08 January 2012

5 tahun yang lalu....

5 tahun yang lalu ialah genap seminggu saya berada di PLKN. Tanggal 8 Januari 2007; jatuh pada hari Isnin. Dan walaupun sedaya upaya mengingat apakah signifikasi tarikh ini dalam hidup saya, saya terasa ia tidak lebih seperti hanya hari yang biasa.
Barangkali pada hari ini 5 tahun yang lalu, saya sedang merenung permukaan Tasik Chini seperti selalu. Lalu terus menghitung hari sebelum tamat latihan.
Saya cuba mengumpul kembali cebisan-cebisan ingatan tentang waktu itu. Dan terasa seperti masih ada sesuatu yang hilang. Dan daripada ingatan mereka juga, saya ialah sedikit memori yang hilang. Mereka sudah lupa. Dan saya juga.
Berhari-hari lamanya ketika itu saya hilang dalam pemikiran sendiri. Ketakutan, kebencian dan kesunyian merasuk jiwa.
Tempoh dalam latihan ialah tempoh selepas 5 tahun saya diculik dari masyarakat; 5 tahun dikurung dalam sangkar emas. Dan ketika kembali semula kepada masyarakat, saya sudah hilang arah. Kebuntuan. Saya tidak lagi pandai bergaul dengan mereka. Kami mempunyai idea, pandangan dan pegangan hidup yang jauh berbeza. Atau itu fikir saya ketika itu.
Lalu saya berasa takut mencuba mendekati. Saya menjadi pendiam; cuma yakin dalam bulatan sahabat yang mempunyai latar belakang yang sama.
Saya tidak berasa diri sombong, hanya tidak selesa. Saya tidak mampu lagi beradaptasi untuk menggauli mereka. Dan ketika itu, saya terasa begitu jauh dengan mereka.
Untuk banyak kali, sering berlaku pergelutan perasaan dalam hati saya. Kami selalu tidak berkongsi momen yang sama. Ketika mereka beramai-ramai berkongsi perasaan gembira mendapat telefon bimbit setiap hujung minggu, saya tidak boleh berasa demikian. Saya belum mempunyai handphone ketika itu.
Ketika mereka beramai-ramai berkumpul, bersembang, menghisap rokok; saya menjauhkan diri. Saya menjadi takut. Saya menjadi pemerhati luar yang tidak ada sebarang kaitan dengan mereka. Kegagalan kami untuk berkongsi detik yang sama seterusnya menjarakkan lagi perhubungan kami. Mereka tidak memahami saya; dan begitu juga saya.
Tetapi sesuatu yang saya tidak sedari ketika itu; ialah ramai lagi di kalangan kami yang merasai sedemikian. Ramai lagi yang masih baru ingin melepaskan diri dari kepompong. Tetapi ketakutan saya telah membutakan pandangan daripada melihat mereka. Bahawa mereka juga sunyi dalam ketakutan mereka.
Ramai yang baru pertama kali baru berjauhan daripada keluarga. Yang belum pernah tinggal di asrama. Yang merasa rendah diri dalam keramaian manusia. Tetapi saya belum mengenali mereka ketika itu. Saya hanya mengenali mereka dalam imbasan ke masa silam.
Kerana ketakutan itu, saya tidak mahu mengaku kalah. Saya selalu mencabar kemampuan diri; cuba melakukan yang terbaik walau ada masanya saya terlalu lelah. Saya tidak mahu merasa malu di hadapan mereka. Dan walaupun hasilnya tidaklah selalu membanggakan, saya berasa puas hati. Berasa gembira dengan diri sendiri.
Dan setelah cuba mengumpul setiap sisa ingatan masa ketika 5 tahun yang dulu, saya berasa kosong. Seperti setiap yang berlaku dulu tiada kesannya kepada saya. Hanyalah sekadar memori.
Tetapi saya sedar ia lebih daripada sekadar memori. Ingatan dulu adalah tempat-tempat saya meninggalkan jejak langkah ke atas pasir masa; dan hanya menuju masa depan tanpa menoleh. PLKN ialah antara tempatnya saya memadamkan setiap jejak itu untuk memadamkan ketakutan yang datang bersama.
Dan memori itu akhirnya menjadi kosong setelah jejak-jejak yang penting dipadamkan. Namun ingatan yang kuat masih wujud dalam perasaan kasih dan belas kepada mereka yang hadir waktu dulu. Mereka yang mencorakkan sedikit warna dalam kanvas kehidupan saya.
Ayuh, maralah ke masa depan bersama-sama. Lupakan ketakutan waktu dulu.
 
250495_205180902852304_100000811860539_528328_6696781_n
Gambar curi. Hari tamat latihan. Jangan cari muka saya, saya takde dalam gambar…



LiveJournal Tags:

















No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter