13 January 2012

Kunang-kunang


Malam yang sepi itu ia datang. Sedang saya berbaring untuk tidur, tatkala semua lampu sudah dimatikan. Gelap yang pekat sedang melitupi dunia. Saya sedang berbaring di ruang tamu.

Setitik cahaya melintas sepintas.

“UFO?” tidak. Tidak mungkin. Mata saya membundar.

Ia melintas lagi. Seperti berada dalam mimpi, ia berkelip lagi. Terasa seperti ia berada dalam dimensi lain; seperti ia tiada bentuk dan jisim; hanya cahaya. Tidak, ini bukan mimpi.

Ia melintas kali ketiga. Dari dapur ia terbang ke hidung Gedil yang sedang berdengkur keras. Ia mengepak-ngepak; cuba terbang pergi. Gedil menggelepar; menepis-nepis hidungnya. Saya tergelak diam. Sedikit mengekek.

Kunang-kunang. Ia singgah ke langsir sebentar; melepaskan penatnya, lalu terbang lagi. Warna cahayanya cantik; biru dan hijau. Saya bingkas bangun dari tilam. Gebar saya jatuh ke lantai.

Seperti menyedari saya yang terjaga, ia laju terbang ke dalam bilik. Saya mengikutnya dengan diam dan berhati-hati. Dan ia seperti menunggu saya. Ia diam di atas meja.

Dengan berhati-hati, saya mengambilnya dan meletakkannya ke dalam tangan. Cahayanya bagai fantasi; sebuah mimpi lama daripada zaman kanak-kanak yang bahagia. Entah mengapa, kehadiran kunang-kunang ini seperti memberi sedikit rasa yang indah. Saya terlupa siapa saya buat seketika. Dan dalam malam yang gelap itu, cuma ada saya, kunang-kunang dan sebuah perasaan yang keanak-anakan.

Saya mengambil kotak kole milik Gedil yang penutup depannya sekeping plastik lutsinar. Lalu meletakkan perlahan-lahan si kunang-kunang ke dalam kotak. Terus saya menutupnya. Daripada luar, saya melihat dari keping plastik itu indahnya si kunang-kunang.

Entah mengapa, si kunang-kunang terus berhenti berkelip. Saya membuka kotak itu kembali, kerisauan; dan ia berkerdip semula. Lalu saya membiarkan penutupnya terbuka sedikit. Saya membawa kotak berisi kunang-kunang itu ke atas tilam.

Gedil sudah berdengkur semula; tandanya dia sudah nyenyak. Saya berbaring; di sebelah kepala saya si kunang-kunang masih berkelip. Indahnya! Tetapi kasihan. Ia cuba keluar. Tetapi yang memisahkan si kunang-kunang itu dengan kebebasannya ialah dinding lutsinar.

Ia tidak mengerti.

Dan terus ia malap semula; seperti putus asa. Dan setiap kali saya membuka penutupnya, ia terus menyala lebih marak; percikan cahaya biru dan hijau seindah aurora borealis. Dan lalu, saya membebaskannya terus. Sambil tersenyum, saya melihat ia terbang semula ke udara; berkelipan beberapa kali melintasi pekat malam seperti sebutir meteor.

Cantiknya pemandangan ini ya Allah! Betapa kemudian saya menyedari bahawa si kunang-kunang itu didatangkan untuk membahagiakan sekeping hati yang sunyi; dan mengajarkan kepada hati itu erti harapan.
Pada malam yang gelita; sebutir harapan mula bercahaya.

Ketika hanya kegelapan mencengkam dan cahaya semuanya telah hilang. Sebutir harapan itu mula bernyala waktu seluruh alam menyerah kepada gelap. Si kunang-kunang itulah metafora harapan dalam hidup kita. Dan jangan dibunuh harapan itu; jangan dikurung. Nescaya ia akan datang semula bila kita memerlukannya nanti.

Bebaskanlah ia, rasakanlah bahawa ia sentiasa menemani kita. Tetapi sewaktu kita berada dalam cahaya, kita sering lupa kepadanya. Hanya dalam kegelapan, ia akan datang semula dengan keindahannya. Untuk sentiasa mengingatkan kita bahawa cahaya itu akan selalu hadir walaupun dalam kegelapan yang mutlak.

Untuk mengingatkan kita bahawa ia tidak pernah mengalah; malah ia sebenarnya akan menyerlah pada saat-saat yang paling jauh dalam kegelapan.

Dan pada malam itu, walaupun tidak bermimpi indah, saya merasa bahagia.

8 comments:
Write curses
  1. Akhirnya... mengalir air mata aku....
    sgt mendalam dan bermakna coretan ini..

    ReplyDelete
  2. i like...sy suka cara penulis menyampaikan cerita berdasarkan hanya satu objek..(kunan-kunag)..^__^

    p/s:sy budak baru belajar..

    ReplyDelete
  3. dulu masa kecik2 sy takut kat kunang2 sbb kawan2 ckp kunang2 tu tmpt tinggal dia kat kubur >.<

    ReplyDelete
  4. orang kata... kunang-kunang keluar dari kuku mayat hidup (aka zombie) betul ker?

    ReplyDelete
  5. aslm...bru t'jmp blog ni...sy menyukai nya...:-)...truskn b'bloggg...sy trus menyokg....

    ReplyDelete
  6. Fitriah & Izham: tak pernah pulak dengar pasal tu. first time dengar!

    Nur 5ruz: sama2!~ gudluck final exam!

    Hidayah: terima kasih! insyaAllah akan terus blogging!

    ReplyDelete
  7. siti & amanda: baru baca komen anda berdua...blogger detect sebagai spam...sory! hehe!

    thanks! saya rasa terharu juga....

    ReplyDelete

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter