya menanda-nanda mana-mana perenggan yang wajar dengan pen biru. Dan menokok mana yang harus. Saya yakin mereka sudah tidur di bilik tengah.

Teringat perbualan kami.

“Antara dia dengan kami, siapa lagi penting?”
“Dia! Aku akan pilih dia sebelum korang!”

***

“Nak pergi melancong tak ajak! Mentang-mentang dah bahagia!”
“Aku dah bagitau korang kan haritu? Hahahaha!”

***

“Dia kata aku orang kedua dia paling sayang, selepas wife-to-be dia”
“Hmm, good for you.”

***

Lepas gaduh dengan ayah aku, aku rasa terharu dia sanggup selamatkan aku. Kekasih pertama aku kata takde orang lain yang akan sayang aku macam dia sayang aku; tapi dia silap.

***

Aneh. Mereka bahagia. Ya; itulah perasaan janggal itu. Bahawa mereka bercinta, dan mereka bahagia.

Dan saya hanya penonton dari tepi; yang selalu akan mendoakan yang baik-baik sahaja, untuk mereka dan untuk saya juga.

Sesungguhnya; tiada siapa yang dapat mendustakan cinta.

No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter