24 Disember 2016
Petang yang permai di sebuah tanah beriklim monsun tropika. Perjalanan kami
ke Perlis menyusuri kotak-kotak bendang sawah menghijau saujana mata memandang
di kiri dan kanan jalan, sambil menyaksikan mentari terbenam di hujung ufuk
barat pada serakan cahaya 4 warna di dada langit petang terasa mengasyikkan.
Petang jingga mula diganti kegelapan malam.
Lagu-lagu
berputaran di corong radio menurut pilihan kami di Spotify. Irama padang pasir,
rentak bass tekno, pop dan nasyid silih berganti. Tema pilihan lagu petang ini
kelihatannya bebas mengikut kemahuan hati. “Kita pilih lagu yang jarang main
dekat radio.” cadang Aizuddin. Kami setuju sukahati, tiada bangkangan. Pilihan
lagu dimulakan dengan lagu Dirgahayu dendangan Faizal Tahir dan Siti Nurhaliza,
atas saranan Iwan.
Pulang dari majlis
perkahwinan Yunuss di Kuala Kangsar, saya mengikuti Hakim, Din dan Iwan mudik
terus ke utara tanahair. Mereka akan terus memasuki Thailand dari Wang Kelian
ke Satun, terus menuju ke Songkhla. Saya tidak dapat mengikut mereka ke Thailand, hanya boleh
bersama sehingga ke Perlis. Tapi dalam waktu yang singkat itu, kami cuba
meraikan detik-detik yang tersisa dalam ruang masa yang terbatas.
Setelah kami
mengambil Asyraf di Terminal Bas Kangar sekitar tengah malam, kami meneruskan tentatif kami ke Tasoh
Lake Resort dekat Empangan Timah Tasoh. Selesai mendaftar di kaunter, kami
terus ke tanah lapang di pinggir tasik dan mendirikan khemah. Carry mat
dibentang di atas tanah, dan dua buah khemah saiz sederhana didirikan dengan
pintunya menghadap tasik. Dengan bantuan headlamp kami berlima mengambil wuduk di gigi air.
Airnya jernih, dengan gelora yang kadang dikocak puputan angin.
Kami mendirikan
solat jamaq taakhir Isya dan Maghrib dengan Hakim sebagai imam. Dalam kepekatan
malam, suara Hakim membaca surah Fatihah memecah sunyi, menjadi bunyi latar
yang sayup menusuk ke dalam sanubari yang berselang-selang dengan bunyian
jentera dari jauh dan bunyi kocakan air dari tasik.
Selepas solat, kami
bersalaman. Selepas menukar pakaian, kami berlima mula duduk di atas carry mat memerhatikan
langit. Aizuddin sempat memuatturun aplikasi mencerap bintang, dan dengan
bantuan telefonnya kami mengenalpasti buruj-buruj yang terpampang di dada
langit malam.
Perlahan-lahan
postur badan kami berubah daripada duduk kepada berbaring, sambil mata kami
tidak lepas memandang langit dengan sebuah ketakjuban yang naif. Malam ini, kami membiarkan langit menjadi pentas,
dengan bintang-bintang sebagai teraju utama persembahan. Impian kami paling
terulung pada malam ini adalah untuk melihat meteor melintas angkasa malam –
penyeri lakonlayar sebuah teater yang dibintangi alam – puitis.
Sana'y iyong
dinggin, bulong ng damdamin
Sana'y makamit ang langit na bituin
Sana'y makamit ang langit na bituin
Aku berharap kau
mendengar bisikan perasaanku.
Aku berharap suaraku sampai ke bintang di syurga.
Lagu Langit na
Bituin – Bintang Syurga bermain di dalam neuron-neuron medial prefrontal complex dan serebelum ketika itu.
Perlahan-lahan
juga ingatan saya menyusur kepada sebuah memori lama yang cuba dikambus kenangan
baru yang tercipta.
“Sampai hati.” Terlucut dari bibir ketika
kenangan itu datang menjelang. Sebuah memori lama tentang malam langit permata mengganggu
gugat perasaan secara spontan. Saya membiarkan rasa itu menerpa seketika sebelum
membiarkannya berlalu dibawa angin sejuk dari tasik. Barang yang lepas jangan
dikenang.
“Kadang aku kagum
macam mana orang zaman dulu belayar dengan panduan bintang.” Luah Aizuddin,
membawa imaginasi kami larut membayang sketsa masa silam. Frasa ini menjadi
titik tolak perbualan mendalam kami pada malam itu, langsung kami mula
bercerita tentang asal usul keluarga masing-masing meredah samudera untuk tiba
ke Tanah Melayu. Bunyian kocakan air mengkayakan imaginasi kami, membayang
kapal yang dipukul gelombang pada waktu malam mencari arah ke hadapan hanya
berpandukan buruj.
Satu-satunya persamaan
kami dengan nenek moyang kami barangkali ialah bintang-bintang di angkasa –
kami melihat bintang yang sama mereka lihat beratus tahun dahulu ketika mereka
mengemudi lautan mencari tanah di seberang dengan penuh pengharapan. Itu – menakjubkan sekali untuk
ditafsir. Bahawa bintang ini tetap juga sama, hidup berjuta-juta tahun melepasi
beribu-ribu generasi manusia.
Kami melihat
butir meteor pertama melintas malam langit permata ketika kami masih berbicara,
pantas jari kami menuding lalu berteriak “ITU!”. Terhibur dengan penemuan kami,
kami tertawa gembira. Apabila dibalut kegelapan, segalanya rasa sempurna. Terasa
bagai tidak perlu difikirkan apa yang berada di luar lingkungan kegelapan, yang
wujud dalam ruang ini hanyalah kami, langit dan sebuah tasik.
“Bayangkan betapa
besar alam. Segala ruang yang wujud; wujud dalam galaksi. Jadi maksudnya di
luar galaksi ialah ketidakwujudan. Luar daripada sempadan galaksi, bagaimana
ketidakwujudan itu wujud?” saya berfalsafah sendiri. Tiada jawapan yang nyata,
hanya teka-teka.
“Kalau fikirkan,
kenapa Allah ciptakan galaksi seluas-luas alam, tapi bumi hanyalah a small blue
dot in the picture. Terlalu kecil. Segala sejarah manusia berlaku dekat bumi
yang terlalu kecil ni. Jadi apa fungsinya Allah ciptakan bintang-bintang dan
ruang angkasa yang terlalu luas ni semua kalau hari kiamat nanti, semua bintang
ni akan berguguran dan musnah?” saya bertanya kepada Iwan.
Iwan menjawab
persoalan saya dengan perumpamaan seorang raja yang kaya. Istananya sungguh luas,
tapi dia tidak memerlukan kesemua ruang itu. Kata Iwan, kebesaran istananya hanyalah untuk menunjukkan betapa besar kekayaan dan kekuatannya.
Allah menciptakan
seluruh alam, tetapi hanya di titik biru kecil ini pentas untuk semuanya
berlaku, kerana Allah ingin menunjukkan betapa besar kekuasaanNya melangkaui planet ini jauh sehingga ke penghujung angkasaraya. Allah
menciptakan seluruh semesta tetapi hanya menggunakan bumi untuk menempatkan
seluruh sejarah kita, dan selebihnya – bintang, nebula, Milky Way, galaksi,
ruang angkasa yang tidak terbatas hanyalah sebuah tanda kebesaranNya. Saya terdiam,
ketakjuban pada skala yang lebih tinggi.
Selepas meteor yang kelima mencoret langit pada malam itu, kami mulai surut. Sambil diselimut kegelapan
dan angin dingin malam, kocakan air dari tasik mendodoi lena kami ketika kami
berlayar menuju alam mimpi. Malam yang indah ini, barangkali akan berlangsung hanya sekali, tinggal menjadi memori. Seperti juga mereka yang pernah melihat bintang yang sama di angkasa, kita akan pergi jua, hanya tinggal bintang yang setia melihat sejarah kita dari langit.
jangan lupe follow http://tarotthefool.blogspot.my/
ReplyDelete