30 November 2011

PLKN Memories (1)


Karofsky. Saya terkejut. Ini ialah suatu kebetulan. Oh malunya. Disebabkan dia seorang yang biadab, perasaan kasihan tidak mampu hadir. Saya berasa terhina. Berulang kali saya katakan kepada diri sendiri, dia tidak bermaksud demikian. Dan kadang-kala pula saya menafikan ia pernah berlaku. Tetapi saya berasa semakin takut bila berhampiran dengannya.

Peristiwa malam itu sesuatu yang saya kuncikan di dalam hati; supaya menjaga maruahnya, dan juga saya terutamanya.

Saya yakin, jika saya menceritakannya kepada orang lain, mereka tidak akan percaya. Barangkali mereka akan mendakwa bahawa itu semua hanyalah mimpi atau khayalan saya semata-mata. Ini pernah berlaku dulu. Maka lebih baik saya berdiam diri dan berpura-pura ia tidak berlaku. Sekurang-kurangnya, saya terselamat.

Siapa yang akan percayakan saya? Saya pendiam dan tidak ramai kawan ketika itu. Apa yang dia miliki adalah sebaliknya. Pengaruh, kawan-kawan yang juga berpengaruh, keyakinan diri. Saya yakin tuduhan yang saya akan lemparkan kepadanya hanya akan menjadi bahan lawak mereka. Ini hanya akan menjadi perlawanan yang tidak adil antara kami. Saya mungkin akan diejek dengan lebih teruk sehingga hari tamat latihan.

Dan bila sudah semakin dewasa, setelah membaca, menonton banyak drama (Glee terutamanya), saya tidak menyangka apa yang dilakukannya dulu hanyalah untuk menarik perhatian saya. Segala penghinaan yang dia lemparkan dulu hanya supaya saya akan memandangnya, memberi sedikit perhatian kepadanya, memberi sedikit harapan kepadanya.

Tetapi dia sungguh biadab, dan saya tidak suka dihina di hadapan khalayak. Juga saya tidak pernah terfikir bahawa pemikirannya berbeza dengan pemikiran saya. Dia terdesak. Saya hanyalah mangsa mudah. Dia tahu saya tidak mampu berlari pergi.

Tapi saya tidak berasa diri saya menarik kepadanya, bahkan kepada sesiapa pun, baik perempuan mahupun lelaki. Saya ketika itu botak, gemuk dan pasif, tidak ubah seperti sami. Entah bahagian mana mendorongnya kepada saya, itu sesuatu yang saya tidak mahu fikirkan. Dan saya berasa jijik dengan idea bahawa kami bersama.

Saya terpaksa hidup dalam bayang-bayangnya. Setiap yang saya lakukan perlu dilakukan dengan diam, tanpa menarik perhatiannya. Sekiranya dia mengejek saya, saya perlu biarkan. Saya tidak akan memberi harapan atau perhatian walau sekelumit. Ketika itu saya hanya ingin dia mengerti bahawa segala yang dia lakukan adalah silap, bahawa saya tidak mungkin akan didekati dengan cara itu. Bahawa saya juga mempunyai maruah dan harga diri.

Jika ingin berkawan, saya sentiasa membuka hati saya. Lagipun, kami tinggal dalam dorm yang sama dan sama-sama lelaki. Tidak ada silapnya jika berkawan baik. Tetapi tidak mungkin lebih daripada itu. Itu langsung tidak pernah saya fikirkan.

Hal ini seolah-olah menyebabkan dia semakin sakit hati; lalu bertambah mengejek dan menghina saya. Kesakitan dan perasaan malu yang dia akibatkan kepada saya hanya menambah jurang antara kami.

Anehnya, kami tidak pernah berbicara. Cuma sekali dia menegur ketika tali pinggang yang saya pakai terbalik, dan itu dilakukannya dengan sungguh sopan dan saya membalas dengan senyuman dan ucapan terima kasih. Tetapi minggu-minggu berikutnya sesudah peristiwa itu sikapnya berubah langsung.

Setelah malam yang (hampir) ngeri itu, saya berulang kali cuba meminta ditukarkan bilik, tetapi permohonan saya ditolak akibat tiada alasan kukuh.

Saya sedaya upaya cuba merahsiakan apa yang berlaku, kerana risiko yang perlu ditanggung sekiranya perkara ini diketahui ramai. Ini bukan setakat membabitkan maruah kami, tetapi maruah kompeni, jurulatih, kawan-kawan kami. Saya cuma berani bercerita kepada rakan karib saya untuk bertanyakan pendapat.

Saya sama sekali keliru dengan apa yang harus dilakukan, kerana tiada jalan keluar bagi saya tanpa menyakitkan sesiapa, melainkan berhadapan dengannya setiap hari dan menerima setiap penghinaannya dengan hati yang terbuka. Tetapi tidak pernah saya berfikir untuk menyerah diri kepadanya.

Saya menganggap kelakuannya sebagai cabaran. Tetapi tidak pernah juga saya berharap dia akan dihukum. Saya hanya ingin keadaan menjadi normal; dan dia tidak perlu lagi mengganggu saya.

Sekiranya dia terbaca apa yang saya tuliskan, saya hanya ingin katakan bahawa saya tidak berdendam. Saya sudah lama memaafkannya. Mungkin sewajarnya saya merasa kasihan, kerana saya faham perasaan malu akibat ditolak. Juga kerana dia mempunyai masalah dengan identitinya sendiri, dan dia terpaksa berpura-pura di hadapan kawan-kawannya yang lain. Saya yakin sehingga kini, tiada seorang pun daripada kawan-kawannya yang mengetahui apa yang dia pernah cuba lakukan terhadap saya.

Setelah tamat latihan, saya merasa cukup bahagia. Saya memulakan hidup baru dengan pengalaman lama yang mengajar erti baru kehidupan. Setiap bab ketika PLKN saya abadikan ke dalam minda, dan selalunya menggamit perasaan. Sungguh sewaktu itu sedang masih muda remaja, dan segala pengalaman di situ sukar untuk ditukarganti. Saya tidak langsung mengingatinya, cuma pada sedikit detik ketika mengingati kisah lama.

Setiap kali mengingatinya, saya cuba berfikir siapa sebenarnya dia? Mengapa ini semua berlaku? Apa yang telah terjadi kepadanya? Kenapa saya?

Semua persoalan itu masih belum berjawab, dan saya hanya berharap sekurang-kurangnya saya tidak akan bertemu dengan sesiapa yang sepertinya lagi. Dan inilah kali pertama saya menceritakan perkara ini kepada orang lain, selain kepada kawan saya itu. Saya tidak pernah menyangka, seorang pembuli itu kadangkala menyembunyikan sesuatu ketika mereka menganiaya orang lain, dan kadangkala mereka membuli kerana rahsia yang mereka pendamkan itu.

Dan dalam dunia ini, ramai Karofsky sedang berjalan di kalangan kita.

2 comments:
Write curses
  1. sy curious.. Ape yg dia da buat pd awk?

    ReplyDelete
  2. harap bersabar. Dunia sekarang makin pelik. Jangan biarkan orang lain membuli kita. Kita ada hak untuk melawan. Teruskan usaha saudara.

    ReplyDelete

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter