Kita bagaikan sudah lali dengan rutin bosan ini – aku bersuara, kau mendiam seribu bahasa. Kali ini cukup berbeza. Aku perlukan sesuatu untuk membuatkanku berhenti berharap. Aku inginkan keputusan. Aku ingin mendengar sendiri, sejauh manakah kita boleh pergi. Atau selama manakah sebenarnya kita telah berhenti? Adakah kita masih berbicara dalam bahasa yang sama, mukasurat buku yang sama? Atau kita sebenarnya tiada lagi punya ruang untuk wujud dalam dunia yang kita sama punya?
Tapi akhirnya bila kau memberikan jawapan, hati aku terguris kejam. Tercalar. Seperti juga hati kau ketika kau meluahkan apa yang sebenarnya yang kau rasa. Ya, walaupun kau yang bersuara setelah lamanya memendam, tapi aku sedar hati kau juga terluka bila mulut menyebut.
Dan bila aku sudah beroleh jawapan, aku terdiam kelat. Kau juga. Kebenarannya terlalu pahit untuk kita berdua telan. Kebenaran itu kadang-kadang tidak perlu diluah kuat untuk dinyatakan, kerana ada bendanya lebih wajar dibiarkan tersirat di belakang ruang. Jika diluahkan apa yang tersirat itu bahasanya terlalu tajamnya untuk disebut. Kita menyakiti hati satu sama lain, tapi kita tahu hati kita juga tersakiti pada masa yang sama. Kita takkan menang. Kita berdua selalu kalah.
Kita terlalu bodoh. Aku bodoh untuk selalu percaya, dan kau bodoh untuk berfikir bahawa aku akan berhenti percaya.
Setelah bertemu jawapan, aku sedar bukan jawapannya yang menjadi persoalan. Malah aku sudah lama mengetahui jawapannya, selama mana kau menyimpannya.
Tapi apakah caranya lagi melampiaskan marah selain bertanyakan soalan yang sudah kutahui jawapannya? Hari itu, telah aku pelajari untuk berhenti bertanya.
7 Habits of Highly Effective People
4 days ago
No comments:
Write curses