04 September 2017

Petualangan Kerinci (volume 3)


*sengaja guna volume sebab teringat album Elsa Pitaloka Pop Minang volume 5 kakaka*


DAY 2: SUMMIT ATTACK

Celik mata pukul 3, masing-masing dah bangun menyiapkan diri nak mendaki. Saya tukar baju Petualangan Kerinci dan dilapis dengan fleece dan windbreaker (Daus masih kekok dengan lingo hiking. Kadang windbreaker dia sebut winterbreaker, kadang WINEbreaker lol).

Iwan mengadu sakit perut, Hakim mengadu sakit kepala. Acap picit-picit kepala Hakim sampai Hakim sendawa (eh it rhymes! Lol). Iwan menyelinap masuk ke semak, membuang. Lepas Iwan keluar, saya tanya Iwan nak membuang macam mana.

Iwan kata ada sebuah lereng, macam senang nak membuang. Iwan korek lubang dekat situ. Saya pun masuk dalam semak, cari port yang Iwan maksudkan. Mintak tolong kakasarah jagakan pintu masuk lol (tengs kakasarah. Lap yiu)

Sambil menyuluh-nyuluh tempat nak membuang, tetiba tersuluh macam-macam jenis khazanah yang ditinggalkan manusia. Ada kuning, jingga. Kebanyakannya cair. Urgh ngapaan sih kamu ngga mengambus najis kamu sendiri! Seriously ini antara pengalaman nature call paling mengerikan sepanjang saya hiking. 

Terus tukar port lain. 

Dengan headlamp di kepala, kami teruskan pendakian ke puncak. Kali ni Onki tinggal di Shelter 2 untuk menjaga khemah kami. Dulu ada kes satu khemah kena curi. Ya, khemah dengan isi-isinya kena curi. Jadi untuk keselamatan, Onki mengawal khemah kami sementara kami naik ke puncak.

Dari Shelter 2 ke 3, memang dah takde diskaun mencanaknya. Kami melalui jalur yang sangat jelas akan menjadi anak sungai apabila hujan. Dalam keadaan menunduk-nunduk di bawah pokok. Saya membuat log sendiri dalam otak. Sampai elevation sekarang, pokok-pokok masih seperti di Malaysia. Pokok keras berakar tunjang. Bermaksud kami masih belum sampai ke wajah kedua Kerinci – iaitu tanah gersang dengan debu gunung berapi. 

Keadaan pagi ini sangat berkabus – saya mula rasa gementar dalam dada. 



Beberapa kali kami berhenti, Andika nasihatkan untuk kami tidak menggunakan tongkat, katanya tongkat mengganggu proses memanjat. Tengok Iwan, Iwan dah pegangkan dua tongkat. Satu kak Nora satu kak Sarah punya kot. 

Saya teruskan mendaki dengan tongkat di tangan (sebab tak tahu nak tinggalkan tongkat dekat mana hewhew), di belakang Andika dengan kak Nora. Kali ni, Andika enggan meninggalkan kami. Setiap kali sampai ke tempat lapang, kami akan regroup. “Ikuti aku. Jalur di sini banyak, kalau kabut tebal takut tersalah masuk jalur dan sesat.” Tegas Andika. 

Sebelum tiba ke Shelter 3, Andika berhenti di tempat lapang dan menyuruh kami menutup headlamp kemudian memandang ke langit. subhanAllah, Milky Way all the way di angkasa. Malam langit permata. 

Andika edarkan air minum kepada kami, sebaik ditelan rasanya payau macam tembakau. Rasa nak termuntah, tapi taknak bazirkan air orang.

Kami teruskan pendakian melewati Shelter 3. Weh hazab kot nak menyampe ke Shelter 3. Tak boleh imagine kalau semalam tu kami  kena teruskan lagi kalau Shelter 2 penuh. Shelter 3 nampak lebih terdedah kepada angin kencang, dengan pokok-pokok renek yang tidak tinggi membentuk biome utama.

Lepas dari Shelter 3, wajah kedua Kerinci mula terserlah di sebalik kabut.

“Lewat dari ini, sudah enggak ada ranjau.” Andika menerangkan.



Lepas dari Shelter 3, pokok-pokok digantikan dengan batuan kelabu. Langsung tiada tumbuhan.
Kesejukan datang menyerang tanpa tumbuhan sebagai penampan. Waktu dekat sini, baru saya mengerti kenapa trek ke puncak disebut sebagai jalur pendakian. Sebab trek yang seperti parit memanjang ke atas memang kelihatan seperti jalur. 

Kami regroup buat kesekian kalinya, dengan Daus paling terkebelakang dan tertinggal beberapa minit dari kumpulan kami. Iwan menyarankan kepada Andika untuk meneruskan summit attack untuk yang mampu kerana kami mengejar matahari terbit, tetapi ditolak Andika. Bagi Andika, kesemua sepuluh orang harus bergerak sekali. Keadaan terlalu kabut, enggak aman. Saya mengerti ada sejarah Kerinci yang membuatkan Andika cemas. 

Kalau diikutkan di YYBTN, pelbagai kejadian misteri dan kehilangan pernah berlaku. Cuma saya membaca selepas trip sebab taknak dalam hutan nanti terfikir-fikir sampai jadi petrified nak buat apa-apa. Kalau tak tahu barulah rasa selamat. Ignorance is bliss. 

Saya dah buat mind note, lepas balik nanti aku nak cari kisah-kisah misteri Kerinci, sebab tengok Andika ni tahu yang ada cerita dia taknak sampaikan pada kami. 

 Yang baju merah tongkat warna kuning itu guwe. Ya Allah cemana aih boleh lepas mendaki. Tengok balik rasa seram kot

Beberapa kali berhenti, sampai ke suatu tempat kami mengesan sesuatu yang berbeza tentang kabus yang berarak menutup kami – sulfur. Setiap kali angin dari barat daya membawa kabus menyelimuti kami, hidung terus rasa pedih, Iwan dengan mata-mata jadi merah. Ini wajah kedua Kerinci. 

Sampai dekat satu tempat, di dalam jalur pendakian sebelah kami, seorang wanita terbaring terlentang dan tangannya dikiamkan. Astaghfirullah, kelihatan seperti jasad di dalam lahad.   

 “Dia udah terkena mountain sickness.” Andika menerangkan setelah menyapa ahli kumpulan wanita tersebut, wajahnya juga risau.

Dalam keadaan kabut tebal, lampu headlamp pun gagal untuk menembus ke tanah. Saya cuma boleh nampak sampai tangan, dekat kaki memang tak nampak tempat diinjak. Sampai kadang-kadang tergelincir sebab terpijak batu lungsur.

Pendakian kami pagi ni mengingatkan saya pada Kenderung. Cuma Kenderung lebih ekstrem sebab ada lereng 90 darjah kena panjat pakai tali. Ekstrem Kerinci terletak pada suhu sejuk melampau dan kabus bersulfur.  

Andika pasang lampu oren dekat torchlight, katanya senang nak dikenali ahli kami yang lain. Kadang-kadang disuluh ke belakang untuk memberi penunjuk jalan.

Matahari mula bangkit di timur. Kabus masih tebal tapi Andika suruh padamkan headlamp kerana siang sudah mula tiba. Kerisauan belum solat, kami memohon pada Andika untuk berhenti. Andika mula tegas ingin kami lanjut ke Tugu Yuda, iaitu checkpoint terakhir sampai ke puncak. Tapi disebabkan matahari sudah semakin tazabar nak menunjukkan diri, akhirnya Andika bersetuju untuk berhenti di tengah jalur dan terus bertayamum. 

Sebab takde tempat nak berdiri dan kurangnya keyakinan diri takut waktu solat hilang imbangan badan, saya solat subuh duduk. Selamba je kami solat tengah-tengah jalan hewhew, bila ada pendaki lain nak lalu deorang berhenti untuk menghormati kami yang sedang solat (ada yang ambil gambar. Rasa femes sebentar hehuhehu) 

 Iwan menyemak arah kiblat

Selesai solat, baru rasa tenang fikiran nak ke puncak.

Summit attack diteruskan lagi. Masing-masing kelihatan semakin mental dan larut dalam dunia sendiri. Tokie kadang berhenti tidur di jalur. Andika masih kelihatan risau. Cuma langkah Iwan dan Acap masih kelihatan gagah. Hakim dan Afiq berduo mendaki, dua-dua dah nampak ketat je muka. Daus masih perlahan di belakang. Masing-masing mula menutup muka dengan buff untuk mengelak dari terhidu sulfur. 
 
Saya cuba jugak tutup mulut sekejap, tapi sebab rasa lagi sesak nafas bertutup muka daripada tidak, saya biarkan buff kekal di leher. Tiba-tiba teringat kisah Soe Hok Gie, aktivis mahasiswa Indonesia yang meninggal di Gunung Semeru kerana menghidu wasap beracun dari kawah gunung berapi. Ketakutan mula bersarang dalam hati. 

 Berhenti sebentar di Tugu Yuda. Puncak ada di atas - kata Andika

 Semua orang sembunyi di sebalik batu. Kesejukan.

Kali ni terpaksa sarung gloves. Bukan sebab sejuk tapi sebab tangan dah luka-luka berpaut pada batu nak mendaki. Walaupun dah potong kuku, masih lagi kuku tertusuk dalam daging. Adoih sakit.
Kami sampai di Tugu Yuda setelah pagi tiba. Alhamdulillah, boleh berehat lama sikit. Nampak Andika terus tersandar di batu. 

Yang lain pun mengikut Andika, terus terpelusuk celah-celah batu bersembunyi dari deruan udara sejuk. Saya pun tak pasti kenapa namanya Tugu Yuda (lepas balik baru Google, rupanya ada kisah tersendiri - nantikan volume 4 ya hahaha), cuma di sini ada beberapa helai bendera Indonesia berkibar megah. 

Sambil berehat, kami makan ringan snek yang ada. Tiba Andika kata, dekat atas ni je puncak. Wah betul ke. Tapi cuba tengok atas, pandangan kami cuma terhad kepada beberapa meter. Lebih daripada tu, disembunyikan oleh kabus.

Dalam 10 minit berehat, kami meneruskan pendakian yang kali pengakhiran menuju puncak. Yes this is it. Tokie mengepalai kali ni bersama kak Nora, Andika izinkan kami bergerak dulu. Kabus pulak nampak makin pekat semakin ke puncak. Dalam pening sulfur dan kegelapan kabus, saya mendaki tak nampak apa-apa. Takut weh horror macam filem seram. Kadang dengan Afiq, nampak samar-samar windbreaker pink Tokie dari atas. Sekali ada Iwan dekat belakang.

“Bad, come on Bad. Terus lagi.” Wuuu mental weh Iwan dekat belakang.
“Iwan, Iwan jalanlah dulu.” Gituh takut kena cucuk dengan Iwan.
“Takpe, Iwan tunggu Bad.” Hadoi capek guwe kayak gini.



 Ni namanya merangkak ke puncak

Dah terserempak orang turun dari atas, tapi still tak tahu berapa jauh kami dari puncak. Kadang dengar suara orang bertempik, tapi sebab dah tertipu semalam, saya budget dalam 20 minit lagi.

Tiba-tiba je, eh dah sampai puncak. Macam tiba-tiba je dalam kabus tu dah tiba puncak. Saya expect tinggi dan jauh lagi.

Waktu sampai je, serius nak mengalir sekejap air mata. Tapi kena save air kan, tak jadi menangis muahaha!

Ya Allah, alhamdulillah. Nampak ramai orang bergambar. Ya betul inilah puncaknya. Nampak Acap, Tokie dengan kak Nora dah ada di puncak. 

 Akhirnya guwe berjaya menginjak bumbung Sumatera. Makasih buat fans dan supporters Nabela! Untuk haters, rasain lo!

Saya keluarkan air kotak Milo dari kocek windbreaker. Yeah air kemenangan!

Tak sangka, dah berjaya berdiri di ketinggian 3,805 meter dari aras laut. Mana datang kekuatan membawa tubuh ni ke puncak setinggi tu? Alhamdulillah. Semua pujian hanya milik Allah swt.
Kami bersembilan dah sampai ke puncak, kecuali kakasarah. Eh mana kak Sarah ni? Afiq kata kak Sarah pewai sulfur, tapi dia kata dia akan naik. Waktu tu kabus tebal, semua pemandangan tersekat. Nak ambil gambar pun tak nampak apa-apa. Putih kabus je.


Di tepi kawah gunung berapi sedalam 600 meter

Tiba-tiba dengar sorang perempuan menjerit. Jari dia tuding-tuding ke arah kawah gunung.
Subhanallah! Rupanya kabus dah clear, dah start nampak pemandangan kawah dan kawasan sekeliling. Semua orang terus excited. Kebetulan lepas clear je kabus, kak Sarah dan Andika pun sampai bagaikan hero hahaha 


Brrr sejuk! 

Kami pun memulakan sesi fotografi haagituh

Lepas bergambar sakan semua, Hakim dengan Iwan keluarkan baju raya masing-masing dari dalam beg. Yang lain memang sengaja tak bawak sebab taknak tambah load hewhew 

Hakim dengan Iwan buat video ucapan hari raya Aidiladha dari puncak Kerinci. 

 Imam Muda meets Pak Sheikh 

 Nak share gambar ni sebab paling jelas nampak kawah waktu ni

Yang paling menakjubkan bagi saya dekat puncak Kerinci ni ada dua. Pertama, kawah gunung berapi. Pertama kali sepanjang hidup akhirnya dapat menyaksikan sendiri kawah gunung berapi yang masih aktif, keluar asap sulfur bagai. Keduanya, daripada ketinggian kami sekarang boleh nampak Lautan Hindi, walaupun Lautan Hindi jauhnya beribu kilometer dari Gunung Kerinci. 

Kata-kata pendaki yang terserempak semalam terulang dalam otak. “AMAZING!”

Dalam sejam kami di puncak, siap tukar-tukar baju lagi (sejuk gila nak bukak windbreaker!), kami pun memulakan penurunan ke Shelter 2. 

 Cabut windbreaker fleece semua tinggal Tshirt je. Dingin baqhanggg

Kak Sarah kali ni menunjukkan taring beliau turun gunung bagai seekor macan. Sekejap je lompat-lompat dah hilang. Sebab penurunan kali ni boleh nampak kot gaung-gaung, slope mencanak apa semua, terketar jugak lutut guwe. Saya turun perlahan-lahan sebab gayat.

Yang paling seram bila nampak Andika tergelincir hampir masuk ke gaung. Mujur ada seorang pendaki sempat pegang beg Andika. Masa tu terpana sekejap. Saya yang melihat pun seram, apatah lagi kalau saya di tempat Andika.

Selepas dipotong-potong, akhirnya saya dengan Ita berjalan sekali. Ita menunjukkan skill suster ngesot dalam menuruni lurah yang terjal hahaha. 

 Penurunan dimulakan

Tudiah Ita dah start skill suster ngesot haha


Sambil saya dengan Ita berjalan, saya profail lagi tanah dia. Sebab pagi tadi gelap dan berkabus, tak nampak sangat. Bila dah cerah baru nampak. Dekat puncak, batuannya besar. Semakin dekat dengan Shelter 3, batunya semakin kecil dan dekat Shelter 3 tanahnya tinggal debu je.  

Kali last regroup sebelum masing-masing turun dengan pace sendiri

Dari Tugu Yuda dah nampak kot Shelter 3. Tapi bak kata Edi, nak menyampai ke Shelter 3 tu dalam beberapa jam dari puncak. Padahal dah nampak kot khemah dari atas. “Kau akan mental sebab kau berjalan tak sampai-sampai!” teringat pesanan Edi masa dia tunjuk gambar Shelter 3 dari atas Kerinci masa jumpa dia beberapa bulan lepas. 

 Jalur pendakian close up

 Tengah jalan tu, tiba-tiba terbau bauan pelik. Ya ampun, ada orang membuang dekat jalur pendakian. Sebab dekat sini mana ada tumbuhan, deorang buang je tengah-tengah jalan, tutup dengan tisu.
“Ita, jangan pijak tisu tu. Ada tuut (#censored)!” saya bagitahu Ita.

Sebelum Shelter 3, kami nampak Hakim dan Acap berhenti rehat menunggu kami. Kebetulan dekat sini pemandangan cantik, sempat kami berswafoto cahaya lembut. 

 Can you imagine I went all the way from the top? Me neither! Lol

Kami semua sebenarnya dah haus sebab takde siapa yang bawak air. Sekali nampak Afiq turun berlari dari atas. Afiq sorang je bawak air.

Sebab dekat sini panas, kami bergerak lagi mencari tempat berteduh nak rehat sekejap minum air.
Ada satu lereng tu teduh, kami rehat sekejap. Air Afiq yang tinggal dibuat bancuhan jus 3-in-1.
“Seteguk sorang je!” Afiq tetapkan peraturan. Saya minum dua teguk y’all (ketegaq!) kena marah dengan Afiq hahaha

Sebab Afiq sorang je beg besar, saya dengan Ita mintak tolong Afiq bawakkan fleece dengan windbreaker sebab hari dah panas. Huu tengs Afiq. Lap yiu lebih lah ahhaha

 Fleece dengan windbreaker dah kasik Afiq time ni hewhew

Dekat sini tengah rehat tu tiba-tiba ada dua orang pendaki lalu. Kami dah beberapa kali berselisih waktu turun tadi, tapi tak berbual. 

“Dari Malaysia ya?” yang tua sikit tanya.
“Iya.” Jawab kami.
“Nanti kirim salam pada Amy Search ya.”
“Eh muka abang ni pun dah macam Amy Search!” Acap kata. “Cuba buat gaya Amy Search sikit!” 

Abang tu pun dengan penuh gaya tangan sekali, bersiul “FEWIITTT” Wau sebijik macam Amy Search! Muka dah ada gaya dah ada. Suara pun sama.

“Tapi sekarang Amy Search udah bertobat. Udah enggak nyanyi lagi.” Tambah abang tu, sebelum meneruskan perjalanan. 

Kami sampai dekat Shelter 3, nampak Iwan tunggu. Ingat Iwan dah shoot ke Shelter 2. “Mana Sarah?” tanya Iwan. Kami kata dari atas nampak kakasarah dan kak Nora dah laju turun, dah sampai Shelter 2 agaknya.

 Sebelum sampe Shelter 3

Iwan kata dia depan sekali tadi dengan Tokie, tak nampak pun kak Sarah lewati dia.

Tapi sebab kami semua konpiden nampak kak Sarah turun bersama Andika, kami pun terus berjalan. Agak pening nak mencari jalan turun dari Shelter 3 ke Shelter 2, tapi berjumpa juga akhirnya.
Iwan dengan Tokie lead di depan, saya Hakim Acap dengan Ita di belakang. Daus masih jauh di belakang bersama mas Agus.

Sambil berjalan tu, budak-budak ni main blame game haha
“Bad lah ni. Masukkan aku dalam group WhatsApp. Dah aku kena pegi.”
“Bad lah ni. Pujuk Ita join.”
“Iwan lah ni. Dia nak sangat buat Kerinci.” Lol!

 Inilah rupa track Shelter 3 ke Shelter 2. Kalau hujan memang confirm jadi sungai ni

Kami sampai semula ke tenda di Shelter 2. Lega gila bila nampak Andika menunggu. Kak Sarah dengan kak Nora memang dah sampai awal.



Udah pulang ke tenda! 

Sampai-sampai je dah siap lunch y’all! Onki bancuhkan air hot chocolate untuk kami. Kami makan berhidang dalam khemah je hewhew. Ada daging dendeng, sambal petai dan kangkung.


Bagusnya ada guide tolong buat semua. Terhutang budi rasanya. 


Oh dekat atas gunung baru tahu deorang tak masak pakai butane, tapi pakai spiritus. Disebabkan altitud tinggi, masak dengan butane lambat. Lebih gampang pake spiritus.



 Tengs bang Onki! Ternyata kamu itu keren bangat! 

Sambil makan-makan tu, kami bukak cerita balik pasal malam tadi yang sejuk gila dah macam apa. Sambil borak-borak tu, Hakim dok selak-selak dalam khemah. Akhirnya punca kesejukan malam tadi dikenalpasti – khemah kami dah koyak rupanya huuu patutlaaa. Dekat tepi Hakim, ada dua koyak dekat jahitan. Itu yang udara sejuk masuk je

 Masa tu dalam pukul 12, dalam menunggu Daus tu sempat kami tidur. Daus katanya dah injured lutut. Sebab rasa macam masing-masing nak demam, Afiq bagi Paracetamol sebijik sorang. Iwan kata mungkin sebab kita kurang air, itu yang rasa nak demam.

 Mengemas barang. Guwe udah mahu pulang.

Lepas siap solat jamak taqdim Zohor dan Asar, Daus sampai dengan mas Agus. Kami kemas semua barang, kutip sampah sarap, dalam pukul 2:30 kami memulakan perjalanan turun menuju ke entrance.
Semuanya lancar separuh masa pertama. Saya mengikut Tokie (dengan speaker lagunya sekali hewhew). Trek masih becak, tapi sudah mending berbanding semalam (sebenarnya tak faham maksud mending tu apa huhuhu)

Bila jalan dengan Daus, Daus dah nampak mentally exhausted dan grumpy. Ah sudah.

Menurun dengan tongkat sebenarnya sangat mengganggu. Last sekali saya buat acara melontar lembing. Rejam tongkat ke bawah dulu, baru turun berpaut pada pokok dan akar. Sampai bawah lereng kutip balik tongkat.

Kami sampai dekat Shelter 1 lebih kurang lepas 2 jam setengah perjalanan, mengambil masa separuh daripada perjalanan mendaki semalamnya. Kami mendapat perkhabaran Ita dah injured. Kata Hakim, 10 langkah lepas makan painkiller tiba-tiba Ita terjatuh sendiri. 

Tapi beza kami dengan Ita dalam 10 minit macam tu je, maksudnya taklah jauh sangat. 

 Di Shelter 1 semula

Saya tanya dekat Iwan, besok jadi ke tak nak ke Danau Tujuh ni. Iwan senyum “Kita tengok dulu. Ni dah dua orang injured. Nak keluar ni pun Iwan jangka kita keluar pukul 10 malam.”

Waktu tu baru pukul 5. Lagi 5 jam lagi maksudnya. 

Mula kami nak shoot dulu ke entrance. Beg Ita dah tukar dengan Tokie. Tapi sebab Ita dah tak larat, beg Tokie tu Afiq ikat dekat beg dia, so Ita turun free body.    

Iwan tanya kak Nora “Nora, boleh temankan Ita jalan tak?” Kak Nora OK je.

Jadi saya Afiq Hakim dan kak Sarah shoot dulu dekat depan. Tapi sampai satu tempat, Andika mintak kami tunggu semua. Kami dijangka keluar malam, jadi sebaiknya jangan berpecah satu group. Kawasan antara pos 1 ke pos 3 adalah habitat semulajadi harimau Sumatera, jadi agak bahaya kalau nak jalan dalam kumpulan kecil waktu malam. Gulp. Telan liur.

Jadi macam mana lambat pun kami perlu bersama. 

Lepas regroup, kami berjalan bersama. Hutan mula gelap. Kak Nora dengan penuh kesabaran pegang tangan Ita, guide Ita berjalan slow-slow.

Dalam pukul 6:30, waktu Maghrib dah masuk. Kami berhenti sekejap untuk menghormati waktu. Afiq melaungkan azan, dan subhanAllah, sebaik azan berkumandang terus berbunyi macam-macam jenis serangga dalam hutan yang sebelumnya sunyi sepi, seolah-olah faham menjawab azan.

Lepas kami keluarkan headlamp, kami berjalan semula. 

Mula saya tolong guide Daus berjalan, tapi sebab saya punya stamina pun dah level tingtong tingtong *lampu amaran* Acap akhirnya mengambilalih tugas guide Daus.

Acap (suluh jalan): Pijak belah kanan ni. Slow-slow. Turun pakai kaki kiri. 

Sampai satu tempat, Daus kata lutut dia sakit dan dia nak painkiller. Iwan taknak bagi sebab Daus baru makan pukul 2 tadi. Nanti jadi benda lain.

“Kau tak tahan sakit ke tak larat? Lain tau. Kalau tak larat ubat dia bukan painkiller” Kata Iwan. “Kalau nak jugak painkiller tanggung sendiri.” Iwan agak tegas. Iwan bagi Daus sebijik, jatuh atas tanah. "Dah jangan ambil yang tu!" kata Iwan lol. Iwan bagi lagi satu butir painkiller.

Sampai dekat pos 3 memang gelap habis. Saya Afiq dan Hakim sampai dulu. Waktu tu sebenarnya rasa pening nak termuntah. Ada kumpulan pendaki lain dekat situ pasang lagu kuat-kuat. Eh macam kukenal lagu ni. Ni lagu Coke Bottle – Agnes Monica ni. 

Afiq tanya Andika kalau ada air. Pun takde. Nampaknya kami dah keputusan bekalan air minum.
Lepas tu Andika tanya “Ada botol minuman kosong?” 

Kebetulan dekat kem tadi Iwan mintak saya masukkan botol-botol air kosong dalam beg suruh bawak turun. Saya cakap ada. Andika mintak bagi dua atau tiga, lepas tu dia suruh ikut dia.

Mula taknak pergi sebab takut kena trekking dalam hutan. Nak suruh Hakim, Hakim sakit perut. Nak suruh Afiq, Afiq tengah betulkan beg. Dahlah begnya ada dua. Saya pun terpaksa ikut Andika.

Dia bawak masuk dalam hutan, laju nak innalillah. Saya kejar nafas kencang dah macam nak pitam rasanya, sambil berzikir ketakutan. Hutan tebal kot. Sebab dia nampak saya tak larat, dia mintak botol tu dari saya. “Dampingi aku aja bang.” Kata Andika. Maksudnya takyah buat apa-apa lah, teman je dia dalam hutan tu. 

Tetiba teringat lagu Kris Dayanti waktu tu “Temani aku rembulan diriku lagi terbakar cinta” tibaah
5 minit berlari (berlari okay. Separuh nyawa guwe mau hilang), kami berjumpa sebatang anak sungai. 

Terus Andika isi air dalam botol, dia hulur dekat saya sebotol penuh. 

Dapat je air tu, *glup*glup*glup* naaa habis setengah botol sekali teguk. Puas! Saya hulur semula dekat Andika, mintak dia penuhkan balik. Terkejut dia tengok dah habis setengah botol hahaha
Air dia rasa manis, sedap. (Mungkin sebab letih tu jadi luar biasa sedap)

Kami keluar semula, semua dah sampai. Kami teruskan lagi menuju pos 2. Dan akhirnya pos 1.
Makin lama, headlamp makin malap. Saya memang tak jangka akan pakai headlamp sebanyak ni, ingatkan sekali je pakai waktu summit attack. Ni dah 3 kali pakai ni, bateri tak tahan. Dalam keadaan cahaya headlamp tinggal 10% je, effect berjalan dengan lampu minimum dan kepenatan, saya rasa mamai. Macam tengah bermimpi. (Ni ke perasaan kak Nina tidur waktu berjalan dekat YYBTN huhuhu)

Dari pos 2 nak menuju pos 1, Ita tiba-tiba menangis terduduk tak larat nak bangun. Berlari Tokie dari belakang ke Ita. 

Tokie: Ita, OK Ita?
Kak Nora: Ita nak painkiller

*Mesti Ita takut nak mintak dengan Iwan sebab tadi Iwan taknak bagi Daus hewhew*

Iwan suruh Ita gagahkan jugak. Gigirls mintak rehat 2 minit. “Jalan je kita dah dekat nak keluar ni. 2 minit tu takkan mengubah apa-apa.” Lol padu ayat Iwan. Kebenaran yang pahit, tapi kadang-kadang kejujuran macam Iwan yang kita perlukan dalam keadaan gawat dan genting di saat semua orang enggan menyatakan kebenaran.

Akhirnya Ita mengumpul kekuatan terakhir dan berdiri dengan dorongan kak Nora. 

Kaki terus dilangkah, walau perlahan-lahan. Mental jugak sebab dalam gelap-gelap tu kena berjalan pada trek yang becak berlumpur dah macam apa.

Akhirnya sampai jugak kami ke pos 1, regroup sekejap.

Kami teruskan perjalanan ke entrance, weh kali ni serius rasa lama. Agaknya sebab mental kata dah dekat, dah dekat, itu yang expect akan sampai cepat tapi sebenarnya taklah sedekat yang otak kita percaya. Sepanjang perjalanan kami, dengar jugak lagu yang kumpulan depan pasang, tapi tak pernah bertembung.

Tokie dah tak bukak lagu dah malam-malam ni, Onki tak kasi. 
"Apa ni, malam-malam pun nak bukak lagu!" tegur Onki lol

Dah dekat-dekat entrance je, nampak bangunan dekat ladang. Huuu mula rasa nak emosi. Sampai entrance je, waaaa lega! Berkecamuk jugaklah perasaan rasa nak menjerit, nak pitam. Nak bergolek je tak larat jalan, tumit guwe sakit bangat.

Tapi masih belum berakhir penderitaan sebab kami kena pijak batu-batu kerikil kecil. Ya ampun refleksologi! Mana weh keluar ni! Dah lepas pintu gerbang kenapa kena jalan lagi? 

Tapak kaki dah rasa macam nak pecah, dekat satu kilometer jugak jalan berdiri atas batu-batu kecik tu. “Kenapa ni kenapa? Semalam tak ingat pun kena lalu batu-batu ni!” saya dok fikir masa tu. 

“Bod. Eh Bad. Cuba tengok langit!” Iwan pun nampaknya dah penat sampai tersasul sebut nama saya. Saya pulak tersasul nama Ita. “Tika. Eh Ita, dah dekat dah ni.”

Dan sekali lagi, kami dihamparkan dengan pemandangan Milky Way di dada langit. SubhanAllah. Cantik gila! Nampak ada dua tiga kilat menyambar serentak di kejauhan, tapi tiada tanda langit akan hujan. 

Kami sampai dekat kawasan ladang dalam pukul 11:00. Kepenatan yang melampau penat, nak cabut kaki huhu. Nampak je kerusi habis semua beg, tongkat dicampak. Mujur ada satu gerai kecil masih bukak, kami order teh hangek dengan akak tu.

Iwan order Fanta susu (Fanta strawberry + susu), yang lain ambil teh. Rasa Fanta susu tu sedikit bermentega (buttery taste. Nak jugak mention ni walaupun Iwan macam jeling pelik waktu saya bagitau dia hahaha). Ada unggun api dekat depan kedai, kami duduk ambil haba sementara menunggu 4 wheel sampai. Yang lain makan bakwan (cucur) dengan sambal kicap. Sedap katanya, tapi takde mood aih nak makan. Guwe hanya ingin pulang dan tidur.

Dalam kedinginan altitud 1,500 meter, kegelapan malam dan kepenatan, saya masih tak percaya kami dah berjaya mendaki dan turun dari Gunung Kerinci. Puncak gunung berapi Asia Tenggara, gunung tertinggi Indonesia di luar Papua. Tak percaya wehh. Mana datang kekuatan ni. I’ve never been this high. Never made it this far. Dengan tubuh montel ni, lagilah tak percaya hahaha 

4 wheel sampai je, kami angkut barang semua ke belakang. Pengalaman Lata Jerangkang terimbas kembali.

Laju 4 wheel bergerak, tapi kami tengah dalam mode celebration, sejuk dan penat bagai tak terasa. Kami meninggalkan silhoutte Gunung Kerinci yang dilatari bintang dan Milky Way, sedikit sayu tapi terasa puas.

“Sayang tak ambil gambar.” Kami mengeluh.
“Tak apa. Rakam dalam hati.” Kata Onki. Puitis. Ya, kami merakam pemandangan bintang pada malam ini dengan hati. Untuk yang mahu menyaksikan sekali, mereka harus sendiri ke Kerinci, bukan hanya menatap fotografi. 

"Kerinci, guwe enggak mau ketemu sama lo lagi!" saya berucap, disambut gelak Onki.

"Kerinci, apa yang kamu lakukan ke saya itu, jaa-had!" 

Kami tiba ke homestay Paiman Timan semula. Beg yang berlumpur macam apa kami letak dekat luar ruang tamu, taknak mengotorkan homestay. Kasut saya yang asalnya warna kelabu belang merah jadi warna putih like wud seriously? Punyalah penuh dengan lumpur debu gunung berapi sampai bertukar warna.

Lepas siap mandi, solat jemaah taakhir Isyak dan Maghrib, kami makan. Si Daus terlentang belakang pintu bilik dah tak sedar apa. Penat kami kejut suruh mandi, dia tak bangun-bangun jugak. 

Kami makan malam masa tu dah pukul 1 dah. Kami mesyuarat sikit dengan Iwan pasal tentatif esok, lepas tu kejutkan kak Sarah suruh makan dan Iwan nak maklumkan pasal perubahan tentatif kepada gigirls. Saya terus naik, tidur. Talarad awaa. Nak naik tu pun macam penguin dah mengengkang.

...bersambung

2 comments:
Write curses
  1. Wohooo.. Tahniahh..Bestnya dah naik Kerinci. Seronok baca, macam join sekali mendaki hehe.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe. bila agaknya nak naik Kinabalu dengan zeha ni XD

      Delete

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter