26 May 2016

LATA MEDANG

Assalamualaikum dan hai y’all!


 Kumpulan Ninja Moshi Moshi Itadakimasu Itai Itai
 
Seperti kali-kali yang sebelumya beraktiviti outdoor, kali ni nak cerita pengalaman ke Lata Medang pula (ya ampun, asyik tulis outdoor je, blog ni dah jadi blog outdoor dah) pada hari Ahad, 22 Mei yang lalu.

Lata Medang ni letaknya dekat-dekat Sungai Chiling di Kuala Kubu Bharu. Saya pernah pergi Sungai Chiling tahun 2014, bawak junior pergi buat fieldwork. Kali ni ke jirannya pulak. Kalau anda nak tahu, dekat sinilah terletaknya Empangan Kuala Kubu Bharu yang membekalkan air untuk negeri Selangor. 

Yang ajak pergi kali ni Fakhrul, dia post dalam group whatsapp Freemason Freedom Batu Maloi. Rasa macam orait jugak sebab saya pun tak pernah pergi Lata Medang ni, so saya pun kata OKlah nak ikut. Ingatkan adalah budak-budak teammate kami nak join, sekali saya dengan Fakhrul je huuuu~ 


 Reunion kejap dengan Kapten Fakhrul

Kali ni first time join yang bukan GEMASelangorBackpackerz anjurkan secara rasmi. First time jugak saya pergi dengan orang yang totally kenal dari buat outdoor. Dulu setiap kali beraktiviti ada Syammil, Zaidi, Fareez yang samaada satu sekolah dan satu tempat kerja, kali ni semua yang saya kenal daripada buat outdoor start daripada Bukit Batu Putih

Trip ni sebab organize sendiri-sendiri, jadi makanan kami kena bawak sendiri bak kata Fakhrul. Jadi seperti biasa macam piknik-piknik sebelum ni, saya pun menyiapkan Sandwich Tuna la Grega, pilihan ibubapa Asia Tenggara hewhewhew

Mula ingat nak pergi dengan Fakhrul, park dekat rumah dia, lepas tu naik dengan dia sampai Kuala Kubu Bharu. Tiba petang tu Afiq arrange saya naik kereta dengan Irsyad dengan Amar, meeting point dekat rumah Amar di Presint 11. Afiq kata senang tidur rumah Amar je, ataupun gerak pukul 3 pagi dari rumah saya kalau taknak tidur rumah Amar. Saya fikir pulak nak tidur rumah Amar karang kena bawak ubat gigi, berus gigi, baju seluar tidur, apa benda segala bagai. Barang makan pulak simpan dalam fridge, nanti satu hal nak keluar masuk fridge banyak kali dah tak fresh. Takpelah, saya gerak pukul 3 jelah, saya fikir.

Malam tu dah tak cukup tidur, sebab nak mengemaskan barang-barang makan dalam beg, fikir nak bawak baju, barang apa semua. Dalam pukul 1 baru habis mengemas. Pukul 3 dah kena gerak ke Putrajaya, jadi mesti paling lewat nak bangun mandi pukul 2.30, dapat tidur beberapa minit je. Waktu tu fikir kelakar gila pukul 6 pagi subuh-subuh dah kena sampai Kuala Kubu Bharu rasa macam eee kalau hujan malam ni sedap jugak. Cancel plan pastu boleh tidur lelama hewhewhew 

Tapi sebab Afiq excited kot tolong arrange pengangkutan apa semua, rasa bersalah pulak kan (lagipun aku dah buat tuna 2 buku roti siapa nak makan hoiii). Fikir nak jumpa dengan Fakhrul, dah berapa kali plan kitorang cancel. Haritu dah reunion dengan Una dengan Fizee waktu mencandat.

 Dipendekkan cerita, dalam pukul 2 lebih tu, lepas suruh Cortana set alarm (Cortana, set an alarm at 2:30 am wah gitu), saya pun bangun mandi siap dan pakai baju kaler hitam (tema kumpulan kununnya), terus angkut barang-barang bergerak ke rumah Amar di Presint 11 dalam keadaan otak berfungsi di tahap 20% sel-sel otak tak berhubung huuu. 
  
Sampai-sampai takdelah awal sangat, dalam 3.30 sebab tak tahu nak parking mana, lepas tu mesej Amar, Amar tengah kemas barang. Tunggulah Irsyad dengan Amar, ingat nak tidur kejap tapi mata tak boleh lelap. Pukul 4:00 lebih kurang Amar call, tanya park dekat mana. Tak lama tu MyVi kuning Irsyad pun sampai. Saya mintak pinjam beg Amar satu sebab barang makan semua ingat nak hand carry je, tapi Amar kata lagi baik bawak dalam beg. Saya pulak takde beg hiking. Lepas dah naik kereta apa semua, kami pun mulakan perjalanan ke Kuala Kubu Bharu.

 The BoBoiBoyzzz
 
Irsyad drive, saya duduk sebelah, Amar dekat belakang tidur hewhewhew. Katanya semalam kerja walaupun cuti Hari Wesak. Hari Sabtu pulak tu. Actually Amar kerja sebelah site saya je. Tapi tak pernah ada rezeki nak jumpa. Biasalah kerja construction, memang busy.

Kereta kami pun melalui jalan-jalan sunyi, menyusur kegelapan dinihari menuju ke arah utara.
Dalam pukul 5:50, kami sampai dekat masjid yang dekat Lata Medang tu. Sampai-sampai je, orang dah nak solat Subuh. Sedang elok timing kami. Lepas solat tu, tetiba jumpa Fakhrul. Lepas tu nak keluar masjid tu nampak ada orang lambai dari parking. Eh siapa pulak ni. Bila datang dekat rupanya Afiq. Sorry lah Afiq, waktu pagi gelap hahaha!

Rupanya semua dah ada. Amirul dan Ash, dua orang sepupu yang dari Batu Maloi dan mencandat sotong, Dan dan Jimmy yang baru first time jumpa. Depa ni dah biasa dah beroutdoor bersama-sama, kira inilah first time saya join deorang. 

Lepas tu Afiq kata ada satu kereta lagi. Budak perempuan. Eh? Ingat semua budak perempuan bailout last minute. Budak perempuan kali ni yang join, Dilla iaitu roommate kak Nina, Zaity dengan Isha. Lepas kami dah siap tukar baju semua, kami pun mula bergerak ke Lata Medang.

Dalam pukul 7 lebih, kami tiba dekat parking Lata Medang. Disebabkan Lata Medang ni terletak dalam kawasan kelangsungan hidup orang Asli, kami semua dikenakan bayaran masuk RM1 per kepala kepada penduduk yang jaga pos pengawal. Si Afiq mula ingat nak breakfast sandwic yang saya bawak, tapi sandwic tu mana buat lagi huhuhu

Jadi kami makan roti Gardenia Butterscotch buat alas perut. 



 But first, lemme take a selfie

Sampai-sampai, seperti biasa, kami bahagi-bahagikan bekalan untuk dibawa naik. Saya bawak 5 botol air mineral 500mL, 1.5L Tropicana, dengan semua barang-barang sandwic. Lepas kami bertaaruf dan warm up yang dipimpin Amirul, kami pun mula perjalanan masuk ke dalam pukul 7.40 am. 

Agak ramai jugak orang kalau tengok dari jumlah kereta. Lepas tu banyak tempat yang orang berkhemah sepanjang perjalanan kami masuk ke Lata Medang. 

Waktu setuju nak pergi dengan Fakhrul tu, saya Google sekejap nak baca pengalaman orang. Katanya kena trekking 2 jam lebih baru sampai. Teringat samalah macam dekat Sg Chiling kena trekking sejam lebih rasanya nak sampai ke air terjun. 

Sehari sebelum pergi tu, waktu dapat tentatif program katanya ada 2 jam hiking. Saya pun macam takde hiking lah. Trekking je macam Sungai Chiling. Mula masuk steady la, jalan landai je. Saya pun cakap dengan Ash, Oklah kali ni trekking jalan dia OK.

Lepas tu Ash kata “Setakat ni memang OK. Kejap lagi ada bukit tegak macam ni” sambil dia tunjuk tangan dia menegak 90 darjah. 

Waktu tu rasa wuddddd ada hiking! Shizzz fml 



Rupanya betullah Afiq tulis dalam tentatif ada hiking selama 2 jam. Pulak tu dalam beg penuh barang makanan dengan air bergantang-gantang dalam berapa puluh kilo entah. Kalau tahu hiking dah suruh Ash tolong bawak sebab Ash berlenggang kangkung je huhuhu Patutlah Amar kata tak boleh hand carry barang, kena masuk dalam beg. Kalau tak, nak naik bukit bawak handbag boleh terlompat ke tanah sandwic dan labu-labunya sebab nak berpaut panjat bukit.

Lepas bertemu bukit 90 darjah tu, nak putus nafas rasanya. Tapi saya gagahkan diri jugak sambil bernafas kuat gila macam nak terberanak dengan bawak beg dekat belakang dan membawa diri yang boleh tahan berat juga. 

Akhirnya setelah 2 jam bersabung nyawa berhiking, sampailah jugak kami ke Lata Medang. 

 Piranha semua keliling tunggu sandwic siap hehuhehu

Tanpa berlengah masa, saya terus mengeluarkan senjata, I mean barang-barang nak buat sandwic dari dalam beg aka poket Doraemon sebab dah tahu masing-masing lapar belum breakfast. Yang lain pulak pasang tali, fly dan hammock dengan hidupkan api. Menu kami hari tu, Sandwic Tuna la Grega (hehe) yang saya bawak, dan jugak ayam dan sosej panggang yang Amirul dan Ash bawak (sedap weh deorang perap! Nak order sila SMS ON BBQ ke Amirul), serta spaghetti bolognaise yang Afiq masak. 

Berdasarkan piknik yang saya join sebelum-sebelum ni, memang dah tahu nak bakar ayam akan ambil masa nak hidupkan api, nak masak bagai. Sebab tu saya buat sandwic sementara tunggu ayam masak, nak bagi semua alas perut dulu sebab tahu semua dah lapar. Alhamdulillah deorang semua berselera makan sandwic, terutamanya Irsyad hahaha. Lepas tu pisau saya bawak agak tumpul masa nak potong tomato, jadi Ash pun mintak dekat Afiq pisau nak pinjam. Sekali Afiq ambil pisau saya, dia asah kejap dekat batu sungai tu, dia pulang balik. Terus tajam y’all! Dia asah tu dalam 10 saat je. Silap mata betul! 

 Tapi agak kelakar sebab semua barang dapur saya bawak, ada chopping board, pinggan mangkuk, sudu garfu, pisau, tisu, lada sulah, kertas surat khabar, sampai deorang kata macam Doraemon.
Tapi lagi best sebab semua benda tu digunakan sepenuhnya. Chopping board tu waktu deorang nak masak deorang pinjam, sekali dengan pinggan nak hidang makanan. Surat khabar buat alas letak barang, lada sulah nak flavour Afiq punya spaghetti, dan tisu pulak nak lap-lap semua benda, termasuklah lap darah sewaktu si Ash tercedera (lepastu pisau tu ada darah Ash, lepastu kitorang guna balik pisau tu. Tak lama lagi tumbuhlah siong kita gaissss).   



The GiGirlGurlzzz 

Lepas siap makan sandwic, kami pun mula bercanda di tepian pantai air terjun. Paling gigih si Jimmy dia duduk je depan api bakar ayam dari mula sampai habis. 

Waktu ni kami nampak satu pasangan suami isteri, yang isterinya pakai purdah. Sweet la kan tepi air terjun bersama-sama. Esoknya terkejut kami nampak deorang post dalam group Hiking & Camping Around Malaysia:





Tanjat kita awaa. Rupanya laki tu lamar perempuan tu bersaksikan Lata Medang ewah.

Lepas dah siap masak apa semua, kami pun bermakan-makan dan bergurau sendaan di tepi air terjun. Ada yang sempat tidur bagai dalam hammock dengan bawah fly atas batu besar sebab tema harini ‘Light & Easy’ je. Light & Easy pun saya tak reti tidur dekat public y’all, dengan air terjun tu sejuk gila sebab air dia percik-percik sampai ke tepian. 


 Amirul dok dalam cocoon. Nak jadi rama-rama ye Amirul

 Cocoon Amar di puncak batu. Tapi rasanya dalam tu Amirul jugak. Hmmm semua tempat kau nak duduk Mirul

Kami pun bermain lah bagai kanak-kanak riang bawah air terjun. Mula saya Jimmy dengan Dan bertiga masuk bawah air terjun, tak lama tu barulah geng-geng lain join. 

Lepas kami kepuasan (hewhewhew) menikmati Lata Medang, dah solat dan dah habiskan makanan semua, dah kemas barang dan kutip sampah, dalam pukul 3 kami pun bergerak ke persinggahan terakhir, iaitu slide orang Asli. Slide ni daripada batuan sungai, walaupun nampak agak menyakitkan tapi sebenarnya thrill wehhh. Si Afiq memula turun dulu, budak lain semua taknak turun. Lepas Afiq start main slide baru kami berjemaah turun sekali. Tapi Fakhrul dengan Jimmy tak mahu turun, katanya dah pernah main first time dulu, si Irsyad pulak excited main, katanya takpe sakit ke apa ke, yang penting dapat cuba. Bagus anak muda! Saya pun main tiga kali, rugilah kan aku hiking 2 jam kot masuk sini takkan taknak main.

Tapi ternyata itu adalah kesilapan besar. Waktu bergerak dari Lata Medang tu, seluar saya dah kering, tapi bila dah masuk slide tu, basah semula luar dalam, memang nak hiking 2 jam lagi melecetz la paha wehh. (Patutlah Fakhrul dengan Jimmy taknak main slide hewhew) 

Tamat sudah bersliding. Seperti biasa, Amirul mesti duduk di tengah-tengah #carut


 Bye Lata Medang


 Jimmy sama macam Amirul dekat Batu Maloi. Asal muka aku je mesti lindung balik daun. Sampai hati kau berdua sorokkan wajahku yang indah



Gambar atas


Gambar bawah

Sampai balik bawah tu, rasa pedisss. Dalam pukul 5 jugak kami sampai ke parking. Lepas tu kami pun bergerak semula dekat masjid nak mandi apa semua. Si Amar tegur waktu tu, katanya saya jalan dah lain macam. Yelah weh, paha melecet.

Lepas kami semua dah siap mandi dan solat dan bertukar pakaian, kami pun bergerak semula ke kota metropolitan Kuala Lumpur (Cewah!).

Dalam perjalanan ni, saya memang pitam dah. Tak sedar apa mende dah kepenatan gilo. Tahu-tahu je dekat tol, lepas tu pengsan balik. Sedar balik dah sampai R&R Sungai Buloh. Mujur si Irsyad dah tidur lama, so dia boleh drive tak payah tukar orang (lagipun MyVi dia manual gaisss aku pitam bangun pitam bangun nak bawak manual gaisss 4 tahun dah bawak auto) 



Kami singgah dekat restoran jejantas Sungai Buloh nak dinner dengan solat Maghrib. Time tu makan dekat Burger King atas restoran jejantas tu, yang panjang gila babas tu. Lepas dah duduk, dengan mengantuk dan peha melecetnya nak jalan balik ke kaunter sejauh satu marhalah memang nak nangis rasanya. Karang kalau jalan terkengkang segan pulak titew. 

Lepas kami semua makan dan menyanyikan Selamat Hari Jadi kepada Fakhrul (Birthday dia 19 Mei), kami pun solat, pergi ke parking, agih-agih barang, menangisi perpisahan ini (lol) kami pun bergerak secara berasingan ke destinasi masing-masing. 

Itulah saja update ‘pendek’ tentang perjalanan kami ke Lata Medang. Seronok sebab dapat jumpa geng baru, jumpa geng lama, mandi-mandian, beroutdooran dan melihat kebesaran alam dan mengagumi kebesaran Yang Maha Esa. So gais, thanks for reading. Till we meet again next entry. XOXO 



P/S: Dialog-dialog anak muda yang akan diingat sampai bila-bila:

Fakhrul: Macam mana nak bagi muka workout?
Saya: Sujud syukur

Irsyad: Bad umur berapa?
Saya: Baru habis SPM.
Irsyad: Serius? (muka terkejut)
Saya: Tak.

Saya: Pakcik Ash, bebudak ni kata aku lagi tua dari kau. Aku nak panggil kau pakcik mulai harini.
Ash: Biadab! Kalau cenggitu aku panggil kau abang Bad! (Tapi dia lagi tua. Huuu~)

(Waktu duduk dekat meja dalam Burger King)
Jimmy: Taknak order makan ka?
Saya: Tak larat nak trekking 1 kilo pergi kaunter. (terbayang paha melecet sambil berjalan)

(Waktu turun)
Afiq: Kali ni lupa pulak bawak speaker.
Saya: *Starts singing*
Afiq: Oh dah ada speaker baru! 


Bye guys, and Assalamualaikum. 







Lata Medang Teaser

Hok hek hok hek

16 May 2016

Reviu Kunang Pesisir Morten

Jujur bicara, novel Kunang Pesisir Morten ialah sebuah novel yang saya beli secara tergesa-gesa untuk menghabiskan Baucar Buku 1 Malaysia di kedai buku Borders, IOI City Mall sewaktu bulan Ramadhan tahun lalu. 





Dua perkara yang menyebabkan saya tertarik untuk membelinya ialah pada tajuk bukunya sendiri – kunang dan Morten. Saya seorang yang sangat mengagumi kunang-kunang dan kelip-kelip dan tatkala memegang bukunya, saya cuma mempunyai satu Morten dalam fikiran saya, iaitu Kampung Morten di Melaka yang menjadi landmark penting sekiranya anda pernah menaiki river cruise menyusur Sungai Melaka. 

Dengan dua subjek tersebut yang menjadi satu-satunya daya tarikan pertama, tanpa berfikir panjang, segera saya mencapai bukunya di rak terus ke kaunter bayaran bersama buku Dondang Pembukaan, karya Lutfi Ishak. Saya tidak pernah mengenali nama Raiha Bahaudin, pengarang Kunang Pesisir Morten sebelum itu, apatah lagi nama syarikat penerbit tersebut, NuBook Press. Walau bagaimanapun, itu juga menjadikan saya tidak mempunyai sebarang presumption atau expectation terhadap Kunang Pesisir Morten.

KUNANG PESISIR MORTEN merupakan sebuah naskhah yang sangat halus dan berseni, dan tatkala disenaraikan sebagai salah satu daripada 100 buku Bahasa Melayu yang wajib dibaca oleh Mizan Hashri, saya tanpa sebarang prejudis dan bangkangan bersetuju dengan penilaian tersebut.

Kekuatan novel Kunang Pesisir Morten, pada pendapat saya yang paling utama adalah penggunaan Kampung Morten sebagai latar tempat novel tersebut. Menggunakan latar belakang sebuah kampong di Bandaraya Melaka, salah satu Tapik Warisan UNESCO adalah sebuah percaturan cemerlang yang meminjamkan imej dan panorama yang sangat kaya, artistik dan imaginatif kepada lanskap Kunang Pesisir Morten. 

Tidak sekadar meminjamkan tempat yang kukuh dan berseni sebagai tapak cerita, Kampung Morten juga menyediakan sebuah latar masyarakat yang majmuk dan berbilang bangsa, hanya menunggu untuk diterokai dengan bijaksana oleh Raiha Bahaudin. Sungguhpun demikian, karya Raiha Bahaudin ini tidak menjadikan perpaduan kaum sebagai tema dengan pengolahan yang memualkan seperti buku teks di sekolah, sebaliknya sebuah isu yang dinisbahkan kepada perhubungan antara kanak-kanak dengan latar belakang yang kukuh dan indah.

Salah satu perkara yang saya sukai tentang novel ini ialah penggunaan jambatan secara literal yang menghubungkan dua kaum di kedua-dua tebing Sungai Melaka, sebelahnya ialah kaum Melayu dan sebelah yang lain ialah kaum Cina, dan kanak-kanak watak utama Kunang Pesisir Morten, Lim, Dhiya dan Adi daripada kedua bangsa tersebut mengadakan pertemuan harian mereka di jambatan tersebut, dan juga bagaimana makanan dijadikan sebuah duta untuk kedua-dua kaum merasai budaya masing-masing. Lim, Dhia dan Adi membawa popia, makanan Cina ke Kampung Morten dan karipap dibawa ke kawasan kejiranan Cina dengan cara menjual kedua-dua makanan tersebut secara bersilang di kedua kejiranan tersebut. Kedua hal ini menyerlahkan ketrampilan Raiha Bahaudin sebagai pengarang yang bijak bermain dengan simbolik dan unsur kontradiksi seperti ironi, paradoks dan oksimoron.  

Dalam pengembaraan ketiga-tiga watak cilik Kunang Pesisir Morten, pembaca dibawa mengenali sejarah Bandaraya Melaka yang masyhur, menyusur kekayaan bandaraya tersebut dengan warna-warna yang vibrant, dinamik antara latar masyarakat yang berbeza, dan keindahan Melaka yang berjaya dirangkum oleh pengarang dengan penggunaan laras bahasa yang indah. Kesemua ini menjadikan naskhah Kunang Pesisir Morten sebuah karya yang ulung dengan kekuatan imej latar yang sukar ditandingi oleh mana-mana karya lain. Kekuatan Raiha dalam menyerlahkan imej ke dalam karyanya dengan cemerlang dan berkesan barangkali berkait rapat dengan kecintaannya terhadap seni yang dipantulkan dalam beberapa adegan di dalam novel. Dalam novel Kunang Pesisir Morten, Dhiya dikatakan seorang kanak-kanak kreatif yang mempunyai visual artistik. Sebagai contoh, Dhiya pernah menggunakan air liurnya secara spontan untuk mencairkan warna bagi mendapatkan hasil kemasan lukisan yang dikehendakinya sehingga menyebabkan Adi merasa loya.

Kekuatan kedua novel Kunang Pesisir Morten ialah unsur nostalgia untuk kanak-kanak yang membesar pada era 80an. Unsur penyiasatan dalam novel Kunang Pesisir Morten seperti novel Enid Blyton, Siri Hadi dan Siri Salwa yang menjadi ruji untuk kanak-kanak yang lahir pada tahun 70an dan 80an mewujudkan satu keterujaan terhadap nostalgia lampau. Dalam novel ini, trio Dhiya, Adi dan Lim cuba menyelesaikan beberapa misteri yang menyelubungi kampung mereka, dan mereka turut terlibat secara tidak langsung kerana ingin membersihkan nama mereka akibat persahabatan antara kaum mereka yang dianggap mencurigakan oleh penduduk kampung sehingga mereka dihukum tanpa periksa.

Kisah mereka juga membangkitkan perasaan nostalgia zaman kanak-kanak yang bahagia, sewaktu hidup lebih mudah dan indah, dan persahabatan itu ialah sesuatu yang murni dan suci.  Novel Kunang Pesisir Morten walaupun menampilkan watak-watak kanak-kanak, sebenarnya merupakan naskhah yang direkayasa khas untuk orang dewasa yang memahami dan melihat pantulan kisah mereka sewaktu kecil dalam watak-watak novel ini. Watak Dhiya yang hidup susah tetapi mempunyai bakat luar biasa juga merupakan sesuatu yang boleh difahami oleh anak-anak era 80an yang hidup susah sewaktu kecil, tetapi dengan bakat dan kesungguhan kini ramai yang bergelar jurutera, doktor dan eksekutif muda meskipun membesar dalam keadaan keluarga yang tidak mampu memberikan mereka segala-galanya.

Sungguhpun demikian, naskhah ini tidak suci daripada kesilapan. Ada beberapa perkara yang menjadi pertikaian, contohnya penggunaan frasa ‘Ya ampun’ yang hanya digunakan di Malaysia setelah pengaruh drama sinetron dari Indonesia tiba lewat 2000an, dan juga penggunaan bahasa yang dianggap terlalu sastera untuk kanak-kanak berusia 10 tahun. Memandangkan taraf Kunang Pesisir Morten yang mungkin telah dianggap klasik, kecelaruan ini dikhuatiri akan mempengaruhi penilai sastera pada masa akan datang. Selain daripada khilaf yang boleh dimaafkan ini, Kunang Pesisir Morten ialah sebuah karya unggul bermutu tinggi yang mempunyai karektor-karektor yang tidak klise, gaya bahasa yang indah, dan lanskap yang begitu megah untuk dirasa dan dibentangkan kepada dunia. 

Sambil menyusur Sungai Melaka semula nanti, ketika melewati Kampung Morten, tentu sekali di mata saya akan terbayang Dhiya, Adi dan Lim bermain-main sambil tertawa di pesisir Kampung Morten.  

13 May 2016

SEMPURNA

Aku pernah terfikir kau tidak akan kembali. Ketika kita berjalan melewati landasan keretapi seperti selalunya untuk pulang, kau dan aku sama melihat ufuk barat, cahaya jingga di hujung horizon, penamat pertemuan kita.

Kau memegang bahuku erat, seakan melindungiku, melewati landasan, jambatan di sebatang sungai dan terus sepanjang kehidupanku, sementelah mata kita masih tetap menentang jingga di sebalik mega. 

Ketika malam terakhir kita bersama, di tengah belantara, masih dalam atmosfera cahaya jingga – kali ini di depan unggunan api. Kau menyelimutiku, melindungi tubuhku dari kedinginan. Telah berkelana kita mencari makna-makna perasaan dalam hati, dan kita fikir, setiap langkah kita menapak atas dunia mendekatkan lagi kita dengan jawapannya. 

Kau selalu begitu – senyum halus sendiri. Sedang aku riuh dengan tawaku. Kita selesa dengan sunyi ketika kita bersama, dan melodi yang mententeramkan akan muncul dalam kesunyian yang nyaman. Aku tidak pernah tahu begitu senangnya perasaanku ketika diam bersama orang yang kukasihi. 

Kita mendekat, menyerah hati dalam diam, dan kau menghulurkan perasaanmu kepadaku, dengan senyummu yang manis. Aku juga menyerahkan hatiku kepadamu, seluruhnya. Malam itu, bintang-bintang di langit berbicara kisah kita, bulan purnama saksi sengsara yang perlahan diganti bahagia, dan bayu yang berpuput melagukan hati kita. 

Aku terfikir kita akan selalu bersama, mengorak langkah satu dunia, membongkar sauh berlayar di samudera, menembusi celah-celah hutan belantara, dan mendaki gunung-gunung mencakar atmosfera.

Dan esok harinya kau pergi, hilang dibawa badai. Cahaya jingga berputar ke gelap yang mutlak, petang yang sedetik menjadi kelam malam. Aku segera menjadi dewasa dibalut hari-hari suram, tiada cahaya.

Aku terfikir kau tidak akan pernah kembali.

Ketika kau pulang, aku sudah terlalu tua ditelan usia. Aku hampir terlupa bahawa aku pernah merasa manisnya bahagia. Aku melihatmu kembali bagai pelangi di hujung horizon, dan kau tiba masih dengan senyuman halusmu. Pada hari kau kembali, baru aku mengerti ertinya tangisan gembira, ketika bibirku ketawa tetapi air mataku lencun membasahi pipi.  

Dan hari kau kembali, kau membawaku pergi. Terbang merentasi angin, meluncur pada udara terus ke bintang – syurga. Bila aku menutup mataku selamanya, aku telah pelajari erti mencinta, kehilangan, dan pertemuan semula. Aku rasa sempurna. 






11 May 2016

Tudung Periuk

Tudung Periuk adalah lagu klasik Melayu dua rangkap dalam bentuk pantun yang didendangkan secara duet oleh Allahyarham P. Ramlee bersama Saloma (Salmah Ismail) dalam filem tahun 1964 arahan beliau, Sumpahan Orang Minyak. Lagu yang dicipta oleh Zubir Said tersebut dinyanyikan dengan penuh gaya lenggok klasik Melayu. 

Mendengar versi lagu Tudung Periuk yang dinyanyikan semula oleh Krisdayanti ketika Konser Traya lewat penglibatannya dalam industri selama 30 tahun, membangkitkan perasaan kekaguman, takjub dan aneh kepada lagu tersebut.

Nyanyian beremosi secara duet yang diiringi orchestra pimpinan Erwin Gutawa, oleh Krisdayanti bersama Nada Badar, penyanyi kanak-kanak Indonesia yang berasal dari Pekanbaru, Riau, memberi nafas baru yang segar malar kepada lagu Tudung Periuk.

Versi Krisdayanti & Nada Badar ternyata lebih mendalam dan diiringi vocal mereka yang berkarektor unik – Krisdayanti dengan suara yang sedikit serak; matang – manakala Nada Badar dengan karektor suara mendayu, bernyanyi cengkok Melayu klasik. 

Tudung Periuk berkisar kepada suatu unsur omnipoten dalam sosiobudaya Melayu yang selalu diterjemah dalam bentuk peribahasa, puisi dan syair – iaitu kesedihan yang diakibatkan oleh perasaan rendah diri dan hina. 

Bait-bait lagu dalam Tudung Periuk membangkitkan suatu perasaan kesunyian yang gundah. Rangkap pertama lagunya berbunyi demikian:


Tudung periuk pandailah menari,
Permainan anak putera mahkota,
Kain yang buruk berikan kami,
Untuk menyapu si air mata.


Pada dua baris pertama pembayangnya, tudung periuk yang dikatakan pandai menari dijadikan permainan oleh seorang putera mahkota. Ini seterusnya membangkitkan sebuah persoalan retorik: betapa tinggi sekali darjat manusia hatta anak putera mahkota sekalipun, mungkin tidak mempunyai seorang teman dan tudung periuk adalah satu-satu peneman dan penghibur hatinya. 

Kesunyian yang dirangkum oleh rangkap ini mempunyai paralel dengan pembukaan lagu Warisan, dengan baris 'Anak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi.'

Emosi kesunyian yang dibangkitkan pada pembayang ini kemudian dibawa ke maksud rangkap tersebut, ‘Kain yang buruk, berikan kami – untuk menyapu si air mata.’ Tidak cukup dengan sebarang kain, sang pemuisi menganggap dirinya lebih layak untuk menyapu air mata dengan kain yang buruk, akibat merasa dirinya terlalu hina. 

Baris ini ialah satu cerminan kepada perasaan sengsara yang bertimpa-timpa, sedang dalam kesedihan, kain yang buruk dijadikan objek untuk mengusap pergi kesedihan, bermakna kesengsaraan demi kesengsaraan dirasakan oleh pemuisi. 

Rangkap kedua lagu Tudung Periuk membawa maksud yang sama.


Tudung periuk pandailah berdendang,
Pandai berdendang lagu seberang,
Barang yang buruk takkan dipandang,
Dijual tidak dibeli orang. 


Mungkin sekali rangkap kedua ini menerangkan tentang putera mahkota yang masih bermain dengan tudung periuk, dan akibat terlalu sunyi akibat tiada kawan lain dia mendengar tudung periuk berdendang seperti lagu orang seberang. Maksudnya kemudian menerangkan tentang barang yang buruk takkan dipandang orang, dan sekiranya dijual tidak akan dibeli oleh sesiapa.

Maksud rangkap tersebut juga sebenarnya suatu pesanan dalam nada yang hiba, tentang nasib orang yang tidak mempunyai rupa paras yang cantik, yang akan ditinggalkan bersendirian akhirnya.

Falsafah dalam lagu Tudung Periuk dirasai dengan mendalam melalui persembahan Krisdayanti dan Nada Badar, dengan bunyian orkestra orgasmik yang mempertingkatkan lagi pengalaman mendengar dendangan lagu tersebut. Tudung Periuk dendangan Krisdayanti dan Nada Badar adalah sebuah komposisi yang wajib didengar sekiranya anda menginginkan perasaan kagum yang luar biasa hadir ke dalam sanubari.

Kekaguman juga terzahir melalui lagu ini terhadap pemikiran orang lama yang mampu menjadikan objek yang mundane seperti tudung periuk sebuah objek seni yang dimanifestasi sebagai sebuah metafora dalam menyampaikan maksud yang mendalam tentang kehidupan.  





Samudera II


Olengan ombak, malam sepi dan deruan nafas,
Bintang-bintang di angkasa, dalam jejal-jejal indah dan tataan ribuan seni rias,

menyinar gelojak rasa yang terpendam lindap, ingin dilepas bebas 
Dan kau bersama aku, semakin mampir mendekat dalam gelora samudera yang tidak terbatas

Aku melihat syurga dalam matamu Tuan,
Dua butir kejora, menari dari limpahan kurnia kayangan
Membidik dadaku, kejam dan mengasyikkan
Seperti semilir berhembus halus, membawaku kepada kisah masa depan.

Gelora lautan, bersama badai dan cahaya simbah
Atau langit malam bagai lukisan syurgawi; indah
Di samudera ini Tuan, kau dan aku membentang kisah-kisah
Tentang harapan ke hujung dunia, dan cinta yang perlahan membunuh resah.


Bedaduz|11 Mei 2016| Masih hanyut dibuai gelora



Mencandat Sotong #GEMASelangorBackpackerz

Assalamualaikum dan hai y’all!

Kali ni excited sangat nak cerita pengalaman mencandat sotong di err, somewhere di perairan Pulau Kapas kot? Hewhewhew tak tahu pun exact location dia sebenarnya, tapi lebih kurang dekat perairan lepas dekat Pulau Kapas. 

Sumeorang buli Tuan Pengarah atas pengaruh Wani hahaha


Tak macam sebelum-sebelum ni, kali ni nak menulis rasa macam tak tahu nak start dari mana. Termasuk Meh Gi Candat ni, ni kali ketiga saya menyertai trip bersama GEMA Selangor Backpackerz (hashtag kamitakpoyosangat lol) jadi ada beberapa benda yang dah boleh agak dan jangka. 

Mula dari kali pertama join trip ke Bukit Batu Putih PD (‘ya ampun waddehel am I doing here’), lepas tu Explorace dan Caving Batu Maloi (‘yeay I’m so nervous but so excited as well’) sampailah yang ketiga ni rasa ‘Yeay, jumpa balik dengan kawan-kawan slash keluarga GEMA’ acewah! Rasa macam ramai kawan-kawan dari GEMA ni dah seperti keluarga sendiri. 

Muka-muka biasa macam Amar, Naufal, kak Risya dan kak Nina. Lepas tu ada jugak ahli GEMA yang sama dari Batu Maloi: Ustaz Fairus, Yunuss, kak Sarah, Izwar, Daus, Amirul dan err ramai lagilah haha.   

Muka-muka yang baru jumpa pun ada, termasuklah kawan-kawan yang saya berjaya pungut (mehehe) sampai lebih kurang 7 orang. Kali ni kali kedua beraktiviti tanpa Fareez, kali pertama tanpa Syammil, Asaida, dan Bibiey, kali kedua dengan Zaidi dan kali pertama dengan rakan blogger Keon dan Naja, kali pertama dengan rakan twidder Aqeel, Syafiq Bintang dan Shafie. Fizee, fasi Explorace waktu dekat Batu Maloi ada buat cameo kejap (hehe) dan Una, teammate Freedom pun join kali ni. 

Sebenarnya mula join sebab nak jumpa balik teammate Freedom, tapi semua tak dapat join. Dari dekat Batu Maloi Fizee dah bagitau ada trip mencandat hasil idea Fizee dengan Yunuss yang masih tengah dalam peringkat perbincangan. Last-last, Fizee pun join kejap je sebab dia dah mengajar dan hari Ahad dekat Terengganu kan sekolah bukak. Oh kali ni Yunuss adalah pengarah untuk program Meh Gi Candat ni. 

Daripada mula takde siapa nak join mencandat sotong ni, sampai sedih takkan nak pergi sorang-sorang, tiba-tiba sorang demi sorang kawan nak join. Baguslah hehe rasa bangga pun ada bawak ramai-ramai kawan-kawan yang sebelum ni memang tak berapa nak ber-outdoor sangat. Waktu bayar dekat kak Sarah untuk 7 orang pun kak Sarah macam terkejut ‘Wow’ gitu katanya.

Kali ni kami naik bas beramai-ramai, tak macam sebelum-sebelum ni konvoi beramai-ramai naik kereta. Tempat berkumpul ada dua. Perjalanan mula dari Shah Alam, kemudian berhenti di Gombak untuk kumpul kumpulan kedua. Saya dekat Gombak sebab lagi senang nak gerak dari Seri Kembangan, bersama P-e, Zaidi, Syafiq Bintang, Widad, Uncle Man dan anaknya Wani. 

Seperti jugak personaliti yang menarik dalam GEMA seperti aktiviti-aktiviti sebelum ni, kali ni bertemu dengan Uncle Man yang awesome seperti 'ayah angkat' saya (hahaha!) abang Fauwaz, dan anaknya yang meletup kebabom Wani. 

Kami pun bergeraklah dari Gombak, bergabung dengan geng-geng Shah Alam.
Dalam bas, Yunuss edarkan donut dengan karipap mantap. Karipap mantap tu memang mantap gila, rasa dia biasa je, ada karipap lagi sedap, tapi inti dia masyaAllah. Macam takde udara karipap tu, semuanya inti saja. Yunuss pun promote cerita pasal mak cik yang jual karipap tu. 

 Di R&R Genting Sempah. Membawa nama GEMA dan negara tibaah


Lepas tu pada masa yang sama tengah makan tu, kami terima borang Indemnity Letter dari penganjur mintak diisikan. Time ni kelakar gila sebab Zaidi kan kidal jadi dia tulis pakai tangan kiri, sambil tangan kanan dia makan karipap. Lepas dia habis isi, dia suruh saya isikan nama saya sebagai saksi. Waktu tu saya tengah makan karipap lagi.

“Oh terlupa.” Zaidi kata, mesti masa tu dia ingat saya pun kidal macam dia. Yang lawaknya, waktu balik tu saya nampak orang share gambar ni dekat fb:



Lepas beberapa kali singgah R&R, dan makan karipap mantap dan donut tanpa henti-henti yang Yunuss tinggalkan untuk kami dekat belakang bas, kami pun sampailah ke Jeti Nelayan Cendering Marang. Waktu sampai dalam pukul 3 lebih dah, jadi kami pun belum makan merarau (hagituh guna terma baru Dewan Bahasa) atau dalam bahasa ibunda saya, lunch, kami pun makan dekat sebuah restoran apa tah namanya di sebelah MokCik Gemok Resort. Ini tak tipu OK, memang namanya MokCik Gemok, tiada tujuan fitnah atau mengumpat. 



Lepas tu kan, mak aih mahal gilos weh. Siapa kata makan tepi jeti seafood dapat murah? Habis kena ketuk kami belaka. Si Aqeel makan nasik putih dengan limau ais kena RM5. Aqeel ambil kepala sotong, tapi akak tu kata kepala sotong free. Jadi nasi putih dengan limau ais je RM5. Tak ke naya namanya tu.

Anyway, kami pun malas fikir banyak, tak mahu spoilkan mood biar jelah kan. Mungkin sebab kawasan tumpuan pelancong jadi mahal kot. Lepas tu kami pergi solat Asar dekat masjid sebelah jeti, dan lepas tu punggah barang-barang turun bas. 

 Sesi taaruf askar-askar marin lol

Seperti biasa, ada sesi bertaaruf dan pengenalan mencandat oleh Fizee sebagai wakil pihak penganjur iaitu GEMA Selangor Backpackerz #kamitakdelahpoyosangat (hewhewhew), kami pun dibahagikan kepada 3 kumpulan, satu kumpulan untuk setiap bot. Saya Aqeel dan Zaidi dapat Bot 3, bersama Naufal dan Amar serta lagi 7 orang peserta (tak ingat pulak nama deorang huhu sorry korang. Ada Aiman, Rina, Nisa, Syuhada, Ammar, Imran dan sorang lagi tak recall). Waktu taaruf tu penganjur edarkan ubat tahan muntah, saya pun telan sebab saya ni memang jenis cepat mabuk. Tengokdarah amma terpancut dari hidung pun loya, tengok orang sembelih kerbau pun loya, naik kereta lama-lama pun loya.   

 Wani sedang memperkenalkan diri dan perniagaan ais kepalnya kepada peserta

Sebelum naik bot tu, sempatlah bergambar sekejap dengan Fizee, tak sempat sekali dengan Una sebab Una dah belayar dulu naik bot 1.

Mini reunion dengan fasi kumpulan Freedom. Ya ampun kecilnya anda Fizee, anda membuatkan saya nampak seperti monster

Bermulalah perjalanan kami ke tengah laut mencari sesuap sotong.

Dalam pukul 7 macam tu kami mula pelayaran lepas baca doa perjalanan, of course. Ikut tentatif kami akan solat Maghrib dan Isyak secara jamak qasar, dan solat Subuh nanti di atas bot. Waktu mula pergi ni, saya dah excited walaupun hari dah gelap. Kami mula melepasi Pulau Kapas untuk ke lautan lepas. Nampaklah lampu-lampu dari Pulau Kapas waktu tu, sayup-sayup dari kejauhan. 




 Muka-muka konfiden akan menakluk perairan sotong. Sekali dekat 80% tumpas hahaha

Sampai-sampai je dalam pukul 8 lebih, sauh pun dilabuh. Kami terus keluarkan senjata bertempur dengan sotong, iaitu candat. Mula-mula excited sebab dalam tak sampai setengah jam, dah dapat 4 ekor sotong. Aqeel pun dapat satu. Tapi tiba-tiba langsung tak dapat, jadi tekong kami pun bawak dekat tempat lain. Dekat tempat baru pun lebih kurang sama, lepas berjam-jam sekor pun tak dapat. Waktu ni bila tengok dekat laut, dah macam pasar, banyak betul bot-bot tengah mencandat dengan lampu-lampu cerah menarik perhatian sotong, dan bunyi generator diesel. Lagi best, bila pandang langit, naa terbentang luas bintang-bintang, atau menggunakan frasa yang saya suka, langit permata. Setiap inci langit penuh dengan bintang.

Dan waktu nilah, sewaktu sauh dah dilabuh dan bot dah teroleng mengikut gelombang ombak, cabaran sebenar bermula. Sorang demi sorang mula rasa loya. Orang kata kalau bot kayu tak pening sangat sebab kayu lebih berat jadi dia tak beralun teruk dekat ombak, macam bot kumpulan 1 yang klasik tapi gagah, tapi kalau bot fiberglass macam bot 2 dengan 3 macam kami, kena ombak sikit dah teroleng-oleng.

Mula-mula Zaidi dulu tumpas, dia muntah lepas tu terus pitam tak sedarkan diri. Saya bagi dia makan asam, lepas tu dia terus tidur. Tak lama lepas tu sorang-sorang muntah dan pitam dalam bot sampai esok paginya. Tinggallah kami beberapa ketul, termasuklah saya, Ammar, Amar, Syuhada, Aqeel dengan Naufal. Itupun Naufal dengan Amar muntah, Ammar pulak pegang rekod tujuh kali muntah. Naa, baru kau rasakan kehebatan laut bah. Baru ombak pukul manja-manja belum ribut lagi. Kata tekong bot tu, malam ni memang laut sangat tenang. Kami dah waddefog kalau ‘sangat tenang’ cenggini pun lebih separuh askar terpitam. Kalau ribut tu bagaimana pula. 


                                             Wajah-wajah tumpas dalam bot hewhewhew

  
Tekong bot tu kata lagi, kalau ribut memang dia takkan gerakkan bot, sebab dia tak nampak lampu-lampu yang jadi penanda jalan nak balik ke jeti. Nak taknak, dia stay je sampai habis ribut. In fact, katanya baru beberapa hari lepas dia bawak orang pergi mencandat dan berlaku ribut. Saya dengan Aqeel dengar sambil telan air liur. Gulp. Takut weh kalau ribut, dahlah memasing duyung besi, masuk air tenggelam belaka tak pandai berenang. Tapi alhamdulillah, cuaca tenang sampai ke sudah. Saya lagi bersyukur sebab saya tak rasa mabuk sangat, bila rasa macam pening sikit saya masuk dekat depan bot, tengok bintang, lepas tu bila dah OK baru balik mencandat semula. 



Uncle Man mengambil tempat abang Fauwaz sebagai peserta veteran kali ini. Eh? hewhewhew jangan marah Cik Man, Bad gurau-gurau je 

Tapi malam tu gelap, takde bulan, jadi tekong tu macam bagi hint dekat kami kalau nak balik jeti dah. Waktu tu masa lambat gila berlalu. Dah rasa macam 4-5 jam duduk atas bot, ingatkan dah pukul 1.00 pagi ke, sekali baru pukul 10.30. Waktu tu bayangkan ada lebih kurang 8 jam lagi weh atas bot, kami macam dah nak nangis dah. Dengan sotong sekor pun taknak muncul. 

Masing-masing dah start menyanyi-nyanyi mintak sotong keluar, pastu bila sotong tak keluar jugak kena carut pulak sotong tu. Sebab waktu tu dah tak larat, saya pun baring dekat depan bot, lepas tu tidur. Setiap 5 minit terjaga lepas tu panik takut semua orang dah naik darat tinggalkan saya sorang-sorang dalam bot. Lagi best, tengok jam belum sampai 15 minit pun tidur. 

Tapi waktu ni, SubhanAllah, dapat tengok langit gelap, hanya ada bintang sebagai lampu. Cantiknya tak mampu diungkap, sebab boleh nampak galaksi Milky Way di sebalik bintang-bintang. Cantik korang! Kalau korang, let’s say, takut pergi candat tak dapat sotong, tak apa, sebab pemandangan langit tu sendiri dah compensate untuk kegagalan mencandat sotong hagitu. Mana lagi nak tengok langit dan Milky Way dalam zaman kita sekarang, dengan 24 jam lampu menyala, tengok langit nampak gelap je. Dekat tengah laut yang takde pencemaran cahaya tulah kita boleh tengok galaksi dan nebula dekat angkasa lepas. Lagi best, boleh nampak planet. Mula saya nampak satu bintang warna merah, saya agak-agak itu planet Marikh.

 Pak cik tekong Bot 1 yang awesome. Waktu dia muncul dekat jeti pakai kain pelikat, semua orang excited tengok dia. Bravo pokcik, bravo!

Anyway, saya terjaga semula pukul 2:41, sebab Aqeel gerakkan. Dia kata sotong dah banyak. Tiba-tiba excited kan. Tengok dekat belakang bot, tekong tengah mencandat. Pakar gila weh tekong tu, dah dekat 30 ekor dia sorang candat. Paling best, tengok dalam laut, Allahu Robbi, sotong-sotong tengah bermain-main dalam limpahan cahaya dari bot. Banyak gila! Ok ni seriously kali pertama saya nampak sotong-sotong sebanyak tu.

Dekat sekeliling bot sotong tu macam menari-menari, kejap muncul, kejap tenggelam, tapi most of the time dia duduk main dalam cahaya. Lepas tu dalam group 5-6 ekor, dia laga sesungut dia, lepas tu dia berpisah macam projection bunga api. Cara dia bermain tu macam mengejek kami pulak sedap tak dapat candat dia huhuhu. Kami pun mula mencandat balik, tapi hampeh, sombong jugak sotong-sotongnya. Tak dapat jugak nak dicandat, semua play hard to get cewah. Agaknya mungkin teknik kami salah kot, sebab tekong bot tu effortless je dapat sotong setiap minit. Lepas agak-agak dah banyak dia candat, tekong tu pun blah tinggalkan kami pergi berehat dalam bot.

Bukan setakat sotong OK yang keluar menari, ada dua ekor ikan todak mengelilingi bot kami dalam air, lepas tu ular air pun beberapa kali datang. Ada jugak sekumpulan anak ikan bermain dalam laut. 

Ingatkan tengah laut tu takde line, tapi rupanya tengah laut tu dapat line 3G. Sempatlah kami bertukar-tukar gambar dan cerita antara bot tanya berapa ekor sotong dah dapat, berapa ekor askar dah tumpas sekali hahaha

Waktu dalam bot ni, sebab keadaan dia terumbang ambing segala bagai, saya pun malas nak guna tandas. Jadi sepanjang malam tu tahan je kencing, muntah dan segala cecair dan pepejal dari keluar, sebab tengok tandas dengan takde air dan laut teroleng-oleng je rasa macam kang ada jugak terkena baju aku ni kalau aku melepas huhuhu. Gila kau dekat 12 jam OK tahan kencing. (Harap-harap tak kena batu karang)

Lepas selesai upacara istiadat mencandat-candat, dalam pukul 6 lebih lepas solat Subuh, kami pun bergerak kembali semula ke jeti. Sauh pun dibongkar, enjin dihidup dan candat didaratkan. 

Candat-candat juga, tanggungjawab dengan Allah jangan dilupa. Pesanan ikhlas dari penaja utama, MokCik Gemok Resort

Tinggallah lautan lepas Pulau Kapas dalam kenangan.
 
Waktu nak bergerak balik, saya Aqeel, Zaidi dengan Amar duduk depan bot, merasa tiupan bayu pagi gitu. Zaidi dan-danlah time ni terjaga lepas satu malam pitam hahaha

Waktu ni kami nampak shooting star sebutir lalu, dan paling menakjubkan bila nampak matahari terbit, nampak suasana pagi dalam 4 lapisan warna berbeza – merah, oren, kuning dan biru. Cantik, subhanAllah. Memang mengagumkan. Tengok dekat langit, bintang merah yang saya nampak malam tu masih ada dekat langit, dengan 2 lagi bintang. Saya syak dua lagi bintang tu pun sebenarnya planet. Waktu tu saya terinspirasi menulis sajak bertajuk Bintang Merah #shamelesspromotion hewhewhew (lepas saya google, bulan Mei tahun ni dikatakan Marikh akan jelas kelihatan di langit. Jadi rasanya betullah kot bintang merah yang saya nampak tu ialah Marikh) 



Tengok gambar-gambar tu, cuba kira dekat langit ada berapa lapisan warna. SubhanAllah.

Sambil tu berborak dengan Amar dan geng-geng lain, kami sampailah ke jeti membawa beberapa ekor sotong yang mostly dicandat tekong dan pengalaman manis (Untuk yang mabuk, pengalaman pahit hahaha) dan kami pun bergabung meletup semula dengan kumpulan-kumpulan dari bot lain.

Macam-macam cerita deorang bawak, tapi semuanya update pasal berapa kali muntah, siapa mabuk dulu dan yang berapa ekor dapat sotong tu jadi cerita kecilan je. Yelah sebab mencandat lebih kepada pengalaman katanya, bukan berapa banyak sotong dapat hahaha.

Inilah sotong-sotong yang rela dicandat. Yang lain jual mahal. Dia tak tau dekat pasar tu orang jual dia RM10 sekilo je hewhewhew


 Amar bersama dua ekor sotong yang tidak dicandat beliau hahahaha

Paling kelakar ialah petang sebelum tu semua kata nak bakar sotong atas bot, makan sotong fresh. Nak mohon dekat tekong mintak nak masak atas bot. Bila dah semua pening, nak berdiri pun tak larat. Nak masak sotong apatah lagi. Tinggal impian jelah nak masak sotong tengah atas bot goyang-goyang. 

 Bot 1 je merasa sotong fresh dimasak tepung huuuu kempunan tite awaa

Lepas tu kami pun singgah dekat masjid yang sama macam sebelum tu, mandi dan sarapan. Pelik jugak waktu sarapan tu sebab nasik lemak dia ada sayur kangkung celur dengan sambal ikan tongkol. Food court kami pergi tu dekat tepi pasar, jadi kami pun tengoklah harga sotong dekat situ. Sekali harganya RM10 sekilo. Kami pun seloroh kata lain kali kita sewa bas je tak payah sewa bot candat. Datang Terengganu beli sotong lepas tu balik KL semula, jimat duit. Hewhewhew   

Siap sarapan, kami pun bergerak ke Pasar Payang, makan durian, shopping, lepas tu nampak ada orang jual telur penyu. Kasihan penyu tu, kata akak berniaga tu telur penyu tu sedap, siap dia jual yang dah siap direbus. Tapi macam saya cakap saya jenis cepat loya, bau telur penyu tu je dah rasa kembang tekak. 

Tambah dengan tak habis pening laut dari malam tu, rasa macam kaki lembik semacam je. 

 Telur-telur penyu yang illegal. Nak marah dekat peniaga kesian sebab dia pun mencari punca rezeki. Berhuhuhu jelah yang mampu

Dekat Pasar Payang, sambil-sambil tunggu bas dekat luar pasar tu, dekat gazebo, dengar Wani bercerita pasal pengalaman dia menjaga anak-anak gadis kita (wah macam Mastika pulak) yang terlanjur hamil dekat sebuah rumah kebajikan. Wani kata antara sebab dia join trip ni ialah nak lepaskan tekanan sebab kerja dekat rumah tu sangat pressure. Saya dengar kejap geleng, kejap mengangguk. Rupanya Wani pun reveal dia dulu kenal Yunuss dari pilihanraya kampus, lepas tu start dari tu deorang jadi rapat. Yunuss hebat dari segi aturcara program, Wani pulak lebih kepada penajaan. Last time yang dapat penajaan Jakel dekat Batu Maloi tu pun hasil usaha Wani. 

Waktu tu rasa kagum lagi dengan deorang ni. Ada peguam (termasuk Aqeel, ada 3 peguam yang join), radiographer dan sekarang jumpa dengan Wani yang sangat happy-go-lucky dan positif (walaupun talkative ya Rabbi. Pengsan nak layan dia bercakap) yang menjaga anak-anak gadis kita. Kudos to these pipol. Tengok macam mana deorang behave depan orang lain pun rasa macam contoh yang baik. Contohnya macam Yunuss, sangat pandai membawa diri (sampai dapat makan free) Hikhikhik jangan marah naa, gurau2.

Lepas ke Pasar Payang shopping apa semua, kami bergerak ke Masjid Kristal dan akhirnya pulang semula ke Gombak, dan finally Shah Alam. Kali ni Keon ikut sekali turun dekat Gombak sebab saya hantar dia balik, jadi kami keluar makan dan suruh kedai tu tolong masakkan sotong tu untuk kami. Ada 2 plastik kami masak, satu sotong celup tepung satu lagi sotong paprik.

 Kami yang turun di Gombak



 Kalian di Shah Alam. Eh kenapa ramai sangat ye dekat Shah Alam. Hmm musykil




Celup tepung dan paprik selamat masuk dalam perut. 

Pengajaran trip kali ini:

1- Mengagumi kebesaran Sang Maha Pencipta. Tidaklah dijadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Walaupun tak dapat mencandat sotong, tapi dapat melihat laut dan bintang di langit malam sendiri adalah pengalaman yang menakjubkan. Lain kali insyaAllah saya berminat nak pergi lagi, sebab tak dapat sotong pun, nak tengok malam langit permata





2- Konsep rezeki dan kesabaran. Tak semua yang datang mencandat akan dapat mencandat sotong. Kadang-kadang memang ditakdirkan begitu, mungkin juga atas kelemahan kita tak pandai mencandat. Tapi akhirnya bila balik jeti, kita merasa jugak sotong yang orang lain candat yang dikongsi beramai-ramai. Itulah namanya rezeki. Sentiasa bersangka baik dengan rezeki yang Allah tetapkan, dan bersabarlah walaupun kita gagal mencandat sotong.

3 - Bertemu dengan rakan-rakan/keluarga yang sangat awesome dan meletup bergabung kebabum! Kali ni bertambah lagi kenalan kita, dan kenalan kita sendiri boleh jadi sumber inspirasi kita dalam diam. So thanks guys, serius korang sangat inspiring for me.


Penambahbaikan:
1- Nak bot kayu, tak mahu fiberglass! Kita pening awaa! Hahaha

2- Agak penat sikit sebab sampai malam. Kalau boleh nak sampai KL awal sikit. Sampai-sampai je haritu terus demam tapi terpaksa masuk kerja jugak huhuhu (Harini cuti sebab batuk dengan selsema, tapi tak dapat MC )

Itu saja untuk perkongsian kali ini. Seperti biasa, guys, thanks so much for the memories. Minta maaf kalau terkasar bahasa atau perangai, sungguh tak terdetik niat nak menyakiti. Sayang korang candat-candat ketat-ketat. Semoga ukhwah yang terbina akan terus berkekalan ke program GEMA seterusnya insyaAllah.

Semoga kalian sentiasa dalam lindunganNya. Assalamualaikum dan byeee. Bertemu lagi dalam entry seterusnya.



Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter